PMB Investment Umum Agihan 1.00 Sen Seunit Bagi Dana Shariah Global Equity


KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) — PMB Investment Bhd hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 1.00 sen seunit bagi PMB Shariah Global Equity Fund untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Jan, 2025 yang berjumlah RM106,896.25.

Dalam kenyataannya, syarikat pengurusan dana Islam (IFMC) di bawah Pelaburan MARA Bhd itu berkata agihan berkenaan telah dikreditkan kepada pemegang unit berdasarkan tarikh selepas 31 Jan, 2025, dengan tarikh pelaburan semula ditetapkan pada 1 Feb, 2025. 

“Pengagihan ini mewakili hasil sebanyak 1.80 peratus untuk tahun kewangan berkenaan dengan mencatat pulangan keseluruhan sebanyak 2.66 peratus dalam tempoh sama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Hang Tuah Amin Tajudin berkata pulangan memberangsangkan sebanyak 23.75 peratus dalam tempoh tiga tahun berakhir pada 31 Jan, 2025 menunjukkan PMB Shariah Global Equity Fund konsisten dalam memberikan hasil yang kukuh.

“Ini mencerminkan daya tahan dana ini dan keupayaannya mengharungi keadaan pasaran global yang dinamik dengan berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, PMB Investment berkata dana itu bertujuan mencapai pertumbuhan modal jangka sederhana hingga panjang menerusi pelaburan dalam portfolio pelbagai sekuriti patuh syariah yang tersenarai di pasaran global.

Menurutnya dalam keadaan biasa, dana ini memperuntukkan 70-99.5 peratus daripada nilai aset bersih (NAV) kepada ekuiti patuh syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti dengan baki dilaburkan dalam instrumen pasaran wang Islam, deposit Islam dan pelaburan patuh syariah lain.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Momentum Kenaikan Pasaran Diteruskan

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO melanjutkan kenaikannya buat kali kedua dengan mengekalkan lantunannya daripada paras sokongan MYR4,400 untuk ditutup pada harga lebih tinggi sebanyak MYR4,495. Komoditi ini memulakan sesi dagangan pada harga MYR4,491, kemudian ia mereda ke paras terendah intrahari pada MYR4,444 buat seketika, sebelum berterusan menaik ke arah paras tertinggi sesi pada MYR4,517 dan ditutup dengan corak lilin menaik. Pergerakan harga yang kukuh yang dilihat menerusi pergerakan positif kedua ini mengesahkan bahawa sentimen kenaikan sedang menguasai pasaran dengan teguhnya.

Paras rintangan terdekat sekarang ditambat pada MYR4,800, sekali gus memberi ruang untuk pergerakan menaik sekarang diteruskan. Komoditi ini kini didagangkan di atas kedua-dua garisan SMA 50 dan 200 hari, yang menandakan keadaan teknikal menaik masih berlangsung. Walau bagaimanapun, sekiranya kegiatan pengambilan untung berlaku, FCPO mungkin melantun daripada paras sokongan pertama MYR4,400, seiring dengan paras henti rugi kami. Melihat pada struktur kenaikan yang bertahan, kami tetap berpegang pada bias dagangan positif.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac (MYR4,367). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan pertama sekarang berada pada MYR4,400, diikuti oleh paras MYR4,250. Paras rintangan terdekat sekarang pula adalah pada MYR4,800, disusuli oleh paras seterusnya iaitu pada MYR4,925.