Emas Fizikal vs Emas Digital – Mana Lebih Sesuai Untuk Pelabur Bijak?

Emas telah lama dikenali sebagai aset pelindung nilai, terutama ketika berlaku inflasi atau ketidaktentuan ekonomi. Namun, dengan kemajuan teknologi kewangan, kini wujud satu lagi bentuk pelaburan emas yang semakin popular iaitu emas digital.

Persoalannya, antara emas fizikal dan emas digital, mana satu yang lebih sesuai untuk keperluan anda sebagai pelabur?

Artikel ini akan menghuraikan perbezaan utama antara kedua-dua bentuk pelaburan emas ini dari aspek pemilikan, keselamatan, kos, kecairan dan kesesuaian.

1. Bentuk Pemilikan

Emas Fizikal memberi anda pegangan terus ke atas emas dalam bentuk jongkong, dinar, atau barang kemas. Ia boleh disimpan sendiri di rumah, di premis peribadi, atau disimpan dalam peti simpanan selamat di bank.

Emas Digital, pula, bermaksud anda mempunyai hak ke atas jumlah emas sebenar yang disimpan oleh pihak ketiga seperti Bursa Gold, GoGold Public Gold atau CIMB e-Gold. Walaupun tidak dipegang secara fizikal, emas ini wujud dan boleh ditebus jika diperlukan.

Dari segi pemilikan pula, emas fizikal lebih sesuai bagi individu yang ingin melihat dan memegang aset mereka, manakala emas digital lebih praktikal bagi pelabur moden yang mengutamakan kemudahan dan keselamatan.

2. Keselamatan dan Risiko Kehilangan

Emas fizikal berisiko hilang, dicuri atau lupa tempat simpanan. Jika disimpan di bank, perlu bayar caj sewaan tahunan bagi peti besi keselamatan.

Sebaliknya, emas digital disimpan dalam fasiliti keselamatan tinggi oleh penyedia platform dan biasanya diinsuranskan. Pengguna hanya perlu pastikan keselamatan akses digital, seperti kata laluan dan verifikasi dua faktor.

Dari segi keselamatan, emas digital lebih unggul kerana mengurangkan risiko fizikal.

3. Caj dan Kos Tersembunyi

Emas fizikal melibatkan pelbagai kos seperti caj upah (terutama bagi barang kemas), susut nilai jual balik (spread), kos penyimpanan jika guna peti besi, serta caj penghantaran jika pembelian dilakukan secara dalam talian.

Emas digital pula biasanya mengenakan caj pengurusan tahunan (sekitar dua hingga tiga peratus), tetapi kadar spread lebih rendah dan tiada caj penghantaran melainkan jika anda mahu menebusnya menjadi emas fizikal.

Untuk pelaburan kos rendah dan jangka pendek, emas digital lebih efisien.

4. Kecairan dan Kemudahan Jual Beli

Bagi emas fizikal, anda perlu ke kedai emas atau dealer untuk menjual semula. Kadangkala proses ini mengambil masa kerana perlu melalui pengesahan dan pembayaran secara manual.

Sebaliknya, emas digital boleh dibeli dan dijual pada bila-bila masa secara dalam talian, dan dana hasil jualan biasanya terus dikreditkan ke akaun dalam masa singkat.

Dari aspek kecairan dan kemudahan transaksi, emas digital lebih fleksibel dan pantas.

5. Tebusan Emas

Emas fizikal sudah berada dalam tangan anda sebaik dibeli. Ia boleh digadai atau disimpan sebagai harta.

Untuk emas digital, anda boleh menebusnya menjadi emas fizikal, tetapi perlu memenuhi syarat minimum tertentu seperti jumlah gram yang mencukupi. Caj tambahan mungkin dikenakan untuk proses ini.

Sekiranya anda bercadang untuk memegang emas secara fizikal akhirnya, pastikan platform digital yang anda pilih menyediakan pilihan tebusan.

6. Kesesuaian Mengikut Tujuan Pelaburan

Jika anda ingin menyimpan emas untuk jangka masa panjang, kedua-dua emas fizikal dan emas digital adalah sesuai bergantung kepada tahap keyakinan anda terhadap bentuk pemilikan.

Bagi tujuan simpanan kecemasan yang memerlukan anda mencairkan emas dengan cepat dan mudah, emas digital adalah pilihan yang lebih sesuai kerana boleh dijual terus melalui aplikasi dan hasilnya dimasukkan terus ke dalam akaun bank anda.

Untuk pelabur yang baru bermula atau yang tidak mahu berurusan dengan urusan penyimpanan fizikal, emas digital lebih mesra pengguna dan mudah dikendalikan melalui telefon pintar.

Sekiranya anda mahukan perlindungan nilai untuk jangka panjang dan tidak kisah untuk menyimpan emas secara fizikal, maka emas fizikal masih kekal sebagai pilihan yang kukuh.

Namun, jika tujuan anda membeli emas adalah sebagai hadiah fizikal, contohnya untuk perkahwinan atau pemberian khas, maka emas fizikal seperti barang kemas adalah lebih sesuai berbanding emas digital.

Akhir sekali, bagi mereka yang hanya mampu melabur dengan jumlah kecil seperti di bawah seratus ringgit, emas digital adalah lebih praktikal kerana kebanyakan platform membenarkan pembelian serendah satu ringgit. Emas fizikal pula biasanya memerlukan modal yang lebih besar untuk memulakan pembelian.

7. Contoh Platform Popular di Malaysia

Emas Fizikal seperti Public Gold, Habib Jewels, Kedai Emas Poh Kong, Wah Chan, Anuar

Emas Digital pula Bursa Gold, GoGold oleh Public Gold, CIMB e-Gold, Maybank MAE Gold

Kesimpulannya, pilih berdasarkan keperluan dan gaya hidup.

Emas fizikal adalah pilihan tepat jika anda lebih selesa memegang dan menyimpan sendiri aset emas. Ia sesuai untuk jangka panjang, hadiah, atau digadai jika diperlukan.

Emas Digital pula lebih fleksibel dan mudah diurus, sesuai untuk pelabur moden yang ingin membuat pembelian secara konsisten, bermula dengan bajet kecil, serta inginkan transaksi yang cepat dan mudah. Walau apa pun pilihan anda, penting untuk faham matlamat pelaburan anda, bandingkan platform dengan teliti dan elakkan membeli hanya kerana ikut trend.

Previous ArticleNext Article

RMFLS 2025: Rakyat Malaysia Berpendapatan Rendah Pamer Kemajuan Kewangan, Namun Golongan Berpendapatan Sederhana Perlukan Sokongan Lebih Besar

KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2025 – RinggitPlus hari ini mengumumkan keputusan Tinjauan Celik Kewangan Malaysia (RMFLS) 2025, iaitu edisi kelapan kajian tahunan yang menilai cara rakyat Malaysia mengurus, menyimpan, dan berfikir tentang kewangan peribadi mereka.

Tinjauan tahun ini menunjukkan dapatan yang pelbagai: rakyat Malaysia berpendapatan rendah dan Gen Z sedang menunjukkan kemajuan kewangan, manakala golongan berpendapatan sederhana berdepan cabaran yang semakin meningkat, walaupun terdapat peningkatan yang lebih meluas dalam perancangan persaraan, kesedaran kredit, dan pengurusan kewangan digital.

Rakyat Malaysia Berpendapatan Rendah Pamer Kemajuan dalam Perancangan dan Kesedaran Kewangan

Tinjauan 2025 menunjukkan perkembangan positif dalam kalangan rakyat Malaysia berpendapatan rendah, dengan lebih ramai responden mengambil langkah ke arah keselamatan kewangan jangka panjang. Khususnya, 55% daripada mereka yang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan menyatakan mereka telah mula merancang untuk persaraan, meningkat daripada 48% pada 2024. Ini mencerminkan kesan berterusan inisiatif pendidikan kewangan, program sokongan kerajaan, dan kenaikan gaji minimum dalam membantu komuniti yang paling terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Tahap celik kewangan juga semakin baik: hanya 40% responden berpendapatan rendah yang menyatakan mereka tidak mengenali skor kredit (berkurang daripada 45% pada tahun lalu), menandakan peningkatan kesedaran tentang bagaimana skor kredit memberi kesan kepada kesejahteraan kewangan.

Terdapat juga tanda-tanda berhati-hati dari segi kewangan. Sebanyak 36% responden berpendapatan rendah menyatakan mereka secara aktif mengelakkan penggunaan perkhidmatan Buy Now, Pay Later (BNPL)  yang tertinggi dalam semua segmen pendapatan. Ini mungkin menunjukkan perubahan ke arah pengurusan hutang yang lebih berhati-hati, khususnya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Golongan Berpendapatan Sederhana Hadapi Tekanan Kewangan dan Simpanan Menurun

Sebaliknya, rakyat Malaysia berpendapatan sederhana, khususnya mereka yang berpendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan, menunjukkan kemampuan untuk menyimpan yang semakin merosot. Mereka merupakan satu-satunya kumpulan pendapatan yang melaporkan penurunan kadar simpanan, dengan hanya 23% berjaya menyimpan antara RM1,001 hingga RM1,500 sebulan, berbanding 29% pada 2024.

Sementara itu, jumlah mereka yang menyimpan kurang daripada RM500 sebulan meningkat kepada 39% daripada 31% pada tahun sebelumnya. Daya tahan kewangan juga semakin lemah, dengan hanya 27% menyatakan mereka boleh bertahan lebih enam bulan tanpa pendapatan, berbanding 32% pada tahun lalu. Golongan ini juga merupakan satu-satunya kumpulan pendapatan yang mengurangkan perbelanjaan hiburan, makan di luar, dan langganan untuk menguruskan bajet peribadi mereka.

Dari segi sentimen kewangan, keyakinan juga semakin pudar. Walaupun hampir separuh rakyat Malaysia (48%) percaya keadaan kewangan mereka lebih baik berbanding tahun lalu, perasaan ini tidak dikongsi secara seimbang: hanya 54% daripada golongan berpendapatan sederhana berasa lebih baik, berkurang daripada 58% pada 2024. Dapatan ini mencadangkan bahawa walaupun mereka masih menerima manfaat daripada sokongan umum seperti subsidi bahan api, golongan berpendapatan sederhana kini semakin terdedah kepada kerentanan kewangan dengan simpanan yang berkurang dan benteng kewangan yang semakin lemah.

Generasi Z Amalkan Tabungan dan Alat Digital Kewangan

Pada masa yang sama, golongan muda di Malaysia muncul sebagai titik cerah dalam laporan 2025. Sebanyak 40% daripada Gen Z kini menyimpan lebih RM500 sebulan, meningkat daripada 36% tahun lalu, manakala peratusan yang tidak menyimpan langsung telah menurun kepada hanya 11% yang terendah antara semua generasi.

Minat mereka dalam perancangan kewangan turut terserlah dengan 57% menyatakan mereka telah mula merancang untuk persaraan, berbanding 53% pada 2024. Generasi ini juga aktif menggunakan teknologi, dengan 62% melaporkan mereka menggunakan aplikasi bajet yang dikuasakan oleh AI, penasihat robo, atau chatbot kewangan untuk membantu menguruskan kewangan mereka.

Kos Insurans Meningkat, Rakyat Malaysia Kurangkan Perlindungan

Kos insurans yang semakin meningkat memberi kesan besar kepada rakyat Malaysia secara menyeluruh. Sebanyak 22% pemegang polisi telah menukar kepada pelan lebih murah atau membatalkan sekurang-kurangnya satu polisi dalam tempoh setahun lalu atas faktor kemampuan kewangan — trend ini paling ketara dalam kalangan berpendapatan rendah.

Walaupun ada usaha individu untuk merancang masa depan, 43% rakyat Malaysia masih tidak mempunyai insurans perubatan, manakala 15% hanya bergantung pada kad perubatan syarikat. Sementara itu, kurang daripada separuh (48%) menyatakan mereka mempunyai polisi insurans hayat atau takaful, menandakan perlindungan kewangan masih menjadi keutamaan kedua berbanding kos sara hidup lain.

Lebih Ramai Rakyat Malaysia Merancang Persaraan & Belajar Kewangan Melalui Media Sosial

Tahap kesedaran kewangan rakyat Malaysia semakin meningkat, dengan 64% menyatakan mereka telah mula merancang untuk persaraan, naik daripada 60% pada 2024. Keyakinan terhadap simpanan KWSP juga semakin positif, dengan 22% percaya simpanan mereka mencukupi, berbanding 19% tahun lalu. Satu perubahan kecil tetapi menggalakkan merentasi semua kumpulan pendapatan.

Kesedaran ini seiring dengan peningkatan dalam tahap celik kewangan. Hanya 47% rakyat Malaysia yang menyatakan mereka tidak memahami skor kredit atau maksudnya, berkurang daripada 53% pada 2024.

Dalam usaha mendidik diri, media sosial kekal sebagai sumber utama maklumat kewangan. Sebanyak 68% responden kini menggunakan platform seperti Instagram, TikTok dan Facebook untuk belajar tentang kewangan.

Pelaburan Lebih Selamat Jadi Pilihan, Kecuali Generasi Muda

Walaupun separuh rakyat Malaysia masih belum mula melabur, mereka yang berbuat demikian membuat pilihan menarik mengikut generasi.

Pilihan tradisional kekal popular; dana ASNB (64%), unit amanah (42%) dan logam berharga (38%) menjadi pilihan utama. Namun, rakyat Malaysia yang lebih muda menunjukkan corak berbeza: mata wang kripto dan penasihat robo tersenarai dalam lima pilihan utama Gen Z, manakala saham tempatan lebih popular dalam kalangan milenial dan Gen X.

Trend ini mencerminkan pendekatan berhati-hati secara keseluruhan, tetapi dengan kecenderungan mencuba sesuatu yang baru dipacu oleh generasi muda.

Masa untuk Memberi Tumpuan kepada Golongan Berpendapatan Sederhana

“RMFLS 2025 mencerminkan daya tahan rakyat Malaysia. Ramai rakyat berpendapatan rendah dan Gen Z mengambil langkah ke arah yang betul, menyimpan secara konsisten, merancang untuk persaraan, dan membina tabiat kewangan yang baik walaupun berdepan cabaran,” kata Yuen Tuck Siew, Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus.

“Namun dapatan kami juga menunjukkan bahawa golongan berpendapatan sederhana perlu diberikan perhatian dan sokongan semula. Golongan ini terus bekerja keras walaupun bajet isi rumah semakin ketat dan kuasa simpanan berkurang. Ketika Malaysia bergerak ke arah status negara maju, memastikan golongan berpendapatan sederhana mempunyai alat dan peluang yang tepat untuk membina semula kekuatan kewangan mereka akan menjadi kunci kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.”

Tinjauan Celik Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) disokong oleh Financial Education Network (FEN) dan rakan kerjasama termasuk KAF Digital Bank, CIMB Foundation, dan Experian. Tinjauan ini dijalankan setiap tahun melalui kaji selidik dalam talian melibatkan lebih 3,000 responden di seluruh Malaysia, dan terus menyediakan cerapan tepat pada masanya tentang kesihatan kewangan, tingkah laku, dan keutamaan rakyat Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai Tinjauan Celik Kewangan Malaysia RinggitPlus 2025, sila layari laman web RinggitPlus atau saluran media sosial RinggitPlus (Instagram dan Facebook).