Petronas Bayar Dividen RM40 Bilion Kepada Kerajaan Pada 2023

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) membayar dividen berjumlah RM40 bilion kepada kerajaan pada 2023 selain menyumbang sebanyak RM2 bilion untuk dana Kumpulan Wang Amanah Negara.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata syarikat minyak dan gas negara itu telah membuat pembayaran dividen sebanyak RM50 bilion pada 2022.

“Selepas menilai secara teliti kemampuan kumpulan untuk terus membiayai usaha membayar hutang dan memenuhi obligasinya selain melabur bagi tujuan pertumbuhan, Petronas pada tahun lepas telah membuat pembayaran dividen sebanyak RM40 bilion kepada kerajaan,” katanya pada sesi pengumuman prestasi kewangan kumpulan itu bagi 2023 di sini, hari ini.

Pada masa sama, Petronas turut menunaikan komitmennya memberi sumbangan RM2 bilion kepada Kumpulan Wang Amanah Nasional pada 2023.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Liza Mustapha berkata Petronas akan membuat bayaran dividen berjumlah RM32 bilion kepada kerajaan pada 2024.

“Lembaga Pengarah telah meluluskan bayaran dividen berjumlah RM32 bilion yang akan dibayar pada tempoh Mac hingga Disember. Ini baru diluluskan semalam,” katanya.

Petronas mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM80.7 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 (tahun kewangan 2023) berbanding RM101.6 bilion dalam tahun sebelumnya, sebahagian besarnya berikutan purata harga direalisasi yang lebih rendah.

Perolehan hasilnya pada tahun kewangan 2023 susut kepada RM343.6 bilion daripada RM372.3 bilion, sebelum ini.

Bagi suku keempat, keuntungan syarikat minyak dan gas negara itu berkurangan kepada RM16.6 bilion daripada RM24.4 bilion manakala perolehan hasil susut kepada RM91.7 bilion daripada RM104.2 bilion.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ikhlas.com Zakat Fest 2025: Memperkasa Impak Strategik Melalui Zakat

SEPANG, 28 Oktober 2025 – Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju platform zakat digital di Malaysia apabila berjaya merekodkan kutipan zakat harta berjumlah lebih RM50 juta menerusi usahasama dengan badan-badan zakat di seluruh negara.

Pencapaian itu diumumkan sempena edisi kedua Zakat Fest 2025, acara tahunan utama anjuran ikhlas.com yang meraikan peranan strategik zakat dalam membina komuniti mampan, memperkukuh keadilan sosial dan menyokong ekonomi inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata: “Kami menyasarkan kutipan zakat harta sebanyak RM100 juta pada tahun hadapan, yang akan dimanfaatkan untuk membantu golongan memerlukan menerusi AirAsia Wakalah Fund.”

Dana tersebut merupakan inisiatif berimpak tinggi yang diwujudkan hasil kutipan zakat korporat dan dana wakalah melalui platform ikhlas.com, terbahagi kepada empat komponen iaitu bantuan tunai bagi kumpulan berpendapatan rendah, bantuan pendidikan (Ikhlas Untukmu), bantuan kecemasan bagi mangsa bencana dan keperluan mendesak dan kelas asas fardhu ain percuma.

Selain mengumumkan pencapaian kutipan, ikhlas.com turut mengumumkan perluasan kerjasama strategik bersama empat institusi zakat negeri baru iaitu Pusat Kutipan Zakat Pahang, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Tambah Ikhlas: “Setinggi-tinggi penghargaan kepada badan-badan zakat negeri yang memberi kepercayaan kepada ikhlas.com menerusi kerjasama strategik bagi memperkasakan impak dan hasil kutipan zakat menerusi penyeragaman sistem digital yang lebih cekap, telus dan pantas.”

“Kerjasama ini bukan sahaja dapat meningkatkan integrasi digital malah mengoptimumkan peruntukan dana dan mempertingkatkan ketelusan dalam pengagihan zakat kepada golongan yang berhak menerimanya,”  katanya.

Jumlah keseluruhan institusi zakat negeri yang bekerjasama dengan ikhlas.com kini meningkat kepada 10, menjadikan majoriti badan zakat negeri di Malaysia telah melantik penyedia perkhidmatan gaya hidup Islam di bawah naungan Capital A itu sebagai amil rasmi bagi kutipan zakat harta dan lain-lain.

Zakat Fest 2025 turut meraikan kecemerlangan dalam pemberian yang beretika dan berimpak melalui penganugerahan kategori Majikan Terbaik dan Pembayar Zakat Terbaik. Pengiktirafan ini diberikan kepada organisasi yang secara konsisten menunjukkan kepimpinan dalam mengintegrasikan zakat ke dalam rangka kerja perniagaan mereka, sekali gus memberi kesan positif kepada rantaian bekalan dan komuniti setempat.

Dilancarkan pada kemuncak pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform gaya hidup dan pelancongan Islam digital di bawah Capital A Berhad, yang berfungsi sebagai saluran bagi umat Islam menunaikan kewajipan mereka dengan mudah. Selain perkhidmatan Umrah dan Pelancongan Mesra Muslim melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan subsidiari, AirAsia, ikhlas.com turut menawarkan perkhidmatan Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah, Qurban dan lain-lain. Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi mudah alih melalui Apple App Store dan Google Play Store.