Syarikat Terkemuka China Setuju Jadikan Malaysia Hab Serantau – PM Anwar

PUTRAJAYA, 3 April (Bernama) — Beberapa syarikat terkemuka dari China telah bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai hub serantau mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini, Anwar berkata perincian mengenai perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Selalunya hab serantau mereka adalah di negara-negara lain (negara jiran), tapi ini kali pertama beberapa syarikat memilih untuk menjadikan (Malaysia) sebagai hab serantau mereka,” katanya yang kembali ke Malaysia semalam selepas mengadakan lawatan rasmi ke China.

Anwar dalam pada itu berkata beliau telah mengusulkan kepada syarikat-syarikat terkemuka China untuk mengutamakan pengambilan pekerja tempatan yang berkelayakan untuk operasi mereka di negara ini.

Menurutnya, syarikat China yang beroperasi di negara ini kadang-kadang membawa keseluruhan pekerja  dari negara mereka (China).

Bagaimanapun, Anwar berkata kerajaan bersedia meluluskan permohonan untuk mengambil pekerja dari China dengan segera namun syarikat terbabit perlu membuktikan usaha mengambil pekerja tempatan yang diperlukan tidak berjaya.

Selain itu, turut diusulkan ialah program latihan kursus dalam syarikat seperti Proton Holdings Bhd dengan tujuan memberi keutamaan kepada pemilihan anak tempatan dalam syarikat, sebelum ruang dibuka kepada profesional dari China.

Sempena lawatan rasmi Perdana Menteri selama empat hari ke China, Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi bernilai RM170 bilion, hasil daripada pemeteraian 19 memorandum persefahaman (MoU) antara perniagaan di China dan Malaysia dalam pelbagai bidang terutamanya teknologi hijau dan ekonomi digital. 

China telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009. Pada 2022, jumlah perdagangan dua hala bernilai RM487.13 bilion (US$110.62 bilion), meningkat 15.6 peratus daripada 2021.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

SC Dakwa Bekas Ketua Pegawai Kewangan Kerana Menyebabkan Kerugian Salah Kepada AT Systematization Berhad

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mendakwa seorang bekas Ketua Pegawai Kewangan AT Systematization Berhad (ATS) (kini dikenali sebagai Erdasan Group Berhad), di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menyebabkan kerugian salah berjumlah RM7.821 juta kepada syarikat tersebut.

Yong Man Chai (Yong), 47, berdepan 20 pertuduhan di bawah seksyen 317A(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana didakwa membuat bayaran berjumlah RM7.821 juta kepada lima syarikat dengan niat untuk menyebabkan kerugian salah kepada ATS.

Syarikat-syarikat tersebut ialah Delta Million Dynamic Sdn Bhd, Midas Mode Sdn Bhd, LMC Multi Trading, Midland Sands Sdn. Bhd. dan Silver Metal Sdn. Bhd.

Kesalahan-kesalahan itu berlaku antara Julai 2020 dan Oktober 2021 di Petaling Jaya, Selangor.

Di bawah seksyen 317A(1) CMSA, seorang pengarah atau pegawai bagi sesebuah syarikat tersenarai atau mana-mana syarikat berkaitannya tidak boleh melakukan apa-apa dengan niat untuk menyebabkan kerugian salah kepada syarikat tersenarai tersebut atau syarikat berkaitannya.

Jika disabitkan kesalahan, Yong berdepan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10 juta.

Yong mengaku tidak bersalah terhadap semua 20 pertuduhan di tiga mahkamah berasingan dan telah dibenarkan ikat jamin berjumlah RM350,000.

Yong, yang hadir di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Puan Norma binti Ismail, dibenarkan ikat jamin sebanyak RM160,000 dengan dua penjamin tempatan. Beliau juga diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri kepada pegawai penyiasat SC di pejabat SC setiap bulan sebagai syarat tambahan jaminan oleh mahkamah.

Secara berasingan, Yong dibenarkan ikat jamin RM120,000 dan RM70,000 masing-masing di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Puan Suhaila binti Haron dan Tuan Azrul bin Darus. Kedua-dua mahkamah mengenakan syarat tambahan jaminan yang sama.

Sebelum ini pada 8 Oktober 2025, bekas Pengarah Urusan ATS, Choong Lee Aun telah didakwa kerana menyebabkan kerugian salah berjumlah RM16.35 juta kepada syarikat tersebut.

Pertuduhan yang dikenakan terhadap Yong hari ini dimungkinkan melalui kerjasama rapat antara SC dan kedua-dua agensi penguatkuasaan undang-undang dalam dan luar negara.

Usaha bersama ini mencerminkan komitmen untuk memastikan pelaku kesalahan undang-undang sekuriti dibawa ke muka pengadilan. SC ingin merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (INTERPOL) dan Keselamatan Penerbangan Lapangan Terbang Malaysia (AVSEC) atas bantuan yang tidak ternilai.