BSN & AKPK Lancar Kempen ‘DUIT for Baby’ dan BSN MyFirst

Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) hari ini melancarkan kempen ‘DUIT for Baby’ untuk memperkenalkan skim simpanan baharu BSN iaitu BSN MyFirst kepada ibu bapa bagi membantu merancang masa depan anak mereka. Majlis pelancaran ini diadakan di Auditorium, Wisma BSN dan telah dihadiri oleh Dato’ Mohd Shafiq Bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Kesihatan Malaysia selaku wakil khas Dato’ Seri Dr. Chen Chaw Min, Ketua Setiausaha, Kementerian Kesihatan Malaysia; Encik Azaddin Ngah Tasir, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK dan Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN.

Kempen ‘DUIT for Baby’ ini turut menerima sokongan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang memberi fokus untuk mendidik ibu bapa muda mengenai perancangan kewangan ketika memulakan sebuah keluarga menerusi modul-modul pendidikan kewangan secara dalam talian. Modul-modul ini juga akan dijalankan di hospital awam dan swasta serta turut akan dilaksanakan melalui platform media sosial. Selain memberi fokus kepada pemahaman matlamat kewangan, modul-modul ini turut memberi penekanan terhadap belanjawan, pengurusan aliran tunai, kos melahirkan bayi serta perlindungan dan perancangan untuk pendidikan anak-anak.

“Bagi menjayakan kempen ini, KKM berperanan untuk memudahkan perjalanan kempen ini di semua hospital awam dan swasta yang mengambil bahagian dengan menyasarkan ibu bapa yang mengikuti kursus pranatal dan postnatal. Harapan saya ialah kempen ini menerima sambutan yang menggalakkan di kalangan ibu bapa. Bayangkan jika 3,000 anak-anak Malaysia mempunyai akaun simpanan setiap bulan. Ini sebenarnya membina ketahanan kewangan negara kerana mempunyai penduduk yang mempunyai persediaan dan perancangan kewangan yang baik hasil daripada literasi kewangan yang tinggi,” kata Dato’ Mohd Shafiq Bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Kesihatan Malaysia

Kempen ini dilaksanakan dengan kerjasama daripada Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Hospital Tunku Azizah, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Hospital Pakar KPJ Damansara.

“BSN komited untuk terus menggalakkan simpanan dan memperkasakan rangkuman kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan memberikan akses perbankan yang meluas melalui rangkaian cawangan dan perkhidmatannya yang pelbagai. Kempen ini dilancarkan untuk membantu ibu bapa memulakan simpanan anak-anak mereka, lebih-lebih lagi pada waktu yang mencabar ketika ini. Kesedaran untuk menyimpan sedari awal terus menjadi agenda BSN untuk membina generasi yang bukan sahaja menabung malah bijak menguruskan kewangan. Pelanggan bukan sahaja dapat menikmati kadar keuntungan yang menarik apabila menyimpan dengan BSN MyFirst, malah mereka juga berpeluang memenangi hadiah lumayan apabila menyertai kempen ‘DUIT for Baby’ ini,” kata Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN.

Kempen yang berlangsung dari 23 Jun sehingga 31 Disember 2020 ini terbuka kepada semua ibu bapa yang membuat simpanan dengan BSN MyFirst untuk anak-anak mereka yang berumur di bawah tujuh (7) tahun.
“Mengambil kira literasi kewangan yang rata-ratanya belum tinggi di kalangan rakyat Malaysia diikuti dengan disiplin kewangan yang kurang kukuh, AKPK menawarkan ilmu pengurusan kewangan bagi membantu meningkatkan kedudukan kewangan institusi keluarga itu sendiri. Di sinilah pentingnya peranan ilmu pengurusan kewangan berhemah di kalangan pasangan yang bakal bergelar ibu bapa walaupun mereka berpendidikan dan berpendapatan tinggi. Ini adalah kerana ramai antara mereka tidak terdedah kepada ilmu pengurusan kewangan. Objektif kempen ‘DUIT for Baby’ adalah untuk menerapkan kepentingan pengurusan kewangan kepada pasangan yang memulakan dan membesarkan keluarga serta menggalakkan tabiat menabung di kalangan ibu bapa untuk anak-anak mereka”, ujar Encik Azaddin Ngah Tasir, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK.

Untuk menyertai kempen ini, peserta hanya perlu mengikuti tiga (3) langkah mudah. Langkah pertama, peserta perlu mengikuti modul kewangan dalam talian yang disediakan oleh AKPK. Langkah kedua, peserta perlu menghantar tiga (3) slogan terbaik ke AKPK menerusi laman web www.power.akpk.org.my. Langkah ketiga, peserta perlu menyertai BSN MyFirst dengan simpanan minimum RM50 semasa tempoh kempen berlangsung.

Pemenang tempat pertama kempen ini bakal membawa pulang hadiah berupa BSN Sijil Simpanan Premium (SSP) bernilai RM5,000. Pemenang tempat kedua pula bakal membawa pulang hadiah berupa BSN SSP bernilai RM3,000 dan pemenang tempat ketiga bakal membawa pulang hadiah berupa BSN SSP bernilai RM1,000.

Seramai tiga (3) orang pemenang bulanan pula akan dipilih sepanjang tempoh kempen dan bakal membawa pulang hadiah berupa BSN SSP bernilai RM650 untuk tempat pertama, RM500 untuk tempat kedua dan RM300 untuk tempat ketiga.

Bagi 10,000 peserta pertama yang menyertai BSN MyFirst dalam tempoh kempen, mereka akan menerima hadiah tambahan bernilai RM50 yang akan didepositkan ke dalam akaun BSN MyFirst masing-masing.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk-produk BSN yang lain, kunjungi Cawangan BSN terdekat atau hubungi Pusat Hubungan Pelanggan BSN di talian 1300-88-1900 atau layari laman web kami di www.mybsn.com.my.

Mengenai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Perkhidmatan – AKPK memberikan Kesedaran Kewangan, Pendidikan Kewangan, Kaunseling Kewangan serta Penstrukturan semula hutang melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) sejak penubuhannya oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2006.

Pendidikan Kewangan – AKPK menekankan tanggungjawab penggunaan wang dan skil pengurusan kewangan dan juga kredit bagi menjamin kesejahteraan kewangan dan ketenangan hidup lebih-lebih lagi di kemudian hari.

Penstrukturan Semula Hutang – Bagi mereka yang sudah mempunyai masalah hutang tidak terbayar, kesedaran dan pendidikan kewangan perlu diikuti dengan intervensi bagi membantu meringankan pembayaran balik hutang. Bagi tujuan ini, PPK sudah banyak membantu peminjam yang bermasalah menstrukturkan kembali hutang mereka agar hutang dapat dibayar dengan lebihan tunai untuk mengurus kos kehidupan dengan lebih baik. Dalam erti kata lain, AKPK membantu mereka menguasai kembali kedudukan kewangan mereka.

Sejak penubuhan AKPK pada tahun 2006 sehinggalah 30 Mei 2020, 1,072,681 individu telah menghadiri sesi perkhidmatan kaunseling bersama AKPK dan daripada jumlah itu, 320,869 perserta telah memohon untuk menyertai PPK.

Seramai 27,905 telah berjaya menamatkan PPK dengan jumlah nilai tunggakan sebanyak RM1,232 juta.

Semua perkhidmatan AKPK adalah PERCUMA kepada individu. AKPK tidak pernah melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga untuk menawarkan sebarang perkhidmatan atas nama AKPK.

Layari laman sesawang AKPK di www.akpk.org.my

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.