iProperty.com.my Dedah Senarai Hartanah Kediaman Bertingkat Tinggi Dengan Pertumbuhan Modal Terbesar Pada 2020

iProperty.com.my, Laman Web Hartanah Nombor 1 di Malaysia, hari ini mendedahkan lapan buah hartanah kediaman bertingkat tinggi di Malaysia yang merekodkan pertumbuhan modal tertinggi tahun atas tahun pada 2020. Senarai kondominium dan kediaman servis ini adalah berdasarkan data urus niaga terkini dari brickz.my. Untuk menyerlahkan prestasi setiap hartanah berbanding prestasi keseluruhan di kawasan masing-masing, kenaikan modal median kesemua kondominium dan kediaman servis di lokasi terbabit turut disediakan. Berikut adalah senarai hartanah tersebut yang disusun mengikut tertib menurun dengan pertumbuhan modal dipaparkan dalam bentuk peratusan (%).

1. Residensi 22, Mont Kiara, Kuala Lumpur 

Pertumbuhan Modal: 7.28%

  • PSF Median 2020: RM914.03
  • PSF Median 2019: RM859.70
  • Bilangan urus niaga: 11
  • Pertumbuhan Modal Mont Kiara: -7.82% (PSF Median 2020: RM625)

Residensi 22 merupakan sebuah kondominium mewah yang terletak di Mont Kiara, satu kawasan yang mempunyai populasi ekspatriat yang besar di Kuala Lumpur. Siap dibina pada 2018, bangunan kediaman strata ini masih agak baharu dan berkepadatan rendah. Empat menara menempatkan 543 buah unit bersaiz dari 1,900 kaki persegi hingga 3,043 kaki persegi di dalam kawasan seluas 6.66 ekar.

Selain kolam renang dan gimnasium yang merupakan kemudahan standard, Residensi 22 turut menawarkan kemudahan premium termasuk pavilion makan malam, taman ukiran, bilik berehat, geladak matahari, kolam renang ulang-alik 50m dan taman meditasi. Kondominium ini juga menyediakan kawalan keselamatan dan penyelenggaraan fasiliti yang baik.

Residensi 22 mempunyai dua jalan masuk dan keluar menerusi Jalan Kiara 3 dan Jalan Kiara 4. Banyak kemudahan yang terdapat di kawasan sekitarnya boleh dikunjungi dengan berjalan kaki. Ini termasuk Garden International School, Mont Kiara International School, Arcoris Mont Kiara dan Plaza Mont Kiara. Kawasan tumpuan lain yang berdekatan termasuk 1 Mont Kiara Mall, GDM Specialist Centre dan Kiara Medical Centre.

2. Seringin Residences, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur

Pertumbuhan Modal: 5.70%

  • PSF Median 2020: RM610.90
  • PSF Median 2019: RM577.99
  • Bilangan urus niaga: 15
  • Pertumbuhan Modal Jalan Klang Lama: -4.56% (PSF Median 2020: RM395)

Seringin Residences merupakan sebuah kondominium pegangan kekal yang terletak di Happy Garden dan berhampiran Jalan Klang Lama. Kondominium ini mengandungi 542 buah unit kediaman di dalam dua buah menara 24 tingkat. Kediaman yang disiapkan pada 2013 ini menawarkan unit bersaiz dari 1,707 kaki persegi hingga 6,760 kaki persegi yang disasarkan kepada penduduk bandar dan golongan berkeluarga yang berpendapatan tinggi. Kondominium ini menampilkan banyak kemudahan termasuk kolam 50m, gimnasium terapung, pavilion gaya hidup dan trek berbasikal 1km.

Kondominium ini juga menyediakan kemudahan mesra alam untuk penghuninya dengan bangunan Sustainable Application of Green Energy (SAGE) yang bersambung sebagai tarikan utama. SAGE merupakan sebuah pusat rekreasi hijau yang menempatkan sebuah bilik majlis, taman herba dan pusat eco-discovery dengan kawasan rehat, sebuah perpustakaan dengan bilik bacaan serta pelbagai tarikan berunsur ekologi seperti kawasan perkelahan, kolam dan tanah pengkomposan. Di samping itu, panel suria ada dipasang di atas bangunan SAGE ini dan tenaga yang dibekalkan cukup untuk menampung sekitar 50% penggunaan utiliti para penghuni.

Di segi kemudahan, Seringin Residences terletak dalam lingkungan 2km dari pusat komersil Kuchai Business Park dan Kuchai Entrepreneurs Park di mana pelbagai restoran dan kedai makan tempatan, salun, klinik, pasar mini dan butik boleh ditemui. Kemudahan lain yang berdekatan termasuk Hospital Assunta, SJK (C) La Salle dan pasar raya besar NSK.

3. Mutiara Condominium, Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Pertumbuhan Modal: 5.49%

  • PSF Median 2020: RM257.14
  • PSF Median 2019: RM243.76
  • Bilangan urus niaga: 26
  • Pertumbuhan Modal Bukit Mertajam: 2.72% (PSF Median 2020: RM264)

Mutiara Condominium merupakan sebuah kondominium kos rendah yang terletak di Bandar Baru Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Kondominium ini merupakan sebuah hartanah pegangan kekal yang menawarkan kawalan keselamatan 24 jam, kolam renang dan rumah kelab. Meskipun unitnya kecil daripada biasa iaitu 700 atau 800 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, kondominium ini terletak di atas sebidang tanah besar seluas 3.26 ekar.

Tarikan Mutiara Condominium terletak pada harganya yang rendah. Pembeli mampu memiliki sebuah unit dengan tiga bilik tidur pada harga serendah RM165,000. Di samping itu, ada pelbagai kedai makan murah, pasar mini dan bank dalam lingkungan pemanduan beberapa minit yang pasti memudahkan urusan para penghuni. Kemudahan yang terdapat dalam lingkungan 10km termasuk Mydin Mall Bukit Mertajam, Auto-City, Sunway Carnival Mall, Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang dan SK serta SMK Bandar Baru Perda. Akhir sekali, Jambatan Pulau Pinang terletak hanya 10 minit dari kondominium ini dan menawarkan sambungan pantas ke Pulau Pinang.

4. Villa Wangsamas Condominium, Wangsa Maju, Kuala Lumpur

Pertumbuhan Modal: 4.57%

  • PSF Median 2020: RM370.52
  • PSF Median 2019: RM354.33
  • Bilangan urus niaga: 20
  • Pertumbuhan Modal Wangsa Maju: 4.18% (PSF Median 2020: RM399)

Villa Wangsamas merupakan sebuah kondominium berkepadatan tinggi yang mengandungi 1,300 buah unit di dalam sembilan menara kediaman. Kondominium ini menawarkan tiga konfigurasi – satu unit bersaiz standard 1,267 kaki persegi (3+1 bilik tidur), 1,834 kaki persegi (4+1 bilik tidur) dan 2,562 kaki persegi (5+1 bilik tidur). Kondominium yang disiapkan pada 2010 ini mempunyai kawalan keselamatan 24 jam, kolam renang, kafeteria, gimnasium, taman permainan, trek joging, gelanggang skuasy dan sebuah business centre. Meskipun berkepadatan tinggi, Villa Wangsamas dikelilingi alam semulajadi yang hijau dan dibina di atas tanah yang ditinggikan.

Di segi ketersambungan, Villa Wangsamas terletak 850m dari stesen LRT Sri Rampai dan dihubungkan oleh Jalan Jelatek dan lebuh raya DUKE, MRR2 dan AKLEH. Pelbagai pusat membeli belah ada dalam lingkungan 10 minit. Ini termasuk Aeon Big Wangsa Maju, Wangsa Walk, Setapak Central Mall dan Melawati Mall.

5. The Z Residence, Bukit Jalil, Kuala Lumpur

Pertumbuhan Modal: 2.81%

  • PSF Median 2020: RM502.42
  • PSF Median 2019: RM488.69
  • Bilangan urus niaga: 17
  • Pertumbuhan Modal Bukit Jalil: -9.46% (PSF Median 2020: RM450)

Z Residence merupakan sebuah kondominium pegangan kekal yang mengandungi 1,136 buah unit di dalam empat blok kediaman yang siap dibina pada 2014. Dengan lokasi yang strategik di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, kondominium ini menawarkan unit bersaiz besar termasuk sebuah unit 1,236 kaki persegi dengan tiga bilik tidur pada harga serendah RM590,000, manakala kadar sewa untuk unit separa berperabot yang sama pula adalah RM1,500.

Z Residence menyediakan kemudahan yang komprehensif untuk penghuninya dengan komitmen kepada kehidupan yang hampir dengan alam semulajadi — 50% daripada kondominium ini dikhaskan untuk kehijauan dalam bentuk pepohon dan landskap yang subur. Selain kolam renang dan gimnasium, penghuni boleh menikmati sky lounge, laluan refleksologi, laman Tai Chi, sauna, kawasan barbeku, gazebo, taman asuhan kanak-kanak, kedai dobi layan diri dan pasar mini.

Di segi ketersambungan, Z Residence terhubung dengan jaringan lebuh raya di sekitar Bukit Jalil termasuk KESAS, LDP, MEX, NPE dan Jalan Klang Lama. Kemudahan yang terdapat dalam lingkungan 10 minit pula termasuk Pavilion Bukit Jalil, Taman Rekreasi Bukit Jalil, International Medical University (IMU) dan Tzu Chi International School.

6. OUG Parklane, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur

Pertumbuhan Modal: 2.70%

  • PSF Median 2020: RM400.00
  • PSF Median 2019: RM389.47
  • Bilangan urus niaga: 37
  • Pertumbuhan Modal Jalan Klang Lama: 5.63% (PSF Median 2020: RM507)

Seperti Z Residence, OUG Parklane merupakan satu lagi pemajuan berkepadatan tinggi dengan harga berpatutan. Sebuah unit 950 kaki persegi dengan tiga bilik tidur berharga dari RM310,000 ke RM400,000. Dengan lokasi yang strategik di Jalan Klang Lama, apartmen servis ini menawarkan 4,225 buah unit di dalam 11 blok dan 204 buah unit komersil yang terletak di tingkat bawah setiap blok.

Disebabkan skalanya yang besar dan kewujudan pelbagai kedai termasuk kedai makan, kedai dobi layan diri, klinik 24 jam dan pasar mini, OUG Parklane boleh dianggap sebuah perbandaran kecil. Kemudahan yang terdapat di pemajuan ini adalah standard iaitu kolam renang, kolam randuk, taman permainan kanak-kanak dan taman berlandskap.

Di samping itu, kawasan pinggir bandar dan pusat perdagangan popular seperti Kuchai Entrepreneurs Park, Sri Petaling, Bukit Jalil, Mid Valley City dan Bandar Sunway terletak dalam lingkungan 15 minit. Lalu lintas di sini mungkin agak mencabar namun OUG Parklane terhubung dengan baik kerana melalui Jalan Puchong, anda boleh ke Lebuhraya KESAS yang juga menghubungkan penghuni apartmen ini dengan Lebuhraya NPE dan MRR2.

7. Mutiara Ville Serviced Residences, Cyberjaya, Selangor

Pertumbuhan Modal: 1.64%

  • PSF Median 2020: RM477.44
  • PSF Median 2019: RM469.74
  • Bilangan urus niaga: 17
  • Pertumbuhan Modal Cyberjaya: -7.17% (PSF Median 2020: RM488)

Mutiara Ville merupakan sebuah pemajuan bercampur terdiri daripada tujuh menara kediaman, sebuah pusat perdagangan dan sebuah kompleks jualan empat tingkat iaitu Gem In Mall. Kediaman yang ditawarkan berupa unit studio 500 kaki persegi, unit 1,000 atau 1,100 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan unit 1,280 kaki persegi dengan empat bilik tidur. Siap dibina pada 2017, kemudahan yang terdapat di Mutiara Ville termasuk kafeteria, pasar mini, gimnasium, kolam renang, trek joging, gelanggang skuasy, sky lounge, taman asuhan kanak-kanak dan taman permainan. Daya tarikan utama kondominium ini adalah lokasinya yang strategik berdekatan pelbagai kawasan tumpuan di Cyberjaya termasuk Taman Tasik Cyberjaya, DPulze Mall dan Shaftsbury Square.

Mutiara Ville juga terletak di dalam hab pendidikan Cyberjaya. Tidak jauh darinya terdapat Cyberjaya University of Medical Sciences (CUCMS) lengkap dengan perkhidmatan ulang alik percuma manakala Multimedia University (MMU), Kirkby College, University of Cyberjaya dan LimKokWing University semuanya dalam lingkungan 7km. Ini menjadikan Mutiara Ville pilihan utama penginapan pelajar dan pilihan yang menarik buat pelabur hartanah.

8. Westside Three, Desa ParkCity, Kuala Lumpur

Pertumbuhan Modal: 1.07%

  • PSF Median 2020: RM881.52
  • PSF Median 2019: RM872.18
  • Bilangan urus niaga: 13
  • Pertumbuhan Modal Desa ParkCity: 1.41% (PSF Median 2020: RM862)

Siap dibina pada 2019, Westside 3 merupakan pemajuan terbaharu di dalam kluster kondominium popular di Desa ParkCity. Terletak bersebelahan Westside 2, kondominium mewah pegangan kekal 47 tingkat ini mengandungi 469 buah unit bersaiz dari 1,077 kaki persegi hingga 1,927 kaki persegi. Setiap unit dilengkapi bahagian dalaman berkualiti tinggi dan dapur berperabot penuh. Untuk memastikan tahap keselamatan yang lebih ketat, setiap unit Westside 3 mempunyai sambungan interkom terus ke rumah pengawal.

Kemudahan yang disediakan terletak di dua aras. Ini termasuk geladak matahari, gelanggang tenis, trek joging, kolam jet, jakuzi dan kawasan barbeku.  Terdapat juga beberapa kemudahan mesra kanak-kanak seperti taman hiburan air, taman permainan kembara, kids’ fun zone dan taman rahsia.

Desa ParkCity merupakan sebuah kawasan pinggir bandar serba lengkap kelas tinggi di Kuala Lumpur yang popular dalam kalangan golongan berkeluarga dan pasangan berpendapatan tinggi. Kejiranan ini mempunyai beberapa taman berlandskap, pusat membeli belahnya sendiri, sebuah sekolah antarabangsa, pusat perubatannya sendiri, rumah kelab yang moden, pusat komuniti dan sebuah pusat perdagangan, Plaza Arkadia.

Menurut Shylendra Nathan, Pengurus Besar iProperty.com Malaysia Sdn Bhd, “Sebagai sebuah syarikat proptech bereputasi baik di Malaysia, iProperty.com.my mempunyai data yang diperlukan untuk membolehkan kami mengenal pasti aliran utama dalam pasaran hartanah tempatan dan memberi pemahaman terbaharu mengenai pasaran. Tatkala sentimen pasaran adalah rendah dalam jangka dekat dan sederhana, kami ingin memastikan dapatan yang didorong oleh data ini dikeluarkan supaya boleh dimanfaatkan oleh para pelabur hartanah dan pembeli rumah, baik untuk tujuan pelaburan mahu pun untuk didiami. Data pertumbuhan modal hartanah terpilih ini seharusnya mampu memberi pemahaman yang diperlukan oleh pembeli rumah mengenai pasaran hartanah kediaman bertingkat tinggi, seterusnya membantu mereka membuat keputusan yang tepat.”

NOTA KAKI

1) Pertumbuhan modal dihitung sebagai = PSF Median pada 2020 – PSF Median pada 2019 / PSF Median pada 2019. Per Square Foot (PSF) Median digunakan untuk menghitung pertumbuhan modal disebabkan pelbagai saiz terbina yang diurusniagakan.

2) Hanya hartanah yang mempunyai lebih daripada 10 urus niaga pada 2019 dan 2020 dipilih untuk mengimbang balas kesan sebarang kenaikan mendadak.

3) Sistem data dari JPPH merekod sesuatu urus niaga hartanah di Malaysia dengan rasmi sebaik sahaja duti setem untuk Perjanjian Jual dan Beli dibayar. Analitik ini adalah berdasarkan data yang tersedia pada tarikh penerbitan dan mungkin berubah apabila lebih banyak data diperolehi.

PENAFIAN

Pendapat yang diutarakan di dalam artikel ini tidak sama sekali merupakan sebarang bentuk pengendorsan atau saranan oleh iProperty.com.my. Pembaca dinasihatkan mendapatkan nasihat bebas sebelum membuat sebarang pelaburan. Brickz.my merupakan sebuah laman web hartanah yang bebas. Ia bukan sebuah badan penilai dan tidak boleh memberi penilaian hartanah secara langsung. Kandungan di www.brickz.my disediakan “seperti adanya” untuk tujuan maklumat umum sahaja. Anda tidak sepatutnya bergantung pada mana-mana bahagian kandungan ini tanpa mendapatkan nasihat kewangan terlebih dahulu dari pakar profesional yang bertauliah.

Mengenai REA Group & iProperty.com.my

REA Group di Asia mengendalikan laman web, pemasaran dan acara harta tanah digital yang menawarkan set perkhidmatan hartanah dan pemasaran projek paling komprehensif di Asia Tenggara termasuk di Malaysia (iProperty.com.my), Thailand (thinkofliving.com dan Prakard) serta seluruh wilayah China termasuk Tanah Besar China (myfun.com) dan Hong Kong (squarefoot.com.hk dan SMARTExpo).

Berpangkalan di Australia, REA Group merupakan sebuah firma pengiklanan digital multinasional yang mengkhusus kepada hartanah. Disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX:REA), kami mengendalikan laman web hartanah kediaman, komersil dan saham terkemuka di Australia iaitu realestate.com.au, realcommercial.com.au dan flatmates.com.au. REA Group juga merupakan rakan kongsi utama 99 Group yang mengendalikan perniagaan 99.co dan iProperty.com.sg di Singapura serta rumah123.com di Indonesia. REA Group juga memiliki pegangan saham besar dalam Move, Inc menerusi realtor.com di Amerika Utara dan Elara Technologies menerusi proptiger.com, maakan.com dan housing.com di India.

iProperty.com.my berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia dengan bilangan pekerjanya melebihi 200 orang. iProperty.com.my merupakan laman web hartanah No. 1 Malaysia yang menawarkan carian dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. iProperty.com.my juga menawarkan aplikasi penyelesaian kepada konsumer seperti LoanCare, penunjuk kelayakan pinjaman perumahan; saluran News & Lifestyle dengan pelbagai kandungan berkaitan hartanah yang bermanfaat kepada pengguna; acara-acara yang menghubungkan pembeli hartanah dengan ejen dan pemaju; dan banyak lagi.

Untuk berita berkaitan REA Group dan iProperty.com.my, layari www.iproperty.com.my/newsroom dan ketahui permintaan dan trend hartanah kediaman, perkembangan teknologi dan produk serta banyak lagi.

Previous ArticleNext Article

Pakej PEMERKASA Perkenal Pembiayaan Pengukuhan PKS Untuk Membantu PKS Mengharungi Tempoh Sukar

SME Corporation Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bekerjasama dengan  Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) telah meningkatkan usaha berterusan mereka dengan menawarkan bantuan kewangan kepada PKS yang  menghadapi masalah kewangan serta sektor yang terpinggir melalui kemudahan  pembiayaan baharu iaitu Pembiayaan Pengukuhan PKS (SMERF). 

Berikutan peningkatan jumlah kes COVID-19 dan pelaksanaan perintah kawalan  pergerakan dan yang terkini penutupan seluruh negara, ekonomi negara dan kehidupan  rakyat Malaysia telah teruk terjejas.

Kerjasama ini adalah konsisten dalam menyokong  PKS sejak dari awal pandemik dan skim pembiayaan baharu ini bertujuan membantu  PKS menguruskan aliran tunai dengan lebih baik sekali gus memastikan kelangsungan perniagaan mereka. 

SMERF, skim pembiayaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan  Ekonomi (PEMERKASA) oleh Kerajaan yang disalurkan melalui SME Corp. Malaysia dan dilaksanakan oleh MIDF, telah dibangunkan untuk memudah cara PKS yang berdaya  maju yang mempunyai kekangan kewangan dan sektor yang terpinggir untuk kekal  berdaya tahan dan terus berusaha melalui peningkatan kebolehpasaran produk mereka,  kemampanan perniagaan serta penerapan teknologi dan modenisasi.

Dengan kaedah  pembiayaan yang cepat dan fleksibel, produk ini dijangka dapat membantu  memperkukuhkan perniagaan teras mereka, meningkatkan produktiviti dan membantu mengekalkan pekerjaan.

Skim ini menawarkan pembiayaan sehingga RM250,000 atau sehingga 90% daripada jumlah kos yang layak dengan kadar faedah serendah 3%. 

“Dengan wujudnya SMERF diharap dapat memberi ruang bernafas kepada PKS  termasuk perusahaan mikro dalam menghadapi kesukaran ekonomi yang dihadapi.  Pembiayaan ini akan mengurangkan kekangan aliran tunai yang dihadapi oleh PKS yang  berdaya maju dalam mengukuhkan & mencapai matlamat perniagaan, di samping  memperteguhkan teras perniagaan serta membina keupayaan dan kemampuan.”

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy. 

Sementara itu, Azizi Hj. Mustafa, Ketua Divisyen Kewangan Pembangunan MIDF berkata:

“Kami memuji langkah yang diambil Kerajaan untuk membantu PKS dan kami  menyokong penuh inisiatif ini dengan memberikan sebanyak mungkin bantuan kepada  mereka yang terkesan ketika mengharungi tempoh sukar ini. Terima kasih juga kepada  Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan SME Corp. Malaysia yang  menyediakan dana untuk SMERF. MIDF dengan besar hati memainkan peranan kami  dalam menyokong pemulihan ekonomi negara dan membantu PKS sebagai enjin  pertumbuhan. “

Permohonan untuk SMERF akan dibuka kepada PKS mulai 26 Julai 2021. Untuk  maklumat lebih lanjut mengenai skim pembiayaan baharu ini atau mengenai  pengurangan kadar pembiayaan, orang ramai boleh menghubungi MIDF melalui Unit  Penasihat Perniagaan di 1-300-88-6433 atau e-mel [email protected].

Majalah Labur