Kebangkitan Ekonomi Berasaskan Platform Digital

Malaysia telah menyaksikan pencapaian luar biasa dalam bidang perbankan digital, inklusi kewangan dan kewangan Islam. Negara yang paling pesat membangun di rantau ini juga menyaksikan perkembangan perniagaan baharu yang disokong oleh pengawalseliaan dan ekosistem kewangan yang kukuh. Selaras perkembangan yang memberansangkan, Asian Banker menganjurkan Jelajah Inovasi Malaysia 2018 “ The Malaysia Innovation Tour 2018 ” (MIT18) selama tiga hari menyasarkan golongan profesional dari institusi kewangan untuk mendapatkan pendedahan tentang trend terkini dan idea-idea yang akan membentuk masa depan industri perkhidmatan kewangan. Ketua Pegawai Eksekutif BankBazaar, Vipin Kalra, turut mengambil bahagian dalam MIT18 kali ini dan menyampaikan ceramah mengenai “Kemunculan Ekonomi Berasaskan Platform Digital” “The Emergence of the Platform Economy” , di Konvensyen Kecemerlangan Asian Banker dalam Kewangan Digital.

Penyertaan BankBazaar dalam MIT18 adalah sejajar perkembangan BankBazaar ke Malaysia melalui BBazaar Malaysia (BBazaar.my) iaitu pasaran perkhidmatan kewangan dalam talian terbaharu yang dilancarkan di Malaysia baru-baru ini. Dalam ceramahnya, Kalra berkata pada satu ketika dahulu perniagaan berasaskan platform digital hanya dianggap sebagai satu konsep biasa dan dipandang rendah. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, perniagaan berasaskan platform digital telah berkembang dengan pesat dan menjadi sebahagian besar daripada ekonomi. Perniagaan berasaskan platform digital boleh ditakrifkan sebagai medium yang membolehkan seseorang itu menjalin hubungan dengannya. Perniagaan berasaskan platform digital boleh ditemui dalam pelbagai industri seperti rangkaian sosial (Facebook, LinkedIn); lelongan internet dan runcit (Amazon, eBay, Angie’s List ); dan pengangkutan bandar (Uber, Grab). Penggunaan platform digital memberi peluang kepada perniagaan untuk mencipta nilai dan perbezaan apabila menggunakan teknologi yang ada pada hari ini.

Kalra menyatakan teknologi memberi kesan kepada setiap sektor termasuk perkhidmatan kewangan. Beliau menambah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kemunculan kecerdasan buatan “ artificial intelligence ” (AI) dan pembelajaran mesin “ machine learning ”, teknologi baharu kini digunakan secara meluas dan bakal mengubah cara hidup manusia. Kalra berkata, evolusi teknologi yang sedang berkembang pesat ini telah mengakibatkan perubahan
dalam tindakan dan jangkaan pengguna. Dengan adanya lebih banyak pilihan berbanding sebelum ini dan kuasa internet di tangan mereka, pengguna tidak lagi didorong oleh kesetiaan tetapi mencari nilai yang lebih baik daripada setiap transaksi. Di samping itu, kita juga dapat menyaksikan kebangkitan platform digital yang berupaya melibatkan penyertaan institusi kewangan yang berlainan hanya melalui satu saluran. Perkembangan ini didorong oleh kehendak pelanggan yang inginkan nilai yang lebih baik, keselesaan dan kecekapan apabila melakukan transaksi.

Teknologi sedia ada menawarkan fleksibiliti, keperibadian dan keselesaan dalam semua aspek kehidupan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dan pelanggan menjangkakan perkara sama ketika berurusan dengan bank. Pelanggan mahukan akses yang cepat dan lancar untuk mendapatkan perkhidmatan kewangan semasa berada di platform pilihan mereka. Oleh itu, keupayaan untuk mewujudkan pengalaman perbankan yang mengujakan, di mana pengguna boleh melayari pelbagai saluran dengan mudah menjadi keutamaan untuk mengekalkan dan menarik minat pengguna moden.

Menurut Kalra, dari sudut pandangan pengguna, mencari nilai yang lebih baik menjadi trend utama mereka. “Mereka sangat berhati-hati terutamanya dalam urusan yang melibatkan produk dan perkhidmatan kewangan. Pengguna dihubungkan sama ada pada komputer riba atau telefon bimbit. Mereka mencari tawaran terbaik, dan mahukannya sekarang juga,” katanya. Kalra menjelaskan kemudahan seperti inilah yang disediakan oleh BankBazaar International (yang telah memulakan operasi di Malaysia), iaitu platform dalam talian yang membolehkan pengguna mencari, membandingkan dan memohon produk kewangan seperti kad kredit dan pinjaman. Melalui platform ini, pihak bank boleh mengakses secara terus kepada pelanggan yang sedang mencari tawaran terbaik dan membantu melancarkan urusan pelanggan dari mula hingga akhir, dari proses carian hingga kelulusan. Kaedah ini telah menunjukkan bahawa pengguna yang memohon secara dalam talian melalui sistem tanpa kertas akan mencapai kadar kelulusan 3 kali lebih baik berbanding mereka yang melalui proses manual. “Pengguna lebih suka melalui proses tanpa kertas kerana ia lebih lancar, selamat, tiada yuran perkhidmatan dan memberikan kelulusan segera,” katanya.

Apakah faedah untuk bank? “Bank boleh berhubung secara terus dengan pelanggan, memberi mereka pengalaman yang lebih baik dan menawarkan produk yang sesuai mengikut keperluan mereka,” tambah Kalra. “Melalui saluran yang disediakan, kami dapat menjangkau skala pelanggan yang lebih luas dan menawarkan perkhidmatan yang lebih sesuai untuk segmen pengguna tersebut. Dengan cara begitu, kami membantu pihak bank untuk mengekalkan pelanggan sedia ada dan yang lebih penting kami dapat menjangkau produk-produk kewangan yang kurang mendapat perhatian malah dapat menawarkan produk kewangan baharu kepada lebih ramai pelanggan.”

Matlamat bank tradisional adalah untuk membuat pembaharuan dengan lebih cepat, memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah tertentu dalam industri dan menggunakan pembelajaran mesin untuk membuat keputusan yang lebih tepat, dan semua ini dicapai melalui pembentukan perkongsian dengan FinTech. Sementara itu, FinTech pula bergantung pada bank untuk penjanaan modal, skala, data dan sokongan pengawalseliaan. Secara keseluruhannya, hubungan antara bank dan FinTech memberi kelebihan kepada kedua-dua belah pihak dan kerjasama antara mereka dijangka akan terus kukuh dan berkembang.

“ Pengguna hari ini menuntut urusan perbankan tanpa gangguan. Model perbankan tradisional akan terus terkesan dengan pengenalan teknologi dan model operasi baharu. Untuk kekal relevan dan berdaya saing, inovasi dan kerjasama dengan pemain yang menjadikan kepentingan pelanggan sebagai fokus utama akan terus menerajui industri ini. Digitalisasi adalah peluang dan bukannya ancaman. Mereka yang bertindak pantas dan menerima perubahan akan terus maju dalam era digital manakala mereka yang ketinggalan akan tewas disebabkan persaingan dan tindakan mereka sendiri yang tidak mahu berubah.”

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Mastercard Melancarkan Portfolio Penyelesaian Fleet Di Asia Pasifik

Malaysia, 4 Februari 2026 – Mastercard hari ini mengumumkan pelancaran Mastercard Fleet: Next Gen di Asia Pasifik, iaitu satu portfolio penyelesaian inovatif yang memperluaskan pembayaran fleet melangkaui pembelian bahan api bagi menyokong keseluruhan keperluan mobiliti pengendali fleet masa kini. Penyelesaian ini direka secara strategik untuk memenuhi tahap kematangan pasaran dan segmen pelanggan yang berbeza daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan fleet berskala kecil, hingga kepada pengendali logistik berskala besar.

Seiring ekosistem fleet yang semakin kompleks, pengendali memerlukan keterlihatan yang lebih jelas terhadap perbelanjaan, kawalan yang lebih kukuh, serta data yang boleh digunakan secara masa nyata. Apabila data pembayaran terpisah dalam sistem yang berasingan, ia mewujudkan titik buta yang mengehadkan kecekapan dan pengoptimuman termasuk kesukaran menyatukan transaksi bahan api, penyelenggaraan dan pengecasan kenderaan elektrik (EV) dalam satu platform, atau menyukarkan pengurus mengenal pasti ketidakwajaran di sepanjang laluan operasi. Mastercard Fleet: Next Gen menyatukan data pembayaran dan menukarkannya kepada maklumat yang boleh ditindaklanjuti, yang diintegrasikan terus ke dalam aliran kerja pengurusan fleet.

Asia Pasifik merupakan rantau yang berkembang paling pesat bagi pengurusan fleet, dengan pasaran diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 18% sehingga tahun 2030. Dalam tempoh yang sama, pengendali terus berdepan tekanan kos, keperluan kelestarian yang semakin ketat serta jangkaan tinggi terhadap aspek keselamatan dan pematuhan. Dalam persekitaran ini, keupayaan untuk mengakses data pembayaran yang konsisten dan diperkaya merentasi semua aktiviti fleet adalah penting bagi menyokong skala operasi dan prestasi jangka panjang.

Disokong oleh lebih dua dekad kepakaran global dalam bidang fleet, Mastercard Fleet: Next Gen menghimpunkan satu set penyelesaian yang direka untuk menyokong keperluan pengendali fleet dan pengeluar kad yang sentiasa berkembang, termasuk:

  • Penerimaan global di berjuta-juta lokasi, merangkumi pembelian bahan api, pengecasan EV, penyelenggaraan, tol dan perbelanjaan sokongan fleet lain
  • Data fleet berasaskan rangkaian yang direkodkan di tempat jualan, selaras dengan piawaian global
  • Penyelesaian khusus pasaran yang membolehkan pengumpulan data yang dipertingkatkan di stesen minyak dan peniaga berkaitan fleet
  • Kad fleet yang diperuntukkan dan dikeluarkan secara digital untuk kenderaan atau pemandu bagi pembayaran tanpa sentuh atau mudah alih, termasuk penyelesaian kad maya khusus untuk kegunaan fleet
  • Integrasi dengan teknologi sedia ada seperti platform mobiliti, rangkaian pemeroleh dan alat pengurusan fleet

Menurut Anouska Ladds, Ketua Pembayaran Komersial & Aliran Pembayaran Baharu Asia Pasifik, Mastercard, “Keperluan fleet di Asia Pasifik sangat berbeza-beza, dan penyatuan pembayaran, data serta kawalan dalam satu pengalaman mencerminkan keperluan sebenar pengurus fleet. Penyelesaian fleet Mastercard direka untuk membantu pengeluar kad fleet dan penyedia pembayaran khusus membawa keupayaan fleet termaju ke pasaran dengan lebih pantas, sambil mengurangkan kerumitan dan pelaburan yang biasanya diperlukan untuk membangunkan keupayaan tersebut.”

Mastercard membolehkan pemilik program fleet menyediakan:

  • Kawalan kelulusan dan dasar perbelanjaan yang lebih pintar mengikut kenderaan, pemandu, kategori peniaga, lokasi, masa dan amaun
  • Pengurusan data fleet bagi menyokong pematuhan, perakaunan dan analitik seterusnya membolehkan pengurusan kos yang lebih baik serta ramalan yang lebih tepat
  • Pemantauan penipuan dan penyalahgunaan secara masa nyata yang boleh disesuaikan dengan keperluan operasi fleet

Pelancaran rangkaian penyelesaian fleet terbaharu Mastercard di Asia Pasifik ini memperluaskan lagi tawaran syarikat dalam segmen penting ini, di samping memperkukuh kepakaran dan inovasi Mastercard dalam bidang fleet dan mobiliti di peringkat global. Langkah ini juga mencerminkan komitmen Mastercard untuk mempermudah pembayaran B2B dengan menghubungkan aliran komersial yang terpecah-pecah melalui satu infrastruktur yang dipercayai, sekali gus membantu perniagaan daripada pelbagai saiz berkembang dalam persekitaran operasi yang semakin kompleks.