Dah Kenapa Pusat Pungutan Zakat Anjur Seminar Saham?

“Zakat ini memberikan kesuburan kepada harta yang ada. Jadi kami menyeru kepada mereka yang berkewajipan menunaikan zakat itu untuk tampil ke hadapan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Tuan Mohd Rais Alias kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pelaburan Mega 2017 (Kewangan, Saham & Hartanah) yang berlangsung di Putrajaya pada 6 Mei lepas.

Program yang dihadiri 1,500 peserta itu adalah kesinambungan daripada seminar pada tahun lepas, hasil kerjasama Asri Ahmad Academy, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Bursa Marketplace, Koperasi Remisier Bumiputra Berhad, Perbadanan Putrajaya dan 9 Equity Wealth Creations.

Mentor pelaburan yang juga ikon Bursa Marketplace (sebahagian Bursa Malaysia), Tuan Hj. Mohd Asri Ahmad berharap seminar itu akan memberi pendedahan mengenai cara melabur yang betul, memandangkan masih ramai masyarakat Islam di negara ini yang tertipu dengan skim-skim haram.

Sekian laporan berita yang dipetik dari Sinar Harian.

Kolaborasi Pusat Pungutan Zakat

Logiknya Pusat Pungutan Zakat berminat menganjurkan seminar pelaburan ini supaya lebih masyarakat Islam di negara kita celik ilmu kewangan, pelaburan saham & hartanah.

Bila dah celik barulah dapat perbaiki ekonomi seterusnya dapat memberi semula (zakat) kepada masyarakat yang memerlukan. Sebab itu Islam tak melarang pun umatnya untuk mencari harta.

Pendek kata dunia dapat, akhirat juga dapat.

Kami menjadi saksi, dewan memang penuh dari pagi sampai ke petang.

Respek!

Ini menunjukkan masyarakat mula sedar dan nak mengubah kepada kehidupan yang lebih baik.

Banyak perkara yang nak dikongsi bersama pembaca Majalah Labur hasil dari seminar ini, doakan kami diberi kesempatan waktu untuk menceritakannya di artikel yang seterusnya.

Semasa sesi pagi, kami tertarik dengan penyampaian Ustaz Hj. Ahmad Husni Abdul Rahman, wakil speaker dari Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) yang berjaya melelehkan air mata para peserta seminar.

Berikut merupakan petikan ucapan beliau.

“Kita sebenarnya rindukan kebaikan.

“Kita sebenarnya orang baik-baik.

“Kita akan seronok dan gembira andai kebaikan yang kita lakukan kembali kepada kita.

إِنْ أَحْسَنْتُمْ أَحْسَنْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ
“Jika kamu berbuat baik maka kamu berbuat baik kepada dirimu sendiri…”

(Q.S: al-Isra’: 7)

“Apa yang kau belanjakan, Allah akan ganti. Tidak percayakah kita kepada-Nya? Dia yang Maha Pemurah, Dialah yang akan mengganti.

“Kekayaan itu harus dikongsikan bersama. Kaya kita ada makna, kaya kita ada erti, kaya kita ada maksud.

“Jika kita tidak ada apa-apa untuk diberi, ianya bukan salah sesiapa. Tiada kuasa magikal yang boleh mengubah itu semua melainkan diri kita sendiri.

Tonton video live beliau di sini (sila sediakan tisu):

Rezeki kita lain-lain.

Ada orang rezeki dia, dapat kahwin awal dan settle down.
Ada orang rezeki dia, ada wang yang tujuh keturunan pun tak akan habis.
Ada orang rezeki dia, ada anak-anak yang baik, yang sedang hafaz Al Quran.
Ada orang rezeki dia, dapat solat di masjid setiap waktu.
Ada orang rezeki dia, cukup makan dan pakai setiap hari.
Ada orang rezeki dia, bisnes maju dan bertambah maju.
Ada orang rezeki dia, ahli keluarga masih ada di sisi.
Ada orang rezeki dia, ada rumah yang selesa didiami.

Carilah Allah dalam mencari rezeki yang berkat.

Zakat itu wajib, sedekah itu sunat. Utamakan kehendak Allah, inshaAllah rezeki sangat mudah sampai kepada kita dalam semua perkara.

Previous ArticleNext Article

7 Strategi Realistik Capai Kesenangan Hidup Masa Hadapan

Kesenangan hidup sering disalah tafsir sebagai kemewahan atau kemapanan kewangan yang luar biasa. Namun, kesenangan yang sebenar ialah kebebasan untuk membuat pilihan hidup yang sejajar dengan nilai diri sendiri, tanpa tekanan luar, dan dengan ketenangan yang stabil.

Berikut adalah tujuh strategi yang bukan sekadar teori klise, tetapi langkah praktikal dan berimpak tinggi untuk anda yang serius mahu membina masa depan yang lebih tenang dan tersusun.

1. Pilih Gaya Hidup Berdasarkan Nilai, Bukan Trend

Ramai orang hidup mengejar status sosial atau pengiktirafan masyarakat, tanpa sedar mereka sedang menggadai ketenangan sebenar. Contohnya, membeli rumah besar semata-mata kerana orang lain melakukannya, atau melancong untuk dipaparkan di media sosial, bukan kerana ia memenuhi keperluan jiwa sendiri.

Kesenangan bermula apabila kita hidup berdasarkan prinsip dan keutamaan peribadi, bukan tekanan sosial.

Tindakan penting:

Tanya diri sendiri, “Apakah erti hidup senang bagi saya secara peribadi?”

Gunakan jawapan itu sebagai asas untuk membuat keputusan kewangan dan gaya hidup.

2. Bina Pendapatan Yang Tidak Bergantung Pada Masa dan Tenaga Diri

Masa depan yang tenang bermula apabila duit bekerja untuk kita, bukan hanya kita yang bekerja untuk duit. Ini bukan bermakna berhenti kerja, tetapi mula membina sekurang-kurangnya satu sumber pendapatan yang boleh menjana hasil tanpa perlu kehadiran fizikal kita setiap masa.

Antara contoh:

– Pelaburan hartanah yang memberi hasil sewaan

– Produk digital seperti eBook, kursus atau template

– Saham patuh syariah yang konsisten beri dividen

Matlamat utama: Kurangkan kebergantungan sepenuhnya pada gaji tetap.

3. Bina Sistem Hidup Yang Terurus dan Automatik

Kesenangan tidak semestinya datang daripada lebih banyak usaha, tetapi daripada sistem yang membantu kita mengurus hidup dengan lebih baik.

Contohnya:

– Bahagikan gaji secara automatik ke lima akaun berasingan: keperluan, simpanan, pelaburan, sumbangan, dan hiburan

– Guna aplikasi untuk memantau bajet, tabiat, atau penggunaan masa

– Jadualkan hari rehat dan refleksi kehidupan setiap tiga bulan

Hidup yang tersusun menjadikan minda lebih lapang dan tekanan lebih terkawal.

4. Gunakan Kaedah Perspektif 10-10-10 Untuk Buat Keputusan Besar

Setiap keputusan besar dalam hidup wajar dinilai dengan perspektif jangka panjang. Tanya soalan ini sebelum buat keputusan besar:

“Apa kesan keputusan ini dalam 10 hari, 10 bulan, dan 10 tahun akan datang?”

Contoh aplikasi:

– Pilih kerjaya berdasarkan potensi jangka panjang, bukan hanya gaji semasa

– Nilai kesan berpindah tempat tinggal terhadap keluarga dan kesihatan

– Tentukan bila masa sesuai untuk membeli rumah atau terus menyewa

Perspektif yang jauh mengurangkan risiko penyesalan besar dalam hidup.

5. Asah Satu Kemahiran Unik Yang Relevan Sepanjang Hayat

Tidak semua kemahiran dicipta sama. Pilih satu kemahiran yang:

– Jarang dimiliki ramai

– Tinggi nilai di pasaran

– Anda minat dan sanggup asah dalam jangka masa panjang

Contohnya: penulisan strategik, pengaturcaraan (coding), komunikasi pitching, analisis kewangan, atau jualan produk bernilai tinggi.

Kemahiran yang tepat boleh membuka pintu kepada lebih banyak peluang dan menjadikan anda lebih bebas untuk memilih projek, bukan terikat pada kerja semata-mata.

6. Latih Diri Untuk Tahan Ketidakselesaan Sementara

Kebebasan masa hadapan memerlukan disiplin untuk menanggung ketidakselesaan sekarang. Ini termasuk:

– Belajar tentang pelaburan walaupun terasa mencabar

– Menolak tawaran kerja dengan gaji tinggi jika tidak selari dengan nilai hidup

– Menangguhkan pembelian besar demi simpanan atau pelaburan

Sikap ini membina ketahanan kewangan dan emosi, asas penting untuk kestabilan jangka panjang.

7. Sediakan Pelan Hidup Untuk Situasi Luar Jangka

Dalam dunia yang tidak menentu, kita perlu bersedia untuk menghadapi situasi yang tidak dirancang. Bina pelan fleksibel jika:

– Anda kehilangan kerja secara tiba-tiba

– Ibu bapa jatuh sakit dan memerlukan penjagaan

– Kesihatan anda menghalang kemampuan untuk bekerja

Rancang dana kecemasan, pelan insurans, dan struktur sokongan awal. Ini bukan semata-mata soal kewangan, tetapi membina ketenangan bila menghadapi ujian.

Jadi, kesenangan hidup sebenar bukan terletak pada jumlah harta atau kemewahan yang dipamerkan. Ia terletak pada sejauh mana kita bebas membuat pilihan hidup yang sejajar dengan nilai dan keutamaan diri sendiri, walaupun dunia berubah. Ia tentang rasa cukup, bukan semata-mata memiliki banyak.

Dengan strategi yang betul, konsisten dalam tindakan dan pemikiran yang jelas, kesenangan masa hadapan bukan mustahil ia hanya menunggu untuk dibina, satu hari demi satu hari.