Richard Montanez: Ikuti Kisah Seorang Tukang Cuci Menjadi Jutawan

Setiap orang mempunyai kisah perjalanan hidup yang tersendiri. Bukan semua orang mempunyai perjalanan hidup yang lancar di peringkat awal. Ada yang bermula dengan penuh kepayahan tetapi akhirnya menjadi insan yang sangat berjaya. Itulah yang berlaku pada seorang individu yang bernama Richard Montanez.

Anda semua mesti tak tahu siapa Richard Montanez kan? Beliau merupakan naib presiden pemasaran dan promosi PepsiCo bagi Amerika Utara. Kalau anda nak tahu, Montanez tak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi untuk memegang jawatan tersebut.

Tetapi beliau mempunyai idea membangunkan produk dan sistem yang baru. Inilah yang menjadikan beliau seorang yang istimewa.

Montanez berasal dari sebuah keluarga imigran yang berasal dari Mexico dan menetap disebuah bandar kecil yang terletak di Ontario, California. Dia serta adik beradiknya yang lain seramai 10 orang terpaksa tinggal berhimpit di rumah yang mempunyai satu bilik sebelum mereka sekeluarga berpindah ke rumah tiga bilik yang berukuran 800 kaki persegi.

Di sekolah pula, Montanez tidak mempunyai kawan kerana dia tidak tahu berbahasa Inggeris. Pernah satu ketika dia ingin makan bekal burrito iaitu makanan Mexico sewaktu rehat.

Semua kanak-kanak disitu memandang ke arahnya. Ini kerana sekitar tahun 1960-an, masyarakat Amerika masih belum terbiasa dengan makanan asing.

Kerana malu, Montanez menyimpan kembali bekal tersebut dan pergi bersembunyi di tempat lain. Di rumah, Montanez meminta ibunya untuk membuat bekal sandwich serta kek cawan seperti rakan-rakan sekolahnya yang lain.

Tetapi ibunya memberikan bekal 2 biji burrito serta menyuruhnya untuk mencari kawan baru. Pada minggu itu Montanez yang berusia tujuh tahun telah menjadi peniaga cilik dengan menjual burrito kepada rakan-rakannya dengan harga 25 sen sebiji.

Dari situ Montanez telah mempelajari sesuatu yang penting iaitu, tidak salah kalau kita berbeza dengan orang lain. Ada sebab mengapa kita dilahirkan berbeza. Inilah yang membentuk jati diri Montanez.

Disebabkan beliau mempunyai kesukaran dalam pembelajaran kerana tidak mahir berbahasa Inggeris, Montanez berhenti daripada persekolahannya. Dia mula melakukan pelbagai jenis kerja untuk mendapatkan pendapatan seperti menjadi tukang kebun dan penyembelih ayam sebelum bekerja sebagai seorang tukang cuci di kilang Frito Lay.

Pada suatu hari mesin membuat keropok di situ rosak jadi perencah tidak dapat menyaluti keropok Cheetos. Montanez kemudiannya membawa pulang keropok tersebut untuk melakukan sedikit eksperimen makanan.

Dirumah, beliau menyediakan cili, keju, butter dan juga limau. Resepi ini diinspirasikan daripada peniaga jagung jalanan. Keluarga serta rakan-rakan Montanez menyukai rasa Cheetos yang baharu ini.

Montanez kemudiannya memberanikan diri untuk menghubungi CEO syarikat tersebut, Roger Enrico. Pada waktu itu dia tidak tahu yang dia tidak sepatutnya melakukan perkara tersebut.

Iyalah, dia cuma seorang tukang cuci. Tetapi pembantu kepada Enrico masih menyambungkan talian tersebut kepada Enrico walaupun Montanez mengatakan bahawa dia seorang tukang cuci.

Enrico berminat untuk mendengar idea daripada Montanez dan memberi masa kepadanya selama 2 minggu untuk bersedia dengan pembentangan. Montanez pada waktu itu tidak mempunyai seutas tali leher ketika itu, terus membeli tali leher yang berharga $3 dolar.

Beliau turut ke perpustakaan untuk meminjam buku-buku perkaitan dengan pemasaran sebagai persediaaan untuk pembentangan nanti.

Dipendekkan cerita Enrico menyukai idea serta resepi baru Montanez. Jadi rangkaian produk baru yang diberi nama Flaming mula diperkenalkan, Dari situ hidup Montanez mulai berubah.

Daripada seorang tukang cuci, beliau telah naik sedikit demi sedikit sehingga dilantik menjadi salah seorang naib presiden eksekutif untuk PepsiCo.

Pengalaman yang luar biasa dalam bidang pemasaran juga telah melayakkan beliau untuk berkongsi ilmu dengan menjadi tenaga pengajar di sebuah universiti.

Semua ini tentunya tidak akan berlaku kalau beliau tidak memberanikan diri untuk menghubungi CEO syarikat tersebut bukan?

Kita juga dapat melihat peranan pihak atasan syarikat dalam kes ini. Sekiranya mereka tidak memberi peluang kepada Montanez untuk berkongsi idea, pastinya jenama Flaming Hot tidak akan muncul dan menjadi kegilaan rakyat Amerika.

Jadi, jika anda mempunyai idea yang baik, jangan sia-siakan idea tersebut. Cubalah untuk merealisasikan idea tersebut.

Jangan mudah untuk berputus asa dan yakinlah pada diri sendiri.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.