4 Cara Untuk Bantu Anda Berjimat

Berjimat cermat adalah amalan yang mulia. Namun, tidak semua orang mampu untuk berjimat dan mengawal nafsu berbelanja. Kami pun selalu mengingatkan para pembaca tentang amalan ini. Maklumlah manusia fitrahnya mudah lupa.

Kita sebenarnya ada dua pilihan, sama ada untuk berjimat atau untuk menambah pendapatan. Ada yang telah pun melakukan 2-3 pekerjaan, maka langkah seterusnya adalah untuk mengurangkan perbelanjaan.

Jom kita tengok beberapa cara yang boleh membantu kita untuk berjimat.

1. Amalkan DIY

Janji anda kreatif dan rajin mencari idea, pastinya anda mampu membuat penjimatan yang berkali ganda. Konsep DIY ini bagus untuk mengurangkan kos-kos yang diperlukan sekiranya anda mengupah orang lain untuk melakukannya.

Zaman sekarang hampir semua benda ada di YouTube untuk kita lihat dan amalkan. Tandas rosak, boleh baiki sendiri. Kipas rosak, boleh baiki sendiri.

Bukan setakat baikpulih saja, boleh juga berjimat daripada membeli sesuatu yang baru. Sebagai contoh, ada tutorial untuk buat rak kasut sendiri atau almari sendiri pun ada.

Di samping dapat belajar kemahiran baru, banyak juga dapat berjimat dengan melakukannya secara DIY.

2. Banyakkan Meminum Air Kosong

Kita sendiri sedia maklum bahawa air kosong adalah bagus untuk kesihatan tubuh badan berbanding air manis. Tidak salah jika memesan air kosong semasa minum di kedai atau dibawa bekal ke tempat kerja.

Bayangkan jika anda memesan air manis yang harganya RM2 untuk segelas, berbanding harga air kosong yang hanya RM0.20 segelas. Itu baru sekali, kalau berkali-kali minum dalam masa sehari? Mana lebih menjimatkan?

Badan pun sihat apabila kurang meminum air manis, banyak penyakit juga dapat dielakkan.

3. Kurangkan Penggunaan Aircond

Jika anda keluar ke tempat kerja dengan menaiki kereta pada waktu pagi, sebaiknya tak perlu menggunakan aircond. Ada baiknya juga menghirup udara segar pada waktu pagi.

Badan dan minda juga akan menjadi lebih cergas dengan udara luar berbanding menggunakan aircond. Sambil-sambil itu, penggunaan minyak juga dapat dijimatkan.

Jika anda menggunakan aircond di rumah, pastikan hanya gunakannya pada waktu malam ketika ingin tidur. Itu pun boleh set timer 2-3 jam, kerana cuaca akan kekal sejuk sepanjang malam.

Tidur akan jadi lebih nyenyak dan takde terkejut sangat apabila terima bil elektrik setiap bulan. Cubalah.

4. Bijak Berbelanja

Memang mustahil untuk kita tidak mengeluarkan duit langsung. Tetapi untuk perbelanjaan seperti barang dapur dan keperluan makanan dan minuman, boleh amalkan penggunaan baucar beli-belah untuk dapatkan penjimatan dan diskaun.

Atau boleh juga pesan barang secara online kerana biasanya harga barang adalah lebih murah. Kita juga dapat mengelakkan diri daripada terbeli benda yang tak diperlukan apabila ke pasaraya.

Tapi kalau nak pergi juga ke pasaraya, boleh tetapkan untuk keluar shopping sebulan sekali. Tapi sebelum nak pergi, rajin-rajinlah untuk membuat perbandingan pasaraya mana yang menawarkan harga yang paling menarik.

Dan jangan lupa tulis senarai barangan yang diperlukan dan beli ikut bajet yang telah pun ditetapkan

Atau pun jika ada masalah duit simpanan yang selalu bocor, dan nak pastikan duit simpanan bertahan lama, simpanlah tunai cukup sekadar 3 – 6 bulan pendapatan. Selebihnya lebih baik disimpan dalam bentuk emas. Modal untuk mula menyimpan emas pun dah murah sangat sekarang.

Mula dengan RM5 pun boleh sekarang! Nak tahu caranya? Baca lagi JOM BELI EMAS UNTUK MASA DEPAN YANG LEBIH TERJAMIN

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Funding Societies Lancar Penyelesaian Pembiayaan Islam Komprehensif

Penyelesaian Pembiayaan Islam merangkumi produk Pembiayaan Mikro-i, Pembiayaan Invois-i dan Pembiayaan Perniagaan-i yang menyasarkan pelbagai segmen PMKS

KUALA LUMPUR, 30 Mei 2023 – Funding Societies, platform kewangan digital PKS bersepadu terbesar di Asia Tenggara, telah melancarkan koleksi produk pembiayaan komprehensif patuh Syariah bagi memenuhi keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berkelayakan kredit namun terpinggir bagi mendapatkan kemudahan kredit untuk mengembangkan perniagaan mereka. Perkhidmatan pembiayaan Islam ini merangkumi Pembiayaan Perniagaan-i (Business Term Financing-i), Pembiayaan Mikro-i (Micro Financing-i), dan Pembiayaan Invois-i (Invoice Financing-i).

“Kemudahan kredit adalah penting untuk pembangunan dan perkembangan PKS secara inklusif dan mampan. Di Malaysia sahaja, jurang pembiayaan PKS sedia ada berjumlah RM90 bilion. Oleh sebab itu, platform pembiayaan PKS seperti Funding Societies memainkan peranan penting bagi merapatkan jurang tersebut. Kedudukan Malaysia sebagai peneraju pembiayaan Islam adalah berketepatan untuk memperkasakan tawaran pembiayaan patuh Syariah kami bagi menyokong pembangunan PKS Malaysia,” kata Wong Kah Meng, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan bagi Funding Societies | Modalku dan Pengasas Bersama Funding Societies Malaysia.

Chai Kien Poon, Ketua Negara Funding Societies Malaysia berkata, “Berdasarkan maklum balas pasaran, terdapat permintaan terhadap pembiayaan kewangan patuh Syariah daripada para usahawan. Pada masa yang sama, kewangan Islam juga mendapat perhatian kerana penekanannya ke atas keadilan dan ketelusan terutama bila melibatkan yuran dan caj. Selain itu, pengenalan Pembiayaan Islam kami adalah sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk terus menerajui kewangan Islam serta memberikan tumpuan kepada ekonomi digital dan Teknologi Kewangan (FinTech) Islam.”

PKS yang berminat boleh membuat permohonan secara dalam talian dengan mudah, di mana-mana dan pada bila-bila masa. Menerusi pendekatan digital dan tanpa memerlukan sebarang jaminan Funding Societies turut menyediakan PMKS pembiayaan pada kadar yang lebih cepat berbanding institusi kewangan tradisional hasil daripada.

“Selain pelancaran pembiayaan Islam ini, kami juga telah membangunkan produk pelaburan patuh Syariah untuk para pelabur kami. Produk ini membolehkan mereka untuk mempelbagaikan pelaburan mereka dengan menyokong PMKS tempatan. Kami turut

menyaksikan permintaan memberangsangkan daripada para pelabur yang merangkumi pelabur runcit, individu kaya dan institusi. Lanjutan daripada itu, kami berharap untuk bekerjasama dengan institusi-institusi kewangan bagi menawarkan pelaburan patuh Syariah kepada pelanggan mereka,” tambah Chai.

Khairil Anuar Mohd Noor, Prinsipal, Masryef Advisory, yang turut hadir pada majlis pelancaran di Kuala Lumpur, berkata, “Kami amat berbesar hati untuk terlibat dalam inisiatif Funding Societies ini yang akan menyumbangkan kepada sektor pembiayaan Islam di Malaysia. Kami percaya bahawa melalui produk pembiayaan patuh Syariah oleh platform pembiayaan digital tersebut, lebih banyak PMKS akan dapat memperoleh dana melalui  pembiayaan alternatif untuk kelangsungan perniagaan mereka. Pada masa yang sama, ini turut menyediakan peluang pelaburan aset patuh Syariah alternatif. Kerjasama ini turut membolehkan kami menggabungkan kehebatan teknologi Funding Societies dengan kepakaran kami dalam perkhidmatan nasihat Syariah. Ini seterusnya akan memacu pertumbuhan inklusif serta melebarkan lagi potensi kewangan Islam untuk pembangunan ekonomi Malaysia secara mampan.”

Funding Societies telah beroperasi di Malaysia sejak tahun 2016 dan telah menyediakan pembiayaan kepada sejumlah besar PKS. Platform FinTech ini telah mengagihkan pembiayaan lebih daripada RM2 bilion sejak Funding Societies beroperasi di Malaysia. Manakala lebih daripada RM13.74 bilion telah diagihkan platform pembiayaan PKS itu di rantau Asia Tenggara merangkumi  lebih daripada 5.1 juta transaksi setakat tahun 2022. Sambutan memberangsangkan berikutan pelancaran peringkat awal pada Mei 2022 mendorong kepada pelancaran penyelesaian pembiayaan hari ini. Platform FinTech ini turut menyasarkan untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 50% agihannya terdiri daripada pembiayaan patuh Syariah menjelang 2025.

Untuk maklumat lanjut tentang penyelesaian Pembiayaan Islam Funding Societies Malaysia, sila layari https://fundingsocieties.com.my/islamic-financing.