4 Sebab Utama Kejatuhan Ringgit Malaysia Selepas Pilihanraya Umum Ke-14

Prestasi Ringgit terus merudum selepas pilihanraya umum ke-14 pada 9 Mei 2018. Jika dilihat secara besar, Ringgit mula merosot sejak daripada awal bulan April lagi iaitu sebulan sebelum pilihanraya umum diadakan.

Kenapa Nilai Ringgit Merosot Selepas PRU Ke-14?

Ada empat sebab utama yang yang kita akan perhalusi untuk mendapatkan gambaran sebenar mengapa Ringgit Malaysia telah merosot dengan banyaknya dalam masa beberapa bulan saja.

Dan pada kebiasaannya, nak tahu RInggit sedang mengukuh atau melemah, kita bandingkan Ringgit Malaysia dengan Dolar Amerika Syarikat disebabkan status matawang ini sebagai rizab matawang asing utama dunia.

Tren kejatuhan Ringgit Malaysia. Sumber: Investing.com

Ringgit mula merosot sejak sebelum pilihanraya lagi dan jelas dilihat sejak pada 3 April 2018 berikutan kebimbangan pelabur terhadap hasil pilihanraya. Hal ini menyebabkan pelabur mengambil langkah berhati-hati dengan membawa keluar modal pelaburan mereka menjelang pilihanraya.

Nampaknya kelemahan Ringgit tidak hanya terhenti di situ, ia jelas dilihat selepas hari pertama pasaran dibuka pada 14 Mei 2018.

Ringgit pada mulanya melemah pada 14 Mei disebabkan reaksi awal terhadap keputusan pilihanraya dengan pasaran biasanya melihat peralihan pentadbiran kerajaan boleh menghasilkan ketidaktentuan polisi. Namun, Ringgit menguat semula pada hari tersebut dengan pasaran dilihat yakin dengan ketelusan kerajaan baru dalam membawa ekonomi menjadi lebih baik.

Walaubagaimanapun, nilai Ringgit merosot selama enam bulan berturut-turut selepas pilihanraya umum khususnya berbanding Dolar AS.

Apa yang menyebabkan kejatuhan Ringgit ini? Bukankah kerajaan Pakatan Harapan dilihat lebih telus? Mari kita bincangkan dengan lebih mendalam.

1. Ketidaktentuan (Uncertainty) Polisi Kerajaan Baru

Selepas daripada 14 Mei, Ringgit melemah secara konsisten sehingga minggu ketiga bulan November 2018. Di antara sebabnya adalah ketidaktentuan polisi dan ekonomi di Malaysia secara keseluruhannya.

Sekejap ada projek mega yang dibatalkan, ada yang ditangguhkan, ada yang disemak semula.

Daripada segi ketidaktentuan polisi, ramai dari kalangan pemain pasaran yang bimbang dengan perubahan polisi daripada pentadbiran Najib Razak kepada Tun Dr. Mahathir. Kebimbangan pasaran ini menjadi kenyataan dan jelas dapat dilihat dengan kejatuhan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sehingga menutup kenaikan sepanjang tahun ini.

Sumber: Trading View

Kebimbangan pelabur terhadap peralihan pentadbiran kerajaan bukanlah satu perkara yang asing, tetapi ia adalah satu perkara biasa berlaku. Contohnya, semasa pilihanraya Presiden Amerika Syarikat, Perancis dan United Kingdom di mana indeks saham dan matawang tertekan disebabkan ketidaktentuan polisi, politik dan juga Brexit yang hangat diperkatakan.

2. Perang Perdagangan Amerika Syarikat-China

Seterusnya, umum tahu isu perang perdagangan di antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia iaitu Amerika Syarikat dan China. Perang perdagangan AS-China ini telah bermula sejak Januari 2018 apabila Presiden Trump mengenakan tarif 30% terhadap panel solar dari luar negara, dimana China adalah pengeluar terbesar dunia barangan tersebut.

Sejak daripada itu, perang dagang kedua-dua negara berlanjutan dan semakin tegang sehingga hari ini dan masing-masing berbalas serangan tarif import dan juga retorik.

Wall Street mencapai paras tertinggi sekitar bulan September dan sejak itu ketiga-tiga indeks utama Amerika Syarikat, Dow Jones, S&P 500 dan Nasdaq berada dalam tren penurunan sekaligus memberi kesan negatif kepada keseluruhan pasaran saham dunia termasuk China dan Malaysia.

3. Pengukuhan Dolar Amerika Syarikat

Kelemahan Ringgit sejak tujuh bulan yang lalu bukan sahaja disebabkan oleh faktor ketidaktentuan polisi dan politik di Malaysia, tetapi juga faktor pengukuhan Dolar AS secara keseluruhan.

Tren kenaikan indeks Dollar AS. Sumber: Investing.com

Ada beberapa faktor pengukuhan Dolar AS sejak April lalu. Pertama, potensi kenaikan kadar faedah Federal Reserve (Bank Pusat Amerika) yang lebih tinggi, kedua kelemahan matawang Euro dan ketiga adalah faktor ketidaktentuan politik dan geopolitik dunia.

Potensi kenaikan kadar faedah semakin tinggi selepas data-data ekonomi Amerika Syarikat merekodkan bacaan yang memberangsangkan khususnya sejak dua bulan lalu. Data ekonomi seperti inflasi dan data pekerjaan yang menjadi tumpuan Federal Reserve, merekodkan bacaan yang positif dari bulan ke bulan sejak April; seterusnya meningkatkan jangkaan terhadap bank pusat itu untuk menaikkan kadar faedahnya sebanyak empat kali pada tahun ini.

Untuk pengetahuan anda, peningkatan kadar faedah secara langsung memberi kesan kepada pengukuhan Dolar AS kerana hasil pelaburan yang semakin tinggi di Amerika Syarikat khususnya dalam pasaran bon Amerika Syarikat. Hal ini menjadikan pelaburan ke Amerika Syarikat tampak lebih menarik berbanding beberapa negara ekonomi utama yang lain, lebih-lebih lagi The Fed dalam fasa pengetatan polisi monetari.

Peningkatan kadar faedah lebih jelas dilihat dalam pengumuman polisi monetari The Fed baru-baru ini yang mana menunjukkan kadar faedah berkemungkinan dinaikkan empat kali pada 2018 berbanding unjuran awal The Fed iaitu hanya tiga kali sahaja.

Kejatuhan matawang Euro telah memberi ruang yang lebih besar untuk US dollar menguat kerana faktor kedua-dua matawang yang merupakan rizab matawang utama dunia. Kejatuhan Euro telah menyebabkan pasaran beralih kepada US dolar sebagai rizab asing utama kerana, kedudukan matawang greenback yang lebih stabil.

Kelemahan matawang Euro sejak akhir-akhir ini disebabkan oleh ketidaktentuan politik Eropah khususnya di Itali dengan masalah fiskal mereka. Kedua, adalah ketidaktentuan data terkini ekonomi Eropah dan juga ketidaktentuan Brexit yang secara tidak langsung memberi kesan kepada Kesatuan Eropah.

Ketidaktentuan politik dan geopolitik seperti yang berlaku di Eropah dan perang perdagangan AS-China menjadikan US dollar terus menguat. Hal ini kerana matawang greenback (USD) juga adalah aset selamat (safe-haven) kerana statusnya sebagai rizab matawang terbesar dunia. Disebabkan peralihan pasaran global kepada US dollar ia sekaligus telah menekan matawang Ringgit.

4. Kejatuhan Harga Minyak Mentah Dunia

Faktor terkini yang perlu kita ambil kira kepada kejatuhan Ringgit juga adalah kejatuhan harga minyak mentah dunia, iaitu komoditi utama yang menyumbang kepada hasil pendapatan negara Malaysia.

Kejatuhan harga minyak jelas dilihat dalam tempoh daripada Oktober ke November.

Tren kejatuhan harga minyak mentah dunia. Sumber: Investing.com

Penurunan harga minyak mentah secara langsung mengurangkan hasil negara daripada industri minyak dan gas. Secara teori, ia menjadikan kurangnya aliran masuk matawang asing hasil daripada jualan minyak mentah Malaysia kepada negara luar.

Tren kejatuhan Ringgit Malaysia. Sumber: Investing.com

Oleh itu, jelas di sini beberapa fakor luaran seperti pengukuhan Dolar AS, kejatuhan harga minyak mentah dan perang perdagangan itu juga telah banyak memberi tekanan kepada Ringgit dan bukan hanya disebabkan faktor dalam Malaysia itu sahaja.

Kita berada dalam persekitaran pasaran dunia yang dinamik di mana banyak faktor boleh menggerakkan pasaran khususnya nilai tukaran matawang Ringgit.

Bahan Bacaan Tambahan

Tahniah, kerana anda telah sampai ke penghujung artikel yang sangat ‘heavy’ tetapi penuh dengan maklumat. Kalau berminat nak teruskan, jemput baca:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.