6 Ciri-Ciri Scam Bertopeng Pelaburan

Sekarang memang banyak scam. Ramai yang nak buat duit dengan cara yang cepat. Jadi kita kena berhati-hati supaya tidak mudah terpedaya. Kita harus bijak menentukan yang mana pelaburan yang betul dan yang mana yang tidak.

Jom kita tengok beberapa ciri-ciri pelaburan scam.

1. Menjanjikan Pulangan

Pelaburan yang betul-betul sah tidak akan berani menjanjikan keuntungan. Mungkin ada sesetengah jenis pelaburan seperti simpanan tetap dan pelan takaful yang menjanjikan pulangan tetapi hanya dalam kadar yang rendah.

Jika ada pelaburan lain yang boleh menjamin keuntungan, itu adalah satu peringatan untuk berjaga-jaga. Kita memang sentiasa memerlukan kepastian, tetapi dalam pelaburan, perniagaan mahupun kehidupan kita tidak pernah ada jaminan.

Kita harus menerima kenyataan ini bahawa ada risiko dan ganjaran dalam setiap apa yang kita lakukan.

2. Pulangan Yang Tidak Masuk Akal

Sudahlah berani menjanjikan pulangan, malah berani pula menjanjikan bulan dan bintang. Sebenarnya, berapa pulangan yang boleh dianggap sebgai tidak masuk akal? Berapakah pulangan yang dianggap sebagai kecil ataupun besar?

Satu kajian yang pernah dilakukan oleh Securities Commission (Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023) pada tahun 2018 telah menunjukkan sesuatu yang agak mengejutkan.

Para pelabur menganggap pulangan 12.4 peratus sebagai rendah, 24 peratus sebagai pulangan sederhana dan 42.9 peratus sebagai pulangan tinggi.

Hakikatnya, jika kita sudah sentiasa menjana sekitar 12.4 peratus pulangan yang dianggap sebagai rendah oleh pelabur Malaysia, sebenarnya kita sudah boleh dianggap sebagai pelabur yang berjaya. Kita juga boleh dianggap sebagai pengurus kewangan profesional dan sudah boleh muncul sebagai kolumnis di majalah dan surat khabar.

Jika kita boleh menjana 24 peratus setahun, sebenarnya kita adalah lebih baik daripada Warren Buffet. Jika boleh mendapat pulangan 42.9 peratus, Warren Buffet pun nak “berguru” dengan kita!

3. Perlu Merekrut Orang Lain Untuk Mendapatkan Pulangan

Skim pelaburan yang benar tidak memerlukan kita untuk merekrut orang lain sebelum mendapat pulangan. Itu adalah petanda skim piramid. Kenapa harus merekrut orang?

Bila difikirkan, kalau betul  hendak melabur duit, kita perlu memberi duit kita dan tunggu sahaja keuntungan. Tiada istilah “Kalau anda rekrut tiga orang, anda akan dapat pulangan 7.5 peratus”.

Ada juga yang meminta agar ahli-ahli upgrade level iaitu dengan membayar sejumlah wang. Modus operandi ini sama seperti skim ponzi. Duit yang baru dimasukkan tadi akan disalurkan kepada ahli-ahli yang lain.

4. Tiada Peraturan Dan Undang-Undang

Cara yang paling mudah untuk tidak terjebak dengan scam adalah buat pelaburan dengan skim yang berdaftar dan diuruskan oleh kerajaan sahaja. Mungkin ada segelintir daripada kita yang ingin membuat pelaburan luar negara seperti di bursa yang dimiliki oleh syarikat di Seychelles.

Tapi, kelompok ini tidaklah begitu ramai. Kebanyakan daripada kita tidak mempunyai waktu, ilmu dan kepakaran untuk memahami instrumen kewangan yang kompleks di luar negara.

Jadi, adalah lebih baik jika kita hanya memilih jalan selamat untuk melabur. Di Malaysia sahaja pun sudah ada banyak platform pelaburan yang diluluskan sama ada pasaran saham, bon, ETF, hartanah dan juga bitcoin.

Dengan adanya peraturan dan kelulusan ini, sekiranya sesuatu berlaku seperti kecurian wang atau data peribadi digodam, kerajaan boleh membantu kita.

5. Taktik Yang Tidak Beretika

Scam juga banyak menggunakan taktik jualan yang tidak beretika. Taktik yang mereka guna biasanya berkesan terutamanya kepada golongan yang kurang berkemampuan. Mereka mengambil kesempatan di atas kesempitan orang.

Antara taktik yang digunakan adalah tekanan sosial. Kita akan dibawa ke acara-acara “mewah” di mana semua orang berpakaian segak dan kemas. Pada masa itu, semua orang hendak jadi kawan kita.

Selepas itu, ada juga sesi melabur. Semua orang melabur, dan kita pastinya akan rasa terikut-ikut dan tidak mahu terlepas.

Selain daripada itu, ada juga yang menggunakan kaedah pujukan dan paksaan. Jika kita mengatakan tidak, mereka akan memujuk lagi sehingga kita bersetuju. Jika mereka tidak berjaya memujuk, akan ada orang-orang yang lebih “besar” memujuk dan memaksa kita untuk bersetuju.

6. Model Perniagaan Yang Tidak Masuk Akal

Ini adalah cara yang terakhir untuk kita menilai dan mengenali pelabur scam. Untuk mengenali model perniagaan scam memerlukan sedikit ilmu dan pengalaman. Lihat kepada struktur perniagaan mereka.

Jangan terpedaya dengan model yang kompleks kerana ia sengaja dibuat untuk membuatkan kita keliru.

Baca juga Cara Mengenal SCAMMERS Dan Skim Cepat Kaya Dengan Panduan Shariah

Ditulis oleh Abang Yazree Hazwan. Penulis merupakan seorang Eksekutif di sebuah syarikat penyelidikan pasaran di Malaysia. Mempunyai pengalaman dalam bidang insurans/reinsurans di syarikat reinsurans tempatan.

Sumber Rujukan: iMoney

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Penat Cari Duit, Akhirnya “Hangus” Untuk Bayar Cukai?

Pernah tak korang duduk depan laptop, tangan menggigil nak tekan butang submit e-Filing sebab tengok baki cukai kena bayar sampai beribu-ribu? Masa tu, segala rasa ralat dan tak puas hati muncul. Rasa macam “hangus” hasil titik peluh setahun.

Tapi, cuba korang tarik nafas kejap. Bayangkan senario ini:

Di satu sudut hospital kerajaan, ada seorang ayah yang buntu fikir kos bedah jantung anaknya yang mencecah RM50,000. Angka itu berpusing-pusing di kepalanya. Dia hanya seorang kerani biasa. Dia mula berkira-kira untuk tebalkan muka meminjam sana-sini. Air matanya gugur, bukan kerana sedih, tapi kerana rasa gagal sebagai seorang ayah.

Tapi bila dia pergi ke kaunter bayaran, kerani tu sambil tersenyum berkata, “Encik cuma perlu bayar RM1 sahaja.”

Ayah tadi terduduk, menangis syukur.

Tahu tak siapa yang “bayar” baki RM49,999 tu? Itulah duit cukai yang korang rasa “hangus” tadi.

Ada orang kata, “Alah, cukai aku bayar RM500 je setahun. Tak luak pun buat kerajaan. Kerajaan kan ada cukai korporat, cukai jalan, duti eksais, macam-macam lagi! Apa sangatlah duit cukai aku yang sikit ni?”

Memang betul, pendapatan negara datang dari pelbagai sumber. Tapi kena ingat, bajet negara ni ibarat satu puzzle gergasi. Cukai syarikat mungkin besar, tapi sumbangan dari cukai pendapatan individu adalah salah satu kepingan puzzle yang sangat kritikal.

Bila jutaan rakyat Malaysia “tong-tong” (berkongsi) membayar cukai individu, jumlahnya mencecah berbilion ringgit setahun!

Nak ikhlas bayar cukai ni bukan soal faham undang-undang, tapi soal faham kemanusiaan. Bila kita nampak yang duit tu sebenarnya tengah “memberi peluang kedua” kepada orang lain, “menyuap” nasi ke mulut anak yatim dan “menjaga” keselamatan mak ayah kita di kampung, saat itulah rasa berat hati tadi akan bertukar menjadi rasa bangga yang luar biasa.

Macam mana nak capai tahap ikhlas macam tu? Cuba renungkan 4 perkara ni:

1. Cukai Sebagai “Sijil Kejayaan”

Tukar mindset: Cukai bukan beban, tapi ia adalah bukti korang sudah berjaya. Hanya orang yang memiliki pendapatan melebihi paras tertentu sahaja yang layak membayar cukai.

  • Kalau kena bayar cukai RM5,000, bayangkan berapa banyak rezeki (pendapatan) yang Tuhan dah bagi sampai korang sampai ke tahap itu.
  • Ramai orang di luar sana teringin nak ada gaji setinggi itu. Kalau kena bayar banyak, maksudnya Tuhan dah amanahkan rezeki yang sangat besar tahun lepas. Bayar cukai adalah cara “mengalirkan” berkat tu supaya ia dapat dikongsi bersama.

2. Niatkan Sebagai “Sedekah Paksa”

Zakat itu wajib untuk asnaf, tapi cukai pula adalah sumbangan untuk kepentingan “keluarga besar” kita.

  • Bila bayar cukai, niatkan dalam hati: “Ya Allah, aku sedekahkan duit ini untuk kegunaan rakyat Malaysia.”
  • Bayangkan, duit itu digunakan untuk beli ubat bagi pesakit di hospital kerajaan atau beli buku teks untuk anak-anak sekolah. Selagi orang itu sembuh atau budak tu dapat ilmu, pahala jariah korang tetap mengalir walaupun tak kenal pun siapa mereka.

3. Melunaskan “Hutang”

Sedar atau tidak, kita semua “terhutang budi” dengan negara.

  • Kita belajar di sekolah dan universiti yang yurannya disubsidi.
  • Kita guna jalan raya, jambatan dan lampu jalan yang dibina sebelum kita lahir lagi.
  • Bayar cukai adalah cara kita membalas jasa dan memastikan generasi anak-anak kita nanti pun dapat nikmat yang sama. Kita bayar supaya manfaat ini tidak terhenti pada kita sahaja.

4. Membantu Golongan “Tengah” (M40)

Zakat hanya untuk golongan asnaf. Tapi macam mana dengan kawan-kawan kita yang “tak kaya tapi tak miskin” (M40)? Gaji mereka sedikit saja melepasi garisan asnaf, membuatkan mereka tidak layak menerima zakat, namun tidak cukup kaya untuk menanggung badai musibah yang datang secara tiba tiba. Mereka tak layak terima zakat, tapi kalau anak mereka masuk hospital, mereka sangat perlukan subsidi kerajaan.

Bayangkan kawan sepejabat. Anak mereka tiba-tiba jatuh sakit dan perlukan pembedahan segera. Simpanan tak seberapa, insurans pula ada hadnya. Di sinilah duit cukai korang muncul sebagai Superhero yang tidak didendang.

  • Duit cukai koranglah yang memastikan kawan itu hanya perlu membayar RM500 untuk pembedahan yang kos asalnya berjumlah RM50,000.
  • Duit cukai koranglah yang menghalang seorang ayah daripada berhutang keliling pinggang semata-mata nak menyelamatkan nyawa anaknya.

Bila bayar cukai, korang sebenarnya sedang menjaga maruah kawan-kawan dan jiran tetangga. Korang sedang memegang tangan mereka supaya tidak jatuh tersungkur ke lembah kemiskinan. Menolong mereka yang sedang sesak walaupun mereka bukan asnaf adalah satu amal jariah yang sangat agung dan mulia.

“Tapi… Takutlah Duit Kena Sakau Oleh Ahli Politik!”

Ini kerisauan paling besar kan? Kita penat-penat membanting tulang, tiba-tiba keluar berita berlaku ketirisan sana-sini. Rasa macam tak berbaloi nak bayar kalau hujung-hujung masuk poket orang yang tidak sepatutnya.

Tapi, cuba renungkan sudut pandang ni:

Dalam Islam, tanggungjawab kita adalah mematuhi peraturan demi kepentingan awam. Apabila kita membayar dengan niat untuk membantu rakyat, insha-Allah pahala itu sudah milik kita di sisi Tuhan.

Kalau ada tangan-tangan yang menyalahgunakan amanah itu, itu adalah dosa besar mereka di padang mahsyar nanti. Mereka yang akan menjawab, mereka yang akan menanggung azab.

Pahala kita takkan “disakau” oleh dosa mereka.

Jadi, jangan biarkan kemarahan kita kepada segelintir manusia membuatkan kita berhenti menjadi tulang belakang kepada berjuta rakyat lain yang benar-benar memerlukan.

Daripada Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.” (Hadis Riwayat al-Tabarani)

Artikel ini tidak ditaja oleh LHDN atau mana-mana pihak berkuasa. Kami di Majalah Labur cuma nak ajak anda semua ‘win’ dari segi kewangan DAN ketenangan jiwa. Bila kita nampak ke mana perginya setiap sen hasil titik peluh kita, barulah kita rasa berbaloi nak menyumbang. Jom jadi pembayar cukai yang bijak dan berjiwa besar!