
Mastercard Pelopori Pembayaran Tanpa Kata Laluan Dan Tanpa Nombor Kad Di Seluruh Asia Pasifik Menjelang 2030

Malaysia – 12 November 2025 – Sempena Singapore FinTech Festival, Mastercard mengumumkan visinya untuk menjadikan pembelian dalam talian di seluruh Asia Pasifik bebas kata laluan dan bebas nombor kad menjelang tahun 2030. Walaupun lebih daripada satu pertiga transaksi Mastercard di seluruh dunia kini telah ditokenkan, mencapai visi tersebut dalam pasaran e-dagang terbesar dan paling pesat berkembang di dunia yang dijangka melebihi USD 7 trilion menjelang 2030 memerlukan tindakan bersama.
Oleh itu, Mastercard mengajak bank, peniaga, dompet digital dan rakan teknologi untuk membolehkan pembayaran selamat yang ditokenkan dan disahkan menggunakan biometrik. Ini menghapuskan keperluan memasukkan nombor kad secara manual atau menggunakan kata laluan statik, menjadikan proses pembayaran lebih pantas dan selamat untuk pengguna.
Berasaskan kejayaan di India, di mana Mastercard bekerjasama dengan pengawal selia, bank dan peniaga untuk melaksanakan tokenisasi hampir sepenuhnya bagi e-dagang, fasa seterusnya menyasarkan adopsi penuh di Singapura, Malaysia dan Vietnam menjelang 2027. Pasaran ini menjadi pemacu utama pendigitalan pesat Asia Tenggara, dengan pembayaran digital dijangka menyumbang 94% daripada transaksi e-dagang dalam pasaran bernilai USD 325 bilion menjelang 2028.
Namun, pertumbuhan e-dagang turut membawa cabaran. Penipuan kad tidak hadir (card-not-present fraud) adalah tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding transaksi di kedai fizikal, dengan kerugian global dijangka melebihi USD 100 bilion menjelang 2029. Dalam masa yang sama, 8 daripada 10 pembeli meninggalkan troli mereka sebelum pembayaran, dan hampir separuh daripadanya disebabkan oleh proses daftar keluar yang rumit.
Penyelesaian Mastercard: gantikan kata laluan dan nombor kad dengan token selamat dan biometrik pada peranti pengguna, mengurangkan geseran melalui Click to Pay dan membina kepercayaan merentas semua peranti serta platform.
Bukti dalam Setiap Transaksi
Di kawasan yang telah menggunakan tokenisasi, kadar kelulusan meningkat sehingga 6%, menghasilkan lebih daripada USD 2 bilion jualan tambahan setiap bulan untuk peniaga. Kesan positif ini jelas kelihatan:
- Peniaga menikmati proses pembayaran yang lebih pantas dan selamat, meningkatkan kepuasan pelanggan serta jualan.
- Pengguna dapat membuat pembayaran satu langkah tanpa risau tentang kata laluan terlupa atau transaksi gagal.
- Dompet digital berfungsi dengan lancar, menawarkan pembayaran mudah dan selamat di lebih 150 juta peniaga yang menerima Mastercard di seluruh dunia.
“Visinya mudah: tiada kata laluan, tiada masukan kad manual, tiada halangan,” kata Sandeep Malhotra, Naib Presiden Eksekutif, Pembayaran Teras Asia Pasifik, Mastercard.
“Dengan menyatukan industri, Mastercard mempercepatkan penggunaan tokenisasi dan kunci laluan pembayaran (payment passkeys) bagi mencipta pengalaman pembayaran tanpa kata laluan yang selamat dan seragam. Hasilnya, kadar kelulusan meningkat, penipuan menurun, dan berjuta pengguna menikmati proses daftar keluar yang lebih pantas dan selamat. Rakan kongsi yang menyertai inisiatif ini akan membantu membentuk masa depan perdagangan pintar di Asia Pasifik.”
Paradigma Baharu dalam Dunia Pembayaran
Seperti bagaimana transaksi dahulu beralih daripada tunai kepada digital, evolusi seterusnya ialah daripada digital kepada pintar didorong oleh kecerdasan buatan (AI), data dan rangkaian terhubung.
Kemajuan dalam tokenisasi dan pengesahan kini membuka jalan kepada perdagangan berautonomi (agentic commerce), di mana pembantu digital yang dipercayai boleh membeli dan membuat pembayaran bagi pihak pengguna dengan selamat. Tokenisasi dan kunci laluan bukanlah penamat ia adalah asas kepada masa depan yang lebih pintar dan selamat, yang akan membuka peluang baharu untuk individu dan perniagaan.
Momentum Global yang Terus Berkembang
Peta jalan serantau ini dibina berdasarkan pelancaran global Mastercard bagi Perkhidmatan Payment Passkey di India, di mana syarikat tersebut bekerjasama dengan bank dan peniaga utama untuk memperkenalkan pembayaran biometrik berasaskan peranti kepada berjuta pengguna. Kejayaan ini membuktikan bahawa kunci laluan (passkey) boleh meningkatkan keselamatan dan kemudahan sekali gus menjadi batu asas kepada visi Mastercard untuk pembayaran bebas kata laluan di seluruh Asia Pasifik menjelang 2030.









