Cabaran Nak Penuhi Jurang 80% Permintaan Produk Halal Dunia

Bersama Hairol Ariffein dalam satu temubual

Apa gambaran anda apabila mendengar perkataan HALAL? Rata-rata dari kita pasti akan membayangkan tentang makanan dan minuman.

Brahims dan Adabi antara produk Malaysia yang popular di pasaran antarabangsa.

Produk Brahim’s
Produk Adabi

Banyak lagi produk halal yang ada dan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran dalam atau luar negara seperti :

  • Farmaseutikal/ubat-ubatan/vaksin/Peranti perubatan
  •  Logistik
  • Hospitaliti / Perkhidmatan /Pelancongan
  • Dandanan diri dan kosmetik
  • Kewangan dan perbankan Islam

Berbicara tentang produk halal, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) merupakan antara agensi kerajaan yang giat mempromosi pembangunan industri halal negara ini.

Hairol Ariffein Sahari, Naib Presiden Perancangan Strategik dan Pemantauan HDC dalam satu temubual bersama Majalah Labur memberitahu, Pelan Induk Industri Halal 1.0 (2008 – 2020 ) menjadi pemacu utama dan panduan kepada industri halal negara.

Dalam pelan tersebut, beberapa sasaran menjelang 2020 telah ditetapkan antaranya:

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) – 8.7 peratus
Nilai Eksport – 50 Bilion
Pelaburan Terkumpul – 15 Bilion
Peluang Pekerjaan – 330,000

Menariknya, sehingga tahun lalu, beberapa pencapaian berdasarkan indikator tersebut hampir dipenuhi malah ada yang sudah mencapai sasaran meskipun masih berbaki dua tahun sebelum 2020 seperti :

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) – 7.8 peratus
Nilai Eksport – RM43 Bilion
Pelaburan Terkumpul – RM13 Bilion
Peluang Pekerjaan – 330,000

Melalui pelan tersebut, pelbagai program telah dijalankan oleh HDC dan mencatat kejayaan yang memberangsangkan.

Halal Penanda Aras Kualiti Produk

Menurutnya, halal itu sendiri merupakan satu penanda aras yang tinggi terhadap sesuatu produk yang berada di pasaran.

“Setiap produk halal mesti menepati piawaian yang telah ditetapkan. Apabila berstatus halal, biasanya ia berserta dengan nilai kebersihan, kualiti dan jaminan keselamatan.

“Secara tidak langsung, pengguna melihat halal merupakan satu nilai tambah kepada produk dan perkhidmatan dan menjadi faktor produk dan perkhidmatan mendapat permintaan tinggi,” jelasnya kepada Majalah Labur ketika ditemui di Pejabat HDC di Petaling Jaya, baru-baru ini.

80% Permintaan Dunia Tak Dipenuhi

Bagaimanapun, dalam usaha memperluaskan pasaran halal tempatan ke luar negara, sebenarnya masih ada jurang 80 peratus permintaan pasaran dunia terhadap produk dan perkhidmatan halal yang tidak dapat dipenuhi.

Hairol Ariffein mengulas, situasi tersebut perlu dijadikan peluang oleh usahawan tempatan untuk memenuhi permintaan industri halal.

“Usahawan perlu bijak merebut dan mencari peluang yang ada. Mereka perlu kreatif dalam memenuhi rantaian industri dan pasaran halal.

“Biasanya ia bermula dengan produk mentah dari bidang pertanian, bahan ramuan, pengilangan, logistik, penjenamaan dan peruncitan.

Pandai ‘Scan’ Peluang

Usahawan kena pandai ‘scan’ di bahagian mana mereka boleh mencelah untuk penuhi rantaian,” ujarnya.

Pada 2030, dianggarkan permintaan terhadap produk halal ialah USD30.6 trilion untuk pasaran dunia melibatkan pengguna Islam dan bukan Islam.

Hairol Ariffein berkata, saiz pasaran produk halal besar kerana produk halal bukan sahaja popular dalam kalangan orang Islam sebaliknya mendapat permintaan tinggi daripada orang bukan Islam.

Menurutnya, antara produk yang boleh diberi perhatian dan semakin mendapat sambutan ialah :

  • Lemak dan minyak (kelapa sawit)
  • Produk dandanan diri organik
  • Produk dandanan diri untuk lelaki
  • Farmaseutikal

Oleh itu, HDC menggesa supaya usahawan tempatan masuk ke dalam sistem halal supaya mereka boleh dibantu untuk mengembangkan perniagaan.

Hairol Ariffein berkata,status halal kini juga sudah bersifat inklusif dan bukan eksklusif hanya untuk muslim.

Oleh itu, kuasa membeli produk dan perkhidmatan halal juga terletak pada pengguna bukan Islam.

Begitupun, logo halal sahaja tidak cukup untuk menjadikan produk atau perkhidmatan yang disediakan mendapat sambutan kerana ia perlu diiringi dengan :

1. Jenama yang bagus
2. Pembungkusan yang menarik
3. Kandungan nutrisi yang seimbang/sihat
4. Harga yang berpatutan

Sehingga kini, Malaysia masih menjadi antara pengeksport terbesar produk halal ke pasaran dunia bersama beberapa negara lain seperti :

Negara Produk Nilai eksport (USD)
Malaysia Produk makanan dan minuman berserta pelbagai produk lain 11 bilion
Australia Daging 10 bilion
Thailand Produk makanan proses berasaskan buah dan makanan laut 5.7 bilion
Brazil Ayam 3.5 bilion
Singapura Pembungkusan semula produk Kurang dari ½ bilion

Sumber : HDC

Nilai Eksport

Malaysia masih menjadi juara jika dibandingkan negara lain. Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan nilai pasaran yang belum dipenuhi (80 peratus dari permintaan pasaran), sangat tidak signifikan untuk menggunakan label monopoli.

Oleh itu, Malaysia melalui HDC dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain komited dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan yang boleh menyediakan produk dan perkhidmatan halal berdaya saing di pasaran global.

Sehingga kini, terdapat 7,500 syarikat berstatus halal di negara ini melibatkan kira-kira 1,600 daripadanya yang berstatus pengeksport.

Cabaran Penuhi Permintaan Industri Halal Dunia

Hairol Ariffein menegaskan, peluang sentiasa terbuka untuk usahawan dan syarikat tempatan memenuhi permintaan industri halal dunia. Begitupun mereka perlu bersedia memenuhi permintaan berbeza daripada negara tertentu untuk memasarkan produk.

Berikut antara cabaran atau kekangan yang wajib usahawan tempatan tempuh untuk bersaing dan memasuki pasaran antarabangsa (halal) :

  • Berstatus halal
  • Penuhi citarasa dan keperluan pengguna yang berbeza mengikut negara
  • Penuhi standard dan permintaan dari negara pengimport (kandungan, rasa, pembungkusan perlu disesuaikan ikut permintaan)
  • Wajib tahu dan ada ilmu tentang pasaran untuk bersaing

HDC Komited Bantu Usahawan Dan Syarikat

Sejak penubuhannya pada 2006, HDC telah menjalankan beberapa program dan bantuan untuk membantu usahawan dan syarikat tempatan.

Setiap program dijalankan berbeza mengikut keperluan dan kriteria usahawan atau syarikat. Secara umumnya, ada 4 jenis syarikat iaitu :

  • Makro – Syarikat yang baru bermula. Biasanya bantuan yang diberikan berupa pengetahuan asas untuk tingkatkan kefahaman tentang halal dan selok belok perniagaan.
  • Sudah berdaya maju – HDC membantu usahawan/syarikat dapatkan maklumat pasaran tempatan, serantau dan global di samping membantu untuk dapatkan sijil halal dan sijil dari negara luar.
  • Berprestasi tinggi – Bimbing untuk pelbagaikan produk mengikut keperluan pasaran dan tingkat inovasi.
  • Champion ready – Bantu bergerak lebih jauh, tingkatkan pengeluaran, bantu dan tempatkan syarikat untuk bertapak di negara luar.

Program Halal Business Tranformation yang dijalankan bermula 2012 antara program HDC yang paling berjaya. Lebih 3,500 syarikat berjaya mendapat manfaat dengan 40 peratus daripanya berjaya mencatat peningkatan jualan lebih 10 peratus selepas 2 tahun menyertai program.

HDC akan membantu usahawan/syarikat untuk :

  • Mematuhi pensijilan halal dan standard lain
  • Usahasama dengan syarikat besar dan multinasional khususnya untuk dapatkan rakan niaga, menjadi vendor atau cari pasaraya besar untuk pasarkan produk
  • Pembiayaan dari segi pembangunan kapasiti
  • Akses kepada pasaran – kerjasama dengan agensi lain seperti MATRADE untuk buka pasaran baru

HDC dan agensi kerajaan yang lain seperti MATRADE, MITI, MARA dan pelbagai agensi daripada kerajaan pusat mahupun negeri sentiasa ada untuk membantu untuk bersaing!

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.