Fahami 4 Jenis Cukai Yang Ada Di Malaysia

Cukai di Malaysia

Cukai adalah perlu untuk pembangunan sesebuah negara. Lagi banyak cukai yang dikutip, lagi banyak pembangunan dan projek dapat dijalankan oleh kerajaan demi kepentingan semua pihak.

Jadi apakah cukai-cukai yang ada di Malaysia ni?

1. Cukai Secara Langsung

Cukai langsung adalah cukai yang kita sebagai rakyat membayar secara langsung kepada kerajaan. Contoh-contoh cukai secara langsung seperti cukai pendapatan. Jenis cukai ini diuruskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia. Ini bermaksud, semakin tinggi pendapatan kita, lebih banyak cukai pendapatan yang kita perlu bayar.

Bagi yang baru bekerja buka terus fail dengan LHDN dengan mendaftar di e-daftar (kebiasaan pihak HR majikan akan uruskan semua ini). Tahu tak kalau kita tak tinggal di Malaysia lebih 6 bulan, kita tak perlu bayar cukai pendapatan?

Satu lagi jenis cukai langsung adalah Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) atau dikenali dengan nama RPGT. Ia adalah cukai yang dikenakan atas keuntungan daripada pelupusan harta tanah (rumah pangsa, rumah, kondominium, pangsapuri, ladang, tanah kosong dan lain-lain).

Kadar CHKT adalah antara 0% hingga 30%, dan bergantung kepada tempoh pegangan.

2. Cukai Secara Tidak Langsung

Cukai tidak langsung adalah cukai yang dibayar secara tidak langsung kepada kerajaan. Contoh cukai tidak langsung adalah cukai perkhidmatan. Pengurusan cukai perkhidmatan adalah di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Dari sudut pandangan yang lebih terperinci, contohnya apabila kita menginap di sebuah hotel atau makan di kedai-kedai tertentu, kita akan membuat pembayaran yang disertakan sekali dengan cukai perkhidmatan. Itulah jumlah cukai yang kita bayar kepada pihak hotel, dan seterusnya hotel akan membayar cukai tersebut kepada kerajaan.

3. Cukai Jualan

Cukai jualan adalah cukai yang dikenakan ke atas pengeluar yang mengeluarkan barangan dan juga kepada pengimport yang mengimport barang. Kebanyakan item yang tertakluk kepada cukai jualan ialah 10%.

Contoh barang yang tertakluk kepada cukai jualan ialah perabot, peti sejuk, televisyen, pakaian, kasut, beg tangan dan banyak lagi barangan. Sebagai pengguna sememanya kita tidak didedahkan bahawa produk ini tertakluk kepada cukai jualan kerana ia tidak didedahkan kepada pengguna. Namun elemen cukai jualan telah diambil kira sebagai kos, dan peniaga telah memasukkan ke dalam harga jualan produk tersebut.

4. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

Oleh itu, langkah pembaharuan cukai dilaksanakan bagi memastikan sistem cukai yang lebih telus dan cekap. Kerajaan telah menghapuskan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang tersedia sebelum ini dan menggantikannya dengan cukai ke atas barangan dan perkhidmatan atau dalam bahasa Inggeris adalah Good and Service Tax (GST).

Tujuan utama pengenalan GST adalah untuk meluaskan sumber pendapatan negara, yang selama ini banyak bergantung kepada hasil minyak petroleum.

Cukai barangan dan perkhidmatan telah diperkenalkan di lebih daripada 160 buah negara di seluruh dunia dan telah terbukti berkesan dalam konteks ekonomi moden. Negara-negara seperti Singapura, United Kingdom, Australia dan Thailand telah lama memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan.

Kesimpulannya, jenis cukai adalah pengetahuan yang mesti diketahui oleh semua orang awam. Dengan pengetahuan ini, pembayar cukai seperti kita, akan “tahu” di mana wang kita akan digunakan dan dibelanjakan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan rumah.

Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB.

Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.