Kesan Ekonomi Amerika Syarikat Akibat Perang Di Afghanistan

Perang Afghanistan merupakan perang paling lama yang melibatkan Amerika Syarikat selepas Perang Dunia Kedua. Peperangan yang berlarutan selama 20 tahun itu bermula apabila Amerika Syarikat menyerang Afghanistan kerana didakwa telah melindungi kumpulan pengganas nombor satu dunia, Al-Qaeda yang telah menyerang bangunan World Trade Center pada tahun 2001.

Akhirnya, Amerika Syarikat terpaksa keluar dari Afghanistan selepas dikatakan gagal untuk menentang pengganas hasil daripada peperangan yang tercetus.

Kredit Gambar: The Quint

Sejarah Peperangan Di Afghanistan

Afghanistan merupakan negara yang sangat tidak asing lagi dalam kancah peperangan. Negara tersebut merupakan negara yang paling kerap diserang oleh kuasa besar dunia tetapi apa yang menariknya, tidak ada mana-mana kuasa besar dunia yang mampu menakluk secara keseluruhan disebabkan semangat juang yang tinggi di kalangan rakyat negara tersebut dalam mempertahankan negara mereka.

Baca: Afghanistan: Sumber Galian Luar Biasa, Mampu Menggegar Dunia

Selain itu, faktor muka bumi yang bergunung-ganang menyukarkan mana-mana kuasa besar dunia untuk berhadapan dengan penduduk Afghanistan serta teknik perang gerila yang digunakan oleh pejuang di sana sangat efektif dalam mengusir kuasa-kuasa besar daripada menakluk negara mereka.

Antara perang terawal yang melibatkan Afghanistan adalah ketika Empayar British yang merupakan empayar yang terkuat di dunia pada ketika itu cuba menakluk negara tersebut pada kurun ke-19. Peperangan tersebut berakhir dengan kegagalan kepada pihak Empayar British.

Selepas perang dunia kedua, Afghanistan sekali lagi diserang oleh kuasa besar dunia yang pada ketika itu jirannya sendiri iaitu Soviet Union pada tahun 1979. Mereka menjangkakan perang di Afghanistan ini merupakan perang yang mudah.

Malangnya, mereka terpaksa berperang dengan Afghanistan selama sepuluh tahun yang akhirnya menyebabkan Soviet Union runtuh.

Kos peperangan dengan Afghanistan semakin meningkat menyebabkan Soviet Union tidak mampu menanggung bebanan hutang negara akhirnya mereka keluar dari Afghanistan dengan mendapat imej yang sangat buruk apabila tewas di tangan negara yang tidak mampu menghasilkan senjata sendiri.

Kredit Gambar:Al Jazeera

Kini Amerika Syarikat pula menghadapi krisis yang sama, mendapat malu yang besar apabila mereka tidak dapat menewaskan pejuang Taliban yang akhirnya keluar dari negara tersebut tanpa sebarang kejayaan seperti yang diharapkan.

Disebabkan perkara tersebut, negara Afghanistan terkenal dengan jolokan Graveyard of Empires di mana kuasa besar tidak dapat menakluk negara tersebut secara mutlak.

Kesan Peperangan Afghanistan Terhadap Ekonomi Amerika Syarikat

Walaupun tidak menerima nasib yang sama seperti Soviet Union yang mana negara tersebut runtuh disebabkan menanggung kos perperangan di Afghanistan, kos peperangan yang bernilai USD2 trilion dollar sedikit sebanyak telah menjejaskan ekonomi mereka secara tidak langsung.

Kesan penaklukan Amerika Syarikat terhadap Afghanistan, mereka telah kehilangan seramai 2,300 orang tentera dan seramai 20,000 orang telah cedera dalam perang selama dua dekad tersebut.

Kredit Gambar: Ariana News

Kos yang terpaksa ditanggung oleh Amerika Syarikat dalam perang ini telah menyebabkan negara itu mengalami lost opportunity selama 2 dekad sepanjang perang Afghanistan. USD 2.3 trilion wang yang dilaburkan terhadap perang boleh digunakan untuk membentuk pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan kepada rakyat Amerika Syarikat itu sendiri.

Gambar Jenaral perang USSR dan USA terakhir meninggalkan bumi Afghanistan. Mejar Jeneral Boris Gromov (kiri) dan Mejar Jeneral Chris Donahue(kanan)

Kredit Gambar: Twitter

Selain itu, kadar faedah yang dikenakan oleh Federal Reserve turut dipengaruhi oleh kos peperangan yang berlaku di Afghanistan. Walaupun di atas kertas, Amerika Syarikat telah kerugian sebanyak USD 2.3 trillion, kesan jangka masa panjang turut mengheret ekonomi negara tersebut pada dekad yang seterusnya disebabkan kos yang terpaksa ditanggung oleh negara mereka terhadap anggota tentera yang hilang keupayaan kekal ketika menjalankan misi di Afghanistan.

Kerajaan Amerika Syarikat terpaksa membuat satu pelan jangka masa panjang terhadap mereka yang terlibat daripada segi pemulihan fizikal dan juga mental. Akhirnya perang yang dicanang telah mencapai objektif ini dilihat sama sekali gagal.

Sesuai sekali dengan peribahasa terbaru netizen di You Tube yang mengatakan “if you feel useless in your life, just remember, USA need 4 presidents, spends $2.3 trilion dollar, 2300 soldier have been killed, two decades of war just to replace Taliban with Taliban”.

Sumber Rujukan: CNBC

Previous ArticleNext Article

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.