Lim Oon Kuin, Bilionaire Minyak Singapura Isytihar Muflis Disebabkan Krisis Harga Minyak Mentah Dunia

Kesan kejatuhan harga minyak bukan sahaja menyebabkan negara pengeluar minyak mentah dunia garu kepala tetapi ia juga menjejaskan negara yang berurusan secara langsung dengan komoditi tersebut.

Pada awal minggu lepas, kita dikejutkan dengan kejatuhan yang tidak pernah berlaku di dalam sejarah negara Amerika Syarikat apabila minyak mentah didagangkan pada nilai negatif. Boleh baca kisahnya dalam Bangun Pagi, Harga Minyak Mentah Dunia Dah Negatif!

Kesan daripada peristiwa tersebut, banyak negara pengeluar minyak mengelami kesan langsung. Kini pengusaha yang menjalankan perdangangan minyak mentah juga turut menjadi mangsa.

Salah seorang daripadanya adalah bilionaire dari negara jiran kita Singapura yang bernama Lim Oon Kuin. Beliau telah menghadapi masalah ini apabila syarikatnya Hin Leong Trading telah mengalami masalah untuk membayar pinjaman hutang bank.

Syarikatnya itu merupakan di antara syarikat pegumpulan minyak mentah yang terbesar di Singapura dan yang ke-16 terbesar di dunia. Lim Oon Kuin mengasaskan syarikat itu pada era 1960-an ketika beliau berusia 20-an yang diberi nama Hin Leong Trading yang bermaksud “kekayaan” di dalam bahasa Cina.

Lim Oon Kuin merupakan imigiran yang berasal dari Fujian, China. Pada permulaannya, beliau hanya membekalkan minyak kepada nelayan-nelayan kecil di kawasan sekitar. Dari situ beliau mula belajar cara perdangangan minyak yang betul dan telah mengembangkan perniagaan syarikatnya.

Tahun demi tahun perniagaan semakin maju dan pada penghujung tahun 1960-an, syarikatnya telah membeli kapal penyimpanan minyak yang pertama. Perniagaannya makin berkembang dari tahun ke tahun dan menjadikan syarikatnya itu  bernilai berbilion dollar.

Kemuncak kejayaan syarikat Hin Leong Trading adalah apabila memiliki sebanyak 130 kapal penyimpanan minyak di Singapura.

Kini syarikat tersebut telah diisytiharkan muflis dan tidak mampu untuk membayar hutang perniagaan mereka. Ianya disebabkan harga minyak mentah dunia yang telah menjunam dengan begitu teruk apabila Covid -19 menular ke seluruh dunia.

Perang harga di antara Rusia dan negara OPEC pada bulan lalu merupakan pencetus kepada krisis ini. Lim Oon Kuin yang melakukan pertaruhan terhadap minyak mentah seperti tahun-tahun yang sebelumnya dan tidak menyangka bahawa pada tahun ini, gelombang pandemik ini terlalu besar untuk dihadapi oleh syarikatnya.

Beliau menjangkakan Covid -19 yang melanda China pada awal tahun ini dapat dikawal dan tidak merebak ke seluruh dunia.

Sangkaan yang dibuat itu ternyata meleset apabila harga minyak mula jatuh menjunam dengan begitu teruk. Wabak pandemik ini ternyata telah menghancurkan hampir keseluruhan ekonomi dunia.

Lim Oon Kuin yang menghadapi masalah apabila pihak bank telah meminta pembayaran balik pinjaman yang dilakukan oleh syarikatnya. Disebabkan krisis minyak mentah dunia yang kini meruncing, beliau terpaksa meminta penangguhan bayaran selama 6 bulan bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh syarikatnya itu.

Beliau yang terpaksa meletakan jawatan dari syarikat tersebut akibat daripada tekanan dalaman yang dihadapi. Syarikat itu dipercayai memiliki hutang sebanyak $3.85 bilion daripada 23 peminjam, termasuklah pelbagai bank antarabangsa seperti HSBC, Societe Generale, Standard Chartered dan Deutsche Bank.

Kini hutang syarikatnya telah melebihi kadar aset yang dimiliki kerana kebanyakan minyak yang berada di dalam simpanannya hanya mampu dijual dengan harga di bawah pasaran.

Lim Oon Kuin yang terpaksa isytihar muflis kerana keputusan untuk mendapat moratorium untuk tempoh 6 bulan, namun pihak bank hanya memberi tempoh selama satu bulan kepada beliau untuk menjelaskan hutang yang dimiliki oleh syarikatnya itu.

Sumber Rujukan:

Nak tahu kisah disebalik harga minyak negatif, kena baca 4 Sebab Mengapa Minyak Mentah WTI Menjadi Serendah Negatif $40 USD Setong.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.