Malaysia Dijangka Kekal Sebagai Pasaran Perbankan Islam Terbesar Di Asia Pasifik – S&P Global

JAKARTA, 9 Mei (Bernama) — Malaysia dijangka kekal sebagai pasaran perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik, menyumbang kira-kira dua pertiga daripada jumlah US$400 bilion (US$1=RM4.74) aset sektor tersebut, demikian menurut S&P Global Ratings.

Agensi penarafan kredit itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pelancaran bank Islam baharu di Malaysia dan pasaran Asia Pasifik lain tahun ini boleh meningkatkan lagi akses kepada perkhidmatan kewangan bagi wilayah dan segmen yang kurang mendapat perkhidmatan, seperti perniagaan kecil.

Bagaimanapun, agensi itu berkata sesetengah bank Islam besar di Malaysia mungkin berdepan cabaran untuk mengekalkan pertumbuhan keseluruhan yang tinggi jika pertumbuhan deposit runcit mereka tidak seiring dengan prestasi tersebut.

Akibatnya, bank-bank perlu mempelbagaikan operasi kepada sumber pembiayaan lain, seperti akaun pelaburan, atau bergantung pada deposit borong yang lebih mahal.

Sementara itu, Indonesia bakal menjadi tumpuan pertumbuhan memandangkan potensi belum dimanfaatkan yang masih besar di negara tersebut manakala Bangladesh juga berpotensi besar untuk berjaya, namun kekurangan kecairan dan permintaan luar yang lemah dijangka membantutkan pertumbuhan pembiayaan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

“Risiko bagi bank-bank Islam di rantau Asia Pasifik cenderung kepada pertumbuhan lebih rendah memandangkan kadar tinggi faedah Amerika Syarikat dijangka berlarutan bagi tempoh lebih lama dan peningkatan ketegangan geopolitik,” katanya.

Menurut S&P Global, perniagaan kecil dan isi rumah berpendapatan rendah terdedah kepada kos hidup dan kadar tinggi yang berterusan.

Dalam senario sedemikian, agensi penarafan kredit itu menjangkakan permintaan pembiayaan dan juga kualiti aset akan merosot manakala modal dan peruntukan bank yang mencukupi akan menjadi penampan kepada tekanan yang meningkat.

Menerusi artikelnya bertajuk ‘Asia-Pacific Is Ripe For Islamic Banking Development’ yang diterbitkan hari ini, S&P Global berkata bank-bank Islam di Asia-Pasifik bakal mencatatkan pengembangan kukuh dan kualiti aset yang stabil dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Kami menjangkakan bank Islam di Asia Pasifik mencatatkan pertumbuhan pembiayaan  memberangsangkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang susulan keadaan ekonomi yang stabil di pasaran perbankan Islam utama iaitu di Malaysia dan Indonesia,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Ramssol Tembusi Pasaran EV Indonesia Menerusi Kerjasama Pajakan Motosikal

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) — Anak syarikat tidak langsung Ramssol Group Bhd, PT Rider Gate Indonesia memeterai perjanjian kerjasama dengan PT Smoot Motor Indonesia dan PT Swap Energi Indonesia bagi melancarkan ekosistem pajakan motosikal elektrik (EV) bersepadu di Indonesia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ramssol berkata perjanjian selama tiga tahun itu menandakan kemasukan rasminya ke dalam pasaran mobiliti elektrik Indonesia yang sedang berkembang pesat.

“Di bawah perjanjian tersebut, Rider Gate Indonesia akan menggerakkan sebanyak 500 unit motosikal elektrik menjelang akhir tahun kewangan 2025, dengan rancangan penambahan jumlah kenderaan itu secara berperingkat sepanjang tempoh kontrak, sejajar dengan peningkatan penggunaan serta permintaan daripada rakan-rakan penunggang” katanya.

Menurut Ramssol, kerjasama itu menyatukan tiga pemain utama dalam ekosistem kenderaan elektrik bagi membangunkan model pajakan EV bersepadu yang menggabungkan aspek pembiayaan, bekalan kenderaan dan perkhidmatan pertukaran bateri yang mudah diakses.

“PT Smoot, pengedar borong motosikal elektrik dua roda di bawah jenama Smoot Elektrik, akan membekalkan motosikal tersebut, manakala PT Swap, peneraju dalam infrastruktur pertukaran bateri dan pemasangan bateri motosikal elektrik dua roda, akan menyediakan serta menyelenggara komponen dan rangkaian pertukaran bateri.

“Sementara Rider Gate Indonesia pula akan membeli motosikal daripada PT Smoot dan memajakannya kepada rakan-rakan penunggang melalui model berasaskan teknologi yang fleksibel, mampu milik dan cekap dari segi operasi,” kata syarikat itu.
— BERNAMA