BNM Dijangka Kekal OPR Tidak Berubah Sepanjang 2024 — Analisis

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) — Kadar dasar semalaman (OPR) pada kadar 3.0 peratus ketika ini, dijangka kekal tidak berubah sepanjang 2024, menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata Bank Negara Malaysia (BNM) ketika ini dilihat memberi tumpuan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia menerusi dasar monetarinya.

“Prospek ekonomi domestik diunjurkan kekal dalam keadaan berwaspada dan berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.

“Bagaimanapun, kami percaya penstabilan inflasi teras dan persekitaran luaran yang mencabar mungkin mendorong BNM untuk mengekalkan OPR pada paras semasa sepanjang 2024,” kata MIDF Research dalam satu nota hari ini.

Ia berkata walaupun perdagangan luar dijangka pulih, namun persekitaran global diunjurkan kekal mencabar pada 2024 disebabkan ketegangan geopolitik yang berterusan serta potensi penurunan pertumbuhan global.

Dalam nota penyelidikan berasingan, OCBC Bank (Malaysia) Bhd turut senada dengan sentimen itu, dengan menyatakan BNM akan mengekalkan dasar monetari semasa, dan menjangkakan pertumbuhan akan bertambah baik serta tekanan inflasi yang terkawal.

Bank itu berkata BNM kekal yakin terhadap prospek pertumbuhan domestik, menjangkakan peningkatan dalam eksport, didorong oleh kitaran naik teknologi global dan pengukuhan yang mampan dalam sektor barangan bukan elektrik dan elektronik.

Antara faktor yang mendorong pertumbuhan domestik seperti perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelaburan, dipacu oleh projek berbilang tahun dalam kedua-dua sektor swasta dan awam, ditambah dengan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk negara.

“Oleh itu, ramalan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar kami untuk 2024 berada pada 4.2 peratus, berbanding 3.7 peratus pada 2023, iaitu masih dalam julat unjuran BNM pada empat hingga lima peratus,” kata bank itu.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Jamin Biodiesel B20 Selamat Digunakan

PELABUHAN KLANG: Kerajaan memberi jaminan bahawa tiada isu berkaitan kesesuaian penggunaan biodiesel, khususnya B20, berikutan spesifikasi enjin kenderaan di negara ini telah menyokong bahan api tersebut sejak 2020.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata dengan piawaian yang ditetapkan, penggunaan biodiesel tidak sepatutnya menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.

“Sebenarnya ada beberapa kawasan dalam negara telah menggunakan B20 iaitu sebagai contoh di Pulau Langkawi, Kedah; Labuan dan Sarawak kecuali di kawasan Bintulu. Ini bermaksud dalam tempoh yang sedang berlaku ini aduan ataupun kebimbangan itu sebenarnya belum sampai ke tahap ada kes yang kita boleh jadikan satu rujukan.

“Kerajaan telah mandatkan pada 2020 mengenai penggunaan enjin atau kenderaan pada tahap B20 bermaksud tempoh itu telah diberikan secukupnya kepada pihak industri termasuk kenderaan untuk membuat persiapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat kilang oleokimia KL-Kepong Oleomas Sdn Bhd bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Noraini Ahmad, di sini hari ini.

Sebelum ini, Akmal Nasrullah mengumumkan kerajaan bersetuju meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan susulan krisis di Asia Barat.

Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan ketersediaan bekalan diesel negara bagi tempoh lebih panjang, selain mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan api fosil dan pasaran luar.

Pada masa sama, beliau menegaskan penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan kepada tenaga boleh baharu perlu dipercepatkan.

Sementara itu, Noraini berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sebanyak RM42 juta diperuntukkan bagi menaik taraf empat depoh pengadunan minyak sawit.

Langkah itu, katanya, akan memperkukuh usaha kerajaan dalam memastikan kemampanan sumber tenaga negara.

— Berita Harian