6 perkara yang kita perlu tahu sebelum mohon loan kereta

Kita berehat sebentar dari bercerita tentang topik pelaburan.

Jom tukar kepada topik pinjaman bank atau loan. Di sini kami kongsikan 6 perkara yang kita semua perlu tahu sebelum nak mohon loan kereta dengan bank (berdasarkan pengalaman sendiri).

1. Deposit atau ‘duit muka’

Bank biasanya akan minta deposit (ada juga yang tawarkan loan 100% seperti Bank Rakyat). Kadar normal adalah 10% dari harga kereta. Sebagai contoh, jika kos kereta baru berharga RM70,000, kita biasanya perlu bayar RM7,000 sebagai wang pendahuluan. Walau bagaimanapun, sesetengah bank mungkin akan minta jumlah yang lebih tinggi.

2. Kereta Nasional atau bukan?

Bank meletakkan kadar faedah lebih rendah bagi kenderaan import seperti Ford dan Kia berbanding kenderaan nasional seperti Proton. Walaubagaimanapun, perbezaannya adalah amat kecil.

3. Margin Pembiayaan

Sekiranya kita mampu bayar wang deposit yang lebih besar, kadar faedah biasanya menjadi lebih rendah.

4. Caj pembayaran lewat

Sekiranya kita gagal untuk membuat bayaran seperti yang termaktub di dalam perjanjian Sewa-Beli (ponteng bayar), denda lewat bayar pada kadar 8% setahun akan dikenakan ke atas jumlah  ansuran tertunggak.

5. Penjamin

Bersedia untuk mencari “penjamin” bagi menyokong permohonan loan jika rasa komitmen sekarang tinggi (contoh : Jika pernah ada loan lain, kad kredit dsb). Penjamin adalah orang yang akan bertanggungjawab membayar bahagian yang belum dibayar pada pinjaman kita tadi, termasuk semua yuran dan caj faedah yang terkumpul, jika kita gagal menghormati perjanjian Sewa-Beli.

6. Takaful

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kereta ‘dilindungi’ dengan betul. Bank biasanya perlukan kita mengambil perlindungan takaful komprehensif ke atas kereta sebelum meluluskan pinjaman.

 

Dokumen biasa yang diperlukan semasa nak submit permohonan loan:

  1. Tiga (3) bulan slip gaji terkini
  2. 1 salinan Kad Pengenalan (depan & belakang)
  3. 1 salinan lesen memandu yang sah (jika ada)
  4. 1 salinan buku bank / penyata akaun bank
  5. 1 salinan penyata KWSP terkini

 

Nota : Kalau boleh pastikan harga kereta tidak lebih dari gaji tahunan kita. Kalau bergaji RM3,000 sebulan, harga kereta mestilah tidak lebih daripada RM36,000 (RM3,000 x 12 = RM36,000). Lagi satu nak pesan, masa nak beli kereta jangan ikut orang sangat sebab gaji dia tak sama dengan gaji kita!

Previous ArticleNext Article

Teraju Akan Wujudkan Dana RM1 Bilion Untuk Bantu Perusahaan Bumiputera

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) — Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) akan mewujudkan dana agregat sebanyak RM1 bilion untuk syarikat bumiputera dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang. 

Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Junady Nawawi, berkata dana itu akan dilaksanakan dengan sokongan rakan usaha sama.

“Kami akan memilih beberapa bank perdagangan dan institusi kewangan pembangunan sebagai rakan kongsi.

“Dana itu akan diagihkan dalam bentuk pinjaman. Kami akan berbincang dengan rakan kerjasama untuk merendahkan kadar faedah pinjaman di bawah kadar pasaran (supaya ia) menarik kepada syarikat bumiputera,” katanya kepada Bernama di luar program Mempertingkat Penciptaan Nilai Bumiputera di sini hari ini. 

Menurutnya dana agregat berjumlah RM1 bilion itu menggunakan kaedah leveraj dan penggandaan.

“Ini bererti, dengan (setiap) RM1 yang dibelanjakan kerajaan untuk syarikat bumiputera, menggunakan komitmen itu, rakan kerjasama akan memberikan lima kali ganda jumlahnya. Kami juga tidak akan menumpukan kepada geran selepas ini, tetapi kepada pinjaman seperti ini,” katanya.

Beliau berkata, dengan saiz dana itu, Teraju menyasarkan untuk meningkatkan pertumbuhan sehingga 5,000 perusahaan bumiputera dan memudahkan penskalaan 1,000 perusahaan bumiputera menjelang 2030.

Teraju akan bekerjasama dengan institusi kewangan seperti Bank Muamalat Malaysia Bhd, RHB Islamic Bhd, MIDF Bhd, MBSB Bank Bhd, Sabah Credit Corporation, Maybank Islamic Bhd, SME Bank, Agrobank, Bank Rakyat, Credit Guarantee Corporation, Exim Bank, Pernas dan Development Bank of Sarawak, untuk mewujudkan kemudahan pembiayaan bernilai RM 1bilion untuk syarikat bumiputera.

— BERNAMA