Sejarah Kewangan Islam Dan Perbankan Islam Di Malaysia

Apabila menyebut tentang perbankan Islam, sudah pasti semua orang memikirkan mengenai sistem perbankan yang berteraskan undang-undang Islam dan sudah semestinya patuh Syariah. Tetapi, tahukah kita sejarah di sebalik bermulanya perbankan Islam?

Benar, secara umumnya perbankan Islam merujuk kepada system perbankan yang mematuhi undang-undang Syariah. Di antara prinsip-prinsip asas yang diterapkan dalam perbankan Islam adalah perkongsian untung dan risiko pihak-pihak yang berurus niaga, jaminan keadilan untuk semua dan urus niaga yang berdasarkan aktiviti perniagaan dan berasaskan aset, selain meliputi transaksi-transaksi bank seperti urusan kiriman wang, surat-surat jaminan, surat-surat kredit serta tukaran wang asing.

Sejarah Penubuhan Perbankan Islam       

Bermulanya sistem kewangan Islam adalah bertitik tolak daripada peristiwa kebangkitan Islam sekitar akhir tahun 1960-an 1970-an. Sistem kewangan Islam ini membolehkan umat Islam untuk berurus niaga menggunakan sistem yang berlandaskan Syariah di mana ia melibatkan implikasi sosial yang berkait rapat dengan ajaran Islam.

Sistem ini juga menampilkan ciri-ciri khusus yang membezakan bank-bank Islam daripada bank-bank lain yang berlandaskan falsafah perbankan yang berbeza.

Di antara objektif utama penubuhan Bank Islam adalah untuk memenuhi keperluan umat Islam dari segi pengurusan perbankan di mana asas penerapan perniagaannya juga berlandaskan ajaran Al-Quran dan Sunnah.

Ia menerapkan konsep keadilan dan kesaksamaan demi kepentingan masyarakat seluruhnya. Objektif lain penubuhan bank Islam adalah berlandaskan dua faktor utama iaitu faktor keuntungan dan faktor tuntutan agama.

Di awal penubuhan perbankan Islam ini bermula apabila Mit Gharm Local Saving Bank ditubuhkan di Mesir pada tahun 1963 tanpa penggunaan istilah Syariah secara rasmi. “German Saving Bank” dijadikan sebagai model dalam penubuhan bank ini dan sedikit pengubahsuaian dijalankan untuk menepati konsep sebagai sebuah bank Islam.

Beberapa tahun kemudian, IDB (Islamic Development Bank) ditubuhkan pada sidang Menteri-Menteri Luar Organisation of Islamic Conference (OIC) pada tahun 1973. Negara-negara anggota OIC telah menyertai IDB dan membantu dalam perkembangan perbankan Islam di negara-negara anggota.

IDB terlibat secara aktif dalam menggunakan dana bank untuk mambangunkan masyarakat Muslim sedunia. Beberapa buah bank berkonsepkan perbankan Islam mula ditubuhkan, antaranya Dubai Islamic Bank yang ditubuhkan pada tahun 1975, Faisal Islamic Bank of Sudan pada tahun 1977, Faisal Islamic Egyptian Bank dan Islamic Bank Jordan pada tahun 1978, Islamic Bank of Bahran pada 1979, The International Islamic Bank of Investment and Development, Luxembourg pada 1980.

Wujudnya Tabung Haji dan Bank Islam

Di Malaysia, kewangan Islam bermula pada tahun 1963 dengan penubuhan Lembaga Tabung Haji (LTH). Ia merupakan satu mekanisme simpanan bagi umat Islam di Malaysia untuk membuat simpanan secara tetap dan berterusan bagi tujuan mengerjakan fardu haji. Dana ini seterusnya dilaburkan dalam sektor-sektor ekonomi negara yang produktif yang berorientasikan pulangan bebas riba’.

Seterusnya, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) mula ditubuhkan pada tahun 1983 setelah penubuhan operasi Bank Islam dicadangkan kepada kerajaan sekitar tahun 1981. Bank ini menjalankan perniagaan perbankan yang berlandaskan prinsip-prinsip syariah.

Selain daripada itu, BIMB juga menawarkan produk-produk deposit seperti deposit semasa dan deposit simpanan yang berdasarkan konsep Al-Wadiah (dengan jaminan) dan deposit pelaburan yang berdasarkan konsep Al-Mudharabah (perkongsian keuntungan).

BIMB turut menawarkan kemudahan pembiayaan seperti pembiayaan modal kerja berdasarkan Al-Mudharabah jualan dengan tambahan untung), pembiayaan perumahan di bawah Bai’ Bithaman Ajil (jualan dengan harga tertangguh), sewaan berdasarkan Al-Ijarah dan pembiayaan projek berdasarkan Al-Musyarakah (perkongsian untung dan rugi).

Susulan daripada kejayaan pertubuhan perbankan Islam yang sebelumnya membawa kepada penubuhan bank Islam yang kedua, iaitu Bank Muamalat Malaysia Berhad pada 1 Julai 1999.

Sumber Rujukan:

Jemput baca:

Asingkan sedikit pendapatan anda dan tukarkan kepada bentuk emas. Kaedah termudah dan termurah di Malaysia buat masa ini bagi sesiapa nak simpan emas. Tak perlu 1 gram pun, minimum 0.25 gram.

Boleh mulakan simpanan emas patuh syariah dengan KAB Gold.

This image has an empty alt attribute; its file name is kab-gold-uncang-emas-800-700x990.jpg

Dengan minimum pembelian 0.25 gram emas atau serendah RM65 (berdasarkan harga emas RM260 segram), semuanya boleh dilakukan secara online.

Prosesnya sangat mudah:

  • Layari laman web KAB Gold
  • Lengkapkan borang pendaftaran
  • Verify emel

Kemudian dah boleh login dan buat pembelian pertama anda hari ini juga.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.