Jangan Benarkan Duit Mencerminkan Diri Anda

Duit merupakan segala-galanya, bukan? Tetapi jangan biarkan duit mencerminkan siapa diri anda yang sebenarnya. Anda harus bijak menguruskan kewangan anda dan bersikap rendah diri meskipun anda seorang yang kaya-raya.

Semakin anda merendah diri, semakin ramai orang akan menghormati anda. Penghormatan di atas usaha dan pengorbanan yang anda lakukan, adalah jauh lebih bermakna daripada penghormatan sebagai orang kaya yang tidak beradab.

1. Timbul Hasad Dengki

Apabila anda terlalu menonjolkan kekayaan anda, ini akan menimbulkan hasad dengki. Perkara yang paling utama ialah sentiasa bertanya diri anda, perlukah anda menonjolkan kekayaan anda di media sosial? Apakah tujuan anda menunjukkan kekayaan anda?

Sekiranya, semua persoalan ini hanya memberikan jawapan iaitu sebagai kepuasan diri, maka ini bukan satu perkara yang bijak anda mahu menunjuk kekayaan anda.

2. Keselamatan

Apabila anda menunjukkan kekayaan anda di laman sosial anda, ini juga berkait rapat dengan keselamatan anda. Anda seolah-olah “menjemput” perompak untuk datang ke rumah atau pejabat anda. Lebih-lebih lagi setiap kali anda memuat naik gambar, ianya akan disertakan sekali dengan lokasi di mana anda berada. Memang semakin mudah kerja orang jahat ni.

Dan mungkin anda akan berkata, “tak menunjuk pun masih dirompak” tetapi bukankah lebih baik kita mencegah daripada merawat?

3. Prasangka Buruk

Ini adalah lumrah mereka yang menonjolkan kekayaan masing masing. Seperti mana manusia lain, setiap orang mempunya prasangka dan pendapat masing-masing. Jelas hal ini terbukti apabila anda menunjukkan kekayaan anda sebagai satu cerminan diri anda, maka orang ramai akan mempunyai syak wasangka tersendiri. Samada prasangka yang buruk atau baik, terpulang kepada mereka.

Tetapi, kita semestinya mahu mengelakkan soalan “Bagaimana dia menjadi kaya tiba tiba?”, “Dari mana datangnya kekayaan tersebut?” atau “Adakah dia mempunyai orang dalam?”.

4. Hidup Tidak Aman

Mengapa? Apabila anda menunjukkan aset anda, percutian ke negara yang mahal atau barang mewah yang anda beli, anda akan sentiasa “bersaing” dengan orang lain siapa yang lebih hebat. Kalau ini merupakan persaingan yang sihat, tidak ada masalah tetapi kalau sentiasa “lawan” menunjukkan siapa lebih kaya, nescayalah hidup anda tidak aman. Anda akan sentiasa berasa semua orang mahu bersaing dengan anda, dan sentiasa berasa tidak berpuas hati dengan apa yang anda ada.

Seolah-olah tidak mensyukuri nikmat yang telah diberikan. Maka disebabkan itu, hidup dalam kesederhanaan lebih memuaskan dan menyenorokkan meskipun anda mempunyai aset bernilai berjuta-juta ringgit.

Jauhi Sifat Takbur, Ujub dan Riak

Sebagai konklusinya jangan benarkan kekayaan atau wang mencerminkan diri anda. Tiada gunanya anda mahu menunjukkan kekayaan anda di laman sosial sekiranya perkara ini memudaratkan anda dan keluarga anda sahaja.

Berfikir sejenak terlebih dahulu sebelum anda melakukan perkara yang mungkin dipandang serong oleh masyarakat.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian