Individu Lelaki Dikenakan Pertuduhan kerana Bersubahat  dengan Bekas MD Multi-Code berkenaan Penipuan Sekuriti

Mahkamah Sesyen KL tidak membenarkan Daniel Wong diikat jamin 

Kuala Lumpur, 9 Mei 2024 – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan pertuduhan terhadap Wong  Jit Kiang (Daniel Wong) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan  bersubahat dengan mendiang Toh Chun Toh Gordon (Toh) dalam penipuan Multi Code Electronics Industries (M) Berhad (Multi-Code) berjumlah RM17.6 juta pada  tahun 2007. 

Daniel Wong telah melarikan diri selama 15 tahun walaupun banyak usaha untuk  mengesannya telah dilakukan dan dua waran tangkap berasingan dikeluarkan  terhadapnya pada tahun 2009 dan 2019. 

Daniel Wong telah ditahan semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala  Lumpur Terminal 2 (KLIA2) sekembalinya dari Singapura, dengan bantuan Interpol,  Jabatan Hal Ehwal Komersial Pasukan Polis Singapura (CAD Singapura) dan Malaysia  Airports Aviation Security (AVSEC). 

Satu pertuduhan telah dikemukakan terhadap Daniel Wong di bawah seksyen 122C(c)  dibaca bersama seksyen 87A(b) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA) bagi kesalahan  bersubahat dengan Toh menggunakan RM17.5 juta daripada dana Multi-Code antara  26 dan 28 Mac 2007 untuk membiayai pembelian lebih 11 juta saham Multi-Code oleh  Ace Prelude Sdn Bhd. 

Jika disabitkan, Daniel Wong boleh didenda tidak kurang daripada RM1 juta dan  penjara tidak melebihi 10 tahun. 

Mendiang Toh, yang merupakan seorang warganegara Singapura dan bekas Pengarah  Urusan Multi-Code, sebelum ini telah dituduh oleh SC dengan satu pertuduhan utama  bagi kesalahan di bawah seksyen 87A(b) SIA pada tahun 2009. Toh juga dituduh  secara alternatif dengan satu pertuduhan melakukan kesalahan pecah amanah  (criminal breach of trust/CBT) di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan. 

Toh telah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan alternatif selepas  perbicaraan penuh dan telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda berjumlah  RM1 juta, jika gagal membayar denda, hukuman dua tahun penjara. Toh telah  memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukumannya,  bagaimanapun beliau telah meninggal dunia sebelum rayuannya didengar oleh  Mahkamah Tinggi.

Pada hari ini di mahkamah, Daniel Wong tidak mengaku salah dan mohon untuk  dibicarakan. SC telah membantah Daniel Wong diikat jamin dan telah berhujah  bahawa Daniel Wong merupakan seorang flight risk yang sebelum ini telah melarikan  diri ke luar negara ketika menghadapi pertuduhan yang lain dalam kes berasingan  oleh SC. 

Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Azrul bin Darus bersetuju dengan hujahan SC dan  tidak membenarkan Daniel Wong diikat jamin. 

Keputusan hari ini jelas menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa antara SC  dan agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa dalam memastikan pelaku  kesalahan undang-undang sekuriti dibawa ke muka pengadilan. SC ingin merakamkan  penghargaan kepada Interpol, CAD Singapura dan AVSEC atas bantuan yang  diberikan. 

Previous ArticleNext Article

SC Lancar investED For Returning Women, Sokong Wanita Kembali Bekerja Dalam Pasaran Modal

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan investED for Returning Women, program latihan dan kemasukan semula yang direka untuk menyokong wanita yang ingin menyertai semula pasaran modal selepas berhenti seketika daripada kerjaya (career break).

Program ini akan melengkapi wanita yang ingin kembali bekerja dengan pengetahuan, kemahiran dan peluang untuk berjaya dalam pasaran modal.

Program tersebut dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan YB Lim Hui Ying di SC.

investED for Returning Women, yang pertama kali diumumkan pada bulan Oktober tahun ini, telah menerima lebih 600 permohonan, mencerminkan minat dan permintaan tinggi dalam kalangan wanita yang mencari laluan berstruktur untuk kembali ke dalam pekerjaan profesional.

Umur pemohon adalah dalam linkungan pertengahan 30-an hingga akhir 40-an, dengan pengalaman dalam sektor minyak & gas, perbankan, kewangan dan insurans. Kebanyakan pemohon menyatakan sebab utama mereka berhenti bekerja adalah kerana tanggungjawab keluarga dan keperluan penjagaan (caregiving).

investED for Returning Women direka untuk menyokong wanita kembali bekerja selepas berhenti seketika, khususnya dalam sektor pasaran modal. Program ini disampaikan dalam dua fasa:

  1. REFRESH (kesediaan profesional & peribadi)

Tertumpu kepada membina keyakinan, memperkenalkan semula budaya tempat kerja dan meningkatkan kemahiran insaniah melalui klinik kerjaya, bimbingan peribadi dan networking untuk menyediakan peserta bagi penempatan kerja.

  1. RESKILL (kecekapan teknikal & pasaran)

Melengkapkan peserta dengan kemahiran teknikal dan pengetahuan industri terkini yang berkaitan dengan pasaran modal, disokong oleh latihan berstruktur, pendedahan industri dan sokongan susulan semasa enam bulan pertama pekerjaan.

Kedua-dua fasa menyediakan laluan komprehensif untuk wanita kembali ke dunia pekerjaan dengan jayanya. Peserta yang melengkapkan kedua-dua fasa akan menerima insentif sebanyak RM2,000 beserta sijil.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata program ini sejajar dengan usaha SC dalam meningkatkan kepelbagaian dan keterangkuman tenaga kerja pasaran modal, yang mana wanita mewakili sebahagian besar daripadanya.

“Dalam 100 syarikat tersenarai teratas di Bursa Malaysia, lebih 34% daripada jawatan lembaga pengarah dipegang oleh wanita setakat 1 Okt 2025.

“Dengan pasaran modal yang semakin canggih, serta dalam menghadapi kekurangan bakat, program ini bertujuan untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakaran profesional untuk kembali memperkukuh daya tahan pasaran,” katanya.

Sama seperti pendekatan yang diambil untuk Program Kepimpinan investED SC, investED for Returning Women menggabungkan pembelajaran bilik darjah, bimbingan dan penempatan industri.

SC juga akan memudahcarakan penempatan pekerjaan dengan menghubungkan peserta dengan syarikat rakan kongsi. Peserta juga akan menerima bimbingan daripada profesional berpengalaman dalam firma terkemuka.

Program ini disokong oleh 30% Club Malaysia, LeadWomen Sdn Bhd, Securities Industry Development Corporation (SIDC), PricewaterhouseCoopers Malaysia Holdings Sdn Bhd (PwC) dan Talent Corporation Malaysia Berhad. Rakan kongsi memainkan peranan aktif dalam mereka bentuk modul latihan dan menawarkan penempatan tempat kerja.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati https://www.invested.my/invested-for-women/.