Keadaan Pasaran Hartanah Sekarang – Nak Beli Ke Nak Sewa?

Soalan ini sering bermain di minda, terutamanya golongan muda yang baru nak membina keluarga baru. Mampu ke nak beli rumah dengan kos sara hidup yang meningkat saban tahun? Tapi takkan nak sewa sampai tua, nanti dah pencen nak duduk mana?

Jom kita buat kajian kes terhadap negeri Pulau Pinang. Kita nak tengok sejarah harga rumah daripada dulu sampai sekarang. Untuk itu, kita gunakan kemudahan atas talian berikut – Cara Nak Tahu Harga Rumah Tanpa Pergi Pejabat Tanah.

Sangat mudah, semuanya ada di hujung jari.

Kenapa kita guna laman web Brickz sebagai rujukan? Sebab ia mengambil data daripada Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta, yang merupakan sebuah jabatan di bawah Kementerian Kewangan Malaysia. Ia juga merekodkan segala transaksi hartanah setelah duti setem bagi Sales and Purchase Agreement yang telah dibayar.

Hartanah Di Pulau Pinang Dengan Bajet RM500 Ribu

Sumber: brickz.my

  • Tahun 2006, boleh beli sebiji Bungalow dengan harga RM557 ribu
  • Tahun 2010, boleh beli samada Townhouse atau Rumah Teres
  • Tahun 2017 pula, dengan bajet yang sama, hanya boleh beli Kondo dan Apartmen

Memang benar pun sejak kebelakangan ini, dengan bajet RM500 ribu, projek-projek yang laku adalah seperti di The Golden Triangle (Kondo), The Peak Residence (Kondo) dan The Oasis (Apartmen).

Kita ambil hartanah yang paling top iaitu The Golden Triangle pula untuk buat perbandingan.

Kondo The Golden Triangle, Sungai Ara

Sumber: brickz.my

Pada Jun 2017, harganya berlegar di paras RM508 ribu, tapi naik mendadak kepada RM650 ribu pada Disember 2017. Hanya dalam masa 6 bulan, harga trendline The Golden Triangle naik RM142 ribu atau 27.9%.

Sumber: Penang Property Talk

Tapi tahukah anda, The Golden Triangle ini siap dibina pada tahun 2014 dengan harga tak sampai RM400 ribu pun semasa pelancaran? Kini dah naik sampai RM650 ribu dalam masa kurang daripada 4 tahun.

Dulu sewa di The Golden Triangle mungkin dapat dalam RM1,000 tapi kini naik ke paras RM1,500.

Hartanah Di Pulau Pinang Dengan Bajet RM700 Ribu

Sumber: brickz.my

  • Tahun 2005, ada sebiji rumah Teres yang terjual pada harga RM723 ribu
  • Tahun 2011, masih boleh beli rumah Teres atau Semi-D pada harga RM700 ribu
  • Tahun 2017, semakin banyak Kondo dan ada juga Service Residence dijual pada harga RM700 ribu

Sejak kebelakangan ini juga, dengan bajet RM700 ribu masih boleh beli rumah Semi-D atau Teres, tapi kebanyakannya adalah jenis Kondo dan Service Residence.

Kita ambil hartanah yang paling top iaitu Gurney Park pula untuk buat perbandingan.

Kondo Gurney Park, Gurney Drive

Sumber: brickz.my

Pada Februari 2017, ia berada pada paras RM689 ribu dan turun sedikit pada paras RM687 ribu pada Oktober 2017. Jadi tak berubah sangatlah harga kondo di sini.

Sumber: Land Plus

Gurney Park ini agak berusia dengan siap pada tahun 1999. Pada awal pelancaran, ianya boleh dibeli pada harga ~RM250,000. Tetapi kini naik hampir ke paras RM700,000.

Dulu-dulu masa awal pelancaran, sewa di Gurney Park mungkin dapat bawah RM1,000 tapi kini naik ke paras RM2,000.

Hartanah Di Pulau Pinang Dengan Bajet RM1 Juta

Sumber: brickz.my

  • Tahun 2004, ada sebiji Kondo dijual pada harga RM1.4 juta. Pelik juga, dan tertanya-tanya siapa punya tu agak-agaknya?
  • Tahun 2010, Semi-D pula terjual pada harga RM1.3 juta
  • Tahun 2017 pula, Apartmen, Kondo, Teres, Semi-D dan Bungalow pula dijual pada harga lebih daripada RM1 juta. Ada juga ya apartmen berharga RM1.1 juta?

Dan bagi beberapa tahun yang lalu, anda masih mempunyai banyak pilihan bagi yang mempunyai bajet RM1 juta. Boleh beli Bungalow, Semi-D, Teres dan Kondo. Boleh beli Kondo Quayside, rumah Semi-D atau Teres di Setia Pulau Mutiara atau Kondo Bayu Feringhi.

Sekarang kita ambil pula hartanah yang paling top iaitu Quayside untuk buat perbandingan.

Kondo Quayside, Tanjung Tokong

Sumber: brickz.my

Pada Mac 2017, ianya berada pada paras RM1.9 juta dan pada Ogos 2017 juga kekal pada pada paras RM1.9 juta. Jadi tak berubah langung.

Sumber: Propwall

Kondo Quayside ini di antara projek yang baru disiapkan pada tahun 2013. Kalau dulu ianya boleh dibeli serendah RM739,000, kini harganya mencecah RM1 juta dan ke atas.

Dulu-dulu masa awal pelancaran, sewa di Gurney Park mungkin dapat sekitar RM2,000 tapi kini paling murah pun RM3,000 dan ke atas.

Mari Berkenalan Pula Dengan Hartanah Di Batu Maung Yang Sedang Trending

Sumber: brickz.my

Boleh tahan juga hartanah di Kawasan Batu Maung ni. Pada April 2013, ianya berapa pada paras RM1.1 juta dan pada November 2017 semakin naik ke paras RM1.3 juta. Agak-agak 2018 dan seterusnya turun ke naik?

Mestilah semakin naik.

Dan terkini ada 5 hartanah yang hot berharga RM1 juta dan ke atas seperti di atas.

Kita ambil Sunway Tunas Jaya sebagai rujukan pula.

Teres Sunway Tunas Jaya, Batu Maung

Sumber: Propwall

Semasa Sunway Tunas Jaya ini siap pada tahun 2010, ada yang boleh dibeli di bawah RM400,000. Tapi sekarang harganya telah mencecah RM1 juta ke atas.

Dan kalau dulu mungkin boleh lagi dapat sewa bawah RM1,000, tapi kini paling murah pun RM1,300 sebulan.

Perlu Beli Sekarang Atau Berdepan Harga Yang Semakin Meningkat

Kalau kita masih ingin menyewa, dikhuatiri sewa akan semakin naik dari setahun ke setahun. Dan apabila harga rumah semakin meningkat, semakin tak mampu pula kita nak beli nanti.

Ini kerana gaji rakyat Malaysia tidak mampu nak menandingi harga rumah yang meningkat setiap tahun. Tak percaya?

Jika merujuk kepada artikel Gaji & Upah Rakyat Malaysia Tahun 2016 mengikut Kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, gaji median pekerja Malaysia meningkat daripada RM1,600 sebulan kepada RM1,703 iaitu peningkatan sebanyak 6.2%; manakala gaji min pekerja Malaysia pula meningkat daripada RM2,312 sebulan kepada RM2,463 iaitu peningkatan sebanyak 6.3%.

Rasa-rasanya, harga rumah naik 6% setahun seiring dengan kenaikan gaji atau harga rumah naik pada kadar yang lebih tinggi?

  • Rumah yang dahulunya dibeli dengan harga RM250,000 pada tahun 1999 kini berharga RM700,000. Tapi boleh dapat ke harga rumah RM250,000 di Pulau Pinang pada hari ini?
  • Rumah yang dahulunya dibeli dengan harga RM400,000 pada tahun 2014 kini berharga RM600,000.
  • Rumah yang dahulunya dibeli dengan harga RM700,000 pada tahun 2013 kini berharga lebih daripada RM1 juta.

Cukuplah dengan melihat pada kajian kes di Pulau Pinang seperti di atas untuk dijadikan sebab yang kukuh untuk membeli rumah pada hari ini juga.

Dengar cerita Sunway Property baru siapkan satu projek di Pulau Pinang, boleh tengok-tengok Sunway Cassia @ Batu Maung. Tengok gambar pun macam best sangat.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Belanjawan 2026: Membina Pasaran Perumahan Masa Depan untuk Malaysia

Ketika rakyat menantikan Belanjawan 2026, pasaran hartanah berada di persimpangan yang penting. Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menetapkan sasaran reformasi perumahan bercita-cita tinggi, termasuk penyediaan sejuta rumah mampu milik menjelang 2035. Namun, ujian sebenar adalah memastikan aspirasi ini diterjemahkan kepada langkah-langkah yang menangani keadaan pasaran semasa. Data pasaran terkini menunjukkan wujud cabaran dan juga peluang. Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), jumlah transaksi hartanah Malaysia menurun 1.3% pada separuh pertama 2025 kepada 196,232 transaksi, manakala nilai transaksi meningkat 1.9% kepada RM107.68 bilion. Angka ini menunjukkan sebuah pasaran bercampur, dengan jumlah transaksi lebih rendah tetapi nilai keseluruhan lebih tinggi, mencerminkan sentimen pembeli yang berhati-hati tetapi harga kekal berdaya tahan. Ini menandakan pasaran menunggu kejelasan dan sokongan yang lebih kukuh.

Kami mendapati permintaan terhadap rumah mampu milik kekal kukuh, khususnya untuk kediaman berharga bawah RM300,000. Sehingga September 2025, lebih 20,500 hartanah di seluruh negara disenaraikan di PropertyGuru di bawah paras harga ini, dengan kira-kira 2,500 di Kuala Lumpur sahaja. Namun, kebanyakan rumah ini adalah stok sedia ada, terletak jauh daripada kemudahan pengangkutan awam, atau memerlukan renovasi besar — menekankan bahawa kemampuan bukan sekadar tentang harga.

Kemampuan Perumahan

Perumahan mampu milik bukan sekadar mencapai sasaran angka, tetapi memastikan rumah benar-benar berada dalam jangkauan isi rumah. NAPIC melaporkan harga rumah purata di Malaysia pada separuh pertama 2025 adalah RM486,070, jauh melebihi tahap mampu milik untuk ramai keluarga B40 dan M40 bawahan. Berdasarkan paras pendapatan, rumah di bawah RM300,000 dianggap mampu milik, namun penawarannya di lokasi strategik masih terhad.

Data platform kami menunjukkan ketahanan positif dalam tingkah laku pembeli. Carian untuk rumah bawah RM300,000 melonjak 27.3% dari April hingga Jun 2025 dan kekal stabil sepanjang Julai, mencerminkan kesan positif sokongan dasar dan kestabilan sentimen. Walaupun terdapat penurunan antara Disember 2024 hingga September 2025, di mana carian untuk rumah bawah RM300,000 susut 8.7% akibat ketidaktentuan ekonomi, lonjakan semula ini membuktikan rakyat Malaysia cepat kembali apabila mereka melihat peluang dan kestabilan di pasaran.

Lokasi tetap menjadi faktor kritikal. Permintaan tertinggi bagi rumah mampu milik adalah di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang — negeri-negeri dengan tumpuan pekerjaan, infrastruktur dan kemudahan. Belanjawan 2026 boleh memberi impak besar dengan menggalakkan pembangunan rumah berharga sederhana yang berhubung dengan pengangkutan awam di koridor berpermintaan tinggi. Sementara itu, skim Sewa-untuk-Milik (RTO) boleh menjadi jambatan praktikal untuk banyak keluarga. Bagi isi rumah B40, di mana tahap mampu sewa sekitar RM1,500, skim RTO yang berstruktur baik boleh membuka laluan ke arah pemilikan rumah sambil menangani keperluan perumahan mendesak.

Menyelaraskan Penawaran Dengan Permintaan Sebenar

Cabaran perumahan di Malaysia adalah memastikan penawaran mencukupi dan seiring dengan keperluan pembeli rumah. Sebahagian projek masih menyasarkan harga lebih tinggi, menyebabkan jurang dalam segmen pertengahan di mana majoriti pembeli berpotensi sedang mencari. Menurut NAPIC, pelancaran perumahan baharu menurun sebanyak 46% pada separuh pertama 2025 kepada 23,380 unit, berbanding 43,167 unit pada separuh pertama 2024. Pada masa yang sama, jumlah rumah siap yang tidak terjual meningkat 16.3% kepada 26,911 unit bernilai RM18.6 bilion.

Belanjawan 2026 berpeluang merapatkan jurang ini. Menyokong projek berharga sederhana di koridor bandar berpermintaan tinggi, menggalakkan pembangunan semula kawasan terbiar, serta mempercepatkan kelulusan melalui digitalisasi dan garis masa yang lebih jelas akan memastikan penawaran baharu lebih mencerminkan realiti isi rumah Malaysia.

Perumahan Mampan dan ESG

Kemampuan sahaja tidak akan menjamin masa depan sektor perumahan Malaysia. Semakin ramai rakyat Malaysia mahukan rumah yang bukan sahaja mampu milik, tetapi juga lestari, cekap tenaga dan bertanggungjawab secara sosial. Projek di pasaran kebelakangan ini menunjukkan pemaju mula mengintegrasikan prinsip tersebut ke dalam projek mereka, daripada mengekalkan kawasan hijau yang luas dalam pelan induk perbandaran kepada menggabungkan ciri bandar rendah karbon dan pintar yang meningkatkan kebolehdiaman sambil mengurangkan impak alam sekitar.

Pada masa yang sama, bangunan baharu mencapai pensijilan hijau tertinggi, menampilkan kemajuan dalam reka bentuk yang memberikan manfaat nyata dari segi kecekapan tenaga, air dan sumber. Perkembangan ini membuktikan bahawa kelestarian bukan sekadar ideal, tetapi piawaian yang boleh dicapai dan ditingkatkan dalam sektor ini. Ini sejajar dengan keutamaan ESG global serta boleh mengurangkan kos jangka panjang isi rumah sambil melindungi nilai aset.

Belanjawan 2026 boleh mempercepatkan peralihan ini dengan memberi insentif terhadap penggunaan teknologi binaan hijau, daripada panel solar di bumbung dan sistem penjimatan air kepada Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang mengurangkan pembaziran dan mempercepatkan pembinaan. Pada masa yang sama, dasar yang menggalakkan pengubahsuaian stok rumah sedia ada dengan penambahbaikan penjimatan tenaga dapat mengurangkan kos utiliti bulanan untuk keluarga dan memanjangkan jangka hayat hartanah lama.

Aspek sosial ESG juga penting. Membentuk kerangka komuniti campuran yang layak didiami dengan sokongan pengangkutan, pendidikan, dan penjagaan kesihatan akan memastikan dasar perumahan menyumbang kepada matlamat nasional yang lebih inklusif dan mobiliti sosial. Pendedahan lebih telus tentang piawaian prestasi bangunan, termasuk penarafan tenaga dan kesihatan dana penyelenggaraan, juga akan meningkatkan keyakinan pembeli serta menggalakkan pengurusan aset yang lebih baik.

Dengan mengintegrasikan pertimbangan ESG dalam dasar perumahan, Malaysia boleh membina bukan sahaja lebih banyak rumah, tetapi rumah yang lebih baik — cekap, berdaya tahan dan seiring dengan trajektori pembangunan jangka panjang negara di bawah RMK13.

Memperkasakan Ekosistem Perumahan

Belanjawan 2026 bukan sekadar dokumen fiskal. Ia adalah peluang untuk mencerminkan realiti pasaran dan aspirasi rakyat Malaysia. Dengan memberi tumpuan kepada kemampuan, menyelaraskan penawaran dengan permintaan sebenar, dan menempatkan kelestarian dalam perumahan, kerajaan dapat memastikan visi RMK13 diterjemahkan kepada hasil yang nyata.

Di PropertyGuru dan iProperty, kami kekal komited untuk bekerjasama dengan pembuat dasar, pemaju, dan institusi kewangan bagi menyediakan pandangan serta alatan digital yang membantu rakyat Malaysia membuat keputusan pemilikan rumah dengan yakin. Belanjawan 2026 boleh menjadi asas kepada ekosistem perumahan yang telus, inklusif, dan berdaya tahan — di mana setiap rakyat Malaysia mempunyai pilihan sebenar, dan peluang yang adil, untuk memiliki rumah.