Teknik Mudah Kurangkan Kerugian Bisnes Airbnb Anda

Airbnb yang diasaskan pada Ogos 2008 kini merupakan salah satu online marketplace terpenting dalam hartanah di seluruh dunia termasuk Malaysia. 

Ramai yang tidak tahu bahawa, Airbnb berjaya menjana keuntungan RM3 bilion di Malaysia pada tahun 2019. 

Data juga menunjukkan lebih daripada 3.25 juta tetamu antarabangsa dan domestik telah menggunakan perkhidmatan Airbnb setakat Julai 2018 hingga Julai 2019 sahaja!

Baca : Apa Itu Airbnb? Juga Ada Fakta Menarik Airbnb

Penggunaan Airbnb sebagai platform penginapan utama menggantikan hotel, telah meningkat secara drastik sehingga 98% pada tahun 2018 hingga tahun 2019. 

Buat pengetahuan anda, ada lebih 53,000 senarai Airbnb di Malaysia.

Sayangnya, ekoran pandemik dan ketidakstabilan politik tempatan, banyak hos Airbnb di Malaysia gulung tikar. Ini termasuk pelabur hartanah lain dengan strategi rental arbitrage.

Sebelum itu, penting untuk anda fahami terlebih dahulu apa itu rental arbitrage. 

Rental arbitrage lebih kurang sama dengan sublet, tetapi bezanya rental arbitrage menyewakan rumah dalam tempoh pendek (harian, mingguan).

Baca : Apa Itu ‘Rental Arbitrage’ Untuk Pelabur Hartanah?

Tidak dapat dinafikan, ramai pelabur hartanah yang salah percaturan apabila memasuki pasaran Airbnb sewaktu awal pandemik dahulu. 

Ramai hos Airbnb hilang punca apabila pandemik melanda diburukkan lagi dengan jumlah jangkitan harian COVID-19 yang meningkat dan larangan rentas negeri di seluruh negara.

Tetapi, daripada sudut pandang bisnes sebenarnya ada solusi yang boleh anda cuba lakukan. 

Baca : Bagaimana Airbnb Hilang Segala-Galanya Dalam Masa 6 Minggu

Artikel ini akan membongkar tips & strategi yang digunapakai Umar Abdul Aziz, seorang anak muda yang juga hos Airbnb dalam mengharungi cabaran pandemik di Malaysia. 

Solusi Untuk Selamatkan Bisnes Airbnb Anda  

1. Ambil Permintaan Semasa 

Semenjak April 2020 lagi, Kerajaan telah membenarkan individu yang dijangkiti virus COVID-19 untuk melaksanakan kuarantin kendiri di rumah, hotel atau rumah inap. 

Di sini, anda sebenarnya boleh menggunakan hartanah anda sebagai pusat kuarantin individu. 

Selain itu, kediaman anda juga boleh digunakan sebagai lokasi ‘staycation’ buat mereka yang ingin menukar angin. 

Aktiviti ‘staycation’ sangat ditunggu – tunggu rakyat Malaysia yang sudah lama terperap di dalam rumah masing – masing. 

2. Diskaun & Moratorium 

Umum mengetahui bahawa kerajaan membenarkan moratorium secara automatik buat individu yang terkesan secara langsung dari pandemik ini. 

Akan tetapi, memandangkan bukan semua hos Airbnb adalah pemilik kediaman, anda boleh memohon diskaun bayaran bulanan daripada tuan rumah. 

3. Kurangkan Kos 

Bagi mengurangkan kos pembersihan dan bil utiliti, anda boleh mewajibkan tetamu untuk membuang sampah, mencuci tandas dan sinki rumah sebelum mereka keluar.

Dengan cara ini, anda hanya perlu fokus pada aktiviti pembersihan yang lebih lama, contohnya membasuh dan menjemur cadar dan lain – lain. 

Tips Kurangkan Kerugian Dalam Bisnes Airbnb

Ramai tidak sedar yang kejayaan bisnes Airbnb memerlukan kediaman tersebut fully occupied setiap hari. 

Untuk memastikan kediaman sentiasa penuh setiap hari, anda boleh tawarkan harga sewaan pada harga paling minimum asalkan rumah anda tidak sepi. 

Tips kedua, anda sebenarnya tidak perlu untuk mengeluarkan kos untuk mengiklankan kediaman anda di sosial media. 

Hal ini kerana, sistem di dalam aplikasi Airbnb sudah cukup baik sekiranya anda menjaga rating rumah kediaman anda. 

Jadikan aktiviti meminta pandangan dan cadangan dari tetamu anda sebagai salah satu strategi untuk sentiasa memperbaiki servis dan kualiti kediaman anda. 

Sebahagian besar tetamu inginkan rumah yang selesa dengan pengalaman sebenar dalam radius 1KM – 5KM dari kawasan tersebut. 

Kadangkala, kita hanya perlu fokus pada benda yang kita boleh kawal dan buat sebaik mungkin. 

Tips ketiga dan terakhir adalah dengan membuat kolaborasi untuk acara kekeluargaan dan penggambaran video dan filem. 

Bergantung pada lokasi dan dekorasi dalaman kediaman anda, semakin menarik lokasi dan dekorasi dalaman, semakin mudah untuk anda mempromosikan kediaman anda untuk disewa. 

Semua tips di atas dikongsikan saudara Umar Abdul Aziz yang mempunyai senarai kediaman Airbnb di iCity Shah Alam dan Tamarind Square. 

Buat pemilik kediaman atau hos Airbnb di luar sana, mungkin anda boleh menggunakan tips ini untuk kelestarian bisnes Airbnb anda. 

Sumber Rujukan : 

Previous ArticleNext Article

Dilema mahu membeli atau menyewa rumah

Memiliki rumah sejak sekian lama dianggap sebagai simbol kestabilan dan kejayaan hidup bagi rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah ramai golongan muda merasakan mereka perlu membeli rumah secepat mungkin yang memaksa mereka menanggung komitmen pinjaman perumahan selama 30 hingga 40 tahun.

Namun, dalam cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, harga rumah yang terus berada di luar kemampuan sebahagian besar pembeli muda serta corak pekerjaan yang semakin dinamik, tiba masanya kita menilai semula maksud sebenar ‘seseorang itu ada rumah’.

Pada asasnya, rumah adalah tempat berteduh dan menyediakan keperluan asas untuk kediaman. Yang mustahak adalah ‘jaminan tempat kediaman dan kepentingan untuk mendiami’ yang lazimnya adalah melalui pemilikan tetapi boleh juga melalui penyewaan.

Bagi ramai golongan muda, terutamanya di peringkat awal kehidupan, menyewa boleh menjadi pilihan yang lebih praktikal dan fleksibel.

Ia membolehkan mereka mampu untuk menetap berhampiran tempat kerja, mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan beban hutang jangka panjang sebelum benar-benar bersedia untuk membeli rumah sendiri.

Perubahan cara berfikir ini secara perlahan-lahan membuka ruang kepada perkembangan pasaran sewaan di Malaysia, termasuk kemunculan konsep ‘co-living’ atau kediaman bersama di dalam sebuah komuniti transit, serta juga konsep Rent-to-Own (RTO) atau Sewa-untuk-Beli.

Walaupun segmen ini masih kecil berbanding pasaran sewaan konvensional, ia semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda.

Konsep ‘co-living’ menawarkan bilik atau unit yang lengkap dengan perabot, tempoh sewaan yang lebih fleksibel serta kemudahan bersama yang diuruskan secara profesional.

Ia juga mengurangkan kos kemasukan (barrier of entry) kerana penyewa tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli perabot atau menanggung pelbagai kos utiliti secara berasingan.

Bagi golongan belia dan profesional muda, pekerja kontrak serta mereka yang sering berpindah lokasi pekerjaan, ‘co-living’ menyediakan pilihan perumahan yang lebih mudah dan praktikal tanpa perlu membuat komitmen membeli rumah ketika pendapatan mereka, khususnya pendapatan boleh guna mereka masih sedang dibina dan deperkukuhi.

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi sekiranya pasaran sewaan ingin berkembang menjadi satu cabang penting dalam ekosistem perumahan negara.

Cabaran pertama ialah persepsi masyarakat. Budaya pemilikan rumah masih sangat kuat dan menyewa sering dianggap sebagai pilihan sementara atau petanda seseorang mencapai kestabilan kewangan.

Persepsi ini ada benarnya, tetapi ia juga mewujudkan tekanan sosial yang menyebabkan ramai membeli rumah lebih awal daripada kemampuan sebenar mereka ataupun menyebabkan kerakusan pasaran yang sehingga mengakibatkan tekanan mental dan emosi.

Hakikatnya, keperluan perumahan setiap individu berbeza mengikut peringkat kehidupan. Ada yang memerlukan fleksibiliti untuk berpindah mengikut kerjaya, manakala ada yang lebih selesa menangguhkan pembelian rumah sehingga kedudukan kewangan mereka lebih kukuh.

Oleh itu, menyewa tidak sepatutnya sewenang-wenangnya dilihat sebagai pilihan yang kurang baik sehingga dilihat sebagai stigma berbanding pemilikan rumah.

Cabaran kedua ialah pasaran sewaan negara yang masih belum matang dan terpasung. Sebahagian besar pasaran masih dikuasai oleh pemilik individu dengan standard pengurusan, syarat penyewaan dan kualiti penyelenggaraan yang berbeza-beza.

Keadaan ini menyebabkan pengalaman menyewa tidak seragam dan kadangkala menimbulkan ketidakpastian kepada penyewa dan juga pemilik rumah.

Cabaran ketiga pula ialah kekurangan rangka kerja perundangan yang menyeluruh untuk mengawal selia sektor sewaan kediaman.

Pelaksanaan dan penggubalan sebuah akta, seperti Akta Penyewaan Kediaman (RTA) yang satu ketika dahulu diusulkan tetapi tertangguh, perlu disegerakan bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih teratur dan telus.

Sebuah akta yang khusus untuk regulasi pasaran penyewaan sektor kediaman ini berpotensi untuk menyediakan perlindungan yang lebih jelas kepada penyewa dan juga pemilik, memperkukuhkan mekanisme penyelesaian pertikaian serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pengendali profesional dalam sektor perumahan sewaan.

Bagi akta sedemikian, keutamaan harus diberikan kepada pendekatan yang mesra penyewa, mesra pemilik dan mesra pelabur yang mengimbangi secara saksama kepentingan-kepentingan setiap pemegangtaruh untuk melahirkan satu persekitaran pasaran yang menang-menang.

Tumpuan juga harus diberikan untuk memperhalusi dan mengukuhkan konsep RTO atau Sewa-untuk-Beli sebagai salah satu langkah penyelesaian menang-menang.

Dalam jangka panjang, pembangunan pasaran sewaan yang lebih tersusun akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Persediaan dan ketersediaan bakal pembeli rumah adalah berbeza-beza di dalam persekitaran yang mencabar dewasa ini di samping tekanan sosial berkenaan kemampuan dan pemilikan rumah idaman.

Walaupun apapun keadaannya, yang pasti adalah setiap individu dan isi rumah seharusnya mempunyai akses dan jaminan tempat kediaman yang selesa, mempunyai akses kepada kemudahan, selamat dan mampu dibayar mengikut keperluan serta kedudukan kewangan masing-masing.

Dalam hal ini, memperkukuhkan pasaran sewaan melalui konsep seperti RTO dan ‘co-living’ serta pemerkasaan rangka kerja perundangan berpotensi untuk melengkapkan ekosistem perumahan negara dengan menyediakan pilihan yang lebih pelbagai dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pengarah Kanan, Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian