5 Risiko Kita Kena Tanggung Bila Melabur Melalui Equity Crowdfunding (ECF)

Seperti yang kita tahu, pelaburan melalui Equity Crowdfunding (ECF) ni memang pelaburan yang berisiko tinggi. Tapi, jangan lupa, pulangannya juga memang menggiurkan.

Bagi mereka yang nak tahu lebih mendalam tentang ECF ni, jemput baca Ketahui Asas Equity Crowdfunding (ECF): Pelaburan Dengan Modal Rendah Tapi Potensi Pulangan Yang Tinggi.

Dalam tulisan kali ini, kita akan meneliti apakah risiko yang pelabur kena tanggung apabila pelabur memilih untuk melabur ke dalam syarikat-syarikat yang mendapatkan modal melalui ECF ini.

Berikut adalah risiko-risiko yang berkaitan dengan pelaburan ECF:

1. Hilang Semua Modal

Ini kerana pelaburan dalam syarikat yang baru bermula dan ditambah lagi dengan konsepnya yang mengejar skala besar dengan pantas memang terdedah kepada risiko yang sangat tinggi. Sama ada berjaya atau gagal.

Oleh sebab itu sebelum kita nak melabur ke dalam ECF, kita memang kena buat analisa mendalam tentang syarikat.

2. Tidak Kerap Dapat Dividen

Hal dividen ni memang bergantung kepada polisi syarikat. Memang ada sebahagian syarikat yang menawarkan dividen setiap tahun hingga ke exit plan mereka.

Tapi boleh kata jarang untuk dapat tawaran macam tu. Ada rezeki, ada. Kalau tak ada pun, ok sahaja.

Sebab sasaran utama kita ialah untuk menyokong syarikat supaya mereka sampai ke exit plan mereka. Lepas itu, kita nikmati pulangan yang berganda-ganda!

3. Tidak Cair

Photo by Lood Goosen from Pexels

Senang cerita, jumlah pelaburan anda akan digunakan untuk mengembangkan potensi syarikat. Pelabur hanya akan merasai keuntungan sekiranya, syarikat ada declare dividen atau syarikat berjaya ke fasa exit plan mereka.

Jadinya kita boleh anggap duit kita tidak boleh dikeluarkan dah, sehingga ada pelabur lain yang nak beli syarikat tersebut atau syarikat yang kita nak labur sampai ke fasa IPO. Sukar juga bagi pelabur untuk menjual saham mereka dalam syarikat tersebut kepada pihak lain.

Itulah yang dimaksudkan dengan istilah ‘tidak cair’ bila melabur ke dalam ECF ni.

4. Dilution

Photo by Karim MANJRA on Unsplash

Istilah dilution di sini bermaksud syarikat tersebut menerbitkan saham baru. Katakanlah syarikat itu ada 1,000 saham. Bulan depan, mereka nak terbitkan 1,000 saham tambahan untuk menampung perbelanjaan baru untuk syarikat.

Kesannya, peratusan pegangan saham bagi pelabur sedia ada dan tidak membeli saham yang baru diterbitkan tadi, akan berkurangan. Asalnya tadi kita memperoleh 3% pegangan dalam syarikat, kini mungkin tinggal hanya 2.5% pegangan.

5. Kurang Penguasaan Dalam Syarikat

Bila melabur melalui ECF ni, selalunya pegangan yang diberikan untuk setiap pelabur tak banyak pun. Biasanya kurang daripada 1%, bergantung juga kepada nilai pelaburan. Boleh kata, kita ini memang tak berapa signifikan.

AGM syarikat juga hanya akan dihadiri wakil platform ECF. Kita hanya boleh mencadangkan idea-idea kita melalui wakil tersebut. Jadi, hati mesti kental jika syarikat mengambil langkah yang tidak menepati cita rasa pelabur. Kental tak tu?

Begitulah risiko-risiko yang pelabur kena cekal hadapi dan tanggung sampai ke exit plan syarikat. Kalau kita jenis nak hasil cepat, maka jelaslah yang pelaburan ini bukan untuk kita.

Bagi pelabur yang tahap sabarnya memang tinggi, maka yakinlah bahawa pelaburan jenis ini dicipta untuk anda. Boleh risik-risik di platform ECF yang tersedia secara atas talian. Mana tahu ada yang berkenan di hati.

Jika anda berminat untuk melabur dalam projek perumahan property crowdfunding & P2P patuh shariah di Indonesia, boleh klik sini.

Ditulis oleh Afif Amir, sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam bidang Actuarial & Financial Mathematics. Meminati dunia pelaburan terutama berkaitan saham, equity crowdfunding dan pelaburan digital. Full time PhD, trader, part-time investor & Marketing Representative untuk iSaham & Malacca Securities.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Cuaca Panas Pacu Permintaan Minyak Sawit, Harga Diunjur Sehingga RM4,000 Satu Tan

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Permintaan minyak sawit Malaysia dijangka meningkat pada tahun ini, didorong oleh faktor cuaca panas yang turut memacu harga sekitar RM3,800 hingga RM4,000 satu tan, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Sehubungan itu, Ketua Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata pihaknya berharap pengeluaran komoditi itu dapat ditingkatkan pada tahun ini.

“Kita berharap dapat mengeluarkan kira-kira 19 juta tan (pada tahun ini) daripada 18 juta tan pada 2022.

“Ini berikutan faktor seperti kemasukan semula pekerja asing pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Media di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ahmad Parveez berkata usaha penanaman sawit juga dijangka dijejaskan oleh fenomena El Nino pada tahun depan yang boleh mengurangkan pengeluaran sehingga 10 peratus.

Cuaca panas tersebut juga akan memberi kesan kepada sebahagian besar kawasan penanaman di Sabah dan Sarawak.

Malah, Ahmad Parveez berkata, suhu panas melampau boleh menjejaskan kehadiran kumbang yang berperanan untuk melakukan proses pendebungaan.

“Pada masa sama, tanaman itu sendiri turut memberi reaksi terhadap cuaca panas yang menyaksikan perubahan nisbah penghasilan bunga betina dan jantan, termasuk lebih banyak bunga jantan.

“Pokok yang mengalami tekanan akan menghasilkan lebih banyak bunga jantan (dan mengurangkan hasil pengeluaran),” katanya.

Beliau turut merujuk senario pada 2016 apabila pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) susut sebanyak 20 peratus disebabkan oleh El Nino.

“Namun, kali ini, mujurlah kita mempunyai peralatan penanaman lebih baik serta penambahbaikan keadaan pekerja yang dapat menampan impak tersebut,” katanya.

Sementara itu, mengulas perkembangan berkaitan misi dua hari Malaysia-Indonesia ke Brussels mulai 30 Mei ini, Pengerusi MPOB Mohamad Helmy Othman Basha berkata ini merupakan misi pertama membabitkan kedua-dua negara ke pasaran besar tersebut.

“Bagi Malaysia, Kesatuan Eropah (EU) adalah pasaran ketiga terbesar dan kita mahu memberi mesej jelas bahawa Malaysia dan Indonesia yang juga dua pengeluar utama minyak sawit dunia, sudah melakukan banyak usaha sejak 10-15 tahun dalam aspek alam sekitar, hutan…kita mahukan pihak EU memperakui fakta tersebut.

“Banyak penambahbaikan yang telah kita lakukan, tapi (malangnya) mereka tidak memperakuinya. Mesej yang kita mahu tekankan atau sampaikan kepada Brussels pada minggu depan adalah kita tidak mahu EU menggubal sebarang undang-undang baharu yang mendiskriminasi industri kita,” tegasnya.

Malaysia dan Indonesia secara gabungannya menyumbang sebanyak 80 peratus dalam pasaran minyak sawit.

Pada majlis hari ini, wartawan Bernama, Nurul Hanis Izmir menjadi antara penerima anugerah MPOB di atas sumbangan terhadap industri minyak sawit negara.

— BERNAMA