Dengar Kata ASB Dan ASN Ni Tak Patuh Syariah. Betul Ke?

Sebelum tu, kami bagi back story sikit – Pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) adalah antara pelaburan yang paling popular di Malaysia. Kedua-dua pelaburan ni diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), sebuah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). PNB pula ditubuhkan pada 17 Mac 1978 bertujuan bagi menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan mengalakkan pelaburan dalam kalangan Bumiputera. Setakat 2017, ASNB menguruskan dana berjumlah RM207.398 bilion.

Kenapa pelaburan ASB dan ASN ni popular?

  • Prestasi pelaburan yang konsisten dengan kadar dividen setinggi 7% hingga 10%
  • Dividen dan bonus dikecualikan cukai
  • Pelaburan dijamin oleh kerajaan
  • Penjualan unit boleh dilakukan bila – bila masa bagi yang memerlukan tunai
  • Terdapat lebih daripada 2,000 cawangan ejen di seluruh negara
  • Antara agen-agen terlibat adalah Maybank, CIMB, RHB, BSN, Affin Ambank, Pos Malaysia
  • Kebanyakan agen menyediakan medium pelaburan yang pantas dan mudah melalui khidmat atas talian

Apa status pelaburan ASB dan ASN ni? Haram ke tak?

Status pelaburan ASB dan ASN ni mula menjadi perhatian umum apabila terdapat percanggahan diantara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI). Jom kita fahami apa perbezaan fungsi dan kaedah yang dipakai oleh SC dan MKI terlih dahulu.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)

Salah satu peranan SC adalah membuat keputusan samada sesuatu sekuriti diklasifikasikan sebagai patuh syariah atau tak adalah dengan mengikut garis panduan yang dikenali sebagai kaedah “kuatitatif”. Ada 2 perkara yang diambil kira:

  • Tanda Aras Aktiviti Perniagaan

Sekiranya aktiviti peniagaan bercampur diantara aktiviti patuh syariah dan tidak patuh syariah, keuntungan sebelum cukai sesebuah syarikat akan menentukan status sekuriti syarikat tersebut. Contohnya, syarikat perbankan atau insurans yang menjalankan aktivti perniagaan konvensional (mempunyai unsur riba) dalam masa yang sama menjalankan perniagaan Islamik.

Jika perolehan daripada perniagaan konvensional melebihi tanda aras 5% daripada perolehan syarikat, maka sekuriti syarikat ini boleh dianggap sebagai tidak patuh syariah. Tanda aras aktivti perniagaan adalah berbeza mengikut jenis aktiviti perniagaan. 

  • Tanda Aras Nisbah Kewangan

Tunai ke atas jumlah aset
Tunai yang disimpan dalam akaun konvensional (mempunyai unsur riba) tidak boleh melebihi 33% daripada kedudukan penyata kewangan syarikat

Hutang ke atas jumlah aset
Hutang yang dibayar sekali dengan faedah (mempunyai unsur riba) tidak boleh melebihi 33% daripada kedudukan penyata kewangan syarikat
Oleh itu, apabila tanda aras aktiviti perniagaan dan tanda aras nisbah kewangan menepati garis panduan syariah yang ditetapkan oleh SC, maka sekuriti syarikat tersebut dikalsifikasikan sebagai patuh syariah.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI)

MKI ni pulak bertanggungjawab untuk mengeluarkan dan menyelaraskan hukum yang berkaitan dengan agama Islam di peringkat nasional melibatkan kepentingan seluruh umat Islam. Kaedah ketetapan hukum yang digunapakai adalah kaedah “istinbat” iaitu membuat keputusan hukum syarak  berpandukan al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qiyas, serta dalil-dalil lain. MKI juga mengambil kira kepentingan umum, keperluan dan maqasid syariyyah dan siasah syar’iyyah. 

Macam mana boleh ada pertikaian status pelaburan ASB dan ASN ni?

Setakat November 2018 , SC masih mengklasifikasikan pelaburan ASB dan ASN sebagai tidak patuh syariah kerana tak menepati garis panduan patuh syariah yang ditetapkan oleh SC. 

Tapi, MKI pulak fatwakan bahawa hukum pelaburan ASB dan ASN ni adalah HARUS sejak tahun 2008. MKI berpendapat bahawa PNB sebagai pengurus dana ASB dan ASN tidak melabur dalam sektor berkaitan arak mahupun judi. 70% pelaburan PNB adalah menepati syariah. Hanya 30% sahaja dana dilaburkan dalam sektor kewangan (Maybank) dimana sekuriti Maybank adalah tidak patuh syariah. Pelaburan dalam sektor halal adalah lebih banyak daripada sektor yang haram disokong oleh Kenyataan Media yang dikeluarkan pengerusi MKI pada 2014. 

Habis tu, boleh ke tak melabur dalam ASB dan ASN?

SC dan MKI adalah dua badan berkuasa dalam bidang masing – masing. SC boleh menyenaraikan mana-mana sekeruti sebagai patuh syariah atau tidak patuh syariah mengikut garis panduan yang ditetapkan SC. ASB dan ASN tidak terkecuali daripada garis panduan tersebut.

Tapi perlu diingatkan bahawa status sekuriti boleh berubah-ubah daripada tidak patuh syariah kepada patuh syariah dan sebaliknya sekiranya garis panduan SC berubah atau berlaku penstrukturan semula aktiviti sesebuah syarikat.

Keputusan hukum yang dikeluarkan oleh MKI pulak adalah berpandukan kepada Ijtihad Jama’i dan persetujuan semua ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada mufti, alim ulama’ dan pakar dalam pelbagai bidang, berasaskan kepada kajian pakar-pakar ekonomi Islam dan penjelasan terperinci oleh Majlis Penasihat Shariah PNB tanpa terikat dengan garis panduan SC. Oleh itu, MKI membuat keputusan pelaburan dalam ASB dan ASN adalah HARUS. 

Ha… dah faham kan? Jadi tak perlulah ragu-ragu lagi untuk melabur dalam ASB dan ASN ni lagi. .

Artikel ini adalah sumbangan Loanstreet.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Macam Mana Nak Elak Rugi Dalam Pelaburan Emas?

Emas sering dianggap sebagai aset paling selamat. Hakikatnya, ramai tetap rugi dalam emas bukan sebab emas itu bermasalah, tetapi sebab cara orang melabur emas yang salah.

Dari sudut fakta sejarah, harga emas tidak sentiasa berada dalam trend menaik. Sebagai contoh, selepas memuncak sekitar tahun 1980, harga emas dunia memasuki fasa mendatar (sideways) yang panjang hampir dua dekad, sebelum kembali menunjukkan kenaikan ketara pada awal tahun 2000-an. Begitu juga dalam tempoh 2011 hingga sekitar 2018, harga emas bergerak dalam julat yang agak terhad, tanpa kenaikan signifikan walaupun berdepan pelbagai isu ekonomi global. Fakta ini membuktikan bahawa emas boleh melalui tempoh di mana pulangannya sangat terhad dan pelabur yang masuk tanpa perspektif jangka panjang mudah rasa tertekan serta terlepas peluang lain.

Hakikatnya, harga emas bergerak ikut permintaan. Bila ramai orang beli, harga naik. Bila minat berkurang, harga boleh jadi perlahan atau sideway. Baca lagi Siapa Sebenarnya ‘Dalang’ Yang Tentukan Harga Emas Dunia?

Di bawah ini ialah perkara asas yang wajib difahami kalau tak nak menyesal di kemudian hari.

1. Faham Fungsi Sebenar Emas

Emas bukan aset untuk menjana pendapatan. Ia tidak beri dividen, tidak hasilkan cashflow dan tidak berkembang sendiri.

Peranan utama emas:

  • Lindung nilai kekayaan (wealth protection)
  • Pelindung inflasi
  • Simpan nilai jangka panjang

Kalau masuk emas dengan niat nak cepat kaya, risiko utnuk kecewa adalah sangat tinggi.

2. Jangan Beli Emas Ikut Emosi Pasaran

Harga emas lazimnya akan meningkat apabila keadaan ekonomi global berada dalam fasa tidak menentu, kadar inflasi semakin tinggi, nilai mata wang mula melemah dan pelabur berada dalam keadaan panik atau takut kehilangan nilai kekayaan mereka. Dalam situasi begini, emas sering dilihat sebagai “tempat berlindung”, menyebabkan permintaan meningkat secara mendadak dan harga melonjak dalam tempoh singkat.

Kesilapan yang kerap berlaku ialah pelabur membeli emas ketika harga sudah berada pada paras tinggi, semata-mata kerana terpengaruh dengan sentimen pasaran atau janji ejen bahawa harga akan terus naik. Ada juga yang bertindak ‘all-in’, menggunakan sebahagian besar simpanan hanya kerana takut ketinggalan peluang, sedangkan mereka tidak bersedia menghadapi kemungkinan harga mendatar atau menurun dalam tempoh tertentu.

Pendekatan yang lebih selamat ialah membeli emas secara berperingkat dan berdisiplin, tanpa bergantung kepada emosi atau khabar angin pasaran. Fokus sebenar pelaburan emas sepatutnya bersifat jangka panjang, sebagai pelindung nilai kekayaan, bukannya alat spekulasi jangka pendek. Dengan mengelakkan sikap mengejar hype dan membuat keputusan secara rasional, risiko membeli emas pada harga yang tidak munasabah dapat dikurangkan dengan ketara.

3. Jangan Jadikan Barang Kemas Sebagai Fokus

Barang kemas secara umumnya bukan pilihan yang sesuai untuk tujuan pelaburan, walaupun ia diperbuat daripada emas. Ini kerana harga barang kemas bukan hanya bergantung kepada nilai emas semasa, tetapi turut merangkumi kos upah pembuatan, reka bentuk dan jenama, yang tidak akan diambil kira sepenuhnya apabila barang tersebut dijual semula.

Antara kelemahan utama barang kemas ialah upah yang tinggi, di samping jurang harga beli dan jual (spread) yang besar. Apabila dijual semula, kebanyakan pembeli emas hanya menilai kandungan emas tulen berdasarkan berat dan ketulenan, menyebabkan nilai barang kemas tersebut menyusut dengan ketara, walaupun harga emas dunia tidak banyak berubah.

Sekiranya tujuan utama adalah untuk menyimpan nilai kekayaan, pilihan yang lebih praktikal ialah emas pelaburan seperti jongkong atau wafer emas. Dalam pelaburan emas, fokus seharusnya diberikan kepada berat dan ketulenan, bukannya reka bentuk atau estetika. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kos tersembunyi, malah memudahkan proses jual beli semula pada masa hadapan.

4. Jangan Letak Semua Simpanan Dalam Emas

Emas merupakan aset defensif yang berfungsi melindungi nilai kekayaan, terutamanya ketika inflasi atau ketidaktentuan ekonomi. Namun begitu, emas bukan satu-satunya aset yang mampu membina kekayaan dalam jangka panjang. Meletakkan semua simpanan dalam emas akan menghadkan potensi pertumbuhan kerana emas tidak menghasilkan pendapatan atau pulangan berkala.

Portfolio kewangan yang lebih sihat biasanya terdiri daripada gabungan beberapa jenis aset. Emas berperanan sebagai pelindung nilai, manakala aset produktif seperti saham, perniagaan dan hartanah berfungsi untuk menjana pertumbuhan dan aliran pendapatan. Pada masa yang sama, pegangan tunai juga penting bagi memastikan kecairan mencukupi untuk keperluan kecemasan atau peluang pelaburan yang tidak dijangka.

Pendekatan kepelbagaian ini membantu mengurangkan kebergantungan kepada satu aset sahaja dan membolehkan risiko diagihkan dengan lebih seimbang. Dalam dunia pelaburan, kepelbagaian bukan sekadar pilihan, tetapi satu bentuk pengurusan risiko yang berdisiplin.

Akhirnya, emas sepatutnya menjadi penyimpan nilai yang tenang, bukan sumber tekanan atau penyesalan. Bila diletakkan pada tempat yang betul, emas tidak menjadikan seseorang kaya dengan pantas tetapi membantu memastikan kekayaan yang telah dibina tidak mudah terhakis.

Kalau nak panduan lengkap tentang pilihan platform pelaburan emas di Malaysia termasuk yang boleh mula dengan modal kecil, pilihan digital, serta ciri-ciri penting yang patut dibandingkan, cuba baca artikel seterusnya: 7 Platform Yang Ada Untuk Kita Melabur Emas