Pendapatan Bersih KWAP Melonjak 36 Kali Ganda Kepada RM9.7 Bilion Pada Tahun Kewangan 2023

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) — Pendapatan bersih Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melonjak 36 kali ganda kepada RM9.7 bilion bagi Tahun Kewangan 2023 – angka tertinggi kedua sejak 2017- berbanding RM263 juta yang dicatatkan pada 2022.

Ketua Pegawai Pelaburannya Hazman Hilmi Sallahuddin berkata pertumbuhan pesat itu adalah disebabkan keadaan mencabar pada 2022, yang menyaksikan KWAP mengalami kerugian tidak direalisasi daripada pelaburan domestik dan antarabangsanya.

Dana itu juga mencapai pulangan pelaburan dana yang teguh sebanyak 8.2 peratus bagi tahun ini.

“Pada Tahun Kewangan 2023, saiz dana KWAP meningkat kepada RM169.8 bilion, merupakan kenaikan 7.4 peratus daripada RM158.1 bilion pada 2022,” katanya semasa majlis pengumuman keputusan prestasi kewangan Tahun Kewangan 2023 KWAP, di sini, hari ini.

Hazman Hilmi berkata walaupun terdapat pengeluaran sebanyak RM3 bilion untuk membiayai sebahagian daripada liabiliti pencen kerajaan, peningkatan bersih sebanyak RM11.7 bilion  mencerminkan komitmen berterusan KWAP untuk menguruskan aset dengan berhemat dan mengoptimumkan pulangan pelaburan.

Menurutnya, KWAP terus memberi tumpuan kepada perancangan pelaburan dan perumusan strategi yang komprehensif serta mengamalkan pendekatan inklusif untuk memastikan pertumbuhan mampan.

Bagi Tahun Kewangan 2023, peruntukan aset KWAP adalah seperti berikut: 47.9 peratus dalam ekuiti awam, 35.5 peratus dalam pendapatan tetap, 5.3 peratus dalam hartanah, 4.8 peratus dalam ekuiti swasta, 2.1 peratus dalam infrastruktur, dan 4.4 peratus dalam pasaran wang.

“Jumlah sumbangan yang diterima pada 2023 sebanyak RM2.7 bilion adalah daripada tiga sumber utama – sumbangan kerajaan persekutuan, saham kerajaan, dan caruman majikan.

“Caruman majikan termasuk daripada badan berkanun, pihak berkuasa tempatan, dan agensi peminjam,” katanya.

Selain itu, katanya, KWAP komited untuk mengukuhkan ekosistem modal teroka Malaysia melalui inisiatif Dana Perintis yang dilancarkan pada 2023.

Inisiatif dengan peruntukan RM500 juta itu bertujuan untuk mempercepat pertumbuhan dalam landskap keusahawanan Malaysia, memperkasakan syarikat baharu, memacu inovasi dan meningkatkan daya tahan ekonomi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata pada 31 Disember, 2023, KWAP menyediakan khidmat kepada 790,772 penerima pencen Malaysia.

Ini merupakan kenaikan 2.8 peratus, atau 21,825 penerima pencen tambahan, berbanding 2022.

“Walaupun peningkatan penerima pencen pada 2023, prestasi perjanjian peringkat perkhidmatan (SLA) untuk perkhidmatan pencen mencapai skor berwajaran tahunan sebanyak 99.4 peratus pada 2023, melepasi ambang prestasi pada 95 peratus seperti yang ditetapkan dalam SLA dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA