Penangguhan Automatik Bayaran Ansuran Rumah Dan Kereta Selama 6 Bulan!

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan pelanggan perbankan, termasuk individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangguhkan pembayaran balik pinjaman sedia ada mereka, termasuk gadai janji dan sewa beli, untuk tempoh enam bulan.

Ia langkah tambahan BNM untuk mengurangkan beban perniagaan dan isi rumah yang dijangka terkesan oleh penularan COVID-19.

Dalam satu surat kepada pengurusan kanan institusi kewangan yang dilihat oleh BH hari ini, BNM berkata moratorium automatik itu akan berkuat kuasa mulai 1 April 2020 ini.

“Institusi perbankan perlu menyediakan individu dan peminjam PKS dengan maklumat yang mencukupi mengenai bagaimana pembayaran pinjaman dan pembiayaan yang ditangguhkan akan dilaksanakan dalam tempoh itu,” kata bank pusat itu.

Bagi baki kad kredit yang belum dijelaskan, BNM berkata pelanggan perlu ditawarkan pilihan untuk menukar baki tertunggak kepada pinjaman jangka masa tidak melebihi tiga tahun.

“Bagi peminjam korporat, institusi perbankan sangat digalakkan untuk memudahkan permintaan moratorium,” katanya.

Sumber: BH Online

Bagi mereka yang kurang jelas mengenai perkara ini, ini ulasan Tuan Ikmal Nordin:

Nak faham requirement baru BNM ni mudah saja.

1. Tak payah bayar loan rumah & loan kereta untuk 6 bulan bermula 1 April. Maksudnya daripada April sampai September, bayaran ditangguhkan.

Tapi bukan bermaksud loan tu dimaafkan 6 bulan. Kalau sebelum ni loan tamat bulan 12 tahun 2025, lepas ni tamat bulan 6 2026.

Iklan

2. Hutang kad kredit masih kena bayar. Tapi kalau memerlukan boleh tukar jadi loan bertempoh 3 tahun dan kadar faedah tak lebih 13%. Maksudnya masih berhutang tapi murah sikit dan masa nak bayar panjang sikit.

3. Sebelum ni ada had untuk bank bagi pinjaman beli property, saham dan unit trust. Lepas ni had-had tu dimansuhkan. Had untuk bagi pinjam dekat syarikat-syarikat berkait TNB, Petronas dan Telekom dinaikkan. Apa-apa hal eletrik, gas, minyak dan unifi kena jalan. Kalau unifi down macamana page-page troll nak main peranan waktu genting ni?

4. Macamana bank boleh tahan semua ni, tak rugi ke? Itu sebab BNM cakap yang rizab-rizab bank boleh dikurangkan, tak perlu simpan sangat duit, boleh guna sebab waktu krisis. Haritu pun BNM dah cairkan sebahagian rizab yang bank komersial simpan di BNM.

Baca Penurunan SRR jamin kecairan dalam sistem kewangan

5. Semuanya untuk lancarkan kesempitan yang dihadapi orang ramai waktu ni. Dan kalau baca betul-betul requirement ni sampai bulan 9. Siapa yang ‘read between the lines’ akan faham yang BNM sebenarnya jangka kesan ekonomi Covid untuk berlarutan lebih daripada 2 minggu ni saja. Mungkin akan sampai hujung tahun.

Itu sahaja. Siapa yang sedang mengalami kesulitan semoga Allah permudahkan.

Kredit: FB Ikmal Nordin

Kepada mereka yang hilang pekerjaan, tak ada pendapatan, bisnes tutup, ayuh kita bersyukur. Sekarang boleh tarik nafas lega sebab tak perlu bayar komitmen bank. Terima kasih kerajaan Malaysia!

Rakyat diminta untuk bersabar dan berikan ruang beberapa hari kepada pihak bank untuk membuat pengumuman kepada pelanggan masing-masing

Nak tahu lebih lanjut pasal moratorium ni, jemput baca Pembayaran Balik Pinjaman Rumah Boleh Ditangguhkan Dengan Adanya ‘Moratorium’. Kalau sebelum ni tak pernah dengar, sekarang kita kena ambil tahu.

Kenyataan Media YAB Perdana Menteri mengenai Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman Bank Sehingga 6 Bulan

Iklan

Previous ArticleNext Article

4 Comments

  1. terima kasih atas perkongsian.. Alhamdulillah ell p
    faham.. walaupun kakak suruh bayar juga.. takut interest tinggi.. just topup 6 bulan dari tarikh tamat masa nk bayar ansuran kereta.. Lega fikiran.. terima kasih

  2. Assalamualaikum dan salam sejahtera .. saya ada membuat loan kredit kereta ..adakah saya pun termasuk dalam penangguhan pembayaran selama 6 bulan

  3. SALAM SEJAHTERA SAYA ADA TERTANGGUH 2 BULAN PEMBAYARAN ANSURAN KERETA ADAKAH STATUS SAYA SEBAGAI MORATORIUM TERBATAL, MINTA PENCERAHAN.

  4. Kalau auto tolak kat akaun gaji macam mana?kena call bank ke….sebab tadi saya chek akaun
    bank still tolak duit kereta

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

25 Soalan Berkenaan Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman Oleh BNM

Baru-baru ini, Perdana Menteri kita telah mengumumkan pakej penangguhan bayaran balik pinjaman bank sehingga enam (6) bulan dan penyusunan semula baki kad kredit serta pinjaman korporat dengan jumlah manfaat bernilai sekurang-kurangnya RM100 bilion kepada peminjam.

Siapa yang tak suka apabila Penangguhan Automatik Bayaran Ansuran Rumah Dan Kereta Selama 6 Bulan!

Tapi mesti banyak persoalan yang bermain di fikiran kan? Benda baru diumumkan, mesti ramai yang masih tak faham.

Jom kita tengok soalan-soalan berikut, barangkali terungkai apa yang bermain di fikiran kita.

Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman/Pembiayaan untuk Individu dan PKS dan Syarikat Korporat (Pakej Penangguhan)

1. Apakah penangguhan pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan?

Tawaran ini merupakan penangguhan atau penggantungan sementara obligasi pembayaran balik pinjaman (pinjaman pokok dan faedah) untuk jangka masa yang terhad. Dalam tempoh ini, pelanggan yang mempunyai pinjaman/pembiayaan yang memenuhi syarat-syarat tidak perlu membuat apa-apa pembayaran balik, dan bayaran lewat atau penalti tidak akan dikenakan.

Faedah/keuntungan akan terus terakru (yakni diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman/pembiayaan yang ditangguhkan dan peminjam/pelanggan perlu membuat pembayaran balik yang tertangguh pada masa akan datang.

Pembayaran balik pinjaman/pembiayaan akan disambung semula selepas tempoh penangguhan.

2. Apakah objektif pakej ini?

Tujuan pakej ini adalah untuk memberikan bantuan kepada individu dan perniagaan yang menghadapi kekangan kewangan sementara akibat wabak COVID-19. Kami berharap pakej ini dapat membantu individu dan perniagaan yang menghadapi masalah kewangan untuk menghadapi cabaran dalam tempoh ini.

Pembayaran balik pinjaman / pembiayaan akan disambung semula selepas tempoh penangguhan.

3. Pinjaman mana yang layak mendapatkan penangguhan itu?

Bagi individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penangguhan dalam pinjaman konvensional atau obligasi pembayaran balik pembiayaan Islam (kecuali kad kredit) yang akan dilaksanakan secara automatik oleh bank dan Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) / Development Financial Institutions (DFIs) jika pinjaman/pembiayaan memenuhi kriteria yang berikut:
• Tidak tertunggak melebihi 90 hari pada 1 April 2020;
dan
• Dalam denominasi Ringgit Malaysia.

Sementara itu, peminjam korporat/pelanggan boleh memohon moratorium pembayaran balik pinjaman/pembiayaan daripada bank masing-masing.

Development Financial Institutions (DFIs) : Bank Pembangunan, SME Bank, EXIM, Bank Rakyat, BSN dan Agrobank

4. Bolehkah saya meminta untuk melanjutkan tempoh penangguhan sehingga melebihi 6 bulan?

Penangguhan ini hanya selama 6 bulan. Sila hubungi bank anda jika memerlukan tempoh penangguhan yang lebih lama.

5. Sekiranya saya memilih untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman/ pembiayaan, adakah rekod CCRIS saya akan terjejas teruk?

Tidak. Walau bagaimanapun, faedah/keuntungan akan terus terakru (yakni diambil kira) ke atas pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang ditangguhkan dan peminjam/pelanggan perlu menunaikan pembayaran balik yang tertangguh pada masa akan datang.

6. Perlukan saya memohon?

Tidak. Semua pinjaman/pembiayaan individu dan PKS (tidak termasuk kad kredit) yang memenuhi kriteria akan secara automatik layak untuk ditangguhkan.

7. Pinjaman saya telah gagal dibayar balik, bolehkah saya memohon? Adakah pinjaman di bawah program penjadualan semula dan penstrukturan semula (R & R) layak untuk mendapat pakej penangguhan?

Akaun pinjaman/pembiayaan yang sudah melebihi tunggakan 90 hari tidak layak untuk ditangguhkan. Peminjam/pelanggan dinasihati supaya menghubungi bank mereka untuk mendapatkan bantuan.

Pinjaman/pembiayaan di bawah program R&R juga layak mendapatkan penangguhan tertakluk pada kriteria yang ditetapkan.

8. Bagaimanakah pakej penangguhan ini berbeza daripada moratorium pinjaman/ pembiayaan lain yang diumumkan oleh bank baru-baru ini?

Bank-bank dan institusi kewangan pembangunan (IKP) bersikap proaktif dalam usaha memenuhi keperluan peminjam/pelanggan mereka dengan menawarkan pelbagai pakej penjadualan semula dan penstrukturan semula bagi membantu peminjam/pelanggan yang terjejas. Inisiatif seumpama ini sangat dialu-alukan dan sangat digalakkan pada masa-masa yang mencabar ini.

Peminjam/pelanggan yang menerima bantuan bank dan IKP untuk menjadualkan semula dan menyusun semula pinjaman/pembiayaan mereka boleh memilih untuk tidak menyertai pengaturan tersebut, jika mereka ingin berbuat demikian.

9. Bank manakah yang menawarkan pakej penangguhan ini?

Semua bank berlesen, bank Islam berlesen dan institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan (IKP) yang dikawal oleh BNM akan menawarkan pakej penangguhan ini. Peminjam/pelanggan yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memanfaatkan kelonggaran ini secara automatik.

10. Bagaimanakah saya boleh tahu jika bank saya telah mendaftarkan pinjaman saya ke dalam pakej penangguhan? Bagaimanakah saya boleh tahu bahawa saya layak?

Institusi perbankan akan memberikan maklumat yang secukupnya kepada individu dan peminjam/pelanggan PKS bahawa pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka akan ditangguhkan di bawah skim ini.

Maklumat sedemikian boleh disampaikan melalui nasihat umum yang dikeluarkan kepada peminjam/pelanggan menerusi saluran yang sesuai, dan/atau diterbitkan dalam laman sesawang institusi perbankan.

11. Saya ingin meneruskan pembayaran balik pinjaman/ pembiayaan saya. Bagaimanakah saya boleh memilih untuk tidak menyertai pakej penangguhan automatik ini?

Anda perlu menghubungi bank anda jika anda ingin memilih untuk tidak menyertai pakej penangguhan automatik ini atau ingin terus membuat pembayaran/pembiayaan anda sepenuhnya dan tepat pada masanya.

Iklan

12. Saya bekerja dalam sektor pelancongan dan telah terjejas teruk akibat peristiwa baru-baru ini. Saya telah bersusah payah memenuhi pembayaran gadai janji bulanan saya sejak Januari dan simpanan saya tidak lama lagi akan habis. Adakah saya layak mendapatkan pakej penangguhan?

Ya, dengan syarat pinjaman/pembiayaan anda tidak tertunggak selama lebih daripada 90 hari pada 1 April 2020.

13. Saya menjalankan perniagaan kecil yang telah terjejas teruk akibat COVID-19. Jika perniagaan akan terus terjejas, saya tidak akan mampu membayar pinjaman kereta dan pinjaman peribadi saya tidak lama lagi. Adakah saya layak untuk pakej penangguhan?

Ya, dengan syarat pinjaman/pembiayaan anda tidak tertunggak selama lebih daripada 90 hari pada 1 April 2020.

14. Adakah saya akan dikenakan faedah tambahan atas jumlah bayaran balik yang ditangguhkan selama tempoh enam bulan tersebut?

Bagi pinjaman konvensional, faedah akan terus dikenakan ke atas baki tertunggak yang merangkumi pinjaman pokok dan faedah (iaitu terkompaun) semasa tempoh moratorium.

Bagi pembiayaan Islam, keuntungan akan terus terakru pada jumlah pokok yang belum dijelaskan. Namun begitu, keuntungan tersebut tidak akan dikompaun selaras dengan prinsip Syariah.

Walau bagaimanapun, bank-bank tidak dibenarkan mengenakan bayaran penalti lewat atas jumlah tertunda. Dalam erti kata lain, bayaran balik pinjaman/pembiayaan hanya tertangguh selama enam bulan.

15. Apakah yang akan terjadi kepada pembayaran balik pinjaman saya selepas tempoh pakej penangguhan? Bagaimanakah pakej penangguhan mempengaruhi pembayaran faedah yang dikenakan ke atas saya selepas tempoh 6 bulan? Adakah berlaku peningkatan dalam bayaran bulanan, atau tempoh akan menjadi lebih lama?

Faedah/keuntungan akan terus terakru (yakni diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman/pembiayaan yang ditangguhkan. Hal ini bermakna jumlah bayaran balik yang terkumpul semasa tempoh penangguhan pembayaran balik akan ditambah kepada jumlah pinjaman/pembiayaan terkumpul.

Peminjam/pelanggan dinasihati supaya menghubungi institusi perbankan mereka bagi membincangkan pelan pembayaran balik yang sesuai untuk membayar balik pinjaman pokok dan faedah terakru semasa tempoh penangguhan. Ini mungkin termasuk jumlah ansuran berikutnya yang lebih tinggi atau lanjutan tempoh pinjaman / pembiayaan.

16. Adakah pakej penangguhan ini dikenakan kepada pinjaman yang baru diluluskan / dikeluarkan?

Pakej penangguhan terpakai kepada semua pinjaman/pembiayaan yang belum dijelaskan setakat 1 April 2020.

17. Adakah pinjaman saya melalui pembekal kredit bukan bank lain layak untuk mendapatkan pakej penangguhan ini?

Tidak. Pakej penangguhan ini hanya terpakai kepada pinjaman atau pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia, iaitu bank dan Institusi Kewangan Pembangunan.

18. Sekiranya syarikat memilih pakej penangguhan pembayaran pinjaman atau pembiayaan, adakah syarikat tersebut masih boleh mendapatkan pembiayaan baharu daripada bank?

Ya. Keputusan kredit institusi kewangan adalah tertakluk pada dasar dan penilaian kredit dalaman masing-masing.

19. Sebagai sebuah syarikat, apakah kriteria yang perlu ada bagi memilih untuk menyertai pakej ini?

Tidak seperti peminjam/pelanggan individu dan PKS, peminjam/pelanggan dalam kalangan syarikat korporat perlu merujuk bank masing-masing untuk penangguhan serta penjadualan semula dan penstrukturan semula pinjaman/pembiayaan mereka.

Di samping itu, pinjaman/pembiayaan ini mesti memenuhi kriteria yang berikut:
• tidak tertunggak melebihi 90 hari setakat 1 April 2020; dan
• dalam denominasi Ringgit Malaysia.

20. Saya mempunyai pinjaman/ pembiayaan yang dipotong secara automatik daripada gaji saya. Adakah saya layak memohon tawaran penangguhan ini?

Ya. Sila beritahu syarikat anda untuk menghentikan potongan gaji jika anda mahu pembayaran balik pinjaman/pembiayaan anda ditangguhkan. Anda juga perlu menghubungi bank anda untuk memberitahu mereka tentang hal ini.

21. Adakah bank akan memberhentikan keperluan pembayaran balik secara automatik jika saya tidak menjawab pemberitahuan mereka?

Ya.

Penukaran Baki Kad Kredit ke dalam Pinjaman Bertempoh 3-Tahun (Pakej Penukaran)

22. Saya mempunyai dua kad kredit dengan jumlah yang besar, dan saya diberhentikan kerja pada bulan Januari. Saya tidak dapat memenuhi obligasi bulanan kad kredit saya sejak Januari dan saya sangat risau tentang akibatnya. Adakah saya layak untuk menukar baki tertunggak ini kepada pinjaman bertempoh? Bagaimanakah keadaan ini boleh dilaksanakan? Adakah saya perlu menghubungi bank saya untuk membuat permohonan?

Jika anda tidak dapat memenuhi pembayaran bulanan minimum kad kredit anda selama 3 bulan terakhir berturut-turut, pengeluar kad anda akan menukarkan baki tertunggak kepada pinjaman bertempoh yang tidak lebih 3 tahun dengan faedah efektif tidak lebih daripada/pembiayaan 13% setahun.

23. Saya dengar kini bank-bank akan menyediakan penukaran baki kad kredit secara automatik kepada pinjaman bertempoh, tetapi saya mempunyai gaji bulanan kira-kira RM5,500. Adakah saya layak mendapat pakej penukaran ini daripada bank?

Bank akan menukarkan baki kad kredit terkumpul pemegang kad yang tidak dapat memenuhi pembayaran bulanan minimum berturut-turut selama 3 bulan terakhir, tanpa mengira tahap pendapatan pemegang kad.

24. Bolehkah pemegang kad kredit yang telah menukar baki kad mereka ke dalam pinjaman bertempoh terus memohon untuk mendapatkan 6 bulan penangguhan pakej pinjaman atau pembiayaan?

Ya mereka boleh berbuat demikian. Pembayaran balik pinjaman/pembiayaan akan disambung semula selepas tempoh penangguhan.

25. Jika baki kad kredit saya ditukar kepada pinjaman bertempoh, adakah saya masih boleh menggunakan kad kredit saya?

Ya, Anda boleh terus menggunakan kad kredit sehingga had kredit yang masih ada setelah mengambil kira baki yang diubah menjadi pinjaman/pembiayaan bertempoh. Baki tertunggak yang ditukar kepada pinjaman/pembiayaan bertempoh dianggap sebagai sebahagian daripada had kad kredit.

Di samping itu, bayaran ansuran pinjaman/pembiayaan bulanan akan menjadi sebahagian daripada jumlah pembayaran bulanan minimum kad kredit tersebut.

Nak lebih mudah faham, Bank Negara Malaysia juga ada sediakan dalam bentuk infografik di laman Facebook mereka:

Sumber: Bank Negara Malaysia

Untuk pembiayaan perumahan penjawat awam, LPPSA belum lagi mengumumkan pengangguhan bayaran. Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga akan memberi penangguhan pembayaran kepada semua pelanggan Program Pengurusan Kredit (PPK) selama enam (6) bulan. Penangguhan ini berkuatkuasa April 2020 sehingga September 2020.

Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang inisiatif ini, sila hubungi bank anda terlebih dahulu. Jika anda masih memerlukan maklumat lanjut tentang perkara ini, anda boleh lawati laman sesawang kami di www.bnm.gov.my atau hubungi TELELINK di talian 1-300-88-5465 (Isnin – Jumaat, 9.00 pagi hingga 5 petang).

Iklan

7 Fakta Dan Cara Penggunaan Kad Kredit Yang Betul

Ramai yang kata kad kredit tidak baik untuk kewangan peribadi. Ianya disebabkan oleh kad kredit mempunyai kadar faedah yang sangat tinggi.

Namun ramai yang tidak sedar ada beberapa kebaikan penggunaan kad kredit sekiranya diuruskan dengan baik. Berikut ialah 7 fakta berkenaan kad kredit dan cara penggunaan yang betul.

1. Kemudahan Pembayaran

Kad kredit merupakan fasiliti yang ditawarkan pihak bank sebagai kemudahan pembayaran kepada pemegang kad. Kad kredit bukanlah sejenis pembiayaan atau pinjaman dari bank walaupun menpunyai fungsi pendahuluan tunai.

Kita sebagai pemegang kad kredit sepatutnya membuat bayaran penuh baki hutang mengikut kitaran bil kad kredit dalam tempoh yang ditetapkan.

Sekiranya anda memerlukan pinjaman, lebih baik anda memohon untuk pinjaman peribadi. Ini adalah kerana kadar faedah yang dikenakan lebih rendah berbanding kadar faedah keatas baki hutang tertunggak kad kredit.

2. Pelan Ansuran Tanpa Faedah

Kad kredit juga membolehkan syarikat atau penjual untuk menawarkan pelan pembayaran ansuran tanpa faedah. Pembayaran ansuran ini akan dikenakan ke atas kad kredit pemegang kad secara bulanan. Kita berhutang dengan bank dan perlu dibayar secara ansuran.

Ini bermakna pemegang kad kredit boleh membuat bayaran ansuran secara bulanan tanpa faedah, sekiranya dibayar sepenuhnya mengikut kitaran bil dan tarikh akhir bayaran yang ditetapkan.

Sekiranya bayaran bulanan telah dikenakan keatas kad kredit namun tidak dibayar dalam tempoh yang ditetapkan, kadar faedah akan dikenakan berdasarkan baki hutang kad kredit.

3. Skor Kredit

Kad kredit boleh digunakan untuk tujuan menghasilkan rekod kewangan atau skor kredit yang baik. Sekiranya kita menggunakan kad kredit pada kadar yang bersesuaian dengan pendapatan dan membayar keseluruhan baki hutang setiap bulan, ini menunjukkan kita mempunyai habit kewangan yang baik.

Rekod kewangan kad kredit akan muncul dalam rekod CCRIS dan CTOS sebagai rekod yang baik sekiranya kita membuat pembayaran minimum setiap bulan. Namun lebih baik sekiranya semua baki hutang dibayar sepenuhnya setiap bulan untuk mengelakkan kadar faedah yang tinggi.

Bank lebih sukar meluluskan permohonan pinjaman kita sekiranya tiada rekod kewangan melalui CCRIS dan CTOS. Ini kerana bank tidak tahu samada kita pembayar hutang yang baik atau tidak.

4. Mata Ganjaran Dan Cashback

Sebahagian kad kredit hadir dengan tawaran mata ganjaran dan cashback. Kita boleh mengumpul mata ganjaran dengan setiap penggunaan kad kredit dan boleh ditebus dengan hadiah-hadiah yang menarik.

Selain daripada itu, terdapat juga kad kredit petrol yang menawarkan mata ganjaran, cashback dan diskaun petrol dari stesen minyak yang terpilih. Contohnya seperti kad kredit Maybank Petronas dan Public Petron. Kad kredit ini dapat menjimatkan perbelanjaan pemegang kad.

Iklan

5. Yuran Tahunan

Yuran tahunan akan dikenakan kepada pemegang kad bergantung kepada jenis kad yang dipegang. Perlu diingat setiap bank ada tawarkan kad yang berbeza-beza. Setiap kad mempunyai jumlah yuran tahunan yang berbeza.

Ada kad kredit yang tiada yuran tahunan, ada juga yang memansuhkan yuran tahunan sekiranya melakukan banyak transaksi dalam setahun.

6. Kadar Faedah Hutang

Setiap bulan bank akan keluarkan bil penyata kad kredit yang memaparkan ringkasan transaksi dalam sebulan. Baki hutang akhir bulan beserta bayaran minimum yang perlu dijelaskan akan disertakan sekali.

Kebiasaannya bank akan memberi kelonggaran masa selama lebih kurang 20 hari untuk kita membuat bayaran. Sekiranya kita memilih untuk membuat bayaran untuk keseluruhan baki hutang, tiada caj kadar faedah akan dikenakan kerana baki hutang akan menjadi kosong setiap bulan.

Namun begitu, sekiranya kita memilih untuk membuat bayaran minimum sahaja, baki hutang akan dikenakan dengan kadar faedah yang tinggi sekitar 13-18%!

7. Kitaran Bil Kad Kredit

Kitaran bil kad kredit tidak semestinya pada penghujung bulan. Kitaran bil boleh bermula dan berakhir pada awal bulan. Sentiasa pastikan kitaran bil kad kredit untuk mengelakkan kita terlepas tarikh akhir bayaran kad kredit.

Setelah bil penyata kad kredit dikeluarkan, kita menpunyai masa sehingga 20 hari untuk membuat pembayaran. Pastikan kita membuat pembayaran tepat pada masa untuk mengelakkan caj lambat bayar dan juga kemungkinan rekod kewangan yang buruk.

Kesimpulan

Kad kredit mempunyai banyak kelebihan. Namun begitu ia perlu digunakan dengan berhati-hati supaya tidak terlebih belanja yang akan mengakibatkan kewangan anda terjejas.

Ada beberapa tips penggunaan yang boleh kita amalkan. Jangan berbelanja melebihi kemampuan sendiri dan pastikan anda membayar keseluruhan baki hutang setiap bulan.

Bayar baki hutang kad kredit sejurus selepas bil penyata dikeluarkan. Gunakan kad kredit untuk pembayaran petrol dan barangan runcit untuk mendapat cash back dan mata ganjaran.

Kenalpasti kedai yang menawarkan pelan ansuran tanpa faedah seperti kedai perabot dan telefon pintar.

Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu di FB Arif Irfan.

Jemput baca juga:

Iklan

6 perkara yang kita perlu tahu sebelum mohon loan kereta

Kita berehat sebentar dari bercerita tentang topik pelaburan.

Jom tukar kepada topik pinjaman bank atau loan. Di sini kami kongsikan 6 perkara yang kita semua perlu tahu sebelum nak mohon loan kereta dengan bank (berdasarkan pengalaman sendiri).

1. Deposit atau ‘duit muka’

Bank biasanya akan minta deposit (ada juga yang tawarkan loan 100% seperti Bank Rakyat). Kadar normal adalah 10% dari harga kereta. Sebagai contoh, jika kos kereta baru berharga RM70,000, kita biasanya perlu bayar RM7,000 sebagai wang pendahuluan. Walau bagaimanapun, sesetengah bank mungkin akan minta jumlah yang lebih tinggi.

2. Kereta Nasional atau bukan?

Bank meletakkan kadar faedah lebih rendah bagi kenderaan import seperti Ford dan Kia berbanding kenderaan nasional seperti Proton. Walaubagaimanapun, perbezaannya adalah amat kecil.

3. Margin Pembiayaan

Sekiranya kita mampu bayar wang deposit yang lebih besar, kadar faedah biasanya menjadi lebih rendah.

Iklan

4. Caj pembayaran lewat

Sekiranya kita gagal untuk membuat bayaran seperti yang termaktub di dalam perjanjian Sewa-Beli (ponteng bayar), denda lewat bayar pada kadar 8% setahun akan dikenakan ke atas jumlah  ansuran tertunggak.

5. Penjamin

Bersedia untuk mencari “penjamin” bagi menyokong permohonan loan jika rasa komitmen sekarang tinggi (contoh : Jika pernah ada loan lain, kad kredit dsb). Penjamin adalah orang yang akan bertanggungjawab membayar bahagian yang belum dibayar pada pinjaman kita tadi, termasuk semua yuran dan caj faedah yang terkumpul, jika kita gagal menghormati perjanjian Sewa-Beli.

6. Takaful

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kereta ‘dilindungi’ dengan betul. Bank biasanya perlukan kita mengambil perlindungan takaful komprehensif ke atas kereta sebelum meluluskan pinjaman.

 

Dokumen biasa yang diperlukan semasa nak submit permohonan loan:

  1. Tiga (3) bulan slip gaji terkini
  2. 1 salinan Kad Pengenalan (depan & belakang)
  3. 1 salinan lesen memandu yang sah (jika ada)
  4. 1 salinan buku bank / penyata akaun bank
  5. 1 salinan penyata KWSP terkini

 

Nota : Kalau boleh pastikan harga kereta tidak lebih dari gaji tahunan kita. Kalau bergaji RM3,000 sebulan, harga kereta mestilah tidak lebih daripada RM36,000 (RM3,000 x 12 = RM36,000). Lagi satu nak pesan, masa nak beli kereta jangan ikut orang sangat sebab gaji dia tak sama dengan gaji kita!

Iklan

Profil Kewangan Dari Perspektif Bank

Sempena turunnya Overnight Policy Rate (OPR) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia, ramai yang telah memuat naik status tentang pinjaman bank masing-masing yang dengan jelas menunjukkan penurunan kadar bayaran balik pembiayaan atau pinjaman mereka.

Penurunan OPR dijangka akan menggalakkan orang ramai untuk berbelanja dan merancakkan sektor hartanah yang semakin suram. Dengan kadar baru yang diperkenalkan, ini bermakna kos untuk memiliki rumah juga turun dan menjadi menarik.

Pada 12 Februari 2020, Gabenor Bank Negara juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa kadar OPR masih boleh diturunkan lagi berikutan kemerosotan ekonomi pada suku akhir 2019 dan wabak Coronavirus yang menular.

Namun begitu, sekiranya kita berhajat untuk membeli rumah ada beberapa aspek penting yang dinilai oleh pihak bank, sebelum memutuskan untuk meluluskan permohonan pinjaman perumahan kita.

1. Debt Service Ratio (DSR)

Debt service ratio ialah ukuran kemampuan seseorang untuk membayar bayaran bulanan hutang bank kalau kita ingin mendapatkan kemudahan pinjaman perumahan dengan bank.

Pengiraan DSR oleh bank membantu pihak bank untuk memastikan kita boleh bayar semula pinjaman. DSR perlu kurang dari had maksimum yang dibenarkan bergantung kepada polisi bank.

Kebiasaanya DSR yang ditetapkan oleh pihak bank adalah pada kadar 60%. Hanya 60% dari gaji kita boleh digunakan untuk membayar bayaran bulanan komitmen hutang bank.

Permohonan pinjaman kita tidak akan lulus sekiranya komitmen bulanan pinjaman itu akan menyebabkan DSR kita menjadi lebih dari 60%.

2. Net Disposable Income (NDI)

Net disposable income adalah baki pendapatan yang boleh digunakan untuk belanja atau simpanan, setelah ditolak komitmen bulanan dengan bank.

Bank ambil kira kos dengan mengambil kira sara hidup mereka. Baki pendapatan lepas tolak komitmen bulanan perlu lebih tinggi daripada anggaran kos sara hidup.

NDI ini juga berbeza-beza mengikut polisi setiap bank. Tempat kita apply juga berbeza. Kos sara hidup lebih tinggi di bandar, jadi baki pendapatan yang diperlukan juga lebih banyak.

Sekiranya kita bergaji RM2,000 tanpa komitmen dan NDI yang ditetapkan oleh pihak bank ialah RM1,500, ini bermakna permohonan pinjaman rumah hanya akan lulus sekiranya bayaran bulanan rumah adalah kurang dari RM500.

Susah juga tu nak cari rumah dengan instalment bulanan RM500, maknanya kita kena berusaha lebih untuk meningkatkan pendapatan.

Iklan

3. CCRIS

Central Credit Reference Information System (CCRIS) adalah sistem yang dibina oleh Bank Negara Malaysia untuk mengumpul data pengguna berkenaan rekod kewangan pelanggan bank.

Ini bermakna segala data dan rekod hutang yang kita ada dengan bank serta rekod bayaran bulanan kita dikumpulkan di dalam satu sistem yang sama oleh Bank Negara Malaysia. Ini termasuklah pinjaman peribadi, pinjaman kereta, kredit kad, pinjaman rumah dan juga pinjaman ASB.

Jika kita terlambat bayar bayaran bulanan komitmen bank atau selalu terlepas bayar akan menyebabkan rekod CCRIS menjadi buruk. Maka susah bagi pihak bank untuk meluluskan pinjaman baru, kerana sistem ini mampu menilai samada kita seorang yang bayar hutang tepat pada masanya atau tidak.

4. CTOS

CTOS juga mengumpul data berkenaan rekod hutang peribadi seseorang seperti CCRIS. Bank akan mengambilkira rekod kewangan dari CTOS untuk menentukan samada permohonan pinjaman kita akan diluluskan atau tidak.

Bezanya CTOS diuruskan oleh syarikat swasta. Selain daripada itu, data yang dikumpul oleh CTOS diambil dari sumber-sumber selain daripada institusi kewangan seperti bank.

Di antara data yang dikumpul di dalam CTOS adaalah pemilikan bisnes, maklumat perniagaan, tindakan undang-undang ke atas kita, status muflis dan tunggakan bil.

5. Credit Scoring

Bank akan menilai profil peribadi kita dalam menentukan kemampuan untuk membuat bayaran balik hutang.

Pekerjaan dalam industri yang stabil, pekerjaan tetap, gaji bulanan, kelayakan akademik akan diambil kira dalam menentukan Credit Scoring seseorang.

Secara logiknya, sekiranya kita ingin memberi pinjaman kepada seseorang, sudah tentu lebih selamat untuk beri pinjam kepada seseorang yang mempunyai pekerjaan tetap dan kewangan yang stabil; berbanding yang baru mula bekerja atau masih dalam tempoh percubaan.

Untuk mereka yang bekerja sendiri pula, sila pastikan kita telah mendaftarkan perniagaan, mempunyai lesen perniagaan dan untung berniaga dimasukkan ke dalam bank. Pihak bank akan ambilkira rekod kewangan dalam penyata kewangan akaun bank kita untuk memastikan samada perniagaan kita untung atau rugi.

Semak Sekarang Sebelum Nak Beli Rumah

Kalau kitasudah pasang impian untuk beli rumah dalam masa yang terdekat, kita boleh hubungi ejen hartanah untuk tolong kirakan kelayakan untuk memohon pinjaman rumah dari bank. Pembeli rumah tidak perlu bayar sesen pun kepada ejen hartanah, kerana komisen ejen hartanah dibayar oleh pemilik rumah yang ingin menjual rumah mereka.

Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu di FB Arif Irfan.

Iklan

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!