7 Tumpuan Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini. Nombor Tiga Mampu Kekalkan Sentimen Positif

Retorik perdagangan dijangka terus mewarnai pasaran pada minggu ini dengan pelabur akan memerhatikan komen-komen yang dikeluarkan berkenaan isu ini. Untuk pengetahuan anda, pasaran Amerika Syarikat ditutup pada Isnin bersempena cuti umum ‘Hari Marthin Luther King’.

Sentimen pasaran agak positif pada minggu lalu, apabila Amerika Syarikat bercadang untuk membatalkan tarif terhadap China. Manakala ekonomi kedua terbesar itu pula bercadang untuk meningkatkan import mereka daripada Amerika Syarikat.

Minggu ini juga akan menjadi lebih penting kerana sebahagian besar daripada kaunter-kaunter saham blue-chip di Wallstreet akan membentangkan laporan pendapatan suku keempat tahun 2018.

Daripada segi data ekonomi, terdapat beberapa laporan data penting pada minggu ini yang dapat menggambarkan prestasi semasa pertumbuhan ekonomi global. China adalah negara besar pertama yang akan mengeluarkan data pertumbuhan ekonomi suku keempat diikuti dengan data sektor ekonomi Zon-Eropah pada hari Khamis.

Selain daripada itu, tumpuan pelabur juga akan terarah kepada penetapan dasar monetari oleh dua bank pusat utama iaitu European Central Bank (ECB) dan Bank of Japan (BoJ).

Seperti biasa, isu yang masih berterusan iaitu perkembangan politik di Amerika Syarikat dan Britain juga akan terus mendapat perhatian pelabur terutamanya isu penutupan kerajaan Amerika Syarikat dan perkembangan terkini mengenai Brexit.

Berikut adalah ulasan lanjut tujuh tumpuan utama pasaran pada minggu ini.

1. Sentimen Positif Perdagangan Amerika Syarikat-China

Perkembangan terbaru kedua-dua negara menunjukkan tanda positif selepas rundingan yang berlangsung di China baru-baru ini. Amerika Syarikat  dan China dilihat berusaha mencapai kata sepakat dengan rundingan yang berlangsung lebih daripada tempoh yang dijadualkan.

Terbaru, Presiden Trump berkata pada Sabtu bahawa semuanya berjalan baik antara kedua-dua negara tetapi menolak spekulasi bahawa beliau mempertimbangkan pembatalan tarif.

Perdana Menteri China, Liu He akan melawat Amerika Syarikat pada 30 dan 31 Januari bagi rundingan pusingan kedua.

2. Data Pertumbuhan Ekonomi China Suku Keempat

Ekonomi kedua terbesar dunia telah mendapat kesan buruk daripada perang perdagangan dengan Amerika Syarikat, sehingga memperlahankan ekonomi global. Data pertumbuhan ekonomi akan menjadi tumpuan pasaran pada minggu ini, kerana China dianggap sebagai ‘enjin pertumbuhan ekonomi dunia’ oleh majoriti penganalisa ekonomi.

Beberapa data sebelum ini memberi isyarat awal kepada prestasi ekonomi semasa di negara itu. Selepas merekodkan pertumbuhan ekonomi 6.5% pada suku ketiga, jangkaan penganalisis untuk suku keempat pula sedikit rendah dengan kemerosotan ke paras 6.4%.

Data ini menepati jangkaan seperti yang dikeluarkan pada Isnin dengan bacaan pengeluaran industri dan perbelanjaan pengguna merekodkan kenaikan. Ia dilihat positif buat pasaran setakat ini.

3. Laporan Pendapatan Suku Keempat di Wallstreet

Laporan pendapatan beberapa saham perbankan utama di Amerika Syarikat menunjukkan prestasi baik pada minggu lalu. Ia menyaksikan pasaran saham Wall Street kini meneruskan kenaikan sejak jatuh ke paras terendah tahun lalu.

Minggu ini tumpuan akan terarah kepada 60 kaunter saham S&P 500 termasuk tujuh kaunter indeks Dow Jones. Di antaranya adalah Jonhson & Johnson, IBM, American Airlines, Starbucks dan Western Digital.

4. Potensi UK Kekal di Dalam Kesatuan Eropah

Parlimen UK telah menolak rancangan Brexit oleh Perdana Menteri Theresa May dengan majoriti undian sebanyak 230 undi pada minggu lalu. Ianya sekaligus menjadi kekalahan terbesar kerajaan di dalam Parlimen.

Walaubagaimanapun, ia telah membuka kepada beberapa pilihan yang berpotensi menghalang keluarnya UK daripada Kesatuan Eropah. Setakat ini sentimen adalah positif di UK dengan peningkatan matawang Pound Sterling pada minggu lalu.

Namun, ketidaktentuan masih menghantui negara ini selagi tiada kata putus oleh Parlimen UK. Sehari selepas penolakan cadangan Brexit, Parlimen UK sekali lagi membuang undi tidak percaya terhadap Theresa May tetapi gagal mendapat sokongan majoriti.

Dalam perkembangan terbaru, Perdana Menteri telah membentangkan Plan B kepada rancangan awal yang ditolak parlimen pada minggu lalu. Walaubagaimanapun, pemerhati politik melihat tidak banyak beza antara kedua-duanya dan Theresa May bakal berhadapan dengan tentangan sekali lagi di Parlimen jika tiada perubahan besar kepada perancangan beliau.

5. Penutupan Kerajaan Amerika Syarikat

Penutupan kerajaan Amerika Syarikat sejak 22 Disember sudah pun merekodkan penutupan paling lama sejak pemerintahan Presiden Bill Clinton. Penutupan separa kerajaan dijangka mencecah tempoh lebih daripada sebulan pada minggu ini, akibat kedegilan Trump untuk mendapatkan dana pembinaan sempadan Amerika Syarikat-Mexico.

Di antara yang mendapat kesan adalah Jabatan Dalam Negeri, Jabatan Perbendaharaan dan Jabatan Keadilan.

6. Penetapan Dasar Monetari Bank Pusat Eropah

European Central Bank (ECB) yang merupakan bank pusat kepada 19 negara Eropah, akan menetapkan dasar monetari pada Khamis 24 Januari 2019 ini. Mereka dijangka mengekalkan kadar faedah pada paras semasa.

Apa yang menjadi tumpuan pasaran adalah kenyataan yang akan dikeluarkan oleh Presiden ECB Mario Draghi, khususnya berkaitan halatuju pengetatan dasar di masa hadapan. Selepas mengakhiri program pembelian bon pada Disember yang lalu, pasaran menjangka bank pusat akan menaikkan kadar faedah pada suku ketiga tahun ini.

Jangkaan terhadap kenaikan kadar faedah ECB sedikit kabur dengan prestasi data-data ekonomi yang kurang memberangsangkan. Oleh itu, data terdekat yang perlu diberi perhatian adalah laporan aktiviti ekonomi PMI Zon-Eropah pada Khamis sebelum penetapan dasar oleh ECB pada hari sama.

7. Penetapan Dasar Monetari Bank Pusat Jepun

Satu lagi bank pusat yang akan menjadi tumpuan adalah Bank of Japan (BoJ), yang dijangka mengekalkan dasar semasa pada hari Rabu 23 Januari 2019. Bank pusat ini sudah beberapa tahun mengekalkan dasar disebabkan keadaan inflasi yang rendah.

Setakat ini bacaan inflasi masih jauh daripada sasaran 2%, walaupun kadar faedah berada di paras negatif.

Apa yang penting dalam penetapan dasar kali ini adalah, laporan analisis ekonomi Jepun termasuk ramalan pertumbuhan dan inflasi terbaru sehingga tahun 2021.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pedagang runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Fahmi Rasmi Gudang Autonomi AI Dikuasakan 5G Pertama Di Malaysia

SHAH ALAM, 12 Okt (Bernama) — Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini merasmikan gudang autonomi kecerdasan buatan (AI) dikuasakan 5G pertama di Malaysia yang dikendalikan oleh CelcomDigi Bhd dengan kerjasama DHL Supply Chain Malaysia.

Gudang itu dilengkapi dengan AI dan penyelesaian robotik terkini untuk pengurusan inventori yang optimum dan cekap, disokong oleh rangkaian 4G LTE CelcomDigi dan kesambungan 5G di Pusat Logistik Bersepadu DHL di sini.

Fahmi berkata sinergi antara CelcomDigi dan DHL yang menggunakan nilai sebenar teknologi dan penyelesaian 5G, berserta AI dan robotik adalah dipuji dan berada di landasan yang betul untuk memacu pertumbuhan ekosistem digital negara.

“Sejajar dengan aspirasi digital kerajaan, Malaysia memiliki potensi menjadi Harimau Digital Asia, memandangkan kerjasama seperti hari ini berpotensi berkembang dan meningkatkan kecekapan, inovasi dan penerimagunaan teknologi secara ketara dalam kalangan perusahaan di Malaysia serta ekonomi digital negara,” katanya ketika berucap merasmikan gudang itu di sini, pada Khamis.

Beliau berkata industri pengudangan dan logistik mempunyai potensi untuk diberikan nafas baharu dan berubah kepada gudang yang menggunakan teknologi automatik sepenuhnya, boleh beroperasi sepanjang masa dengan pengunaan teknologi 5G dan penyelesaian AI.

Fahmi juga gembira apabila pelaksanaan itu tidak akan berhenti pada tahap itu sahaja, memandangkan kedua-dua organisasi komited untuk memperluas penggunaan teknologi dan penyelesaian 5G di semua gudang DHL di seluruh negara, serta berpotensi bekerjasama dengan organisasi lain daripada industri lain.

“Apabila inovasi dan teknologi digunakan dalam dan di luar industri, saya berharap lebih banyak lagi usaha transformasi seperti yang direalisasikan hari ini,” katanya.

Kerjasama CelcomDigi dengan DHL dalam memanfaatkan teknologi 5G dan penyelesaian AI untuk sistem pengurusan inventori robotik menyediakan pengurusan gudang berbilang tingkat yang dipertingkatkan dan cekap pada standard yang optimum.

Penyelesaian itu membolehkan operasi pengiraan stok yang cekap iaitu mencapai sehingga 20 kali kecekapan dengan sehingga 100 peratus kejituan dan ketepatan di samping menambahkan penggunaan ruang dalam gudang dan mengurangkan penggunaan elektrik harian.

Sementara itu, Fahmi berkata DHL kini mengendalikan 25 gudang di seluruh negara dan sedang membina sebuah lagi gudang di Bayan Lepas, Pulau Pinang yang akan beroperasi secara automasi sepenuhnya menggunakan teknologi 5G terkini.

“Saya harap lebih banyak syarikat akan mengenal pasti dan memahami manfaat teknologi 5G kepada industri masing-masing untuk membantu meningkatkan kecekapan dan produktiviti perniagaan,” katanya.

— BERNAMA