Apa Itu Evergrande? Dan Kenapa Ianya Terlalu Besar Untuk Gagal?

Pasaran saham satu dunia berada dalam keadaan berjaga-jaga apabila krisis syarikat gergasi China iaitu Evergrande menghadapi ujian besar minggu ini.

Syarikat pemaju hartanah yang paling banyak hutang di dunia ini bakal membuat bayaran sebanyak USD84 juta bagi bonnya pada hari Khamis, 23 September 2021.

Awal minggu baru ini, syarikat membuat pembayaran balik kepada para pelabur di dalam perniagaan pengurusan kewangan mereka dengan hartanah apabila mereka gagal untuk mencari wang tunai untuk membayar semula liabiliti syarikat.

Apa Itu Evergrande?

Ahli perniagaan Hui Ka Yan merupakan pengasas Evergrande, sebelum ini dikenali sebagai Kumpulan Hengda pada tahun 1996 di Guangzhou, China. Hari ini, Evergrande Real Estate memiliki lebih daripada 1,300 projek di lebih daripada 280 bandar di seluruh China.

Tetapi perniagaan Evergrande Group pada hari ini bukan setakat hartanah saja. Perniagaan mereka termasuklah pengurusan kekayaan, membuat kereta elektrik, makan dan minuman. Ia juga merupakan pemilik salah sebuah pasukan bolasepak terbesar di China – Guangzhou FC.

Menurut Forbes, Hui Ka Yan mempunyai kekayaan sebanyak USD10.6 bilion.

Kenapa Evergrande Bermasalah?

Kredit Gambar: CNN

Evergrande telah berkembang dengan sangat agresif sehingga menjadi salah sebuah syarikat terbesar di China dengan meminjam lebih daripada USD300 bilion.

Pada tahun lepas, Beijing telah mengenakan peraturan baru bagi mengawal jumlah yang dimiliki gergasi pemaju hartanah. Langkah baru ini telah mengakibatkan Evergrande terpaksa menawarkan hartanah mereka pada harga diskaun bagi memastikan adanya wang untuk perniagaan mereka mampu bertahan.

Sekarang, mereka menghadapi masalah untuk membayar faedah ke atas hutang yang dimilikinya.

Ketidaktentuan ini telah menyaksikan harga saham Evergrande jatuh 85% pada tahun ini. Bon yang dikeluarkan mereka juga telah diturunkan taraf oleh agensi penilaian kredit.

Apa Signifikan Kejatuhan Evergrande?

Ada beberapa sebab mengapa masalah Evergrande adalah sangat serius.

Pertama, ramai yang membeli hartanah yang dibangunkan Evergrande sebelum pembinaan bermula. Mereka telah pun membayar deposit dan berpotensi untuk rugi sekiranya ia terbengkalai.

Kemudian banyak syarikat yang berurusan dengan Evergrande. Syarikat pembinaan, rekabentuk dan pembekal bahan mentah kini berpotensi untuk rugi besar, yang boleh mengakibatkan mereka muflis.

Ketiga, kesan kepada sistem kewangan di China.

“Kemelut ini adalah meluas. Evergrande dilaporkan berhutang dengan 171 bank tempatan dan 121 syarikat lain,” kata Mattie Bekink yang merupakan seorang pakar ekonomi kepada BBC.

Sekiranya Evergrande bungkus, bank dan peminjam lain terpaksa beri pinjaman yang kurang. Ini boleh menjerumus kepada masalah kredit, di mana syarikat gagal untuk meminjam dengan kadar yang berpatutan.

Masalah kredit adalah berita buruk kepada ekonomi kedua terbesar dunia ini, kerana syarikat yang tidak boleh meminjam akan menjadi sukar untuk berkembang, atau dalam sesetengah kes akan menghentikan operasi.

Ini boleh menjejaskan kepercayaan pelabur asing, yang melihat China sebagai destinasi yang kurang menarik untuk meletakkan wang mereka.

Adakah Evergrande ‘Terlalu Besar Untuk Gagal’?

Disebabkan kemelut ini bakal memberi impak yang besar, sesetengah penganalisa menjangkakan bahawa Beijing akan campur tangan untuk menyelamatkan Evergrande.

Mattie Bekink juga berasa begitu: “Daripada membiarkan risiko kesan terhadap rantaian bekalan dan menimbulkan kemarahan pemilik rumah, kami berpendapatan kerajaan CHina akan mencari jalan untuk memastikan perniagaan teras Evergrande dapat diselamatkan.”

Ada juga yang berasa sebaliknya.

Evergrande tidak boleh bergantung kepada bantuan kerajaan sebaliknya perlu menyelamatkan dirinya sendiri. Ia juga selari dengan tindakan Beijing untuk mengekang hutang korporat, yang bermaksud bantuan berprofail tinggi akan memberi contoh yang tak baik.

Sumber Rujukan: BBC

Previous ArticleNext Article

MGB Raih Kontrak RM34.76 Juta Bina Vila Di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: MGB Bhd melalui anak syarikat milik penuh secara tidak langsung, MGB International For Industry memperoleh kontrak bernilai RM34.76 juta bagi pembinaan 75 unit vila di Arab Saudi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGB berkata MGB International menerima surat lantikan daripada ROSHN Group Company, pemaju hartanah berpangkalan di Arab Saudi yang dimiliki oleh dana kekayaan berdaulat negara itu, Public Investment Fund bagi projek berkenaan.

“Nilai keseluruhan kontrak projek ini berjumlah 32.98 juta riyal Saudi (RM34.76 juta),” katanya.

Menurut MGB, tarikh permulaan projek akan ditentukan selepas notis untuk memulakan kerja dikeluarkan oleh majikan, manakala tempoh pembinaan ditetapkan selama 242 hari atau kira-kira lapan bulan dari tarikh pembinaan bermula.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan serta mengukuhkan nilai perolehan kontrak kumpulan.

“Projek ini juga merupakan langkah strategik dalam memperluas penyertaan kumpulan dalam sektor pembinaan di Arab Saudi, selaras dengan strategi pertumbuhan serantau jangka panjang,” katanya.

MGB berkata kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Dalam pada itu, katanya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau ketua pegawai eksekutif serta pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.