DRB-HICOM Akan Rayu Notis Taksiran Berjumlah RM246.25 Juta Daripada LHDN


KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) — DRB-HICOM Bhd berkata ia akan membuat rayuan dan jika perlu, memulakan prosiding undang-undang untuk mencabar asas dan kesahihan notis taksiran daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM246.25 juta (termasuk penalti) untuk tahun taksiran 2020.

DRB-HICOM dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata notis diterima oleh anak syarikatnya, HICOM Holdings Bhd (HHB) pada Jumaat (30 Ogos) dibangkitkan selaras dengan keputusan LHDN untuk mengambil kira keuntungan daripada pelupusan pelaburan jangka panjang dipegang dalam anak syarikat sebagai pendapatan tertakluk kepada cukai di bawah Seksyen 4(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2020.

“HHB diberi tempoh 30 hari dari tarikh notis untuk merayu terhadap keputusan LHDN.

“Selepas berunding dengan peguam cukai dan peguam cara, HHB berpendapat bahawa terdapat alasan undang-undang yang sah untuk mempertahankan terhadap notis itu,” katanya.

“DRB-HICOM akan membuat pengumuman lanjut jika terdapat sebarang perkembangan material berkaitan perkara ini,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA