George Soros, Seorang Spekulator Yang Dapat Merubah Landskap Politik Sesebuah Negara

George Soros merupakan nama yang tidak asing lagi dalam dunia pelaburan saham. Beliau dikenali sebagai seorang spekulator yang paling terkenal dalam dunia pelaburan era moden. Dilahirkan di Bundapest Hungry pada tahun 1930 dengan nama Gyorgy Schwartz, beliau merupakan seorang yang berketurunan Yahudi.

Semasa perang dunia kedua tercetus, ibu bapanya telah menukar namanya untuk mengelakkan keluarganya dibunuh oleh tentera Nazi Jerman setelah Hungary ditawan oleh Jerman dari tahun 1944 hingga 1945. Seperti yang kita semua sedia maklum, tentera Nazi Jerman adalah anti-Yahudi dan telah membunuh setengah juta bangsa Yahudi di Hungary. Keluarganya juga turut membantu keluarga Yahudi lain dengan menukar dokumen pengenalan mereka bagi mengelakan daripada dibunuh.

Berpindah ke London Ketika Berusia 17 Tahun

Setelah Jerman kalah dalam perang dunia kedua, Soros dan keluarganya telah berpindah ke London pada tahun 1947 kerana tidak selesa dengan pemerintahan parti komunis di Hungary. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam jurusan falsafah di bawah pengawasan Karl Popper, yang mana telah merubah gaya berfikir Soros .

Setelah  menamatkan pengajian, beliau menyedari bahawa terlalu sukar untuk dia mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan ijazah yang diambil. Untuk menampung perbelanjaan hariannya, beliau berkerja sebagai seorang kerani di sebuah bank pelaburan bernama Singer & Friedlander.

Mengorak Langkah Ketika di New York

Pada tahun 1956, beliau berhijrah ke New York dan di sinilah bakat dalam dirinya bersinar dengan bekerja sebagai penganalisis pasaran saham bagi benua Eropah. Setelah sedekad bekerja di pelbagai firma kewangan di Wall Street, Soros telah menubuhkan hedge fundnya sendiri yang diberi nama Quantum Fund dan merupakan salah satu hedge fund yang paling berjaya di dunia.

Hedge fund yang ditubuhkan oleh Soros ni bertujuan untuk perdagangan nilai mata wang dunia, di mana turun naik mata wang akan memberi kesan kepada keuntungan syarikat hedge fund miliknya. Pada awal penubuhan syarikat, selain daripada berdagang nilai mata wang, Soros juga turut terlibat dalam perdagangan petroleum yang. Pada era 1960-an dan1970-an, perdagangang yang melibatkan petroleum adalah sangat menguntungkan.

Pada akhir dekad tahun 1970-an, Soros telah menjadi seorang yang sangat kaya di Wall Street tetapi hidupnya kurang bahagia. Beliau telah bercerai dengan isterinya yang pertama dan hubungan semakin keruh dengan anak lelakinya pada masa itu. Beliau juga mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan perniagaan dengan rakan kongsinya iaitu Jim Rogers.

Tubuh Badan Kebajikan Sendiri

Pada tahun 1979, beliau menubuhkan sebuah badan kebajikan yang diberi nama Open Society. Tujuan utama badan kebajikan ini ditubuhkan adalah untuk membantu orang yang kurang bernasib baik dan ditindas. Di antara sumbangan terawal badan kebajikan ini adalah membayai pelajar kulit hitam Afrika Selatan yang terkesan dengan dasar perkauman yang tidak adil iatu Apartheid dan meneruskan pengajian di peringkat tertinggi.

Pada dekad 1990-an, Soros memainkan peranan yang penting dengan membuka ruang pertukaran budaya di antara Eropah Timur setelah kejatuhan Soviet Union, dan turut melabur berbilion dolar bagi mewujudkan pasaran bebas antarabangsa di rantau tersebut.

Peristiwa Black Wednesday membuatkan Soros mendapat nama jolokan ”The Man Who Broke the Bank of England”

The Man Who Broke the Bank of England

Pada tahun 1993, satu peristiwa telah membuat Soros menjadi seorang lagenda dalam pasaran perdagangan nilai mata wang. Pada tahun tersebut, beliau telah merobek bank negara England dengan membuat short trading terhadap nilai Pound Sterling. Beliau telah short nilai Pound Sterling sebanyak $10 bilion dan mendapat keuntungan sebanyak $1 bilion Pound Sterling.

Peristiwa itu dikenali sebagai Black Wednesday dan Soros dikenali sebagai ”The Man Who Broke the Bank of England”. Peristiwa itu menyedarkan masyarakat dunia bahawa Soros merupakan seorang spekulator yang mampu menimbulkan keadaan panik di pasaran dunia dan mampu merubah landskap politik sesebuah negara.

Malaysia Pun Pernah Kena

Pada tahun 1997, rantau Asia telah mengalami krisis kewangan yang teruk. Malaysia juga tidak terkecuali, malah merupakan di antara negara yang paling teruk terjejas dengan situasi ini. Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tun Dr. Mahathir pernah menuduh Soros adalah dalang di sebalik krisis yang berlaku ini.

Kegawatan ini berlaku kerana tindakan Soros membuat short trading terhadap nilai mata wang negara-negara Asia.Tindakan pantas yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir adalah mengharamkan terus perdagangan mata wang untuk menghalang nilai mata wang Malaysia daripada terus jatuh.

Sepanjang karier menjadi pelabur yang disegani di Wall Street, beliau banyak menimba pelbagai pengalaman yang boleh dijadikan teladan bagi pelabur yang lain. Untung rugi dalam pelaburan merupakan adat resam dalam dunia pelaburan saham.

Pernah Juga Rugi Besar

Di antara peristiwa yang menyebabkan beliau rugi adalah ketika membuat pertaruhan terhadap nilai mata wang Russia pada tahun 1998. Beliau telah mengalami kerugian sebanyak $2 bilion USD dan pada tahun berikutnya, beliau mengalami kerugian sebanyak $700 juta USD akibat peristiwa bubble dot com pada tahun 2000.

Beliau telah kehilangan wang pelaburan sebanyak $3 billion USD dalam pasaran Nasdaq. Kerugian yang terbaru yang berlaku kepada Soros adalah pada dua tahun lepas, di mana beliau telah kerugian sebanyak $1 bilion USD apabila cuba menentang market di atas sentimen kemenangan Donald Trump.

Beliau telah menutup sepenuhnya hedge fund yang diasaskannya pada tahun 2011. Sepanjang penubuhan Quantum Fund, Hedge Fund itu merupakan di antara yang terbaik di Amerika Syarikat dengan purata pulangan pelaburan sehingga 30% setahun. Selepas penutupan hedge fund tersebut, Soros hanya menguruskan wang pelaburan milik keluarganya sahaja dan tidak lagi menerima wang pelaburan dari luar.

Badan kebajikan bernama Open Society menerima suntikan dana sebanyak $18 billion USD daripada duit poket Soros sendiri pada tahun 2017

Kini beliau lebih fokus kepada badan kebajikan yang ditubuhkan 40 tahun yang lalu. Badan kebajikan ini telah banyak membantu mangsa-mangsa dan aktivis yang tidak bernasib baik akibat daripada keadaan politik di negara terbabit. Sepanjang tahun 1979 hingga 2011, Soros telah menderma sebanyak $8 bilion USD untuk badan kebajikan ini.

Pada tahun 2017, beliau telah memindahkah sejumlah $18 bilion USD miliknya kepada yayasan kebajikanya dan nilai kekayaan yang dimiliki sekarang adalah berjumlah $8.3 bilion USD.

Sumber Utama:

Sumber Sekunder:

Iklan

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Cuti Panjang di Jepun Cetus Kebimbangan Terjadinya ‘Flash-Crash’ Dalam Pasaran Global

Jepun memulakan cuti panjangnya selama 10 hari bermula Sabtu (27 April 2019) bagi menyambut peralihan takhta Maharaja Jepun kepada Putera Mahkota Naruhito pada Selasa (30 April) dan Rabu (1 Mei).

Cuti panjang yang dikenali sebagai ‘Golden Week’ menggabungkan beberapa cuti umum yang jatuh pada 29 April dan 3 hingga 6 Mei. Ini adalah cuti umum 4 hari yang diraikan di Jepun pada setiap tahun. Oleh sebab berlakunya peralihan takhta Maharaja pada minggu yang sama, Jepun menggabungkan kesemua cuti tersebut.

Ironinya, sebahagian besar daripada rakyat Jepun kurang gembira dengan cuti yang begitu panjang. Tidak kurang juga yang gembira dan meraikannya sehingga agensi pelancongan mengalami peningkatan permintaan.

Ini juga bermaksud sektor perbankan dan pasaran kewangan Jepun terpaksa ditutup selama enam sesi dagangan berturut-turut menjadikan ia penutupan paling panjang sejak Perang Dunia Kedua.

Cuti panjang memang menggembirakan dan memberi peluang kepada rakyat Jepun untuk bersantai, tetapi ia juga mungkin memberi kesan buruk kepada pasaran kewangan. Masih ingat lagi ‘flash crash’ yang berlaku di Jepun tahun lalu semasa cuti tahun baru? Untuk pengetahuan anda, cuti umum ketika itu hanya berlangsung selama empat hari.

Apa Masalah Yang Mungkin Timbul?

Cuti umum di Jepun tidak menghalang kepada peristiwa penting dan juga pengumuman data ekonomi termasuk penetapan dasar monetari The Federal Reserve pada 2 Mei ini. Pedagang dan pelabur tidak akan dapat keluar dari posisi mereka di Tokyo pada cuti umum walaupun pasaran di negara lain buka seperti biasa. Ini menimbulkan kebimbangan di kalangan pelabur global.

Agensi Perkhidmatan kewangan Jepun telah menggesa pedagang matawang untuk menguruskan posisi mereka secara berhemah sebelum cuti bermula. Agensi tersebut juga telah mengambil langkah berjaga-jaga dan terus memerhatikan pergerakan pasaran bagi mengesan aktiviti ‘manipulasi pasaran’ sepanjang cuti.

Hal ini kerana semasa cuti, jumlah dagangan begitu kecil dan begitu juga dengan kecairan yang rendah memudahkan pasaran untuk dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ia juga memberi amaran ketidaktentuan volatility (turun-naik) selepas pasaran dibuka pada minggu hadapan.

Benarkah Kejutan Pasaran Boleh Berlaku?

Pasaran matawang khasnya adalah pasaran yang paling mudah terkesan. Tempoh di antara penutupan pasaran New York dan pembukaan di Tokyo sering memperlihatkan pergerakan besar berikutan kecairan yang rendah, inikan pula cuti umum di mana kecairan pasaran jauh lebih kecil.

3 Januari lalu telah berlaku pergerakan besar pasaran semasa cuti umum di Jepun tahun ini di mana Dolar Australia dan Lira (Turki) dijual secara besar-besaran berbanding Yen. Ia menyebabkan Yen melonjak tinggi dalam masa hanya tujuh minit. Sebulan selepas itu, Swiss Franc pula jatuh hampir satu peratus hanya dalam masa seminit pada permulaan pasaran Asia semasa cuti umum di Jepun.

Apakah Persediaan Pelabur ?

Terdapat broker seperti Daiwa Securities yang merancang membuka pasaran Amerika dan Eropah di platform mereka agar pedagang dan pelabur Jepun dapat berdagang semasa cuti umum. Ada juga syarikat insurans yang memanjangkan tempoh matang posisi pelaburan yang ada sehingga pasaran dibuka semula.

Tidak kurang juga broker-broker yang menghentikan pembelian saham sebelum cuti di samping menyediakan ‘manual’ untuk staf berdepan dengan kemungkinan buruk yang mungkin berlaku.

Yasuo Sakuma, Ketua Pegawai Pelaburan di Libra Investments berkata, “Ia menakutkan di mana kita tidak dapat berdagang dalam masa enam hari. Kami perlu mengubahsuai posisi pelaburan sebelum cuti bermula. Namun, sukar untuk memperkatakan apa yang perlu diubah, tetapi saya akan pastikan posisi pelaburan kami adalah neutral sebelum cuti umum.”

Pasaran akan memerhati lebih dekat pasaran Jepun terutamanya matawang Yen kerana sifatnya yang sensitif kepada sentimen semasa. Pelabur akan cuba melihat impak yang dibawa oleh beberapa peristiwa minggu ini terhadap Yen terutamanya penetapan dasar dua bank pusat utama Federal Reserve dan Bank of England. Bukan itu sahaja, data penting sektor pekerjaan Amerika Syarikat (Non-Farm Payroll) pada Jumaat juga akan menjadi data ekonomi paling penting pada minggu ini.

Lebih banyak kesan terhadap Yen jika beberapa isu berisiko seperti perang perdagangan, Brexit dan Korea Utara tercetus semasa tempoh cuti umum di Jepun.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Iklan

Lima Tema Utama Yang Bakal Menggerakkan Pasaran Pada Minggu Ini (8–12 Jun 2020)

Pasaran Wall Street melonjak pada hari Jumaat di mana indeks Nasdaq hampir mencapai paras tertinggi yang baru selepas catatan data pekerjaan Non-Farm Payroll (NFP) yang memberangsangkan di Amerika Syarikat (AS).

Data tersebut memberi gambaran kepada pasaran bahawa ekonomi negara terbesar dunia itu mungkin pulih lebih awal selepas terkesan berikutan penutupan aktiviti ekonomi disebabkan pandemik Covid-19.

Indeks komposit Nasdaq yang terdiri lebih daripada 2,500 syarikat ditutup 2.25% tinggi hanya sedikit di bawah paras paling tinggi yang pernah dicapai pada 19 Februari 2020 yang lalu.

Indeks Dow Jones Industrial Average (DJIA) yang mengandungi 30 syarikat terbesar dalam bursa saham Amerika Syarikat (AS) menokok sehingga 3.15%.

Manakala indeks S&P 500 yang sering dijadikan panduan prestasi keseluruhan ekonomi AS ditutup 2.62% lebih tinggi.

Pemangkin kepada peningkatan pasaran Wall Street pada akhir dagangan minggu lalu adalah data pekerjaan NFP yang merekodkan tambahan 2.5 juta pekerjaan pada bulan Mei selepas kejatuhan 20.7 juta pekerjaan pada bulan sebelumnya.

Keyakinan ini ditambah lagi dengan catatan kadar pengangguran 13.3% jauh lebih rendah daripada jangkaan penganalisa pasaran sebanyak 19.4%.

Lonjakan di pasaran Wall Street pada akhir dagangan minggu lalu sebenarnya disebabkan jangkaan pelabur yang melihat ekonomi negara itu mungkin akan pulih lebih awal daripada jangkaan. Hal ini disokong dengan data NFP yang dikeluarkan apabila jangkaan pelabur meleset terhadap data itu yang sebenarnya merekodkan bacaan yang lebih baik sepertimana diumumkan oleh Jabatan Buruh Amerika Syarikat.

Fokus pada minggu ini akan tertumpu kepada mesyuarat Federal Reserve (The Fed) di mana pelabur-pelabur akan mendapatkan sebarang isyarat tentang halatuju bank pusat itu dalam merangsang ekonomi Amerika Syarikat yang masih berdepan cabaran penularan Covid-19.

Berikut adalah lima catalyst yang akan menjadi perhatian pelabur sepanjang minggu ini.

1. Mesyuarat The Federal Reserve

Keyakinan pelabur terhadap ekonomi dapat dilihat dengan penjualan bon-bon kerajaan dalam jumlah yang besar. Minggu ini pelabur berpeluang untuk mendengar sendiri pendapat The Fed tentang ekonomi AS yang mana dalam mesyuarat sebelum ini pengerusinya Jerome Powell mengatakan ekonomi mungkin akan terkesan daripada penularan koronavirus dalam tempoh lebih daripada setahun.

Pendapat The Fed penting untuk diberi perhatian kerana ia bertindak dalam mengawal pasaran kewangan di Amerika Syarikat melalui dasar monetari yang diputuskan. Antaranya adalah program pelonggaran kuantitatif (Quantitative Easing) yang berkemungkinan besar diteruskan dalam tempoh beberapa bulan lagi sehingga ekonomi benar-benar pulih.

Dalam mesyuarat kali ini juga kita bakal melihat ramalan ekonomi yang pertama sejak Amerika Syarikat menutup sebahagian besar ekonominya pada pertengahan bulan Mac. Kita bakal mendapat keputusan mesyuarat dari The Fed pada hari Khamis pukul 2 pagi waktu Malaysia.

2. Perkembangan Pandemik Covid-19

Dua ekonomi terbesar dunia Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) menunjukkan tambahan kes baru yang mendatar sejak akhir-akhir ini. Tetapi negara-negara lain masih berdepan kesukaran antaranya Brazil yang kini berada di tangga kedua dari segi jumlah kes positif di belakang AS.

United Kingdom (UK) pula tidak dijangka merekodkan kematian begitu tinggi yang kini mengatasi Sepanyol dan Itali di Eropah. Kadar kematian sebanyak 15% di negara itu menimbulkan persoalan tentang keberkesanan langkah kerajaan membendung penularan pandemik itu. Sebaliknya Jerman hanya merekodkan 5% kematian daripada keseluruhan kes positif.

Walaupun AS mempunyai kes positif terbanyak, tetapi perkembangan pasaran sejak sebulan lalu menunjukkan keyakinan pelabur kembali pulih. Ia antaranya disokong oleh kemajuan dalam penghasilan vaksin dan tiada lonjakan kes baru walaupun kawalan telah dilonggarkan.

Di Asia, antara negara yang telah melonggarkan kawalan adalah Malaysia dengan kebenaran perjalanan rentas negeri bermula 10 Jun 2020. Aktiviti pelancongan juga digalakkan tetapi hanya di dalam negara sekaligus dapat membantu sektor pelancongan dan aktiviti ekonomi dalam rantaian sektor ekonomi tersebut.

3. Import China Kekal Lemah

Perdagangan negara China merekodkan prestasi memberangsangkan dalam imbangan perdagangannya pada bulan Mei dengan lonjakan lebihan dagangan (trade surplus) dan catatan eksport yang turun kurang daripada jangkaan.

Sebahagian besar lonjakan lebihan dagangan disokong oleh jualan barangan perubatan dan import ke negara itu yang jatuh mendadak.

Kejatuhan import sebenarnya bukanlah satu perkara yang positif walaupun ia menyumbang kepada lebihan dagangan kepada China. Ia bermaksud permintaan dari dalam negara adalah lemah khususnya dari sektor perkilangan.

Eksport China ke Amerika Syarikat susut 1.2% berbanding tahun sebelumnya, manakala eksport ke India dan Brazil masing-masing jatuh 51% dan 26%. Ini menunjukkan enjin pertumbuhan ekonomi dunia itu masih lagi berdepan kesukaran walaupun berada dalam fasa pemulihan.

Pemulihan ekonomi China mungkin terganggu dengan ketegangan yang dicetuskan oleh Presiden Trump baru-baru ini dengan permintaan global terhadap import dari China kekal lemah berdasarkan data yang dikeluarkan pada Ahad (7 Jun 2020).

4. OPEC dan Russia Lanjutkan Pemotongan Bekalan

Satu lagi berita yang berpotensi memangkin kenaikan harga minyak mentah dan mampu menstabilkan pasaran komoditi hitam selepas berakhirnya mesyuarat OPEC pada Sabtu (6 Jun 2020).

Arab Saudi yang mengetuai Organization of the Petroleum Exporting Countries (OPEC) bersetuju dengan Russia dan beberapa negara lain untuk melanjutkan pemotongan bekalan sehingga bulan Julai 2020.

Sejak mencecah paras harga terendah US$10 setong pada 28 April, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) telah melonjak hampir 300% sehingga hari ini.

Terbaru harga komoditi hitam meningkat lagi pada Jumaat lepas apabila data NFP merekodkan bacaan di luar jangkaan pelabur dengan spekulasi kini pemotongan bekalan minyak mentah bakal diteruskan sehingga Julai.

5. Data Penting Ekonomi Amerika Syarikat

Amerika Syarikat pada minggu ini juga akan mengeluarkan beberapa data penting yang mampu memberi gambaran tentang pemulihan ekonominya dalam tempoh terdekat. Antara data yang menjadi perhatian adalah jumlah tuntutan pengangguran, data inflasi, dan indeks keyakinan pengguna.

Tuntutan pengangguran seperti yang kita tahu adalah jumlah rakyat AS yang kehilangan pekerjaan di mana ia diumumkan setiap minggu. Data ini pada penghujung bulan Mac yang lalu merekodkan 6.8 juta tuntutan berbanding hanya 1.8 juta pada minggu lalu. Bacaan data ini akan dikeluarkan pada Khamis pukul 8.30 malam.

Data inflasi ataupun lebih khusus indeks harga pengguna (CPI) akan dikeluarkan pada Rabu pukul 8.30 malam. Ia dijangka terus lemah dengan kurangnya permintaan di Amerika Syarikat sejak penularan koronavirus.

Bagi melihat sentimen pengguna di negara ini, data indeks keyakinan pengguna akan dikeluarkan pada Jumaat pukul 10 malam dan dijangka meningkat menurut penganalisa pasaran.

Sumber Rujukan:

Disediakan oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini berkhidmat di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Iklan

Dua Isu Geopolitik Antara Fokus Utama Pasaran Global Minggu Ini (30 September – 4 Oktober 2019)

Pasaran pada minggu lalu didominasi oleh drama politik di Amerika Syarikat sehingga mengakibatkan pasaran saham Wall Street ke paras terendah tiga minggu yang lalu. Ketidaktentuan dalam isu geopolitik global termasuk Brexit telah menyokong kenaikan aset selamat (safe-haven) dalam usaha pelabur mengekalkan nilai aset mereka.

Perkembangan terkini yang berlaku dalam pasaran pada hari Jumaat lalu (27 September 2019) menunjukkan indeks saham AS merudum selepas laporan bahawa pentadbiran AS sedang menimbang untuk mengeluarkan syarikat China daripada bursa saham Wall Street. Ia dilihat sebagai satu faktor yang menambah lagi kecelaruan dalam hubungan dua hala AS dan China.

Tidakan terbaru ini adalah satu usaha kerajaan AS untuk mengurangkan pelaburan oleh entiti dari negara itu terhadap syarikat-syarikat China yang disenaraikan di Wall Street.

Secara keseluruhan pasaran saham dunia berhadapan tekanan pada minggu lalu termasuk Asia. Hal ini bertambah teruk apabila terdapat usaha untuk memulakan siasatan pemecatan (impeachment) terhadap Presiden Donald Trump pada hari Selasa (24 September 2019).

Tiga indeks utama Wall Street berakhir lebih rendah pada hari Jumaat dengan Dow Jones Industrial Average (DJIA) susut 0.26%, S&P 500 pula jatuh 0.53% dengan Nasdaq Ditutup 1.13% lebih rendah. Indeks volatility (VIX) yang mengukur tahap kebimbangan pelabur di dalam pasaran pula meningkat ke paras tertinggi tiga minggu yang lalu.

Minggu ini isu geopolitik sekali lagi menjadi pusat perhatian pasaran global dengan isu ‘impeachment’ dan ‘Brexit’. Dua isu ini adalah dua faktor yang telah menambah ketidaktentuan dalam ekonomi dunia.

Berikut adalah tema utama yang bakal menjadi perhatian para pelabur sepanjang minggu ini.

1. Usaha ‘Impeachment’ Terhadap Trump

Presiden Donald Trump kini berhadapan dengan tekanan politik daripada Parti Demokrat selepas pengumuman oleh speaker dewan perwakilan Amerika Syarikat (House of Representative) yang memulakan langkah formal dalam usaha untuk memecat beliau. Pengumuman ini dibuat oleh Nancy Pelosi wakil Demokrat pada hari Selasa, selepas laporan yang mengaitkan Trump dengan penyalahgunaan kuasanya sebagai seorang Presiden.

Laporan menunjukkan Trump menyalahgunakan kuasanya dengan meminta pertolongan kepada kerajaan Ukraine untuk menyiasat anak kepada bekas Naib Presiden Joe Biden. Joe Biden adalah di antara calon utama Presiden daripada Parti Demokrat untuk pilihanraya akan datang.

Kali terakhir usaha ‘impeachment’ dibuat terhadap Presiden AS adalah pada tahun 1998. Ketika itu Bill Clinton adalah presiden daripada Parti Demokrat. Ia mengambil masa selama hampir tiga bulan untuk proceedings berjalan sebelum undian pemecatan dibuat.

Yang pasti, banyak lagi drama yang akan muncul dalam politik AS sepanjang proceedings ini berjalan. Pastinya pasaran juga akan terkesan kerana usaha pemecatan Trump ini bakal memberi risiko kepada dasar ekonomi beliau yang dianggap ‘mesra perniagaan’.

Dasar inilah yang menjadi pemangkin kepada kenaikan Wall Street sejak dua tahun lepas.

2. Cadangan Baru Perjanjian Brexit Oleh Kerajaan UK

Satu lagi isu geopolitik yang penting untuk diberi perhatian adalah Brexit kerana ia adalah di antara penyumbang kepada ketidaktentuan ekonomi di Zon-Eropah. Apakah yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri Boris Johnson untuk mendapatkan perjanjian sebelum tarikh keluar UK pada 31 Oktober ini?

Laporan terbaru yang dikeluarkan Bloomberg menunjukkan kerajaan UK akan membentangkan cadangan penyelesaian isu Brexit kepada Kesatuan Eropah (EU) pada minggu ini selepas konferens Parti Konservatif.

Cadangan baru ini berkemungkinan akan menjadi penyelesaian kepada isu besar sempadan Ireland yang menjadi batu penghalang kepada perjanjian Brexit selama ini.

Walaubagaimanapun, Johnson telah beberapa kali menegaskan beliau akan membawa UK keluar daripada EU pada 31 Oktober sama ada mendapat perjanjian atau sebaliknya. Ia tetap akan berlaku walaupun Parlimen meluluskan undang-undang memaksa penangguhan Brexit jika tiada perjanjian, tegas Johnson.

3. Indeks PMI Pembuatan China

Dengan perang perdagangan AS-China yang tidak menemui jalan penyelesaian selepas banyak siri rundingan dijalankan, perhatian dalam masa terdekat akan terarah kepada data sektor pembuatan China yang bakal memperlihatkan tren terkini perkilangan negara ini dalam suasana perdagangan yang tegang.

Data Caixin PMI yang mengukur indeks sektor pembuatan di negara ekonomi kedua terbesar dunia ini, telah merekodkan bacaan perlahan sejak beberapa bulan lepas disebabkan oleh perang perdagangan.

Bacaan terkini rasmi daripada statistik kerajaan pada Ogos 2019 adalah 49.5, yang menunjukkan aktiviti yang semakin merosot dalam sektor pembuatan China. Manakala bacaan Caixin daripada badan bebas pula berada pada paras 50.4. Jika kedua-dua bacaan ini jatuh dibawah paras 50 yang menggambarkan kemelesetan sedang berlaku, maka ‘mood’ pasaran juga bakal terkesan.

Penganalisa di TD Securities meramalkan bacaan rasmi indeks pembuatan China naik kepada 49.7 dari 49.5. Manakala bacaan Caixin pula dijangka susut daripada 50.4 kepada 50.3.

4. Data Pekerjaan Amerika Syarikat (NFP)

Ini adalah data yang paling ditunggu-tunggu oleh pasaran pada setiap bulan, kerana kebolehannya untuk menggerakkan pasaran terutamanya saham Wall Street dan pasaran tukaran matawang. Non-Farm Payroll (NFP) adalah data pekerjaan yang tidak mengambil kira sektor perladangan dan dikeluarkan pada setiap hari Jumaat minggu pertama setiap bulan.

Data kali ini akan dikeluarkan pada hari Jumaat (4 Oktober 2019) pukul 8.30 malam yang mana mengandungi beberapa komponen data pekerjaan di Amerika Syarikat termasuklah kadar perubahan gaji dan kadar pengangguran.

Data ini penting kerana menjadi perhatian utama bank pusat sebelum membuat keputusan dasar monetari. Untuk pengetahuan anda, pertumbuhan pekerjaan semakin perlahan di Amerika Syarikat dengan hanya kenaikan 130,000 pekerjaan pada bulan Ogos dan 159,000 pada Julai.

Kenaikan lebih daripada paras 200,000 diperlukan bagi meyakinkan pasaran bahawa pasaran buruh di negara ini kekal kukuh. Walaubagaimanapun, kadar pertumbuhan gaji pada bulan Ogos adalah memberangsangkan dengan pertumbuhan 0.40% yang mambawa bacaan tahunan kepada 3.2% – satu bacaan yang kukuh.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.bendbulletin.com/business/7458605-151/us-stocks-hit-3-week-low-after-trade-tensions
  2. https://www.investing.com/news/stock-market-news/stocks–sp-500-ends-lower-as-white-house-china-plan-spooks-market-1988158
  3. https://www.investing.com/news/stock-market-news/sp-nasdaq-dragged-down-by-microns-downbeat-outlook-1987750
  4. https://www.aljazeera.com/news/2019/09/trump-impeachment-inquiry-latest-updates-190924224434789.html
  5. https://www.investing.com/news/economy/take-five-fog-in-the-atlantic-1987792
  6. https://www.bloomberg.com/news/articles/2019-09-27/u-k-s-new-brexit-deal-gambit-may-emerge-as-early-as-next-week

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Iklan

Telenor dan Axiata Bergabung di Arena Antarabangsa, Digi dan Celcom Bergabung di Malaysia

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd dan Telenor ASA akan mewujudkan juara global baharu susulan perbincangan untuk menggabungkan operasi Asia mereka di bawah entiti global yang digabungkan (MergedCo).

Di Malaysia, penggabungan Celcom Axiata Bhd (Celcom) dan Digi.Com Bhd, seterusnya akan menjadi pengendali mudah alih terbesar di Malaysia.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Axiata berkata kedua-dua pihak akan berusaha untuk memuktamadkan perjanjian dalam tempoh suku ketiga 2019, yang bakal menyaksikan Telenor menjadi pemegang saham majoriti MergedCo global dengan jangkaan 56.5 peratus pemilikan manakala 43.5 peratus oleh Axiata.

“Pihak-pihak yang terlibat menyatakan bahawa belum ada kepastian transaksi yang dicadangkan itu akan menjurus kepada perjanjian atau obligasi yang mengikat pihak-pihak untuk meneruskan pengambilalihan, penggabungan dan penjualan,” katanya.

Axiata berkata menerusi cadangan itu, kedua-dua pihak menetapkan hasrat untuk menyenaraikan MergedCo di Bursa Malaysia, dan satu lagi bursa antarabangsa utama dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Selaku juara dunia, MergedCo kini meliputi Malaysian Champion, Global TowerCo dan pusat inovasi terbeser di rantau ini, kesemuanya beribu pejabat di Malaysia,” katanya.

MergedCo akan mengawal operasi anak-anak syarikat di sembilan negara dengan gabungan penduduk lebih satu juta dan 300 juta pelanggan.

Secara keseluruhannya, ia bertujuan mengawal kedudukan utamanya di enam negara, kedudukan kedua di dua negara dan kedudukan ketiga dalam satu pasaran.

Bagaimanapun, unit Bangladesh, Robi Axiata Ltd, akan terus diuruskan secara bebas oleh Axiata setelah proses itu selesai.

MergedCo berpotensi untuk menyumbang hasil lebih daripada RM50 bilion dan pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai (EBITDA) melebihi RM20 biliion, katanya.

Berdasarkan portfolionya yang unik, MergedCo akan menjadi antara kumpulan komunikasi terbesar di rantau ASEAN dan Asia Selatan dari segi nilai, hasil dan keuntungan dengan lembaran imbangan yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan dan perkembangan agresif pengguna, rumah, perusahaan, dan Internet benda (segmen pasaran kecerdasan buatan IoT).

MergedCo juga berpotensi untuk menyumbang nilai tambahan dalam sinergi sebanyak RM20 juta melalui penyatuan aset dan organisasi, skala ekonomi dan skop selain amalan terbaik gabungan berkenaan.

Mengenai TowerCo Global, Axiata berkata ia juga berpotensi mengetuai pembentukan lima penggiat utama infrastruktur mudah alih global, dengan menggabungkan edotco Group Sdn Bhd (edotco), Axiata TowerCo yang kini merupakan TowerCo global ke-13 terbesar dan aset-aset menara Telenor Asia.

Sementara itu, Pusat Inovasi akan mewujdukan Pusat Inovasi terbesar di rantau ini untuk memasukkan IoT dan 5G, serta Kilang Bakat Global.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, berkata entiti yang baru bergabung itu akan membolehkan syarikat itu melonjak ke Axiata 4.0 untuk menguasai momentum global Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dan berkembang melangkaui mudah alih ke Jalur Lebar, Digital, 5G, IOT, AI dan Penyelesaian.

“Syarikat bergabung itu akan secara aktif menyokong aspirasi kerajaan untuk menarik organisasi bertaraf dunia, dan memimpin dalam memajukan inovasi dan pembangunan yang fokus kepada bakat-bakat Malaysia dan global.

“Masih banyak kerja untuk merealisasikan perjanjian ini, namun saya teruja memandangkan penggabungan ini adalah antara yang paling menonjol dalam sejarah telekom di Asia dan korporat Malaysia,” katanya.

Sekiranya pihak-pihak yang terbabit bersetuju, transaksinya akan tertakluk kepada kelulusan oleh pemegang saham dan badan pengawalseliaan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Digi berkata Telenor juga telah membuat pengumuman mengenai potensi sumbangan bukan tunai aset infrastruktur telekom kepada Bursa Saham Oslo, hari ini. – BERNAMA

Sumber: BH Online

Apakah Kesannya Kepada Harga Saham?

Sumber: Trading View

Senarai Top 10 Pemilik Axiata

Sumber: Bursa Marketplace

Sumber: Trading View

Senarai Top 10 Pemilik Digi

Sumber: Trading View

Sumber: Trading View

Iklan

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!