Jangkaan Pakar Ekonomi Jadi Kenyataan, Indikator Pasaran Bon Amerika Syarikat Cetus Kebimbangan

Media kewangan dunia dibanjiri dengan isu pasaran bon Amerika Syarikat yang dikatakan telah menunjukkan tanda-tanda awal kelembapan ekonomi. Keluk hasil (yield-curve) indikator yang boleh diharapkan dalam meramalkan kemelesetan ekonomi, telah membuat penyongsangan atau terbalik pada Jumaat (22 Mac 2019).

Keluk-hasil adalah graf yang menunjukkan hasil daripada pegangan bon kerajaan Amerika Syarikat yang terdiri daripada bon jangka pendek sehinggalah bon jangka panjang seperti bon 1 bulan sehingga 30 tahun. Biasanya, bon jangka pendek mempunyai hasil yang rendah berbanding bon jangka panjang. Hasil di sini bermaksud hasil pelaburan (kadar faedah) daripada pegangan bon tersebut.

Penyongsangan Keluk-Hasil (Inverted Yield-Curve)

Inverted yield-curve (Keluk hasil-bon yang terbalik) menunjukkan situasi di mana hasil pulangan bon jangka pendek adalah lebih banyak daripada hasil pulangan bon jangka panjang. Hal ini hanya berlaku beberapa kali sahaja dalam sejarah kewangan dunia dan sering diikuti dengan kemelesetan ekonomi.

Daripada segi perspektif ekonomi ‘Inverted yield-curve‘ adalah satu keadaan yang menarik untuk dibincangkan kerana menunjukkan apa yang sedang difikirkan oleh pelabur pada ketika ini.

Impaknya sangat signifikan dan dapat kita lihat pada Jumaat lalu (22 Mac 2019) di mana berlakunya kejatuhan besar pasaran saham Wall Street sehingga memberi kesan kepada pasaran Asia pada Isnin (25 Mac 2019) di mana indeks Nikkei jatuh sehingga 3%. Majoriti indeks saham Asia berada dalam lautan merah dengan FBMKLCI pula merekodkan penurunan lebih daripada 1% pada hari Isnin.

Untuk pengetahuan anda, buat pertama kalinya perbezaan antara hasil-bon 3 bulan AS dan hasil-bon 10 tahun AS menjadi positif pada Jumaat lepas. Inilah yang dipanggil sebagai ‘Inverted Yield Curve’ yang menunjukkan potensi berlakunya kemelesetan ekonomi jika ia kekal terbalik dalam jangka masa yang lama.

Pelabur ketika ini tertumpu kepada pasaran bon yang menyebabkan hasil-bon (bond-yield) jatuh secara mendadak disebabkan permintaan yang tinggi kepada bon jangka panjang. Ia dilihat sebagai langkah untuk mendapatkan bon pada kadar semasa yang dilihat mungkin akan menurun di masa hadapan. Ini juga bermakna, pasaran mula menyerap (price-in) kemungkinan untuk Federal Reserve (Bank Pusat Amerika Syarikat) menurunkan kadar faedah.

Keadaan seperti ini bukan sahaja memberi impak kepada pasaran saham, tetapi juga kepada pengguna di luar sana. Sebagai contoh, pembelian rumah yang menggunakan kadar boleh-ubah akan mendapati kadar faedah pinjaman yang dikenakan kepada mereka dikemaskini berdasarkan kadar faedah jangka pendek.

Apabila kadar faedah jangka pendek lebih tinggi daripada kadar faedah jangka panjang, bayaran pinjaman mengikut kadar boleh-ubah cenderung untuk meningkat. Apabila perkara ini terjadi pinjaman dengan kadar tetap dilihat lebih menarik oleh pengguna.

Penganalisis Ekonomi Telah Menjangka Penyongsangan Keluk-Hasil Sejak Disember 2018

Risiko kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat dalam tempoh dua tahun akan datang meningkat kepada 40% berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh Reuters. Ianya berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh Reuters pada Disember 2018 terhadap penganalisis ekonomi yang turut melihat jangkaan kenaikan kadar faedah Federal Reserve yang berkurangan pada tahun 2019. Ia ternyata berlaku apabila Fed menunjukkan kemungkinan tiada kenaikan kadar faedah pada tahun ini.

Tinjauan yang dibuat oleh Reuters melibatkan 500 golongan professional yang terdiri daripada penganalisis ekonomi dan pengurus dana. Mereka juga berpendapat momentum ekonomi di Amerika Syarikat telah mencapai paras tertinggi dan berkemungkinan akan mula merosot dalam masa terdekat.

Berdasarkan tinjauan yang dibuat pada Disember 2018 ini, keluk hasil bon kerajaan AS diramalkan untuk bergerak songsang, iaitu kira-kira enam bulan akan datang dan kemelesetan ekonomi pula dijangka berlaku setahun selepas itu. Ironinya, keluk-hasil telah bergerak songsang lebih awal daripada tempoh enam bulan tersebut.

Adakah Amerika Syarikat Bakal Berdepan Dengan Kemelesetan Ekonomi?

Perbandingan Keluk Hasil 3 Bulan – 10 Tahun Amerika Syarikat

Sumber: Trading View

Mari kita lihat penyongsangan yang pernah berlaku pada Julai 2006, iaitu 17 bulan sebelum tercetusnya kemelesetan ekonomi “The Great Recession“. Perbezaan di antara hasil bon 10 tahun berbanding bon 3 bulan jatuh sehingga ke paras -60 mata asas pada awal tahun 2007. Situasi yang sama berlaku di mana keluk-hasil menyongsang lapan bulan sebelum bermulanya kemelesetan pada Mac 2001, di mana perbezaan hasil bon jatuh ke paras -100 mata asas pada lewat tahun 2000.

Jika dilihat kepada penyongsangan yang baru berlaku, perbezaan hasil bon setakat pada Isnin (25 Mac 2019) berada di paras -5 mata asas dan kini semakin menurun kepada -0.045 mata asas setakat pada sesi Asia hari Rabu (27 Mac 2019). Dalam kata lain, darjah penyongsangan keluk-hasil ketika ini tidaklah seteruk yang berlaku ketika tahun 2000 dan 2006.

Untuk menjadi satu petunjuk yang kuat kepada kemelesetan ekonomi, keluk hasil perlu kekal terbalik dalam tempoh beberapa bulan. Sama-sama kita perhatikan keluk ini dari masa ke semasa..

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

MGB Raih Kontrak RM34.76 Juta Bina Vila Di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: MGB Bhd melalui anak syarikat milik penuh secara tidak langsung, MGB International For Industry memperoleh kontrak bernilai RM34.76 juta bagi pembinaan 75 unit vila di Arab Saudi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGB berkata MGB International menerima surat lantikan daripada ROSHN Group Company, pemaju hartanah berpangkalan di Arab Saudi yang dimiliki oleh dana kekayaan berdaulat negara itu, Public Investment Fund bagi projek berkenaan.

“Nilai keseluruhan kontrak projek ini berjumlah 32.98 juta riyal Saudi (RM34.76 juta),” katanya.

Menurut MGB, tarikh permulaan projek akan ditentukan selepas notis untuk memulakan kerja dikeluarkan oleh majikan, manakala tempoh pembinaan ditetapkan selama 242 hari atau kira-kira lapan bulan dari tarikh pembinaan bermula.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan serta mengukuhkan nilai perolehan kontrak kumpulan.

“Projek ini juga merupakan langkah strategik dalam memperluas penyertaan kumpulan dalam sektor pembinaan di Arab Saudi, selaras dengan strategi pertumbuhan serantau jangka panjang,” katanya.

MGB berkata kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Dalam pada itu, katanya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau ketua pegawai eksekutif serta pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.