Pasaran Saham United Kingdom Selepas Pilihanraya Umum 2019

Pasaran saham Eropah memberi reaksi positif kepada berita kemenangan Parti Konservatif dalam pilihanraya United Kingdom (UK) pada minggu lalu dengan indeks FTSE 250 yang berpangkalan di London melonjak tinggi. FTSE 250 adalah indeks yang lebih fokus kepada perniagaan di dalam negara melonjak hampir 4% pada sesi dagangan pagi hari Jumaat (13 Disember 2019) sehingga mencecah paras tertinggi dalam sejarah.

Penanda aras FTSE 100 yang melibatkan syarikat UK yang berfokus kepada perniagaan global membuat kenaikan lebih sederhana pada kadar 1.8% pada hari tersebut. Ini adalah satu kenaikan tertinggi yang pernah dicapai oleh indeks itu sejak bulan Februari 2019.

Bukan setakat pasaran saham, matawang Pound Sterling juga melonjak pada hari sama menyebabkan ia menguat berbanding matawang-matawang utama dunia yang lain.

Konservatif yang dipimpin Boris Johnson berjaya memenangi 365 kerusi di dewan perwakilan (House of Commons) dengan tambahan 48 kerusi berbanding pilihanraya tahun 2017. Kemenangan besar ini sebenarnya di luar jangkaan pasaran sekaligus menyebabkan lonjakan pasaran UK pada hari Jumaat.

Kemenangan bergaya Parti Konservatif memberi harapan untuk akhirnya menamatkan kemelut Brexit yang menghantui ekonomi UK sejak hampir empat tahun yang lalu.

Ia juga dilihat mengurangkan ketidaktentuan dalam politik dan ekonomi UK berbanding Parti Buruh yang merancang untuk mengadakan referendum kedua Brexit. Walaupun Boris Johnson akan meneruskan perancangan Brexit, tetapi ia dilihat lebih baik berbanding isu Brexit terus tergantung dalam tempoh yang lebih lama.

Penganalisa pasaran berpendapat syarikat-syarikat yang bergantung kepada import bakal menerima manfaat daripada pengukuhan Sterling kerana ia menjadikan barangan dari luar negara menjadi lebih murah sekaligus mengurangkan kos operasi.

Persoalan yang bermain dalam minda pelabur adalah adakah pasaran UK akan meneruskan kenaikan? Ia sudah terjawab pada sesi dagangan hari Selasa (17 Disember) apabila indeks saham utama di London dan matawang Sterling jatuh dari paras tertinggi yang dicapai pada hari Jumaat lepas.

Kebimbangan Terhadap Brexit Kembali Menghantui Pasaran UK

Pasaran saham dan matawang UK kembali tertekan selepas mencatat kenaikan pada minggu lalu disebabkan risiko tiada-perjanjian antara UK dan Kesatuan Eropah (EU). Perdana Menteri UK, Boris Johnson dilaporkan pada Selasa (17 Disember) untuk meneruskan perancangan Brexit beliau iaitu membawa UK keluar daripada blok EU.

Majoriti indeks saham Eropah pada Selasa didagangkan rendah berikutan ketegasan yang dilaungkan oleh Johnson dengan penanda aras FTSE 250 di London kini menyusut dua hari berturut-turut pada Rabu (18 Disember). FTSE 100 yang lebih banyak berfokus kepada perniagaan di luar negara pula didagangkan sedikit di bawah paras tertinggi yang dicapai pada minggu lalu.

Matawang Sterling juga mengalami nasib sama seperti FTSE 250 yang turut menyusut dua hari berturut-turut berbanding matawang utama dunia yang lain.

Boris Johnson dilihat mahu mengelak daripada memanjangkan tempoh untuk UK keluar dari EU apabila terdapat laporan bahawa kerajaan mahu menggunakan undang-undang untuk menghalang pelanjutan tempoh transisi Brexit melebihi penghujung tahun 2020. Ia dijangka akan dilakukan oleh kerajaan seawal Jumaat ini (20 Disember).

Sumber Rujukan:

  1. https://www.wsj.com/articles/investors-pour-into-u-k-markets-as-election-result-calms-brexit-jitters-11576238113
  2. https://www.scotsman.com/business/general-election-2019-market-surge-sees-ftse-250-hit-record-high-but-can-it-last-1-5061962
  3. https://www.ft.com/content/6c8039fc-1d74-11ea-9186-7348c2f183af
  4. https://www.poundsterlinglive.com/gbp-live-today/12550-pound-sterling-retreats-from-euro-dollar-and-spectre-of-new-no-deal-brexit-cliff-edge
  5. https://www.investing.com/news/stock-market-news/pound-and-stocks-flop-as-brexit-fears-resurface-2042536
  6. https://www.investing.com/news/stock-market-news/eu-warns-of-brexit-cliff-as-uk-excludes-longer-transition-2043185

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

MGB Raih Kontrak RM34.76 Juta Bina Vila Di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: MGB Bhd melalui anak syarikat milik penuh secara tidak langsung, MGB International For Industry memperoleh kontrak bernilai RM34.76 juta bagi pembinaan 75 unit vila di Arab Saudi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGB berkata MGB International menerima surat lantikan daripada ROSHN Group Company, pemaju hartanah berpangkalan di Arab Saudi yang dimiliki oleh dana kekayaan berdaulat negara itu, Public Investment Fund bagi projek berkenaan.

“Nilai keseluruhan kontrak projek ini berjumlah 32.98 juta riyal Saudi (RM34.76 juta),” katanya.

Menurut MGB, tarikh permulaan projek akan ditentukan selepas notis untuk memulakan kerja dikeluarkan oleh majikan, manakala tempoh pembinaan ditetapkan selama 242 hari atau kira-kira lapan bulan dari tarikh pembinaan bermula.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan serta mengukuhkan nilai perolehan kontrak kumpulan.

“Projek ini juga merupakan langkah strategik dalam memperluas penyertaan kumpulan dalam sektor pembinaan di Arab Saudi, selaras dengan strategi pertumbuhan serantau jangka panjang,” katanya.

MGB berkata kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Dalam pada itu, katanya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau ketua pegawai eksekutif serta pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.