SPRM Mulakan Siasatan Projek 1BestariNet, Soal YTL Comms

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap projek 1BestariNet Kementerian Pendidikan bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada tahun 2011.

Fokus utama siasatan ini adalah berkaitan dakwaan penggunaan dokumen palsu yang melibatkan pembayaran sebanyak RM2.7 bilion. SPRM telah melakukan serbuan di pejabat kerajaan dan YTL Communications, di mana beberapa dokumen telah dirampas untuk siasatan lanjut. SPRM sedang mengenal pasti saksi yang akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Selain itu, siasatan turut menumpukan kepada unsur jenayah lain di bawah Akta SPRM 2009. Datuk Seri Hishamuddin Hashim, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, mengesahkan bahawa kes ini disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Beliau turut meminta semua pihak memberi ruang dan masa kepada SPRM untuk menjalankan siasatan tanpa gangguan.

Setakat 9.50 pagi ini (5 Sept), saham YTL Power merudum 21 sen kepada RM3.68, YTL turun 13 sen kepada RM2.87.

Sumber: BERNAMA

Previous ArticleNext Article

MGB Raih Kontrak RM34.76 Juta Bina Vila Di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: MGB Bhd melalui anak syarikat milik penuh secara tidak langsung, MGB International For Industry memperoleh kontrak bernilai RM34.76 juta bagi pembinaan 75 unit vila di Arab Saudi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGB berkata MGB International menerima surat lantikan daripada ROSHN Group Company, pemaju hartanah berpangkalan di Arab Saudi yang dimiliki oleh dana kekayaan berdaulat negara itu, Public Investment Fund bagi projek berkenaan.

“Nilai keseluruhan kontrak projek ini berjumlah 32.98 juta riyal Saudi (RM34.76 juta),” katanya.

Menurut MGB, tarikh permulaan projek akan ditentukan selepas notis untuk memulakan kerja dikeluarkan oleh majikan, manakala tempoh pembinaan ditetapkan selama 242 hari atau kira-kira lapan bulan dari tarikh pembinaan bermula.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan serta mengukuhkan nilai perolehan kontrak kumpulan.

“Projek ini juga merupakan langkah strategik dalam memperluas penyertaan kumpulan dalam sektor pembinaan di Arab Saudi, selaras dengan strategi pertumbuhan serantau jangka panjang,” katanya.

MGB berkata kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Dalam pada itu, katanya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau ketua pegawai eksekutif serta pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.