Tiga Fokus Utama Pasaran Saham Global Pada Minggu Ini (6–10 April 2020)

Indeks utama Wall Street jatuh lebih daripada 1.50% pada Jumaat lalu (3 April 2020) dengan jumlah pengangguran yang mencecah 10 juta dalam masa dua minggu disebabkan pandemik Covid-19.

Dalam data terkini pada hari Jumaat, pertumbuhan jumlah pekerjaan di Amerika Syarikat selama 113 bulan berturut-turut berakhir berikutan pemberhentian pekerja secara mendadak di negara itu sejak tiga minggu lepas.

Penularan koronavirus yang semakin meningkat saban hari terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat telah memaksa penduduk dunia berkurung di rumah masing-masing. Hal ini menyebabkan aktiviti ekonomi terhenti dengan kebanyakan sektor penting di ambang kejatuhan yang memaksa mereka membuat penjimatan dengan pengurangan pekerja.

Indeks S&P 500 yang terdiri daripada 500 buah syarikat besar di Amerika Syarikat susut sehingga 27% dari paras tertinggi yang dicapai pada pertengahan Februari lepas. Ia bersamaan dengan jumlah US$7 trilion nilai pasaran yang hilang daripada indeks tersebut.

Pasaran Asia pada Isnin (6 April) mencatat prestasi yang agak memberangsangkan dengan majoriti indeks saham utama merekodkan kenaikan dengan Indeks ASX200 di Australia, Nikkei (Jepun), Kospi (Korea Selatan), IDX (Indonesia) dan PSEi (Filipina) masing-masing menokok lebih daripada 3%. Hal ini dipacu oleh sentimen pelabur yang semakin pulih dengan jumlah kematian yang semakin berkurangan.

Walaubagaimanapun, Indeks Komposit Kuala Lumpur hanya mencatat kenaikan sebanyak 0.83% dalam penutupan pasaran hari Isnin (6 April 2020).

Dalam perkembangan pasaran komoditi hitam, penanda aras West Texas Intermediate (WTI) didagangkan di sekitar US$27 setong pada Isnin (6 April) selepas melonjak hingga US$29 pada Jumaat lepas.

Setakat ini pasaran minyak mentah merekodkan peningkatan hampir 40% sejak mencecah paras terendah pada 31 Mac 2020 dipacu oleh ura-ura pemotongan bekalan oleh pengeluar-pengeluar minyak mentah terbesar dunia.

Penularan koronavirus di Eropah menunjukkan tanda-tanda semakin reda dengan Sepanyol dan Itali merekodkan penurunan jumlah kes sejak beberapa hari lepas. Manakala di Amerika Syarikat, jumlah kes positif dikatakan hampir mencecah paras tertinggi walaupun berlaku banyak ketidaktentuan dalam usaha membendung virus tersebut di negara itu.

Berikut adalah tiga catalyst utama yang akan menjadi perhatian pelabur sepanjang minggu ini.

1. Perkembangan Penularan Covid-19

Jumlah kematian disebabkan virus Covid-19 di seluruh dunia mencecah 70,000 orang pada Isnin (6 April), menurut data yang dikeluarkan oleh Universiti John Hopkins. Jabatan Kesihatan Amerika Syarikat pula memberi amaran bahawa minggu ini akan menjadi tempoh yang paling mencabar dengan jumlah kematian di negara itu menghampiri jumlah 10,000.

Sehingga hari ini, Amerika Syarikat kekal di tangga pertama dengan jumlah kes terbanyak, manakala Sepanyol telah naik ke tangga kedua, Itali di tangga ketiga, seterusnya Jerman, Perancis dan China di tangga keenam.

Itali pada Ahad merekodkan jumlah kematian paling rendah sejak dua minggu lepas, manakala Sepanyol dan Perancis turut mencatat jumlah kematian yang semakin rendah. Di Britain pula, 47,000 orang telah dijangkiti termasuklah Perdana Menteri Boris Johnson.

Sebagai pelabur atau pedagang, perkembangan pandemik Covid-19 perlu diteliti dari hari ke hari kerana ia adalah catalyst utama kepada pergerakan pasaran saham global. Oleh itu, jika situasi bertambah positif terutamanya di Amerika Syarikat, Eropah dan China, kita bakal melihat pemulihan dalam ekonomi global keseluruhannya.

2. Ketidakpastian Pasaran Komoditi Hitam

Harga minyak mentah jatuh sebanyak 3% pada Isnin apabila Arab Saudi dan Russia menangguhkan rundingan untuk memotong bekalan ke hari Khamis (9 April) yang sepatutnya berlangsung pada Isnin (6 April).

Sebelum ini harga komoditi hitam jatuh sehingga mencecah US$20 setong apabila mesyuarat OPEC dan Russia gagal mencapai persetujuan untuk menambah pemotongan bekalan pada 6 Mac 2020 yang lalu.

Kejatuhan harga minyak sejak sebulan yang lepas bukan hanya disebabkan oleh berita ini tetapi juga ditekan oleh permintaan yang semakin merosot disebabkan penularan koronavirus.

Kejatuhan harga hingga ke paras di bawah US$25 setong memaksa Presiden Trump untuk campur tangan disebabkan kos pengeluaran yang tinggi di AS akan menyebabkan pengeluar di negara itu kerugian.

Presiden Trump cuba membawa Putera Mohamed Bin Salman dan Presiden Vladimir Putin ke meja rundingan bagi meneruskan pemotongan bekalan tetapi Arab Saudi hanya akan besetuju jika AS turut sama memotong bekalan mereka.

Sejak pemotongan bekalan dibuat oleh negara-negara OPEC dan Russia sejak beberapa tahun lalu, AS tidak pernah menyertai pakatan ini dan sejak itu negara Uncle Sam menjadi pengeluar minyak mentah tertinggi di dunia.

Kali ini, Arab Saudi juga mahu Kanada menyertai pakatan pemotongan bekalan minyak mentah dunia. Untuk rekod, Kanada adalah pengeksport minyak mentah terbesar ke Amerika Syarikat.

3. Pengangguran Amerika Syarikat Terus Meningkat

Sekali lagi data tuntutan faedah pengangguran (Jobless Claims) di Amerika Syarikat akan menjadi data perhatian pada minggu ini selepas ia merekodkan 10.4 juta tuntutan pada bulan Mac 2020.

Jabatan Buruh AS mencatatkan 6.6 juta tuntutan faedah pengangguran pada minggu berakhir 28 Mac. Peningkatan ini adalah dua kali ganda berbanding tuntutan faedah pengangguran yang dicatatkan pada minggu sebelum itu sebanyak 3.28 juta permohonan pada minggu berakhir 21 Mac.

Untuk data minggu ini, penganalisa ekonomi menjangkakan sejumlah lima juta orang pekerja akan kehilangan pekerjaan sekaligus membawa jumlah kepada 15 juta pengangguran sejak bulan Mac dan tidak mustahil kadar pengangguran mencapai 10% pada akhir bulan ini.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini berkhidmat di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Peluang Dalam Krisis: Sektor O&G Kembali Jadi Tumpuan (Buat Masa Ini)

Bila Bumi Iran Bergegar, Bursa Malaysia Turut Terkena Tempias

Bulan Mac 2026 menyaksikan sektor minyak dan gas kembali ‘menyala’. Tapi kali ini, bukan sebab laporan kewangan atau projek baharu. Sebaliknya, pasaran digerakkan oleh faktor konflik geopolitik melibatkan Iran yang memberi kesan langsung kepada harga minyak global.

Ketegangan di Timur Tengah, khususnya melibatkan laluan kritikal seperti Selat Hormuz, telah mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan minyak dunia. Apabila risiko supply meningkat, harga minyak melonjak dan secara automatik sektor minyak dan gas menjadi antara yang paling mendapat manfaat.

Malaysia, walaupun bukan pemain utama dunia, berada dalam posisi yang agak unik. Kita bukan negara konflik, tetapi masih mempunyai sumber minyak dan gas sendiri. Ini menjadikan saham-saham tempatan dalam sektor ini menarik perhatian pelabur, seperti yang turut dilaporkan oleh media dan diperhatikan oleh beberapa broker.

Petronas Chemicals

Petronas Chemicals ialah syarikat yang terlibat dalam pengeluaran produk petrokimia seperti bahan asas plastik, baja dan bahan kimia industri yang digunakan dalam pelbagai sektor.

Saham ini menjadi bintang utama bulan Mac apabila mencatatkan kenaikan hampir 92%. Lonjakan ini bukan berlaku secara kebetulan. Dalam keadaan global yang tidak stabil, syarikat seperti Petronas Chemicals dilihat sebagai penerima manfaat kerana sumber bahan mentahnya lebih stabil berbanding pesaing yang bergantung kepada kawasan konflik.

Beberapa laporan media menyatakan bahawa pelabur melihatnya sebagai “defensive play” dalam sektor tenaga. Maksudnya, walaupun pasaran bergolak, syarikat ini masih mampu mengekalkan prestasi kerana kedudukan rantaian bekalannya yang lebih selamat.

Hengyuan Refining

Hengyuan Refining menjalankan aktiviti penapisan minyak mentah kepada produk seperti petrol, diesel dan bahan api lain sebelum dijual ke pasaran.

Hengyuan pula mencatatkan kenaikan sekitar 53%, didorong oleh sentimen kenaikan harga minyak. Sebagai syarikat penapisan, prestasinya sangat sensitif kepada perubahan harga komoditi ini.

Apabila harga minyak naik, margin penapisan boleh meningkat tetapi dalam masa yang sama, kos input juga turut meningkat. Inilah yang menjadikan saham seperti Hengyuan lebih volatile, tetapi sangat menarik dalam fasa kenaikan harga minyak yang agresif.

Hibiscus Petroleum

Hibiscus Petroleum ialah syarikat yang terlibat secara langsung dalam aktiviti cari gali dan pengeluaran minyak serta gas.

Dengan kenaikan sekitar 42%, Hibiscus Petroleum jelas mendapat manfaat daripada lonjakan harga minyak. Sebagai syarikat upstream, pendapatan mereka berkait secara langsung dengan harga minyak global.

Dalam beberapa pandangan broker, syarikat seperti ini sering dilabel sebagai “pure oil play”, di mana prestasinya bergerak seiring dengan harga minyak. Bila minyak naik, saham jenis ini biasanya antara yang paling laju memberi reaksi.

Dialog Group

Dialog Group terlibat dalam penyediaan kemudahan penyimpanan, terminal minyak serta perkhidmatan kejuruteraan dan logistik dalam industri minyak dan gas.

Dialog mencatatkan kenaikan sekitar 23% dan berada dalam kategori yang sedikit berbeza. Syarikat ini bukan pengeluar minyak, tetapi lebih kepada penyedia infrastruktur.

Dalam situasi geopolitik yang tidak menentu, gangguan rantaian bekalan boleh meningkatkan keperluan kepada kemudahan penyimpanan. Ini menjadikan Dialog sebagai salah satu penerima manfaat tidak langsung daripada konflik yang berlaku.

Gas Malaysia

Gas Malaysia berperanan mengedarkan gas asli kepada sektor industri dan komersial dalam negara, menjadikannya lebih kepada syarikat utiliti tenaga domestik.

Saham ini naik sekitar 26%, walaupun tidak terdedah secara langsung kepada harga minyak global. Kenaikan ini lebih banyak dipacu oleh sentimen positif terhadap keseluruhan sektor tenaga.

Walaupun perniagaannya lebih stabil dan kurang volatile, pelabur tetap melihatnya sebagai sebahagian daripada ekosistem tenaga yang mendapat tempias daripada kenaikan harga minyak.

Velesto Energy

Velesto Energy ialah syarikat perkhidmatan minyak dan gas yang menyediakan perkhidmatan penggerudian (drilling services) untuk aktiviti cari gali minyak dan gas.

Berbeza dengan syarikat upstream yang terus mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak, Velesto lebih kepada “lagging beneficiary”. Maksudnya bila harga minyak naik, syarikat minyak akan mula tingkatkan aktiviti exploration dan drilling. Di sinilah permintaan untuk servis Velesto akan meningkat.

Saham Velesto mencatatkan kenaikan sekitar 11% dalam tempoh sebulan, didorong oleh jangkaan peningkatan aktiviti penggerudian susulan harga minyak yang lebih tinggi. Namun begitu, pergerakannya tidak setara dengan syarikat upstream kerana kesan kepada pendapatan biasanya mengambil masa untuk diterjemahkan melalui kontrak baharu dan kadar sewaan rig yang lebih tinggi.

Secara ringkas, Velesto bukan penerima manfaat segera, tetapi lebih kepada “second wave play” dalam kitaran kenaikan harga minyak.

Petron Malaysia Refining & Marketing

Petron Malaysia ialah syarikat downstream yang mengendalikan rangkaian stesen minyak dan menjual bahan api kepada pengguna akhir.

Petron mencatatkan kenaikan sekitar 8%, paling sederhana berbanding syarikat lain dalam senarai. Ini kerana perniagaannya lebih bergantung kepada margin jualan runcit yang biasanya lebih terkawal.

Walaupun harga minyak naik, tidak semua kenaikan itu boleh dipindahkan terus kepada pengguna. Sebab itu, saham downstream seperti ini biasanya bergerak lebih perlahan berbanding syarikat upstream.

Petronas Dagangan

Petronas Dagangan (PETDAG) macam “tak ikut trend”. Tapi sebenarnya ada sebab yang agak logik. Petron dan Petronas Dagangan bergerak berbeza kerana model bisnes mereka. Petron lebih “integrated” dengan operasi penapisan dan saiz yang lebih kecil, jadi sahamnya lebih responsif kepada kenaikan harga minyak dan sentimen pasaran. PETDAG pula lebih kepada jualan runcit bahan api yang marginnya agak terkawal dan kurang mendapat manfaat langsung daripada kenaikan harga minyak. Sebab itu, dalam rally kali ini, Petron nampak lebih hidup manakala PETDAG kekal lebih defensif dan perlahan.

Apa yang boleh kita belajar?

Pergerakan sektor minyak dan gas kali ini memberi satu gambaran jelas iaitu pasaran tidak sentiasa bergerak berdasarkan prestasi syarikat semata-mata. Kadangkala, faktor luar seperti geopolitik memainkan peranan yang jauh lebih besar.

Konflik Iran menunjukkan bagaimana satu peristiwa global boleh mengubah aliran dana, meningkatkan harga komoditi dan seterusnya mengangkat keseluruhan sektor dalam masa yang singkat.

Namun, pelabur dan pedagang saham perlu berhati-hati. Jika ketegangan reda dan harga minyak kembali stabil, saham-saham ini juga berpotensi untuk mengalami pembetulan harga.

Dalam dunia pasaran saham, tak semua peluang datang daripada laporan kewangan atau nombor dalam akaun. Kadang-kadang, peluang sebenar datang daripada berita yang orang lain anggap sekadar “masalah luar negara”. Kita dah pernah nampak benda ni ketika COVID-19. Awal-awal dulu, ramai beranggapan itu cuma isu kesihatan. Tapi mereka yang nampak lebih jauh, sudah mula fikirkan kesan kepada supply chain, cara orang bekerja dan cara orang beli barang. Dari situ, sektor seperti teknologi, sarung tangan dan e-dagang terus melonjak, sebelum angka kewangan syarikat sempat tunjuk perubahan.

Terlepas Peluang?

Kalau rasa terlepas peluang, itu perkara biasa dalam pelaburan. Tak semua rally kita sempat masuk dan memang mustahil untuk ‘tangkap’ setiap pergerakan pasaran dengan sempurna. Yang penting, jangan kejar harga semata-mata sebab takut ketinggalan. Selalunya bila kita masuk dalam keadaan emosi, risiko untuk tersangkut di puncak adalah lebih tinggi.

Lebih baik ambil langkah tenang dan lihat semula apa yang berlaku. Faham kenapa sektor itu naik, apa faktor yang gerakkan dan sama ada cerita itu masih relevan atau sudah sampai ke penghujung. Peluang dalam pasaran sentiasa berulang, cuma dalam bentuk yang berbeza. Hari ini mungkin sektor saham dan gas, esok lusa mungkin sektor lain pula.

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!