Minggu Penting Pasaran Global: Ini Lima Fokus Utama Pasaran Yang Anda Perlu Tahu

Saham Asia merekodkan penurunan pada awal dagangan hari Isnin (29 Julai 2019) dengan tumpuan pada minggu ini terarah kepada pemotongan kadar faedah Federal Reserve (The Fed). Pemotongan ini telah dijangka oleh pasaran dengan tumpuan akan terarah kepada halatuju pelonggaran dasar pada masa akan datang.

Wakil perunding Amerika Syarikat dan China juga akan bertemu di Shanghai pada minggu ini bagi mencari kata sepakat dalam isu perdagangan yang tertangguh sejak bulan Mei 2019. Walaubagaimanapun, pasaran tidak mengharap sebarang penyelesaian signifikan dalam rundingan kali ini.

Pelabur global juga akan memberi perhatian kepada mesyuarat dua lagi bank pusat utama dunia iaitu Bank of England (BoE) dan Bank of Japan (BoJ).

Pelabur juga akan disajikan dengan beberapa laporan terkini pendapatan di Wall Street seperti Apple, Spotify, Qualcomm, General Motors dan ExxonMobil.

Berikut adalah lima tema utama yang bakal menjadi perhatian pelabur global dan tempatan sepanjang minggu ini.

1. Penetapan Dasar Monetari Federal Reserve

Bank pusat Amerika Syarikat ini berkemungkinan besar akan memotong kadar faedahnya buat pertama kali sejak lebih daripada satu dekad pada awal pagi Khamis (1 Ogos 2019). Pemotongan ini sememangnya telah diserap (priced-in) oleh pasaran di mana Fed dijangka menurunkan Fed Fund Rate sebanyak 25 mata asas.

Kali terakhir The Fed menurunkan kadar faedahnya adalah pada Disember 2008 berikutan krisis sub-prima pada ketika itu. Kadar faedah diturunkan ke paras 0.00% dalam usaha merancakkan ekonomi yang jatuh mendadak. Federal Open Market Committee (FOMC) yang menggubal dasar Fed kemudiannya menaikkan kadar faedah buat pertama kali pada Disember 2015.

Presiden Donald Trump telah berkali-kali mengkritik keputusan dasar The Fed kerana menaikkan kadar faedah terlalu pantas. Trump berpendapat keadaan kredit yang ketat telah mengurangkan pertumbuhan ekonomi dan juga menguatkan Dolar AS sekaligus menjadikan ekonomi Amerika kurang kompetitif berbanding negara lain.

2. Penetapan Dasar Monetari Bank of England

BoE yang akan mengumumkan dasarnya pada Khamis dijangka mengekalkan kadar faedah sementara ahli-ahli bank pusat menunggu perkembangan terkini isu Brexit.

Pelabur akan meneliti penilaian bank pusat tentang keadaan semasa ekonomi yang kurang memberangsangkan di Britain. Selain daripada itu, penting untuk kita melihat tindak balas BoE terhadap ketegasan perdana menteri baru, Boris Johnson untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

Dalam perkembangan pasaran matawang, Sterling telah mencatat kejatuhan 5% sejak bulan Mei 2019 yang banyak disebabkan ketidaktentuan Brexit. Belum lagi usia pemerintahan Johnson berusia sebulan, ia sudah menampakkan perbezaan pendapat beliau dengan pihak EU apabila beliau menegaskan Britain akan keluar daripada blok tersebut pada 31 Oktober tahun ini.

3. Rundingan Perdagangan Amerika Syarikat – China

Rundingan di antara dua kuasa besar ini akan bersambung pada Selasa (30 Julai 2019) di mana ia akan melibatkan penasihat ekonomi Presiden Trump, Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin. Rundingan kali ini akan berlangsung di Shanghai dengan Naib Perdana Menteri Liu He akan mengetuai pihak China.

Rundingan sebelum ini pada bulan Mei berakhir dengan tegang apabila Presiden Trump menaikkan kadar tarif daripada 10% kepada 25% terhadap $200 billion import barangan China. Ia semakin tidak menentu apabila pihak Amerika Syarikat mengancam untuk mengenakan tarif 25% terhadap baki import $300 billion dari ekonomi kedua terbesar dunia itu.

4. Data Pekerjaan Non-Farm Payroll (NFP)

Wall Street akan memberikan perhatian kepada data NFP bulan ini, selepas laporan pekerjaan bulan Jun yang begitu memberangsangkan dan prestasi pertumbuhan ekonomi yang positif. Pakar ekonomi berpendapat pasaran ketika ini dijangka begitu sensitif kepada data ekonomi apabila The Fed dijangka mula melonggarkan dasar pada mesyuarat minggu ini.

Fokus utama pada minggu ini sudah tentu kepada data pekerjaan NFP, lebih-lebih lagi data sebelum ini mencatat bacaan yang jauh lebih besar berbanding bulan Mei. Amerika Syarikat dijangka mencatat tambahan sebanyak 160,000 pekerjaan berbanding 224,000 pekerjaan pada bulan Jun.

Data ini akan dikeluarkan pada hari Jumaat (2 Ogos 2019) pada pukul 8.30 malam. Di antara yang menjadi perhatian pasaran juga adalah beberapa data ekonomi lain seperti, data kadar pengangguran, purata pendapatan per jam dan juga indeks aktiviti ekonomi ISM Manufacturing PMI.

5. Perkembangan Pasaran Tempatan

Penganalisis ekonomi akan meneliti bagaimana Malaysia mendapat faedah daripada ketegangan perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China. Eksport pada bulan Mei meningkat 2.5% dari tahun ke tahun berbanding peningkatan 1.1% yang dicatat pada bulan April. Peningkatan ini disumbangkan oleh peningkatan eksport produk berkaitan minyak sawit dan produk elektronik.

Daripada segi korporat, Maxis akan mengumumkan laporan pendapatannya pada hari Rabu (1 Ogos 2019). Pelabur juga akan memberi perhatian kepada perjanjian di antara Genting Malaysia Bhd dan Walt Disney selepas isu penangguhan pembukaan taman tema yang diusahakan kedua-dua syarikat sebelum ini.

Dalam perkembangan saham, dana asing menjual sebanyak RM53.4 juta ekuiti tempatan di Bursa Malaysia pada minggu lalu, berbanding RM6.9 juta pada minggu sebelumnya. Ianya merupakan aliran keluar dana asing terbesar dalam tempoh enam minggu.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Apple Kembali ‘Rampas’ Takhta Syarikat Paling Bernilai Dunia Daripada Nvidia

BENGALURU: Apple mengatasi Nvidia untuk muncul sebagai syarikat paling bernilai di dunia, sekali gus mengubah kedudukan syarikat-syarikat teknologi terbesar apabila pelabur menilai semula prospek kecerdasan buatan (AI).

Apple kini mempunyai nilai pasaran sekitar AS$4.88 trilion selepas harga sahamnya kekal stabil, manakala Nvidia bernilai kira-kira AS$4.86 trilion susulan kejatuhan 3.5 peratus sahamnya.

Perubahan kedudukan itu menunjukkan pelabur kini mula meluaskan tumpuan mereka melangkaui penerima manfaat paling jelas daripada ledakan AI seperti Nvidia, yang telah mendahului senarai syarikat paling bernilai dunia selama hampir setahun.

Apple kembali merampas kedudukan teratas buat kali pertama sejak April tahun lalu.

Ketua Pelaburan BRI Wealth Management, Toni Meadows, berkata Apple sebelum ini dilihat ketinggalan dalam perlumbaan AI kerana tidak berbelanja besar untuk membangunkan model AI, namun sentimen terhadap syarikat itu kini berubah.

“Apple kurang terdedah kepada keperluan perbelanjaan modal yang tinggi dan berada pada kedudukan lebih baik untuk menjana pendapatan daripada AI menerusi perkhidmatan, ekosistem yang kukuh serta peningkatan perkakasan. Penilaian semula ini mencerminkan keyakinan terhadap kemampanan pendapatan syarikat, bukannya potensi AI yang bersifat spekulatif,” katanya.

Bagi sebuah syarikat yang sering dianggap ketinggalan dalam perlumbaan AI, pencapaian ini mencerminkan usaha Apple untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pemain utama industri, selain berpotensi mempengaruhi bagaimana tempoh akhir kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tim Cook, akan dinilai.

Cook dijangka menyerahkan jawatan CEO kepada veteran perkakasan Apple, John Ternus, pada September ini.

Bulan lalu, Apple melancarkan versi baharu pembantu maya Siri yang telah lama tertangguh, dengan harapan peningkatan itu dapat merapatkan jurang dengan gergasi teknologi lain serta syarikat pemula dalam perlumbaan AI yang semakin sengit.

Sesetengah penganalisis berpendapat Apple sebenarnya memiliki ‘lombong emas’ AI menerusi data peribadi yang tersimpan dalam setiap iPhone.

Data itu berpotensi menjadikan jawapan Siri lebih tepat dan pembantu maya itu lebih berkeupayaan.

Namun, cabarannya ialah data itu dilindungi dalam sistem operasi atas faktor privasi, menyebabkan Apple perlu mencari kaedah untuk memanfaatkan nilainya tanpa menjejaskan perlindungan pengguna.

Nvidia menjadi syarikat pertama di dunia yang melepasi nilai pasaran AS$5 trilion pada Oktober lalu, satu pencapaian bersejarah yang meletakkannya jauh di hadapan pesaing.

Bagaimanapun, kehilangan kedudukan teratas kepada Apple tidak semestinya menandakan perubahan kekal dalam kedudukan relatif kedua-dua syarikat.

Nvidia masih merupakan antara penerima manfaat terbesar daripada peningkatan perbelanjaan berkaitan AI, dengan pemproses grafik keluarannya menjadi tulang belakang kepada kebanyakan aplikasi AI generatif.

Nvidia juga berpotensi merampas semula kedudukan teratas sekiranya sentimen pasaran kembali memihak kepadanya.

Pada masa sama, Apple turut berdepan cabaran apabila syarikat itu menaikkan harga produknya bagi mengimbangi peningkatan kos, satu strategi yang boleh menjejaskan permintaan pengguna.

Naib Presiden Penyelidikan Alpha Segal Marco Advisors, Benjamin Hall, berkata beliau tidak melihat perbezaan ketara antara kedua-dua syarikat.

“Saya menjangka Nvidia akan terus menjadi pemain penting dalam apa sahaja perkembangan yang berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, gelombang keyakinan terhadap AI turut merebak ke segmen lain industri semikonduktor.

Antara penerima manfaat terbesar tahun ini ialah pengeluar cip memori seperti Micron, yang melepasi nilai pasaran AS$1 trilion pada Mei selepas pelabur mengiktiraf kepentingan cip memori dalam infrastruktur AI.

Pengeluar cip dari Korea Selatan, SK Hynix, turut disenaraikan di Nasdaq awal bulan ini, sekali gus menambah satu lagi pesaing dalam usaha menarik perhatian pelabur.Hall berkata kemunculan pemain baharu itu dijangka mengalihkan sebahagian tumpuan pelabur daripada kumpulan saham teknologi gergasi Magnificent Seven kepada lebih banyak syarikat lain.

Namun, kenaikan luar biasa saham syarikat cip mula kehilangan momentum pada Julai apabila pelabur menilai semula kemampanan tema pelaburan AI, menyebabkan indeks Philadelphia SE Semiconductor susut hampir 19 peratus daripada paras tertinggi sepanjang masa.

Walaupun mengalami kejatuhan ketara, prestasi indeks itu setakat tahun ini masih mengatasi prestasi saham Nvidia.

-Reuters