Saham vs Hartanah? Mana Satu Pilihan Anda?

Di musim pandemik ini, para pelabur semestinya merasa sedikit gusar terhadap dunia pelaburan yang mereka ceburi. Hal ini dapat dilihat kerana penularan wabak Covid-19 telah melumpuhkan banyak sektor dan memberi impak yang negatif kepada pertumbuhan ekonomi yang secara tidak langsung menjejaskan pendapatan mereka.

Walaubagaimanapun, bagi seorang pelabur yang baru berkecimpungan dalam dunia pelaburan, persoalan yang sering menjadi tanda tanya adalah “dimanakah mereka harus mula melabur?”

Pada zaman sekarang, terdapat banyak jenis instrumen pelaburan yang anda boleh pilih. Tetapi, isunya adalah para pelabur tidak tahu pilih jenis instrumen yang sesuai dengan mereka. Namun begitu, tiada istilah instrumen pelaburan yang betul atau salah kerana setiap jenis pelaburan ada kebaikan dan keburukan yang tersendiri.

Selagi ada pelabur yang berjaya dalam instrumen pelaburan tersebut, selagi itu pelaburan tersebut masih sah.

Sebagai contoh, bagi pelaburan hartanah, Robert Kiyosaki dan Ken McElroy dianggarkan mempunyai 7-8 ribu hartanah di Amerika Syarikat. Ini membuktikan mereka berjaya didalam pelaburan hartanah.

Selain itu, bagi pelaburan saham pula, individu yang dikenal ramai iaitu Warren Buffett. Beliau ialah seorang pelabur saham yang berjaya sepanjang zaman. Ramai individu yang membaca buku beliau dan menjadikan cara beliau sebagai ikutan. Ini juga membuktikan yang anda juga boleh berjaya didalam pelaburan saham sekiranya anda mengikut formula dan cara yang betul.

Tidak dapat dinafikan lagi, pelaburan hartanah vs pelaburan saham menjadi salah satu topik yang sentiasa dibahaskan. Maka, kita akan kenali dahulu apakah itu pelaburan hartanah dan pelaburan saham?

Pelaburan Saham

Saham adalah pegangan hak milik sesebuah syarikat dalam bentuk ekuiti. Pelaburan saham ialah pelaburan dengan membeli saham dan ianya akan memberi hak kepada pelabur menjadi sebahagian daripada aset dan pendapatan syarikat tersebut.

Maka, pelabur akan mendapat keuntungan hasil daripada saham didalam bentuk ‘capital gain’ (keuntungan modal) dan dividen.

Pelaburan Hartanah

Pelaburan hartanah ialah pelaburan dengan membeli satu jenis hartanah khas. Pelabur hartanah akan mendapatkan keuntungan didalam bentuk ‘cash flow’ (aliran tunai) seperti sewa, atau ‘capital appreciation’ (kenaikan harga hartanah) yang merupakan bukan tempat tinggal utama pelabur.

Apakah solusi bagi memilih instrumen pelaburan yang sesuai dengan diri anda?

Pastikan anda tahu 5 kriteria ini sebelum anda pilih samada pelaburan hartanah atau pelaburan saham.

1. Modal (Capital)

Anda perlu tahu berapa banyak modal yang diperlukan bagi pelaburan saham dan pelaburan hartanah.

Saham:

Pelaburan saham memerlukan modal yang sangat rendah. Seperti yang diketahui ramai, anda hanya memerlukan modal sekitar RM10-RM20 untuk membuka akaun Central Depository System (CDS). Anda juga boleh melabur saham serendah RM100. Sebagai contoh, kaunter saham yang anda ingin labur bernilai RM1.

Minimum yang anda boleh beli di Bursa Malaysia adalah satu lot yang bersamaan dengan 100 unit saham. Ini bermaksud, satu lot bersamaan RM100.

Hartanah:

Jika anda ingin membeli rumah samada jenis ‘undercon’, ‘subsale’, atau lelong, anda memerlukan modal sekurang-kurangnya untuk membayar ‘booking fee’ ataupun ‘down payment’. Kebiasaannya 10% daripada nilai hartanah tersebut.

Sebagai contoh, jika nilai hartanah tersebut bernilai RM300,000. Anda memerlukan modal sebanyak RM30,000 ditambah lagi dengan kos guaman, stamp duti, dan lain-lain. Ini bermaksud, modal yang diperlukan bagi pelaburan hartanah adalah sangat tinggi.

2. Kemeruapan (Volatility)

‘Volatility’ bermaksud berapa cepat harga instrumen pelaburan tersebut naik dan turun.

Saham:

Saham adalah salah satu jenis instrumen pelaburan yang sangat ‘volatile’ yang bermaksud harga saham naik dan turun dengan sangat cepat. Sebagai contoh, pada hari ini harga saham boleh naik sehingga 30-40 peratus, keesokan harinya harga saham berkemungkinan akan jatuh dengan mendadak.

Ini bermaksud, duit yang anda laburkan juga akan ‘hilang’ dalam masa yang agak singkat. Walaubagaimanapun, ini juga bermaksud anda juga boleh membuat keuntungan dalam masa yang singkat.

Hartanah:

Berbanding dengan pelaburan saham, harga naik dan turun bagi hartanah pula agak perlahan. Sangat jarang berlaku, harga hartanah akan menurun dengan mendadak. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat telah berlakunya krisis subprima dimana pembeli tidak lagi mampu membayar dan menyebabkan rumah tersebut terpaksa dilelong.

Harga rumah tersebut jatuh sehingga 90%. Sebagai contoh, rumah yang bernilai $1,000,000 akan jatuh sehingga $100,000. Akan tetapi, krisis tersebut adalah sangat jarang berlaku.

Namun, jika ada individu yang menyatakan, “Harga hartanah pasti akan naik”, adalah kurang tepat kerana kita tidak dapat menjangka apa yang berlaku dimasa akan datang, tiada sesuatu yang pasti. Walau bagaimanapun, harga hartanah agak stabil kerana jika ada kenaikan atau penurunan adalah dalam peratusan yang rendah.

3. Kecairan (Liquidity)

Kecairan bermaksud secepat mana anda boleh cairkan aset anda dan mendapatkan semula modal yang anda telah laburkan.

Saham

Kecairan aset bagi pelaburan saham mengambil waktu yang singkat dan sangat mudah untuk dicairkan. Pelabur saham boleh menjual saham pada hari pilihan mereka. Dengan itu, pelabur hanya perlu menunggu beberapa hari untuk mendapatkan jualan di dalam bentuk wang tunai.

Hartanah

Pelaburan hartanah adalah sangat ‘illiquid’. Seperti yang kita ketahui, ketika hendak membeli hartanah sudah memakan masa, inikan pula ketika hendak jual hartanah tersebut. Hal ini kerana, anda perlu mencari pembeli yang bersetuju dan sanggup dengan harga yang anda tawarkan.

Lebih-lebih lagi, di musim pandemik ini, kebanyakan orang memilih untuk menyimpan duit berbanding membelanjakan duit untuk membeli hartanah.

4. ‘Leveraging’

‘Leveraging’ bermaksud menggunakan duit bank untuk meningkatkan kekayaan, tetapi jika tidak dilakukan dengan betul akan mendatangkan kerugian yang besar.

Saham

Bagi pelaburan saham, leveraging/margin sesuai digunakan apabila anda betul-betul percaya kaunter saham tersebut mendatangkan keuntungan kepada anda. Misalnya, apabila berlaku pandemik Covid-19 pada bulan Mac 2020, jika anda betul-betul percaya dengan kaunter sarung tangan pada ketika itu, anda boleh menggunakan leveraging.

Hal ini kerana, ‘capital aprreciation’ akan berlaku, dimana anda akan meraih keuntungan berlipat kali ganda. Namun begitu, leveraging juga boleh mendatangkan kerugian yang berganda.

Sebagai contoh, anda mempunyai modal sendiri sebanyak RM50,000, dan anda meminjam RM50,000 lagi daripada bank. Secara keseluruhan, modal yang anda akan laburkan bernilai RM100,000.

Misalnya, pelaburan anda kerugian sebanyak 20%. Maka, duit anda hanya tinggal sebanyak RM80,000. Kemudian, anda akan bayar semula kepada bank sebanyak RM50,000. Ini bermaksud, didalam akaun anda hanya tinggal sebanyak RM30,000 sahaja (rugi sebanyak 40%). Jika anda tidak melakukan ’leveraging’, anda hanya akan rugi sebanyak 20% sahaja.

Hartanah

Jelas sekali, bagi pelaburan hartanah sememangnya akan menggunakan ‘leveraging’. Hal ini kerana, anda akan membuat pinjaman daripada bank untuk membeli hartanah tersebut. Namun, keistimewaan yang dimiliki oleh pelaburan hartanah yang tidak ada pada pelaburan saham adalah anda boleh ‘leverage’ ansuran bulanan tersebut.

Hal ini kerana, anda akan sewakan hartanah tersebut kepada penyewa. dan membayar ansuran bulanan tersebut menggunakan hasil duit sewaan. Berbanding dengan pelaburan saham, kebiasaannya faedah sebanyak 5%-6% akan dikenakan keatas pinjaman anda, maka anda perlu membayar sendiri faedah tersebut kepada bank.

Hal ini kerana, anda tidak boleh menggunakan duit orang lain untuk membayar faedah tersebut.

5. Pengalaman (Experience)

Saham

Para pelabur saham mempunyai personaliti yang tersendiri. Kebanyakan pelabur saham yang berjaya adalah kerana mereka rajin membaca, mahir melihat carta, mengkaji penyata kewangan syarikat,  rajin membuat latihan, sentiasa duduk dihadapan komputer untuk melihat carta, dan lain-lain.

Jika, anda tidak suka melakukannya, maka anda akan susah untuk berjaya dalam pelaburan saham. Selain itu, pelabur saham tidak perlu berinteraksi dengan orang lain kerana mereka hanya memerlukan peranti seperti komputer riba atau telefon pintar untuk melabur.

Hartanah

Bagi pelaburan hartanah, adalah sesuai bagi mereka yang minat dengan kerja fizikal (melawat kawasan hartanah) dan berhubung dengan ramai orang (pengurus bank, ejen, penyewa, peguam, kontraktor, dll). Jika, anda bukanlah orang yang minat untuk berurusan dengan ramai orang, maka pelaburan hartanah adalah tidak sesuai dengan anda.

Hal ini kerana, pelabur hartanah perlu kenal dengan ramai pengurus bank, peguam dan lain-lain supaya urusan mereka akan menjadi lebih mudah.

Saham vs Hartanah

Jika anda memilih pelaburan hartanah kerana boleh ‘leverage’. Ianya adalah tidak mudah seperti yang disangka. Hal ini kerana, anda masih perlukan modal yang tinggi. Manakala, jika anda memilih pelaburan saham kerana hanya memerlukan modal yang kecil, tetapi anda tidak suka berada dihadapan komputer untuk pantau carta atau anda tidak boleh mengawal emosi apabila melihat nilai portfolio menjadi negatif, maka pelaburan saham adalah tidak sesuai dengan anda.

Kesimpulannya, anda perlu memahami 5 kriteria diatas sebelum memilih samada pelaburan saham sahaja, atau pelaburan hartanah sahaja, ataupun kedua-duanya sekali. Hal ini kerana, kedua-dua instrumen pelaburan tersebut memerlukan usaha dan komitmen yang berbeza dari anda.

Penulis boleh dihubungi di,

Nazirah Binti Aziz ([email protected])
Azizah Binti Zahari ([email protected])
Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali ([email protected])
Fakulti Ekonomi dan Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Feytech Catat Keuntungan Sebelum Cukai RM6.07 Juta

Petaling Jaya: Feytech Holdings Berhad (5322) mencatatkan peningkatan 129% tahun ke tahun dalam keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM6.07 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (“1Q FY2026”).

Hasil Kumpulan meningkat 32% kepada RM38.93 juta, hasil daripada fokus strategik Kumpulan terhadap campuran produk bernilai tinggi dan leverage operasi.

Segmen tempat duduk automotif menjadi pemacu utama pertumbuhan, berkembang 68.9% atau RM23.57 juta tahun ke tahun. Margin keuntungan kasar segmen itu meningkat kepada 27.2% berbanding 20.0% pada 1Q FY2025, mencerminkan penyerapan kos yang lebih baik, kecekapan operasi dan campuran produk yang lebih menguntungkan merentasi operasi pembuatan Kumpulan.

“Keputusan suku pertama menunjukkan kekuatan teras pembuatan Feytech dan keupayaan kami melaksanakan keputusan produk yang tepat.

“Kami telah meningkatkan profil margin dengan ketara sambil memperoleh projek baharu yang akan menyokong keterlihatan hasil untuk beberapa tahun akan datang. Asas yang sedang kami bina kini direka untuk memberikan nilai yang mampan, bukan sekadar nilai segera,” kata CEO Feytech, Connie Go.

Sepanjang suku tersebut, Feytech memperoleh kontrak baharu pembekalan sarung tempat duduk dengan Proton bagi model akan datang.

Kontrak selama 84 bulan itu dijangka menjana kira-kira RM96.83 juta jumlah hasil, dengan purata RM13.8 juta setahun dan sekali gus mengukuhkan lagi keterlihatan buku tempahan jangka panjang Kumpulan bersama pelanggan OEM utamanya.

Kumpulan turut memperoleh kontrak OEM dengan Chery dan Hyundai melalui saluran pemasangan Completely Knocked-Down (CKD), sekali gus memperluaskan rangkaian hubungannya dengan jenama automotif antarabangsa utama.

Feytech juga melanjutkan tempoh penggunaan RM51.5 juta hasil IPO yang diperuntukkan bagi pembinaan pejabat korporat baharu bersama kilang pembuatan dan gudang serta Kulim Plant 2.

Keputusan itu mencerminkan pendekatan berhati-hati Kumpulan terhadap perancangan projek, membolehkan tempoh pembangunan infrastruktur matang dan memberi keutamaan kepada pembangunan perniagaan berpulangan tinggi sebelum membuat komitmen modal. Kedudukan tunai Kumpulan yang kukuh, dengan deposit, tunai dan baki bank sebanyak RM39.28 juta serta pelaburan lain RM130.26 juta setakat 31 Mac 2026, membolehkannya memastikan setiap ringgit digunakan bagi memaksimumkan nilai pemegang saham.

“Kedudukan tunai kami yang kukuh memberi disiplin kepada kami untuk menggunakan modal di tempat dan masa yang mencipta nilai paling tinggi. Kami tidak tergesa-gesa untuk berbelanja semata-mata untuk berbelanja. Setiap komitmen yang kami buat dinilai berdasarkan kualiti pulangan yang diberikan kepada pemegang saham,” kata Go.

Menjangkakan perubahan struktur dalam industri automotif, Go menambah bahawa Kumpulan “kekal optimis secara berhati-hati tahun ini susulan pengumuman terbaru Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenai syarat import EV yang lebih ketat dijangka mendorong pengeluar asing ke arah pemasangan CKD tempatan, yang secara langsung memberi manfaat kepada pembekal alat ganti tempatan seperti Feytech.”