BNM Digesa Siasat, Kaji Semula Notis Premium Insurans – Sim


KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) digesa menyiasat dan mengkaji semula tindakan syarikat insurans yang mengeluarkan notis kenaikan premium insurans, kata Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin. 

Beliau yang mewakili beberapa Ahli Parlimen berkata BNM tidak harus membiarkan perkara ini dengan alasan ia merupakan keputusan perniagaan oleh syarikat.

“Kalau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh melaksanakan siasatan pengambilan keuntungan berlebihan (excessive profiteering) ke atas kenaikan 10 sen sebiji telur, kenapa BNM tidak boleh membuat siasatan ke atas kenaikan berpuluh sehingga beratus peratus kenaikan premium? 

“Kenapa pihak berkuasa tidak boleh menyiasat adakah kenaikan caj hospital swasta sebagai pengambilan keuntungan berlebihan?,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini. 

Sim berkata beliau membangkitkan isu kenaikan caj hospital swasta dan kenaikan premium insurans kesihatan dalam sesi perbahasan peringkat jawatan kuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi Kementerian Kesihatan pada Selasa.

“Saya menyambut baik kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkifli Ahmad bahawa beliau akan mengadakan konsultasi bersama hospital swasta untuk mencapai pendirian penjagaan kesihatan berasaskan nilai. 

“Saya menaruh harapan menteri boleh berjaya,”  katanya.

Beliau juga berasa kesal dengan kenyataan media oleh Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh yang mempertahankan kenaikan premium insurans kesihatan antara 40 hingga 70 peratus sebagai tidak sangsi dan berpatutan.

Katanya, kenyataan Kuljit berkaitan premium insurans kesihatan amat dikesali kerana beliau cuba menegakkan benang yang basah.

“Umum diketahui, kenaikan premium insurans kesihatan berkait rapat secara langsung dan tidak langsung berhubung kenaikan caj hospital swasta yang melambung tinggi serta tidak terkawal.

“Caj hospital swasta yang melonjak sudah menjadi bebanan yang tinggi kepada syarikat insurans dan kini mereka melepaskan kos kepada pencarum insurans daripada golongan M40 ke atas,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

[Terkini] Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) Kekal Pada 2.75%

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Menurut bank pusat itu, penunjuk terkini menunjukkan pengembangan yang berterusan dalam pertumbuhan global, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berterusan dan aktiviti yang dilakukan lebih awal.

Ada yang baru pertama kali dengar OPR ke? Kalau nak tahu lebih lanjut, jemput baca Apa Itu Kadar Dasar Semalaman Atau Overnight Policy Rate (OPR) Dan 3 Kesan Penurunannya.

Apakah Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC)?

MPC mengekalkan OPR pada 2.75%

  • Pendirian semasa dasar monetari menyokong ekonomi
  • MPC terus memantau perkembangan global dan kesannya terhadap ekonomi Malaysia

Apakah perkembangan ekonomi terkini?

Ekonomi Malaysia berada pada landasan untuk berkembang antara 4% hingga 4.8% pada tahun 2025

  • Pertumbuhan pekerjaan dan upah, berserta dengan langkah-langkah berkaitan pendapatan oleh Kerajaan, terus menyokong perbelanjaan isi rumah
  • Kemajuan yang berterusan dalam pelaksanaan projek awam dan swasta terus mendorong aktiviti pelaburan
  • Eksport disokong oleh permintaan terhadap produk teknologi dan perbelanjaan pelancong
  • Pembiayaan kekal tersedia untuk isi rumah dan perniagaan

Inflasi kekal terkawal.

Apakah prospek ekonomi?

Pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan; inflasi dijangka terus sederhana

  • Perkembangan dasar perdagangan masih boleh mempengaruhi prospek pertumbuhan global namun ketidakpastian telah mereda
  • Perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelaburan akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia
  • Permintaan berterusan untuk produk teknologi dan perbelanjaan pelancong akan memberikan sokongan kepada eksport
  • Kos global yang terkawal dan ketiadaan permintaan dalam negeri yang berlebihan akan membantu mengehadkan tekanan harga
  • MPC akan terus menilai perkembangan inflasi dan pertumbuhan pada masa hadapan, serta memastikan OPR terus menyokong pertumbuhan dalam keadaan harga yang stabil

Paras OPR Tertinggi Ialah 3.50% Pada Bulan April 2006

Pada masa itu, ekonomi sedang berkembang dengan stabil, inflasi IHP adalah pada 4.6% dan OPR yang lebih tinggi diperlukan bagi menguruskan risiko harga yang lebih tinggi.

Paras OPR Terendah Ialah 1.75% (Julai 2020 – Mac 2022)

Paras OPR terendah ialah 1.75% pada bulan Julai 2020 hingga Mac 2022 bagi menyokong ekonomi semasa pandemik COVID-19. Pada tempoh sukar, kadar faedah yang rendah menyebabkan kos pinjaman lebih rendah dan mengurangkan pulangan atas simpanan. Hal ini akan merangsang perbelanjaan, meningkatkan pelaburan serta melindungi pekerjaan dan pendapatan semasa krisis.

Paras OPR Julai Tahun Lepas (2024) Ialah 3.00%

Setahun yang lalu, paras OPR dikekalkan kepada 3.00% buat kali ketujuh selepas bulan Julai 2023. Pada masa itu, tahap OPR tersebut sesuai dengan keadaan ekonomi yang kukuh dan terus menyokong pertumbuhan.

Kenapa harga masih tinggi meskipun inflasi telah berkurang?

  • Harga lebih tinggi yang berlaku sekarang merupakan isu global. Meskipun inflasi telah berkurang, hal ini tidak bermaksud harga akan menjadi lebih rendah. Sebaliknya, harga meningkat pada kadar yang lebih perlahan.
    • Inflasi yang rendah penting untuk mewujudkan persekitaran makro ekonomi yang kukuh dan kondusif.
  • Pada tahun 2022, kos meningkat disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk gangguan bekalan yang menjejaskan aliran normal pengeluaran serta konflik ketenteraan di Ukraine. Harga komoditi yang lebih tinggi merupakan sebab utama kenaikan harga ini. Barangan berkaitan makanan adalah yang paling terkesan. Harga ini secara amnya telah stabil atau meningkat pada kadar yang lebih perlahan meskipun kekal tinggi.
  • Inflasi global dijangka terus berkurang pada tahun 2024. Walau bagaimanapun, risiko harga komoditi menjadi lebih tinggi terus wujud disebabkan oleh faktor-faktor geopolitik dan gangguan cuaca. Malaysia turut terkesan dengan faktor-faktor ini.
  • Tambahan lagi, Kerajaan telah mencadangkan pembaharuan struktur bagi menggalakkan upah yang seterusnya akan mengukuhkan kuasa beli pengguna bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup.
  • Berbanding dengan negara lain, kenaikan harga tidak begitu melampau di Malaysia. Negara kita mempunyai dasar subsidi bahan api dan kawalan harga yang menyebabkan inflasi masih rendah. Walau bagaimanapun, langkah-langkah seperti ini boleh menyebabkan negara menanggung kos yang besar. Hal ini kerana Kerajaan perlu terus menanggung jumlah yang banyak untuk memastikan harga terus rendah. Tindakan ini mengurangkan jumlah yang boleh diperuntukkan oleh Kerajaan untuk perbelanjaan yang lebih produktif atau memberikan bantuan dalam bentuk lain, terutamanya kepada golongan yang paling memerlukan.

Bagaimanakah kenaikan kadar faedah boleh memberikan kesan kepada saya?

Kadar faedah yang lebih tinggi bertujuan untuk menggalakkan orang ramai kurang meminjam dan lebih banyak menyimpan.

Jika anda mempunyai pinjaman, kesannya bergantung pada jenis pinjaman yang diambil.

  • Pinjaman berkadar tetap tidak akan terjejas.
    • Jumlah yang anda bayar balik kepada bank akan kekal sama. Lazimnya, kadar ini digunakan untuk pinjaman kereta.
  • Jika anda mempunyai pinjaman berkadar terapung, kos peminjaman akan meningkat.
    • Hal ini bermakna bayaran ansuran bulanan anda akan menjadi lebih tinggi. Lazimnya, kenaikan kadar ini akan memberikan kesan pada pinjaman perumahan dan sesetengah pinjaman peribadi. Bagi peminjam individu, kadar faedah pinjaman anda akan meningkat pada jumlah yang sama seperti kenaikan OPR.
  • Contohnya, jika OPR dinaikkan sebanyak 25 mata asas, kadar faedah bagi pinjaman perumahan anda juga akan meningkat kepada 3.75% sekiranya kadar sebelum ini ialah 3.50%. Ansuran pinjaman anda akan meningkat seiring dengan kadar faedah yang lebih tinggi.
  • Jika anda bercadang untuk mengambil pinjaman baharu, kos peminjaman juga boleh menjadi lebih mahal sekiranya kadar faedah lebih tinggi.
  • Selain pinjaman, kadar faedah yang lebih tinggi juga mempengaruhi simpanan anda.
    • Jika anda mendepositkan wang ke dalam akaun bank yang membayar faedah, anda akan mendapat pulangan yang lebih tinggi bagi simpanan anda.

Bila semakan OPR seterusnya?

Mesyuarat seterusnya adalah pada 6 November 2025 (Khamis). Pernyataan Dasar Monetari akan diumumkan pada pukul 3:00 petang selepas setiap mesyuarat MPC.