Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Harta Sepencarian?

Harta sepencarian adalah harta yang diperolehi sepanjang tempoh perkahwinan pasangan suami dan isteri, hasil daripada sumber-sumber atau usaha mereka bersama.

Di Malaysia, asal-usul pengamalan pembahagian harta sepencarian adalah datang daripada amalan adat dalam kalangan masyarakat Melayu iaitu adat Temenggung dan adat Perpatih. Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan sebahagian kecil Melaka manakala adat Temenggung diamalkan di negeri-negeri selain daripada Negeri Sembilan dan sebahagian Melaka.

Jadi sebenarnya, hukum pembahagian harta sepencarian ini bukanlah berasal daripada Al-Quran & Hadis, tetapi atas dasar melihat kepada maslahah sesuatu ‘uruf. Tidak terdapat dalil khusus di dalam al-Quran dan al-Sunnah yang menerangkan kedudukan Harta Sepencarian dalam Islam.

Walaubagaimanapun, dalam perundangan Islam, apabila sesuatu ‘uruf itu diakui kebaikannya dan diberi pengiktirafan undang-undang, maka ia bertukar menjadi suatu peraturan yang mesti diikuti. Oleh itu, tiada masalah untuk kita di Malaysia menggunakan platform pembahagian harta sepencarian untuk mendapatkan hak masing-masing.

Berapa Kadar Harta Sepencarian?

Pembahagian  kadar harta sepencarian oleh suami atau isteri ke atas pasangannya adalah berdasarkan tahap sumbangan yang pernah diberikan ke atas harta yang diperoleh. Sumbangan boleh jadi secara langsung atau tidak langsung.

Contoh sumbangan langsung adalah membayar ansuran bulanan dan bil utiliti. Manakala contoh tidak langsung adalah menjaga kesejahteraan rumahtangga seperti menguruskan keluarga.

Berapa banyak bahagian yang boleh dituntut adalah bergantung kepada tahap sumbangan kita. Hakim Mahkamah Syarie akan menentukan berapa bahagian yang layak dituntut.

Baca: Adakah isteri tidak bekerja layak tuntut harta sepencarian.

Bila Boleh Menuntut Harta Sepencarian?

  1. Apabila berlaku penceraian – bila berlaku penceraian, isteri boleh menuntut harta sepencarian yang diusahakan semasa tempoh perkahwinan.
  2. Apabila berlaku kematian – mengikut hukum faraid, isteri akan dapat ⅛ (sekiranya mempunyai anak) daripada harta pusaka suami. Selain itu isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian untuk mendapatkan lebih banyak bahagian harta pusaka suaminya.
  3. Apabila berlaku poligami – ini mungkin tidak diketahui oleh kebanyakan isteri. Isteri pertama layak membuat tuntutan harta sepencarian atas alasan merasakan kedudukannya terancam. Boleh jadi suami akan lebih menyayangi isteri kedua dan akan membahagi harta kepada isteri kedua dan melupakan isteri pertama.

Walaubagaimanapun, tak semua harta boleh dituntut sebagai harta sepencarian.

Harta Yang Tak Termasuk Sebagai Harta Sepencarian

  1. Harta yang sudah dimiliki oleh masing-masing sebelum menjadi pasangan suami isteri.
  2. Harta pusaka yang masing-masing terima daripada ahli keluarga sendiri.
  3. Harta yang masing-masing terima untuk diri sendiri seperti hadiah, hibah dan derma.

Kesimpulannya, walaupun pada asalnya pembahagian harta sepencarian adalah berasal daripada ‘uruf semasa rakyat di Tanah Melayu, tetapi ia banyak memberi manfaat dan hikmah atas pengurusan harta khususnya bagi pasangan suami isteri. Undang-undang Islam semasa yang mengiktiraf hukum ini telah menjadi dalil yang kukuh menunjukkan ia boleh dilaksanakan.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Jom belajar ilmu kewangan secara bermodul menggunakan buku Bijak Merancang Wang, klik www.bukuBMW.com. Topik ini terkandung dalam modul kewangan dalam Buku Bijak Merancang Wang yang mengandungi modul kewangan secara tersusun:

1. Aliran tunai
2. Pengurusan aset dan hutang
3. Simpanan
4. Perlindungan
5. Pelaburan
6. Penyucian
7. Pewarisan

Sebagai pengguna, kita patut tahu fungsi dan peranan setiap produk kewangan. Ia saling melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain. Dapatkan di www.bukuBMW.com

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

RM90 bilion. Angka yang cukup besar untuk membuatkan kita termenung sejenak.

Itulah jumlah harta pusaka yang masih terbeku dan tidak dituntut oleh waris yang sah menurut data daripada Amanah Raya Berhad. Bayangkan berapa ramai keluarga yang terkesan, berapa lama mereka terpaksa menunggu, dan berapa banyak peluang yang hilang disebabkan harta-harta ini terkunci dalam proses pentadbiran pusaka yang berlarutan.

Mengapa Perkara Ini Masih Berlaku Di Malaysia?

Punca Masalah: Kesedaran Yang Tertangguh

Selepas berada dalam industri perancangan kewangan selama lebih 10 tahun, bertemu dengan pelbagai klien dan berbincang dengan rakan seprofesion, satu pola yang sama terus berulang: ramai yang tahu kepentingan perancangan pusaka, tetapi ramai juga yang memilih untuk menangguhkannya.

“Nanti lah.”

“Masih muda lagi.”

“Belum ada masa.”

“Tak nak fikir pasal mati.”

Alasan-alasan ini kedengaran familiar? Malangnya, ajal tidak menunggu kita bersedia.

Instrumen Pengurusan Pusaka

Dalam industri perancangan pusaka, terdapat beberapa instrumen yang boleh digunakan:

  1. Wasiat – Arahan pembahagian harta selepas kematian
  2. Hibah – Pemberian harta semasa hidup
  3. Amanah (Trust) – Pengawalseliaan dan pengurusan harta
  4. Kombinasi instrumen – Menggabungkan kelebihan setiap instrumen

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung kepada situasi individu.

Hibah: Solusi Segera Yang Kurang Difahami

Antara instrumen yang paling berkesan tetapi kurang dimanfaatkan ialah Hibah.

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela daripada seseorang kepada orang lain semasa pemberi masih hidup. Ia berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Ijab (tawaran) dan Qabul (penerimaan) selesai, dengan syarat-syarat rukun hibah dipenuhi.

Hibah Amanah: Gabungan Terbaik Dua Konsep

Namun, ramai yang tertanya-tanya: “Kalau saya hibahkan harta sekarang, adakah saya kehilangan kawalan ke atas harta saya sendiri?”

Di sinilah kelebihan Hibah Amanah  atau Trust Hibah.

Hibah Amanah menggabungkan konsep hibah dengan struktur amanah, membolehkan pemberi hibah untuk:

  • Kekalkan kawalan ke atas pengurusan harta sepanjang hayat
  • Nikmati manfaat daripada harta tersebut seperti pendapatan atau dividen
  • Tetapkan syarat penggunaan harta untuk benefisiari
  • Pastikan pemindahan segera kepada waris selepas kematian tanpa proses mahkamah

Konsep ini sangat sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan fikiran sambil terus menikmati harta mereka.

Contoh Produk Hibah Amanah di Malaysia

Beberapa institusi di Malaysia menawarkan kemudahan hibah amanah yang mudah dan praktikal:

1. Hibah Amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera)

Pelaburan ASB boleh dihibahkan melalui mekanisme hibah yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Pemegang unit boleh:

  • Menghibahkan sebahagian atau keseluruhan unit ASB kepada waris atau benefisiari
  • Kekalkan hak untuk menerima dividen sepanjang hayat
  • Pemindahan unit berlaku secara automatik selepas kematian tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka
  • Proses yang mudah dengan mengisi borang hibah di kaunter ASNB

Ini bermakna pelaburan ASB anda tidak akan terbeku dan waris boleh terus menerima manfaat tanpa kelewatan.

2. Hibah Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji turut menyediakan kemudahan hibah untuk simpanan para pendeposit:

  • Pendeposit boleh menghibahkan simpanan Tabung Haji kepada benefisiari yang dipilih
  • Hibah boleh dibuat secara mutlak atau bersyarat
  • Proses mudah melalui Sistem Hibah TH yang boleh dilakukan di kaunter atau secara online
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta selepas penyerahan borang dan penerimaan benefisiari
  • Selepas kematian pendeposit, simpanan yang dihibahkan dapat dituntut dengan segera oleh benefisiari

Kedua-dua produk ini menawarkan cara yang mudah dan patuh Syariah untuk memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terbeku dan dapat memberi manfaat segera kepada orang tersayang.

Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang

  1. Buat senarai harta – Aset, simpanan, pelaburan, takaful, hutang
  2. Kenal pasti benefisiari – Siapa yang anda mahu lindungi dan jaga
  3. Dapatkan nasihat profesional – Perunding perancangan pusaka, peguam syarie, atau perancang kewangan berlesen
  4. Pilih instrumen yang sesuai – Wasiat, hibah, amanah, atau kombinasi
  5. Ambil tindakan – Jangan tangguh lagi

Warisan Terbaik Adalah Perancangan

Warisan terbaik yang boleh kita tinggalkan bukan hanya harta, tetapi ketenangan dan perlindungan untuk keluarga yang kita sayangi.

Jangan biarkan RM90 bilion itu bertambah. Jangan biarkan keluarga anda menjadi antara ribuan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, menanggung kos beribu-ribu ringgit, dan mengalami tekanan emosi hanya untuk mendapatkan hak mereka.

Mulakan perancangan pusaka anda hari ini. Kerana esok mungkin sudah terlambat.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.