Awak, Ini Cara Nak Download Laporan CCRIS Secara Online. Tak Sampai 1 Jam Siap!

Bagi awak-awak yang pernah ambil pinjaman PTPTN dan buat pinjaman semasa membeli kereta, WAJIB semak laporan CCRIS (Central Credit Reference Information System) sebelum memohon apa-apa pembiayaan baru, terutamanya kalau nak beli rumah. Bukan apa, takut ada rekod buruk yang kita tak tahu. Leceh la kan bila sampai masa nak beli rumah dan dah nak letak deposit, loan sangkut sebab ada masalah CCRIS.

Laporan CCRIS ni menunjukkan rekod pembayaran hutang kita kepada institusi kewangan/perbankan. Daripada rekod ini, ia dapat menunjukkan samada kita ni pembayar hutang yang baik atau tidak (good paymaster).

Sekiranya kita ada salah satu daripada senarai di bawah, maka tidak syak lagi sudah wujud rekod dalam CCRIS.

  1. Pinjaman PTPTN
  2. Pembiayaan peribadi daripada bank
  3. Kad kredit
  4. Pembiayaan pembelian kenderaan
  5. Pembiayaan perniagaan daripada bank

Saya pernah terbaca di Twitter bahawa ada yang dah membayar PTPTN on-time dan tiada tunggakan tapi PTPTN gagal mengemaskini akaun menyebabkan rekodnya buruk dalam CCRIS.

Jadi kepada anda yang bayar PTPTN on-time juga disarankan supaya periksa rekod CCRIS masing-masing.

Selain daripada itu, yang dah ada banyak rekod kewangan (pinjaman peribadi, kad kredit, pinjaman rumah) eloklah menyemak laporan CCRIS kita setahun sekali atau beberapa bulan sebelum membeli hartanah. Kalau ada tak berapa cantik tu, berusahalah untuk kita cantikkan semula supaya mudah dapat pinjaman. Bank sememangnya akan merujuk laporan ini, sebelum mereka beri lampu hijau luluskan pinjaman. 

Semua Orang Nak Nombor ‘0’ Dalam CCRIS. Kenapa?

Laporan CCRIS menunjukkan dengan jelas tahap kesihatan rekod kewangan kita. Kewangan yang baik, rekodnya semua nombor 0,0,0,0,0. Maksudnya, kita tidak mempunyai sebarang tunggakan dalam hal pembayaran balik hutang.

Rekod kewangan yang tak cantik pula, ada pelbagai nombor, contonhya 1,2,3,4 dan sebagainya. Kalau ada nombor 1 dan 3 pada ruangan pembiayaan kereta, bermakna kita dah terlepas sebulan untuk bayaran ansuran kereta. Untuk cantikkan semula rekod kewangan kita tu, perlukan masa 12 bulan agar nombor 3 tadi tu hilang daripada laporan CCRIS tadi. Laporan CCRIS hanya akan menunjukkan rekod bayaran hutang bulanan untuk tempoh 12 bulan terkini. Jadi, jangan risau, masih ada peluang untuk perbaiki masalah ni.

Anda boleh juga baca artikel ini : Fahami CCRIS & CTOS Untuk Lulus Loan

Boleh ke Dapat Laporan CCRIS Tanpa Perlu ke Bank Negara?

Secara lazimnya, laporan CCRIS boleh didapati daripada kiosk yang disediakan di Bank Negara dan cawangan-cawangannya di seluruh Malaysia. Tempat lain tidak menyediakan kiosk ini. Tapi usah khuatir, ada lagi cara lain untuk mendapatkannya yang tidak memerlukan kita bersusah payah untuk bayar tol, bayar parking, meredah traffic jam semata-mata untuk pergi ke Bank Negara dan dapatkan laporan CCRIS.

5 cara dan kadar bayaran untuk dapatkan laporan CCRIS :

  1. CTOS : RM26.50 (termasuk GST)
  2. CBM (Credit Bureau Malaysia) : RM60 (termasuk GST)
  3. RAMCI (RAM Credit Information) :RM19.50 RM15.90 (termasuk GST)
  4. BNM (Bank Negara Malaysia) : PERCUMA (kena walk-in)
  5. AGENSI KAUNSELING DAN PENGURUSAN KREDIT (AKPK) :PERCUMA (kena walk-in)

Langkah Mudah Dapatkan Laporan CCRIS Guna MYCREDITINFO

OK, jom kita tengok cara bagaimana nak dapatkan laporan CCRIS dengan menggunakan perkhidmatan MYCREDITINFO daripada RAM Credit Information Sdn Bhd (“RAMCI”), yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia.

  1. Sila ke laman web rasmi mereka
  2. Anda perlu sign-up akaun baru dengan memasukkan nama penuh, no. kad pengenalan, emel, alamat, no tel. (Username adalah nombor IC).
  3. Upload softcopy Kad Pengenalan depan dan belakang.
  4. Klik Request OTP. Mereka akan bagi kod rahsia melalui SMS.
  5. Lepas tu, masukkan kod rahsia tu di ruangan ‘OTP Code’ dan klik ‘Create Account.’
  6. Klik ‘Buy Now’. Anda akan dibawa ke laman pembayaran online.
  7. Kemudian akan terima email dari pihak MYCREDITINFO.

Dengan hanya RM19.50 dah dapat laporan CCRIS. Sangat berbaloi berbanding perlu ambil cuti dan datang sendiri ke Bank Negara kan? Amat memudahkan kerja. Oleh itu sila semak rekod anda dan ketahui status CCRIS anda hari ini.

Laporan CCRIS tu akan dihantar ke emel kita. Tajuk emel tu : Attached is Your Personal Credit Report PLUS (PCRP) For Your Review

Laporan ini megandungi maklumat seperti i-Score (skor kredit), CCRIS, SPGA (Skim Potongan Gaji ANGKASA), PTPTN, maklumat bukan berkaitan perbankan dan banyak lagi.

Contoh laporan RAMCI Personal Credit Report Plus (PCRP):

Dapat gred 10 kira dah terbaik, bermaksud kurang risiko untuk pembiayaan tidak dibayar atau default. Agak-agak ada ke bank nak bagi pembiayaan kalau kita berisiko tinggi?

Kena pastikan lebih banyak angka kosong ‘0’ bermakna bayaran dibuat on-time setiap bulan.

Bukan mahal pun, hanya RM19.50 untuk mendapatkan laporan tersebut secara on-line.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.