Cabaran Kewangan Zaman Kini

Wang memanglah bukan segala-galanya. Tapi, kita tetap memerlukan wang untuk menjalani kehidupan seharian. Percaya atau tidak banyak cabaran kewangan yang kita lalui pada zaman kini. 

Kos kehidupan yang semakin meningkat dan peningkatan kadar inflasi menyebabkan ramai orang bergelut untuk terus bertahan dari sudut kewangan. 

Sebagai seorang yang bekerja dan mempunyai keluarga, antara benda yang perlu dibayar dan dibeli setiap hujung bulan adalah:

  1. Ansuran rumah
  2. Ansuran kereta
  3. Bil utiliti
  4. Bil internet
  5. Barangan dapur

Baru sahaja dapat gaji dan selepas bayar kesemua komitmen tersebut, rasa macam tiada apa yang tinggal. Mesti pernah lalui situasi ini bukan?

Sumber: pxfuel

Tidak lupa juga anda perlu membayar hutang-hutang lain contohnya hutang kad kredit. Hutang kad kredit merupakan hutang yang perlu kita elakkan. Jika tersilap langkah, kita akan terjerumus ke dalam hutang yang tinggi. 

Sumber: pxfuel

Baru-baru ini melalui siaran langsung bersama Majalah Labur,  Puan Aisya Rahman seorang perancang kewangan berlesen telah berkongsikan cabaran kewangan yang dilalui orang ramai pada zaman kini.

Beliau berkongsi bagaimana beliau berjaya langsaikan hutang.

Siapakah Puan Aisya? Puan Aisya merupakan seorang perancang kewangan Islamik berlesen yang berdaftar di bawah Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Sebelum itu, dalam sebuah kehidupan setiap manusia akan melalui beberapa fasa kehidupan. Menurut beliau, setiap manusia akan melalui 4 fasa kehidupan.

Fasa Pertama (Umur 0-25 Tahun)

Sumber: pxfuel

Ini merupakan fasa di mana kita membina diri kita dan menuntut ilmu di sekolah dan universiti. Kita menuntut ilmu di alam persekolahan dan menara gading untuk membina diri kita, menuntut sebanyak ilmu yang ada dan mempersiapkan diri untuk melangkah ke alam pekerjaan.

Tetapi jarang kita dengar pelajar diajar ilmu pengurusan kewangan ketika alam persekolahan. Alangkah baiknya sekiranya ilmu pengurusan kewangan turut dikongsikan seawal pendidikan sekolah rendah.

Fasa Kedua (Umur 25-55 Tahun)

Sumber: pxfuel

Fasa di mana seseorang membina status kewangan. Fasa ini memakan masa selama sekitar 30 tahun. Umumnya, kita akan bekerja selama 30 tahun untuk menerima gaji dan mengukuhkan status kewangan kita. 

Ramai menyangka status kewangan mereka stabil ketika fasa ini kerana setiap bulan mereka akan dibayar gaji selagi mereka masih mempunyai pekerjaan. 

Ketika fasa ini, ramai yang hanya fokus terhadap kerja hakiki dan tanpa sedar 30 tahun berlalu begitu sahaja kerana kita melalui rutin harian yang sama hampir setiap hari. 

Fasa Ketiga (Umur 55-80 Tahun)

Sumber: pxfuel

Fasa ketiga ini merupakan kehidupan selepas bersara. Ramai yang berpendapat bahawa setelah umur mereka mencecah 55 tahun, mereka tidak perlu risau lagi perihal kewangan dan sudah tidak perlu memikirkan soal kerja. 

Tahukah anda, sebaliknya ramai yang mengalami tekanan sebaik mereka bersara dan tidak lagi bekerja? Hal ini kerana, pendapatan tetap yang diterima setiap hujung bulan pada suatu ketika dahulu tidak lagi dinikmati sekarang. 

Bagaimana nak bayar bil-bil dan segala komitmen lain? Memanglah ada simpanan, tetapi adakah ianya cukup? 

Fasa Keempat (Alam Abadi)

Fasa keempat adalah fasa setelah kita meninggal dunia. Janganlah kita membiarkan hutang kita di dunia setelah kita pergi satu hari kelak. Pentingnya ilmu kewangan supaya kita boleh tinggalkan ilmu dan kekayaan yang kita boleh infaqkan. 

Ada 7 langkah dalam perancangan kewangan (Financial Planning). Dalam live tersebut, Puan Aisya berkongsikan hanya 2 daripada 7 perancangan kewangan tersebut.  Jom soroti perancangan kewangan di bawah.

Wealth Reflection

Ada yang mengatakan ilmu pengurusan & perancangan kewangan tidak diajar di sekolah. Benar, ilmu ini tidak diajar di sekolah. Namun, kita tidak boleh menyalahkan sekolah sepenuhnya. Malah, ia juga bukanlah tanggungjawab ibu bapa kita sepenuhnya.

Sebaliknya ilmu kewangan ini perlu kita dalami dan tuntut sewaktu kita berada di fasa pertama iaitu sebelum umur 25 tahun. Pada ketika inilah kita perlu membuat refleksi diri.

Berapa banyak masa terluang yang kita ada setiap hari yang kita peruntukkan untuk jana pendapatan sampingan atau pendapatan tambahan? Sekiranya kita bijak menggunakan masa terluang tersebut untuk belajar ilmu kewangan dan menjana pendapatan tambahan sudah tentu kita boleh mempunyai kehidupan yang lebih baik.

Wealth Creation

Di bawah Wealth Creation, dua perkara yang boleh ditekankan adalah pendapatan dan hutang.

Pendapatan boleh hadir dalam dua bentuk iaitu pendapatan aktif dan pendapatan pasif. Pendapatan aktif terdiri daripada gaji bulanan yang diterima dan komisen jualan sekiranya kita bekerja sebagai seorang jurujual tidak kiralah secara sepenuh masa ataupun separuh masa.

Pendapatan pasif pula adalah pendapatan yang tidak memerlukan usaha yang berterusan untuk terus kekal menjana pendapatan. Contoh-contoh pendapatan pasif yang kita boleh cuba adalah seperti hartanah, dividen saham, pegangan dalam perniagaan, amanah saham dan banyak lagi.

Baca : Perbezaan Pendapatan Aktif dan Pendapatan Pasif

Kesimpulannya, kewangan dan juga kekayaan dibina di Wealth Reflection dan Wealth Creation. Terdapat juga buku kewangan yang disyorkan oleh Puan Aisya iaitu Rich Dad Poor Dad untuk memperkayakan ilmu pengetahuan kita dalam kewangan. 

Previous ArticleNext Article

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.