Kenapa Kita Terpilih Untuk Diaudit Oleh LHDN?

Aku orang biasa, bukan Menteri, LHDN takkan cari aku lah.

Jangan yakin sangat.

Di bawah Sistem Taksir Sendiri, audit cukai adalah aktiviti utama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela. Seseorang pembayar cukai boleh dipilih untuk diaudit pada bila-bila masa. Walau bagaimanapun, sekiranya pembayar cukai telah dipilih untuk diaudit ini tidak bermaksud pembayar cukai tersebut telah melakukan kesalahan.

Panduan : Rangka Kerja Audit Cukai

Dalam Rangka Kerja Audit Cukai ada sebut yang pemilihan kes audit cukai dilakukan melalui sistem komputer berasaskan kepada kriteria penilaian risiko dan / atau berasaskan kepada pelbagai punca maklumat yang diterima.

Kita juga buat masa ini tidak berpeluang untuk tahu siapa yang LHDN dah masuk audit sebab LHDN tertakluk kepada Seksyen 138, Akta Cukai Pendapatan 1967. Kalau dapat tahu sedap juga. Mesti pembaca juga nak tahu para hartawan dan jutawan di Malaysia ni berapa cukai mereka. Mohon YB-YB kita di Parlimen mengusulkan cadangan pindaan kepada akta ini.

Di sini kami senaraikan punca-punca popular mengapa kita diaudit oleh LHDN berdasarkan kisah sahabat handai, jiran serta rakan kami di firma ejen cukai. Teori ini mungkin secara kebetulan dan tidak semestinya tepat. Harap pihak LHDN tak saman kami sebab terbitkan artikel ini.

Jom kita lihat apakah antara sebabnya.

1. Setiap tahun dengan selamba dan istiqamah tak hantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) secara e-filing atau manual walaupun kita layak.

Siapa yang layak?

  • Individu berstatus bujang yang menerima pendapatan penggajian melebihi RM34,001 setahun (selepas potongan KWSP)
  • Individu berkahwin dan pasangan tidak bekerja yang menerima pendapatan penggajian melebihi RM46,001 setahun
  • Individu yang menjalankan perniagaan (walaupun perniagaan mengalami kerugian)
  • Pekerja baharu yang dikenakan Potongan Cukai Bulanan (PCB)
  • Individu yang mempunyai pendapatan yang boleh dikenakan cukai
  • Individu yang menjual/membeli hartanah

Ramai juga yang makan gaji ingat bila dah potong bulan-bulan (PCB) ingatkan semua dah setel, tak perlu hantar borang. Cukuplah dah potong gaji aku tiap bulan. LHDN nak apa lagi ???

Sebenarnya memang boleh tak hantar borang jika cukup syarat.

PCB sebagai Cukai Muktamad membenarkan pembayar cukai yang layak untuk tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kepada LHDN (mulai tahun taksiran 2014).

Individu yang layak adalah:

  • Mempunyai satu punca pendapatan sahaja iaitu pendapatan penggajian di bawah seksyen 13 ACP 1967
  • Berkhidmat selama 12 bulan dalam tahun taksiran dengan majikan yang sama. Kalau dalam tahun yang sama ada 2 -3 majikan kira tak layak.
  • Cukai tidak ditanggung oleh majikan dalam tahun taksiran tersebut
  • Suami atau isteri tidak membuat pilihan untuk ditaksir bersama di bawah seksyen 45 ACP 1967

Lebih baik hantar borang secara e-filing. Mana tahu lepas tolak itu ini boleh dapat refund?

2. Tidak konsisten dalam menghantar BNCP. Tahun ni hantar, tahun lepas tak hantar, tahun satu lagi hantar. Bila tak konsisten, dapatlah notis peringatan. Akhirnya terpilih untuk diaudit.

Ada juga yang cuma hantar borang cukai semata-mata untuk memudahkan urusan mendapatkan loan / pembiayaan. Bila dah dapat, tahun-tahun seterusnya dah tak hantar borang.

Sebenarnya pihak LHDN boleh audit sehingga lima (5) tahun taksiran ke belakang bergantung kepada isu-isu audit yang ditemui. Had bagi tempoh liputan ini tidak terpakai bagi kes audit yang melibatkan penipuan (fraud), keingkaran sengaja (wilful default) atau kecuaian (negligence) seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 91(3) ACP.

Nampaknya jika nak hidup lebih tenang, adalah lebih baik kita hantar borang dan laporkan pendapatan yang sebetulnya sebab belum tentu kena bayar cukai.

3. Pendapatan yang dilaporkan tidak konsisten dengan belanja.

Contohnya kita beli kereta Mustang atau Porsche, tetapi pendapatan yang kita laporkan tidak sampai RM100,000 setahun. Mestilah nampak pelik dan kita seolah-olah tidak menunjukkan kemampuan kewangan yang sebenar. LHDN pastinya berminat nak tahu.

4. Pendapatan yang dilaporkan dalam BNCP tidak konsisten.

Contohnya tahun lepas lapor pendapatan RM1 juta, tetapi tahun ini hanya lapor RM100,000.

5. Margin keuntungan bisnes yang luarbiasa. Maksudnya untung kita jauh dengan bisnes lain yang lebih kurang sama.

Contohnya kita menjalankan perniagaan kedai emas. Katakanlah kita lapor margin untung kasar 10% sedangkan kedai emas lain lapor 40%. Logiknya mestilah LHDN akan nampak pelik. Biasanya sama ada tersilap (saja buat silap) buat akaun atau tersilap guna kod perniagaan.

Contoh lain, setiap tahun lapor income bisnes RM4 – 5 juta, tetapi tup tup bawah sekali lapor rugi. LHDN mesti pelik kita meniaga macam mana sebab selalu rugi?

6. Pengarah syarikat kelihatan terlajak kaya.

Jumlah Amount Due To Director juga dikira sebagai aset pengarah syarikat. Kalau pengarah mampu beri pinjam duit kepada syarikat ratus-ratus ribu atau berjuta-juta, LHDN akan berminat nak tahu dari mana pengarah memperoleh duit yang banyak? Lebih-lebih lagi bila mereka semak pengarah tadi laporkan gaji ‘ciput’ saja. Logiknya LHDN akan menganggap mungkin wujud pendapatan syarikat yang tidak dilaporkan dan dibawa lari masuk ke akaun pengarah.

7. Ini memang sebab yang straight forward, iaitu bila kita sebagai majikan gagal

  • Membuat potongan PCB pada pendapatan pekerja yang layak
  • Membuat potongan PCB dengan mencukupi
  • Menghantar Borang E setiap tahun sebelum 31 Mac (untuk lapor kepada LHDN berapa banyak pekerja yang kita ada dan butiran pendapatan mereka tahun lepas)

Panduan : Rangka Kerja Audit Majikan

8. Suka menunjuk-nunjuk kekayaan dan kejayaan di media sosial. Ini tak perlu diperjelaskan rasanya.

9. Aktif jual beli rumah (broker, flipper) juga biasanya menjadi sebab. Pastikan semua dokumen pembiayaan / perjanjian kena simpan elok-elok sampai mati, cuma dokumen tu jangan bawa masuk dalam kubur, takut kelak akan menyusahkan waris kita.

10. Akhir sekali, ini mungkin sebab paling ramai kena. Ramai suka membuat tuntutan pelepasan palsu.

Contohnya menuntut pelepasan SSPN anak maksimum RM8,000 sedangkan hanya simpan RM800 saja sepanjang setahun tu. Zakat pendapatan pun tak bayar tapi tetap claim dekat ruangan Zakat dalam borang.

Bila kantoi, hadap sajalah penalti. Memang salah sendiri. Janganlah marah bila LHDN korek benda-benda lain pula.

Sumber gambar : facebook.com/norfazieladotcom

Kepada pemilik bisnes Enterprise yang biasa menghantar borang sendiri, isi borang betul-betul. Kalau ada bisnes sampai 4-5 Enterprise yang aktif, semua perlu dilaporkan. Jangan lapor 1 sahaja. Untung rugi jangan salah buat. Non allowable expenses jangan main hentam. Jika tidak pasti, cari lah ejen cukai yang pandai. Boleh tonton video Belanja Perniagaan: Mana Boleh, Mana Tidak Boleh?

Kepada pembaca yang ada pendapatan (gaji, sewa, komisen) tetapi belum pernah melaporkannya, ingatlah bahawasanya LHDN boleh boleh pandang belakang sehingga 5 tahun.

Dan jangan mengharap belas ihsan jika tiada duit sekarang untuk selesaikan tunggakan cukai sebab kita bertanggung jawab melaporkan pendapatan dan bayar cukai (jika layak) semasa ada duit hari tu.

Tetapi jangan risau, apa yang kami dengar pegawai di LHDN juga adalah manusia dan boleh dibawa berbincang. Boleh mohon untuk pembayaran ansuran / penstrukturan bayaran.

Kami yang makan gaji, setiap bulan kena tolak PCB siap-siap kepada LHDN, langsung tidak boleh lari. Tetapi mereka yang bukan makan gaji boleh pula sembunyi-sembunyi tidak lapor pendapatan kepada LHDN.

Tak puas hati atau benci dekat kerajaan setinggi gunung pun tetap kena laporkan pendapatan. Mungkin ramai yang tak perasan, hasil cukai inilah yang telah/akan digunakan bagi membantu sahabat handai, jiran tetangga serta pemilik perniagaan yang terkesan dengan pandemik.

  • Bantuan Keluarga Malaysia (BKM)
  • Bantuan Khas Covid (BKC)
  • Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP)
  • Geran Khas Prihatin (GKP)
  • Bantuan Khas PKP
  • Bantuan Prihatin Nasional (BPN)
  • Bantuan Prihatin Rakyat (BPR)
  • Bantuan Sara Hidup (BSH)
  • BR1M

Masih belum terlambat untuk menjadi wira negara. Rancanglah betul-betul.

Paparan Dashboard MyTax

Semasa menggodek-godek laman MyTax terjumpa ada e-book pasal cukai percuma. Boleh download e-buku Hasil di sini

Panduan:

Banyak perkara yang perlu anda ambil tahu sebelum memiliki rumah. 


InshaAllah, kami berhasrat untuk berkongsi ilmu yang kami ada mengenai hartanah kepada pembaca setia Majalah Labur.

Kunci pertama sebelum beli rumah adalah ilmu, ilmu dan ilmu. 

Lebih awal belajar, lebih cepat dapat menilai sesebuah rumah.Jika berminat boleh isi borang .

ILMU PREMIUM HARTANAHSEKARANG!

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Apa Sebenarnya Isu dengan Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT)?

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai usahawan berkongsi pengalaman berhubung kewajipan Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT) ke atas bayaran kepada syarikat luar negara seperti Meta, Google dan platform digital lain.

Ada yang menganggap WHT sebagai cukai baharu LHDN. Ada pula yang mempersoalkan kenapa perlu membayar WHT sedangkan mereka sudah membayar SST.

Sebenarnya, konsep WHT bukan perkara baharu. Persoalannya ialah mengapa ia kini menjadi perhatian ramai, khususnya dalam kalangan usahawan digital. Kenapa sebenarnya Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT) ini menjadi isu dalam kalangan usahawan yang menggunakan platform pengiklanan digital?

Jawapannya terletak pada bagaimana cara perniagaan beroperasi hari ini.

Dulu, iklan banyak dibelanjakan dalam negara.

Syarikat akan beli ruang iklan di surat khabar, stesen TV atau radio tempatan.

Media tempatan memperoleh pendapatan.

Pekerja mereka dibayar gaji.

Syarikat pula membayar cukai pendapatan di Malaysia.

Hari ini, landskap sudah berubah.

Ramai usahawan beriklan di Facebook, Instagram, Google dan TikTok.

Setiap bulan, ada yang membelanjakan ribuan, malah jutaan ringgit.

Tetapi bayaran itu tidak lagi diterima oleh syarikat tempatan.

Ia dibayar kepada syarikat di luar negara.

Persoalannya…

Patutkah Malaysia mempunyai hak mengenakan cukai ke atas sebahagian daripada pendapatan yang dijana daripada pasaran Malaysia?

Di sinilah perlunya konsep Withholding Tax (WHT).

WHT bukan bermaksud syarikat luar negara tidak membayar cukai di negara mereka. Mereka mungkin tetap dikenakan cukai mengikut undang-undang negara masing-masing. Jadi kerajaan Malaysia berpendapat, negara ini juga patut ada sedikit hak untuk mengenakan cukai ke atas bayaran tertentu yang keluar ke luar negara.

Oleh sebab syarikat tersebut berada di luar bidang kuasa LHDN, undang-undang meletakkan tanggungjawab kepada pihak yang membuat bayaran di Malaysia untuk memotong dan meremit cukai tersebut jika bayaran itu tertakluk kepada WHT.

Contoh

Bayangkan ada dua content creator.

Amir tinggal di Malaysia. Sebuah syarikat kosmetik Malaysia membayarnya RM100,000 untuk menghasilkan kandungan promosi. Amir akan melaporkan pendapatan itu dan membayar cukai di Malaysia.

Alex pula tinggal di Ireland. Syarikat kosmetik yang sama di Malaysia membayarnya RM100,000 untuk menghasilkan kandungan yang menyasarkan pelanggan di Malaysia. Alex juga mungkin akan membayar cukai di Ireland mengikut undang-undang negara tersebut.

Persoalannya, bayaran RM100,000 itu datang daripada syarikat Malaysia. Adakah Malaysia juga patut mempunyai hak untuk mengenakan cukai ke atas bayaran tersebut?

Inilah antara rasional kewujudan WHT.

WHT bukan bermaksud Alex tidak membayar cukai di Ireland. Sebaliknya, ia merupakan mekanisme yang membolehkan Malaysia mengenakan cukai ke atas bayaran tertentu kepada bukan pemastautin apabila syarat-syarat di bawah undang-undang dipenuhi.

Antara bayaran yang lazim tertakluk kepada WHT ialah:

  • Royalti (Seksyen 109)
  • Faedah (Seksyen 109)
  • Perkhidmatan, pengurusan atau khidmat khas (Seksyen 109B)
  • Pendapatan artis luar negara (Seksyen 109A)
  • Pendapatan kontrak (Seksyen 107A)

Namun, bukan semua bayaran kepada syarikat luar negara dikenakan WHT. Sama ada WHT terpakai bergantung kepada jenis bayaran, fakta sesuatu transaksi serta jika berkaitan, Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA).

Apa jadi kalau WHT tidak dipatuhi?

Bayangkan sebuah syarikat kosmetik di Malaysia.

Setiap bulan syarikat ini beriklan di Facebook dan Instagram.

Sepanjang tahun, jumlah belanja iklan mencecah RM1 juta.

Walaupun jumlah itu terkumpul sepanjang tahun, kewajipan WHT tidak timbul di hujung tahun. Sebaliknya, ia perlu dipatuhi bagi setiap bayaran yang dibuat kepada Meta Platforms Ireland Ltd (dahulunya dikenali sebagai Facebook Ireland Ltd) .

Berapa kadar WHT yang perlu dibayar?

Bayaran kepada Meta Platforms Ireland Limited bagi pengiklanan digital tertakluk kepada WHT sebagai royalti. Ramai menyangka kadarnya sentiasa 10%.

Namun bagi Meta, keadaannya sedikit berbeza.

Ini kerana Meta mengeluarkan invois kepada pelanggan Malaysia melalui Meta Platforms Ireland Limited, manakala Malaysia dan Ireland mempunyai Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA).

Jika syarat-syarat DTA dipenuhi, kadar WHT yang dikenakan ialah 8%, berbanding kadar domestik 10%.

Nota: Bagi TikTok Ads, oleh kerana invois dikeluarkan oleh TikTok Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, pembayar cukai perlu memastikan syarikat tersebut benar-benar merupakan pemastautin cukai Singapura sebelum menggunakan kadar WHT (8%) di bawah DTA Malaysia–Singapura.

Jika bayaran kepada Meta Platforms Ireland Ltd tertakluk kepada WHT tetapi syarikat gagal mematuhi kewajipan tersebut, kesannya bukan sekadar perlu membayar WHT.

Perbelanjaan iklan RM1 juta itu juga boleh tidak dibenarkan sebagai potongan cukai di bawah perenggan 39(1)(j) Akta Cukai Pendapatan 1967 sehingga WHT dijelaskan.

Katakan syarikat itu memperoleh untung sebelum cukai RM2 juta.

Jika WHT dipatuhi

  • Untung sebelum cukai: RM2,000,000
  • Tolak kos iklan: RM1,000,000
  • Pendapatan bercukai: RM1,000,000
  • Anggaran cukai syarikat (24%): RM240,000

Jika WHT tidak dipatuhi

  • Untung sebelum cukai: RM2,000,000
  • Kos iklan RM1,000,000 tidak dibenarkan
  • Pendapatan bercukai: RM2,000,000
  • Anggaran cukai syarikat (24%): RM480,000

Perbezaan cukai: RM240,000.

Itu belum mengambil kira WHT yang masih perlu dijelaskan serta kenaikan jika lewat dibayar.

WHT bukan untuk iklan di sosial media sahaja

Ramai ingat WHT hanya berkaitan pengiklanan di Meta (Facebook & Instagram), Google Adwords atau TikTok Ads.

Sebenarnya tidak.

WHT telah lama wujud dan melibatkan pelbagai jenis bayaran kepada syarikat atau individu bukan pemastautin.

Antaranya ialah:

🛠️ Perkhidmatan

Contohnya sebuah kilang di Malaysia mengupah jurutera dari Jepun untuk memasang mesin.

💻 Perisian dan langganan digital

Contohnya bayaran lesen perisian, cloud computing atau platform AI kepada syarikat luar negara. (Tertakluk kepada fakta dan jenis bayaran.)

🎬 Content creator atau influencer luar negara

Contohnya syarikat kosmetik Malaysia membayar influencer di Korea Selatan untuk mempromosikan produk kepada pelanggan Malaysia.

🏷️ Royalti

Contohnya, sebuah syarikat Malaysia membayar royalti kepada pemilik jenama luar negara untuk menggunakan jenama tersebut di Malaysia.

Bagaimana hendak membayar WHT?

Jika sesuatu bayaran memang tertakluk kepada WHT, proses pembayarannya kini dibuat secara dalam talian melalui Portal MyTax menggunakan aplikasi e-WHT. LHDN menggalakkan pembayar cukai mengemukakan borang dan membuat bayaran melalui platform ini.

Secara ringkas, prosesnya adalah seperti berikut:

  1. Log masuk ke MyTax.
  2. Pilih ezHasil Services → e-WHT.
  3. Pilih borang WHT yang berkaitan (contohnya CP37 untuk royalti).
  4. Masukkan maklumat pembayar, penerima (termasuk TIN) dan butiran bayaran.
  5. Jana Bill Number.
  6. Buat pembayaran melalui ByrHASiL (FPX) atau saluran pembayaran yang dibenarkan.
  7. Muat turun resit pembayaran untuk simpanan rekod.

Tip: Antara cabaran yang sering dihadapi usahawan ialah mendapatkan maklumat penerima seperti Tax Identification Number (TIN) bagi syarikat luar negara. Jika TIN penerima belum tersedia, pembayar cukai boleh mendapatkan bantuan daripada LHDN melalui [email protected]

Kesimpulannya

Kita perlu faham bahawa WHT adalah mekanisme yang digunakan untuk memberi hak percukaian kepada Malaysia ke atas bayaran tertentu yang mengalir ke luar negara.

Ramai usahawan bukanlah mempertikaikan hak kerajaan untuk mengutip cukai. Apa yang mereka rungutkan ialah beban yang semakin bertambah.

Hari ini, mereka sudah pun membayar SST 8% ke atas perkhidmatan iklan digital. Dalam masa yang sama, timbul pula isu WHT yang memerlukan proses pengemukaan borang CP37 dan bayaran secara manual kepada LHDN.

Sebab itulah ada yang merasakan kos semakin tinggi, walaupun SST dan WHT sebenarnya merupakan dua cukai yang berbeza.

Namun, dalam era ekonomi digital hari ini, mungkin sudah tiba masanya mekanisme ini ditambah baik.

Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah:

  • Mewujudkan nilai ambang (threshold), sebagai contoh, hanya syarikat yang mempunyai hasil jualan tahunan melebihi jumlah tertentu diwajibkan mematuhi WHT bagi transaksi digital, manakala perusahaan mikro dan kecil diberi pengecualian
  • Menyediakan mekanisme pemotongan automatik melalui platform seperti Meta atau Google, seperti mana SST digital dikutip hari ini. Ini mengurangkan beban usahawan yang perlu memproses dan meremit sendiri WHT.
  • Memberikan tempoh pengampunan kepada pembayar cukai yang ingin membuat pengakuan secara sukarela tanpa dikenakan penalti 10%.

Bagi pembaca yang ingin memahami bagaimana mahkamah mentafsirkan isu Withholding Tax, berikut beberapa keputusan kes yang boleh dijadikan rujukan:

  • Kes Mahkamah Berkaitan WHT: Glocomp Systems (M) Sdn Bhd
    • Mahkamah Tinggi (Glocomp Systems (M) Sdn Bhd v KPHDN)
      Glocomp mencabar tindakan LHDN yang mengenakan WHT ke atas bayaran kepada Symantec Singapura. Mahkamah Tinggi memihak kepada Glocomp dan memutuskan bahawa bayaran tersebut bukan royalti, sebaliknya merupakan business profits di bawah DTA Malaysia–Singapura.
    • Mahkamah Rayuan (KPHDN v Glocomp Systems (M) Sdn Bhd)
      LHDN merayu keputusan tersebut. Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan LHDN. Namun, keputusan itu bukan kerana mahkamah memutuskan bayaran tersebut semestinya tertakluk kepada WHT. Sebaliknya, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Glocomp sepatutnya menggunakan saluran rayuan cukai yang disediakan oleh Akta Cukai Pendapatan, iaitu melalui Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), dan bukannya terus memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
  • Wira Swire Sdn Bhd v Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (Seksyen 109B ITA 1967) – Kes ini menunjukkan bahawa tidak semua bayaran kepada syarikat luar negara dikenakan WHT. Jika terdapat Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), hak Malaysia untuk mengenakan WHT mungkin terhad. Dalam keadaan tertentu, pendapatan tersebut hanya dikenakan cukai di negara tempat syarikat itu bermastautin.
  • Alwan Enterprise Sdn Bhd v Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (Seksyen 109B ITA 1967) – jika pertikaian itu memerlukan penelitian terhadap kontrak dan fakta transaksi, tempat yang sesuai untuk menyelesaikannya ialah Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), bukannya terus membawa kes ke Mahkamah Tinggi.

Anda juga boleh merujuk:

Artikel ini bertujuan memberi penerangan umum mengenai konsep Withholding Tax (WHT). Contoh yang diberikan adalah untuk tujuan ilustrasi bagi memudahkan pemahaman pembaca. Sama ada sesuatu bayaran kepada bukan pemastautin tertakluk kepada WHT bergantung kepada fakta transaksi, jenis bayaran, peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967 serta, jika berkaitan, Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA). Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada penasihat cukai berlesen atau merujuk LHDN bagi menentukan layanan cukai yang tepat mengikut keadaan masing-masing.