Malaysia Dijangka Tarik Lebih Banyak Aliran Masuk Asing Daripada Pewarisan Harta Di Asia Bernilai US$1.9 Trilion – SC

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) — Malaysia dijangka dapat menarik lebih banyak aliran masuk asing dengan jangkaan pewarisan harta yang lebih besar daripada golongan berusia kepada generasi lebih muda di Asia, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Seri Awang Adek Hussin.

Beliau berkata menurut HSBC Bank, golongan kaya yang semakin berusia di Asia dijangka mewariskan harta bernilai kira-kira US$1.9 trilion kepada generasi lebih muda pada tahun-tahun akan datang.

“Industri perancangan kewangan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang ini berikutan hubungan jangka panjang yang dibina selama ini,” katanya pada Simposium Perancangan Kewangan 2024 anjuran Persatuan Perancang Kewangan Malaysia (FPAM).

Selain itu, katanya, peluang ini bukan sahaja menjanjikan peningkatan kualiti perkhidmatan perancang kewangan tetapi juga dapat menambahkan lagi pelanggan mereka.

Awang Adek berkata minat terhadap kemampanan yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur milenium, adalah sesuatu yang perlu dimanfaatkan oleh perancang kewangan. 

Tinjauan oleh Institut Penyelidikan Pasaran Modal mendedahkan bahawa lebih daripada 70 peratus golongan milenium dan Gen Z kemungkinan besar akan melabur dalam pilihan yang turut menggalakkan kemampanan.

“Walaupun ramai pelabur mempunyai niat yang baik, mereka mungkin kurang pengetahuan tentang pelaburan mampan seperti konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) atau Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI), yang mana kami dalam industri pasaran modal mungkin sudah biasa dengannya.

“Oleh itu, perancang kewangan mesti meningkatkan pemahaman dan membangunkan keupayaan mereka dalam bidang ini,” katanya.

Bagi tujuan ini, SC dan Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia akan mengeluarkan panduan komprehensif untuk membantu perancang dan perunding dalam menangani kekompleksan Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI).

Panduan ini bertujuan untuk memastikan pertimbangan SRI menjadi komponen rutin nasihat kewangan.

Menurut Awang Adek, bilangan syarikat dalam sektor perancangan kewangan mencatatkan peningkatan ketara, meningkat lebih 32 peratus sejak 2015.

“Sehubungan itu, pengeluaran standard operasi firma oleh Persatuan Perancang Kewangan Malaysia (FPAM) adalah satu langkah positif ke arah usaha menjadikan industri lebih profesional.

“Ia berfungsi sebagai panduan untuk menyokong syarikat dalam mewujudkan asas yang kukuh dan menggalakkan tata laku yang baik yang mengutamakan keperluan pelanggan,” katanya.

Awang Adek berkata dari segi kawal selia, SC telah mengeluarkan Garis Panduan Tata Laku  bagi Pengantara Pasaran Modal yang disemak semula untuk meningkatkan standard profesionalisme dan integriti bagi membantu syarikat menarik dan mengekalkan pelanggan jangka panjang.

Garis panduan yang disemak semula itu akan berkuat kuasa pada 1 Okt, 2024, memberikan masa yang mencukupi kepada pengantara pasaran modal untuk membuat persediaan bagi memenuhi keperluan baharu.

“Perancang kewangan harus menyemak dengan teliti dan mengambil langkah yang perlu untuk memastikan pematuhan, terutamanya berkaitan dengan obligasi nasihat peribadi,” katanya.

Beliau juga menggesa perancang kewangan untuk melindungi pelanggan mereka agar tidak menjadi mangsa kepada skim dan aktiviti tidak berlesen.

Antara tempoh 2019 dan 2023, SC menerima lebih 3,000 aduan dan pertanyaan berkaitan aktiviti dan penipuan tidak berlesen, peningkatan 321 peratus daripada kurang 800 aduan pada 2019.

Menurutnya, SC juga menyedari bahawa syarikat lebih kecil mungkin berdepan kesukaran dalam pemprofilan pasaran.

“Oleh itu, saya ingin mengumumkan bahawa Capital Markets Malaysia, cabang promosi SC, akan bekerjasama dengan SC untuk menyediakan platform bagi memprofilkan syarikat perancangan kewangan. 

“Ini akan menjadi titik hubungan kepada bakal pelabur untuk berhubung dengan syarikat bagi mendapatkan pelbagai keperluan perancangan kewangan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.