10 Matlamat Kewangan Anak Muda Sebelum Capai Umur 30 Tahun

Sebaik saja tamat pengajian, pastinya kita impikan bekerja dalam syarikat yang elok dengan gaji permulaan yang berpatutan.

Tapi malangnya, ramai yang beli kereta sebaik saja mula bekerja. Tanpa disedari, ianya adalah permulaan yang tak sepatutnya dilakukan.

Jom kita dengarkan perkongsian Tuan Amir Syahir berkenaan matlamat kewangan anak muda yang perlu dicapai sebelum usia 30 tahun.

Usia muda kita sangat berharga. Apa yang kita buat di usia muda akan memberi kesan kepada kita di usia tua kelak. Orang hipster dan urban macam kau cakap:

“Alahh, rilek la, kita muda lagi. Enjoylah puas-puas.”

Enjoy biar berpada-pada ye. Jangan berhutang sakan. Masuk umur 40 tahun mula la nak menyesal. Baru nak kenal erti penyesalan.

10 perkara di bawah bolehlah dijadikan sebagai panduan matlamat kewangan sebelum kau berusia 30 tahun:

1. Mempunyai Sumber Pendapatan Sendiri

Tak kiralah apa pun pekerjaan, yang penting kerja yang halal dan sah di sisi undang-undang. Sudah ada kerja yang suka dibuat serta boleh hadapi tekanan kerja. Ada pendapatan yang baik dan tetap.

Apa yang penting adalah usaha. Usaha cari pendapatan dan stabilkan keadaan ekonomi. Bukan hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa.

2. Mengurus Wang Dengan Baik

Tidak kiralah apa pun kerja, sama ada sebagai kejuruteraan pam minyak ataupun kejuruteraan cashier, mestilah sudah mahir menguruskan hal ehwal kewangan sendiri.

Dapat bezakan yang mana kehendak dan keperluan. Tahu aliran keluar masuk wang. Tidaklah bila dapat gaji, duit terus pupus tak tahu ke mana.

Buat bajet kewangan. Bila dah dapat gaji, rancang apa yang perlu dibayar, apa yang perlu dibeli dan sebagainya. Barulah kewangan akan lebih terurus.

3. Mempunyai Tabung Simpanan

Mempunyai beberapa tabungan. Buatlah tabung simpanan, tabung kecemasan, tabung pelaburan, tabung umrah, tabung percutian dan pelbagai tabung untuk kegunaan lain.

Tabung/dana kecemasan ini sangat penting di saat kita menghadapi ujian atau masalah. Sediakan tabung kecemasan sekurang kurangnya 3-6 bulan gaji.

Kalau tak dapat simpan banyak, cubalah simpan dengan nilai yang sedikit terlebih dahulu. Asalkan menyimpan.

4. Membeli Sekurang-kurangnya Sebuah Rumah Sebagai Aset

Membeli sekurang-kurangnya sebuah rumah sebagai aset. Ya. Rumah.

Sudah mula bekerja sila setkan minda membina tabung untuk membeli rumah. Jika kau membeli rumah sebelum umur 30 tahun, ansuran bulanan menjadi rendah disebabkan boleh ambil tempoh pembiayaan yang panjang.

Rumah mahal? Tak mampu simpan untuk deposit rumah? Teruskan menggali ilmu hartanah ni.

5. Mempunyai Pelan Pelaburan

Melaburlah dengan bijak. Jauhi skim cepat kaya, skim yang membawa keuntungan cepat. Realiti kekayaan tiada jalan pintas. Kalau berjaya kaya cepat pun, tak kekal lama.

Banyak pelaburan di Malaysia yang dijamin kerajaan contohnya ASB. Simpan di Tabung Haji pun boleh juga asalkan tetap dan berterusan dan lebih 10% gaji setiap bulan.

Keupayaan melabur sebenarnya bergantung kepada keupayaan kau mengawal kehendak diri sendiri. Jangan cakap tak mampu sebelum mencuba.

Tak mampu melabur banyak, melaburlah dalam nilai yang kecil terlebih dahulu. Jangan nak tunggu banyak duit baru nak mula melabur.

Kami cadangkan untuk baca juga:

1. SC Keluarkan Panduan Mengenai Penyediaan Nasihat Pelaburan
2. Pelaburan Aset Digital (Kripto) Sebagai Alternatif
3. 6 Pelaburan Yang Boleh Kita Mula Dengan Modal RM100
4. 7 Langkah Mudah Nak Melabur Dengan Wahed Invest Modal Serendah RM100, Guna Smartphone Saja
5. 3 Kelebihan Emas Sebagai Aset
6. Patut Ke Kumpul Hartanah Semasa Lockdown?

6. Mempunyai Perlindungan Takaful

Kesihatan adalah anugerah yang tidak ternilai. Jadi, sediakan tabung untuk membiayai masa sakit nanti atau pun ditimpa kemalangan.

Ambil takaful masa muda kerana takaful adalah sangat penting.

Kami cadangkan untuk baca juga:

1. Takaful Sebagai Simpanan?
2. 6 Sebab Orang Lari Daripada Ejen Takaful

7. Memiliki Kenderaan Bersesuaian Dengan Kemampuan Gaji

Beli kereta tak salah. Yang salah adalah membeli kereta tidak sepadan dengan gaji. Gaji ciput tapi beli Honda City susah lah.

Habis separuh gaji buat bayar ansuran kereta. Nak makan pun pinjam kawan. Makan maggi takpe, asalkan kunci kereta ada huruf H.

Ukur baju di badan sendiri. Beli kereta yang bersesuaian dengan pendapatan. Ini tidak, tak nak kalah dengan kawan yang pakai Honda City.

Tengok la dulu. Gaji dia berapa dan gaji kita pula berapa.

Baca juga Toyota Lancar Skim Langganan Kereta Patuh Shariah Pertama Dunia

8. Belanja Mengikut Kemampuan

Tak perlu bergaya hidup mewah sekadar nak menunjuk ke kawan-kawan. Padahal dalam bank kau simpanan tak sampai empat angka pun.

Just be yourself. Belanja dan bergaya ikut kemampuan sendiri.

9. Bebas Daripada Hutang Jahat

Perlu bijak memilih untuk berhutang. Semestinya jangan berhutang demi perkahwinan yang gilang-gemilang atau berhutang demi iPhone yang terbaru dalam pasaran.

Jauhi hutang peribadi untuk perkara-perkara yang tidak penting.

Baca juga Bersediakah Anda Memilki Kad Kredit?

10. Mula Membina Keluarga

Dengan adanya keluarga, kita sebenarnya mampu berubah daripada tak reti uruskan kewangan kepada seorang yang pandai nak uruskan kewangan.

Sebab kita dah ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Kepada pasangan, anak-anak, mak dan ayah.

Carilah teman yang membuat kita bahagia. Senyuman dia menjadi kebahagiaan kita. Sesungguhnya perkahwinan itu membuka banyak pintu rezeki.

Tak cukup 10? Boleh tambah ikut matlamat dan azam masing-masing. Yang penting kena ada target dan matlamat yang jelas, barulah boleh merancang pelan tindakan.

Kredit: Amir Syahir 

Terima kasih kepada anda yang menyokong kami selama ini. Hari-hari kami bersemangat nak sebarkan ilmu tentang kewangan dan pelaburan.

Kami sedar yang majoriti pembaca kami adalah anak-anak muda yang tercari-cari panduan bagaimana untuk mula melabur. Jadi buku ini sangat sesuai bagi newbie yang nak mulakan langkah pertama.

Anda ada soalan-soalan berikut yang memerlukan jawapan?

  • Ada duit tapi tak tahu nak melabur di mana?
  • Nak melabur tapi takut kena tipu dengan scammer?
  • Bagaimana nak tahu sesuatu pelaburan itu adalah patuh Syariah atau tidak?
  • Ada banyak sangat jenis pelaburan dekat luar sana, apa yang paling sesuai dengan jiwa?
  • Dalam suasana ekonomi yang tak menentu, apakah pelaburan ‘safe haven’ yang menjadi pilihan?
  • Pelaburan tanpa tunai tu macam mana?
  • Soalan-soalan lazim berkenaan pelaburan

Jika ya, maka anda perlu miliki buku Buku Malaysia Melabur : 10 Benda Kita Kena Tahu.

Buku Malaysia Melabur juga telah berada dalam senarai MPH Best 2020 dalam kategori MPH Best Malay Non-Fiction 2020.

Sesungguhnya kami bersyukur diberi peluang oleh Allah untuk berubah menjadi lebih baik dan mendapat rezeki seperti yang diidamkan. Kami doakan semoga tuan puan juga dilimpahi rezeki yang penuh keberkatan.

Boleh miliki buku ini secara online di Shopee

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.