Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) — Ringgit memulakan urus niaga Jumaat dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), diasak tekanan berikutan faktor konflik di Timur Tengah yang berlanjutan.

Pada 9 pagi ini, unit tempatan itu susut kepada 4.7775/7830 berbanding dolar AS daripada  4.7680/7710 pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama, pasaran mata wang akan terus menyaksikan keadaan tidak menentu dalam tempoh terdekat ini.

“Ringgit dijangka kekal dalam keadaan semasa dan sebagaimana prestasi semalam. Kebimbangan mengenai konflik Hamas-Israel menjadi tumpuan utama dan akan terus menjejaskan sentimen pasaran.

“Selain itu, hasil Perbendaharaan 10 tahun AS dijangka mencecah paras 5.0 peratus, sekali gus membayangkan bahawa pasaran bon menyaksikan premium inflasi dan dijangka memacu hasil jangka panjang lebih tinggi.

“Hasil jangka pendek seperti tiga bulan jatuh kepada 5.47 peratus yang menjurus kepada keluk hasil lebih curam,” katanya.

Malah, hasil Perbendaharaan 10 tahun AS kekal melebihi 4.9 peratus minggu ini  iaitu yang pertama     kali sejak 2007 dan hanya mengukuhkan lagi dolar AS.

Sementara itu, Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell semalam berkata bank pusat itu kekal lebih berhati-hati dalam soal keputusan dasar monetari berikutan lonjakan hasil bon yang telah mengetatkan keadaan kewangan secara lebih ketara.

“Hasil bon jangka panjang ini telah menjadi faktor pendorong penting dalam langkah lebih ketat itu,” katanya ketika berucap di Kelab Ekonomi New York

Di peringkat tempatan, ringgit juga rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.7927/7994 daripada 5.7712/7748 semalam, rendah berbanding euro kepada 5.0522/0580 daripada 5.0274/0305 dan turun berbanding yen pada 3.1880/1919 daripada 3.1821/1843.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang rantau ini iaitu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4781/4823 daripada 3.4702/4726 dan rendah berbanding dolar Thailand kepada 13.0955/1167 daripada 13.0716/0849.

Unit tempatan itu juga turun berbanding peso Filipina kepada 8.42/8.44 daripada 8.38/8.39 dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 302.0/302.5 daripada 301.4/301.8.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ikhlas.com Zakat Fest 2025: Memperkasa Impak Strategik Melalui Zakat

SEPANG, 28 Oktober 2025 – Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju platform zakat digital di Malaysia apabila berjaya merekodkan kutipan zakat harta berjumlah lebih RM50 juta menerusi usahasama dengan badan-badan zakat di seluruh negara.

Pencapaian itu diumumkan sempena edisi kedua Zakat Fest 2025, acara tahunan utama anjuran ikhlas.com yang meraikan peranan strategik zakat dalam membina komuniti mampan, memperkukuh keadilan sosial dan menyokong ekonomi inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata: “Kami menyasarkan kutipan zakat harta sebanyak RM100 juta pada tahun hadapan, yang akan dimanfaatkan untuk membantu golongan memerlukan menerusi AirAsia Wakalah Fund.”

Dana tersebut merupakan inisiatif berimpak tinggi yang diwujudkan hasil kutipan zakat korporat dan dana wakalah melalui platform ikhlas.com, terbahagi kepada empat komponen iaitu bantuan tunai bagi kumpulan berpendapatan rendah, bantuan pendidikan (Ikhlas Untukmu), bantuan kecemasan bagi mangsa bencana dan keperluan mendesak dan kelas asas fardhu ain percuma.

Selain mengumumkan pencapaian kutipan, ikhlas.com turut mengumumkan perluasan kerjasama strategik bersama empat institusi zakat negeri baru iaitu Pusat Kutipan Zakat Pahang, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Tambah Ikhlas: “Setinggi-tinggi penghargaan kepada badan-badan zakat negeri yang memberi kepercayaan kepada ikhlas.com menerusi kerjasama strategik bagi memperkasakan impak dan hasil kutipan zakat menerusi penyeragaman sistem digital yang lebih cekap, telus dan pantas.”

“Kerjasama ini bukan sahaja dapat meningkatkan integrasi digital malah mengoptimumkan peruntukan dana dan mempertingkatkan ketelusan dalam pengagihan zakat kepada golongan yang berhak menerimanya,”  katanya.

Jumlah keseluruhan institusi zakat negeri yang bekerjasama dengan ikhlas.com kini meningkat kepada 10, menjadikan majoriti badan zakat negeri di Malaysia telah melantik penyedia perkhidmatan gaya hidup Islam di bawah naungan Capital A itu sebagai amil rasmi bagi kutipan zakat harta dan lain-lain.

Zakat Fest 2025 turut meraikan kecemerlangan dalam pemberian yang beretika dan berimpak melalui penganugerahan kategori Majikan Terbaik dan Pembayar Zakat Terbaik. Pengiktirafan ini diberikan kepada organisasi yang secara konsisten menunjukkan kepimpinan dalam mengintegrasikan zakat ke dalam rangka kerja perniagaan mereka, sekali gus memberi kesan positif kepada rantaian bekalan dan komuniti setempat.

Dilancarkan pada kemuncak pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform gaya hidup dan pelancongan Islam digital di bawah Capital A Berhad, yang berfungsi sebagai saluran bagi umat Islam menunaikan kewajipan mereka dengan mudah. Selain perkhidmatan Umrah dan Pelancongan Mesra Muslim melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan subsidiari, AirAsia, ikhlas.com turut menawarkan perkhidmatan Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah, Qurban dan lain-lain. Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi mudah alih melalui Apple App Store dan Google Play Store.