E-dagang Memberi Peluang Baharu untuk Rakyat Malaysia

Tinjauan yang dilakukan baru-baru ini oleh platform e-dagang Shopee yang melibatkan 11,850 penjual di Malaysia menunjukkan bahawa e-dagang mencipta mata pencarian dan peluang baharu terutamanya dalam situasi ekonomi yang cukup mencabar ini. 70% daripada jumlah responden menyatakan bahawa mereka mempunyai hingga enam orang tanggungan.

Oleh itu, walaupun dengan pekerjaan tetap, 35.4% daripada keseluruhan responden mendedahkan bahawa mereka telah menggunakan e-dagang untuk memperoleh sumber pendapatan kedua dan juga ketiga bagi isi rumah masing-masing. Para penjual ini didapati menjana jualan secara purata sebanyak RM2,750* sebulan di Shopee sahaja.

Tambahan pula, tinjauan tersebut juga menunjukkan bahawa e-dagang membuka peluang bagi para usahawan, tanpa mengira jantina, lokasi dan usia. Daripada 11,850 penjual yang terlibat, 5,406 merupakan usahawan baharu yang diperkasakan oleh e-dagang, yang berkata bahawa perniagaan mereka dikendalikan 100% secara atas talian.

Menariknya, daripada usahawan baharu yang dilahirkan oleh e-dagang ini:

  • 72% adalah usahawan wanita. Mereka kebanyakannya menawarkan produk kesihatan dan kecantikan, pakaian wanita serta aksesori fesyen dan mampu menghasilkan secara purata sebanyak RM3,950* sebulan.
  • Sementara itu, 70.7% berumur antara 18 dan 35 tahun, di mana satu daripada tiga adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun begitu, individu-individu ini giat dalam bidang perniagaan dan mampu menjana purata jualan sebanyak RM6,000* sebulan di Shopee. Mereka menjual pelbagai jenis barangan seperti koleksi fesyen kanak-kanak dan Muslim, barangan runcit serta barangan bayi dan produk kanak-kanak, antara lain. Mereka juga dilihat lebih reaktif terhadap trend semasa dengan menambah tawaran di kedai dengan barangan yang mempunyai permintaan tinggi seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman, tisu basah dan banyak lagi.
  • Walaupun bilangan usahawan luar bandar hanya berjumlah 13.3%, ia wajar diketengahkan bahawa penembusan adalah sejauh Pontian, Johor; Kuala Nerus, Terengganu dan Kabong, Sarawak, dan didorong terutamanya oleh golongan wanita muda. Hasilnya, Shopee mendapati bahawa e-dagang juga memudahkan pembekalan produk istimewa tempatan ke seluruh negara seperti keropok lekor, kek lapis, ikan bilis Pangkor, belacan, cencaluk dan banyak lagi, memberi pengguna lebih banyak variasi di atas talian. Para penjual luar bandar ini mampu menjana purata jualan bulanan sebanyak RM3,200*.

Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau Shopee berkata, “Hasil tinjauan menunjukkan bahawa e-dagang menawarkan peluang yang sama rata kepada semua untuk berniaga di atas talian. Selain membantu dalam menambah baik kehidupan orang ramai, ini juga menunjukkan bahawa e-dagang dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam membentuk tenaga kerja moden. Perkara ini dipermudah kerana platform seperti Shopee menawarkan ekosistem e-dagang holistik yang merangkumi penyelesaian pembayaran dan logistik bersepadu, serta sokongan pemasaran dan operasi bagi membawa trafik yang tinggi ke platform kami, yang seterusnya dapat meningkatkan jualan untuk penjual kami. Dengan adanya infrastruktur yang kukuh, kami dapat memperkasa rakyat Malaysia untuk mengendalikan kedai atas talian dan memperoleh keuntungan, sama ada secara sepenuh masa atau sambilan, tanpa mengira identiti dan asal usul mereka.”

Selain itu, pada masa ini di mana e-dagang masih berada dalam peringkat awal pertumbuhan, ia secara beransur-ansur mewujudkan kesan riak atau ripple effect sosio-ekonomi di mana lebih daripada 1,700 daripada 11,850 penjual yang terlibat dalam tinjauan berkongsi bahawa mereka menggunakan khidmat pekerja tetap dan pekerja sambilan demi memenuhi permintaan yang meningkat secara keseluruhan daripada e-dagang.

Para penjual menjangkakan lonjakan jualan pada 11.11 ini: Menurut tinjauan ini, 66.7% daripada keseluruhan responden mengatakan bahawa mereka akan meningkatkan jumlah inventori mereka sebanyak dua kali ganda sebagai persediaan untuk festival membeli-belah 11.11. Pada masa yang sama, 70.2% daripada penjual menjangkakan peningkatan jualan sekurang-kurangnya 100% di kedai Shopee mereka pada 11.11 Jualan Hebat ini berbanding tahun 2019. Sebahagian daripada mereka turut menjangkakan kenaikan lima kali ganda.

Mengulas berkenaan perkara ini, Ho berkata bahawa sifat optimis penjual memberi gambaran betapa hebatnya festival membeli-belah atas talian global terbesar ini untuk para pengguna. “Dengan bekerjasama rapat dengan jenama, peruncit dan penjual, kami memberikan potongan harga menarik dan tawaran yang tidak patut dilepaskan untuk dinikmati Rakyat Malaysia hingga 11 November. Mereka boleh menikmati penghantaran percuma setiap hari dengan perbelanjaan minimum RM11, mendapat lebih nilai dengan baucar diskaun 50% setiap hari serta tawaran Jualan Kilat Shocking Sale 11 sen dan RM1.”

Menyedari bahawa sokongan masyarakat adalah penting bagi kejayaan jenama dan penjual, Shopee mendedikasikan 11.11 untuk mencipta pengalaman bersama yang lebih hebat. Para pengguna di seluruh negara akan dihubungkan dan diberi inspirasi melalui tawaran serta ciri dan hiburan yang dipertingkatkan seperti 11.11 Big Show yang dapat disaksikan pada 11 November dari pukul 9 malam hingga 11 malam di Shopee Live, TV3, Tonton dan YouTube.

Shopee juga akan memperkukuh komitmennya dalam memperkasakan komuniti tempatan menerusi 11.11 Big Charity, iaitu usaha amal serantau pertamanya. Di Malaysia, platform e-dagang tersebut akan bekerjasama dengan organisasi amal seperti Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dalam meningkatkan kesedaran dan sumbangan kepada mereka yang hidup dengan penyakit HIV termasuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

“E-dagang telah memberi kesan yang mendalam kepada rakyat Malaysia, terutamanya tahun ini. Ketika kami menerajui transformasi digital, kami tetap fokus terhadap menjadikan e-dagang untuk semua dengan mencipta peluang dan pengalaman bersama yang bermakna bagi penjual dan pembeli. Kami inginkan agar setiap orang dan perniagaan dapat memperoleh manfaat daripada pertumbuhan e-dagang dan mengambil bahagian dalam ekonomi digital masa depan. 11.11 Jualan Hebat ini, seperti semua festival membeli-belah kami, mencerminkan komitmen kami untuk mengubah kehidupan komuniti yang menerima perkhidmatan kami. Kami berharap 11.11 Jualan Hebat membuahkan hasil buat semua,” rumus Ho.

Untuk maklumat lanjut mengenai Shopee 11.11 Jualan Hebat, layari https://shopee.com.my/m/11-11

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI