J.K Rowling, Penulis Bertaraf Billionaire Yang Menempuh Pelbagai Dugaan Sebelum Berjaya

Novel siri Harry Potter merupakan novel fiksyen yang paling laris di dunia dengan angka jualan melebihi 450 juta naskah yang telah dijual. Ianya juga telah diterjemahkan kepada lebih daripada 50 bahasa.

Sebelum kejayaan ini berlaku, sebenarnya terdapat seribu satu kepahitan yang terpaksa dilalui oleh penulis siri novel berkenaan yang bernama J.K. Rowling.

Joanne Rowling Nama Sebenar

Dilahirkan di Yate, England pada tahun 1965, dengan ibu bapa berasal dari England. Bapa bernama Peter James Rowling, seorang jurutera kapal terbang untuk Rolls Royce dan ibunya Anne seorang pembantu makmal kimia di sebuah sekolah yang bernama Wyedean Comprehensive.

Kehidupan zaman kanak-kanaknya bahagia kerana mempunyai kedua ibu bapa yang penyayang. Ibunyalah yang memupuk minat Rowling agar sukakan buku sejak dari kecil lagi

Semasa zaman remaja, kehidupannya tidak lagi bahagia kerana ibunya sering dilanda sakit manakala hubungan dengan ayahnya pula semakin keruh dan mereka tidak lagi tinggal bersama. Penyakit ibunya semakin hari semakin teruk, walaupun sudah mendapat rawatan yang sewajarnya.

Pengaruh Bahasa Perancis dan Klasik

Setelah tamat pengajian diperingkat menengah, iaitu pada tahun 1982, beliau mengambil peperiksaan untuk memasuki universiti Oxford dan beliau lulus dalam ujian tersebut. Tetapi permohonanya telah ditolak dan beliau meneruskan pengajian di Universiti Exeter di dalam bidang sarjana bahasa Perancis dan Klasik. (Pengajian bahasa klasik benar-benar berguna kepada beliau kerana kebanyakan mentera sihir di dalam novel Harry Potter ini diambil dari bahasa klasik latin dan diadunkan sesuai dengan watak)

Setelah tamat belajar di Universiti, Joanne berhijrah ke London dan mencuba beberapa pekerjaan termasuklah bekerja untuk pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International. Namun tidak kekal lama kerana merasakan kerjanya itu tidak sesuai dengan dirinya.

Ketika usianya mencecah 25 tahun, beliau mendapat ilham untuk menulis novel Harry Potter ketika sedang menunggu kereta api dari bandar Manchester ke London. Pada tahun inilah ibunya kesayangannya telah meninggal dunia dan beliau berasa teramat sedih kerana ibunya itu merupakan orang yang paling rapat dalam hidupnya.

Berhijrah ke Portugal dan Mendirikan Rumahtangga

Untuk mengubati duka lara dalam hati, beliau mengambil keputusan berhijrah ke Portugal sembilan bulan kemudian untuk menjadi guru bahasa Inggeris di sana. Pada tahun 1992, beliau berkahwin dengan seorang wartawan yang berasal dari Portugal dan dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Jessica.

Perkahwinan pasangan ini tidak bertahan lama kerana suaminya seorang yang panas baran dan sering memukul beliau. Beliau mengambil keputusan untuk bercerai dengan suaminya dengan membawa anak perempuan mereka untuk tinggal bersama denganya. Selepas bercerai dengan pasanganya itu, Joanne mengambil keputusan untuk ke Scotland dan menetap di rumah adiknya bersama dengan anak perempuannya.

Pada masa ini beliau melihat diri beliau sebagai seorang yang gagal dalam hidupnya kerana gagal dalam perkahwinan, tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan hidupnya bergantung kepada bantuan kewangan dari badan kebajikan dan merupakan perempuan miskin yang hidup dalam masyarakat moden Britain. Pada masa inilah beliau terlintas di dalam fikirannya untuk menamatkan riwayat hidupnya.

Setelah beberapa bulan berada di rumah adiknya, beliau telah keluar dari rumah itu dan menyewa sebuah rumah flat yang kecil di Edinburgh dan tinggal bersama dengan anaknya dengan bantuan dari badan kebajikan sebanyak 70 Pound Sterling seminggu.

Selain di rumahnya, beliau menghabiskan masanya dengan menulis novel Harry Potter yang pertama di kedai The Elephant House iaitu sebuah cafe dan ditemani oleh anaknya yang masih kecil. Pada tahun 1995, novel pertama Harry Potter telah pun siap sepenuhnya.

Di café inilah J.K. Rowling menghabiskan masanya untuk menulis novel pertama Harry Potter

12 Syarikat Penerbitan Enggan Terbitkan Harry Potter

Proses untuk menghasilkan novel Harry Potter bukanlah mudah, beliau telah merancang plot cerita Harry Potter selama 5 tahun sebelum novel itu dapat diterbitkan. Cabaran yang pertama dihadapi oleh beliau pada ketika itu adalah layanan pihak penerbitan terhadap novel yang ditulisnya itu.

Beliau berasa sungguh kecewa dengan syarikat penerbitan yang menolak untuk menerbitkan novel terbabit. Bukan satu atau dua syarikat yang enggan menerbitkan novel hasil karyanya, tetapi sebanyak 12 buah syarikat penerbitan juga memberi jawapan yang sama.

Beliau berasa sungguh sedih terhadap nasib yang menimpa dirinya dan mulai ragu terhadap dirinya sendiri kerana tiada syarikat penerbitan novel yang berminat untuk menerbitkan novel hasil karyanya.

Peluang Datang Juga Akhirnya

Beliau mula hilang kepercayaan kepada hasil karya yang sendiri, kerana rata-rata penerbit buku itu menyatakan buku Harry Potter ini terlalu panjang dan tidak sesuai untuk bacaan kanak-kanak. Akhirnya syarikat penerbitan kecil Barry Cunningham of Bloomsbury yang berpangkalan di London memberi peluang kedua kepada beliau, kerana anak perempuan pemilik syarikat itu suka akan Novel Harry Potter yang dihasilkan oleh beliau.

Novel Harry Potter yang pertama diterbitkan dibawah tajuk” Harry Potter and the Philosopher’s Stone” merubah kehidupan beliau dari seorang ibu tunggal yang tinggal di rumah flat dengan bantuan kebajikan masyarakat kepada penulis wanita yang paling berjaya. Semua kejayaan yang dikecapi oleh beliau bukan datang dalam sekelip mata.

Ini adalah berkat kesabaran dan sikap tidak pernah berasa putus asa terhadap apa cabaran yang mendatang kepada dirinya terutama terhadap syarikat penerbitan buku.

Pada tahun berikutnya, J.K. Rowling telah mengeluarkan novel Harry Potter yang kedua dan pada tahun yang sama, pihak Warner Brothers telah membeli hak milik Harry Potter untuk novel yang pertama dan kedua untuk dibawa ke layar perak. Filem pertama Harry Potter telah disiarkan pada tahun 2001.

Koleksi Novel Harry Potter yang ditulis oleh J.K. Rowling

Pada tahun 2000, nilai ketiga-tiga novel yang dikeluarkanya itu bernilai $480 juta USD. Kini koleksi novel Harry Potter telah dihasilkan sebanyak 7 buah novel dan nilai francais koleksi Harry Potter bernilai hampir $25 bilion USD dari segi novel, permainan, filem yang ke layar perak dan bermacam-macam lagi.

Beliau juga membangunkan website khusus untuk peminat Harry Potter yang diberi nama Pottermore.

Seiring dengan perkembagan dunia digital, laman web Harry Potter dilancarkan untuk memudahkan peminatnya mengetahui maklumat terkini mengenai Harry Potter

Dengan sambutan yang luar biasa terhadap siri Harry Potter, beliau telah menjadi penulis pertama yang berjaya mencapai taraf billonaire di dunia. Walaupun sudah menjadi penulis bertaraf billionaire, J.K Rowling masih tidak lupa akan asal-usulnya, dan kini beliau menjadi seorang aktivis masyarakat dan meyumbangkan sebahagian besar hartanya kepada badan-badan kebajikan.

Rujukan Utama:

Rujukan Sekunder:

  1. https://www.biography.com/people/jk-rowling-40998
  2. https://www.jkrowling.com/about/
  3. https://harrypotter.bloomsbury.com/uk/jk-rowling-biography/
  4. https://gradbee.com/blog/j-k-rowling-a-short-biography/
  5. http://www.guinnessworldrecords.com/world-records/first-billion-dollar-author
  6. https://www.cnbc.com/2016/10/13/harry-potter-and-the-25-billion-franchise.html
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kita Bajet Insurans, Tapi Lupa Bajet Check-up

Hampir setiap ketua keluarga mempunyai bajet yang cukup terperinci untuk perlindungan kesihatan samada menerusi insurans atau takaful.

Di Majalah Labur, kami percaya ramai pembaca setia kami rata-rata bersetuju yang sejumlah 5% – 15% dari gaji bulanan adalah amaun yang cukup sihat untuk perlindungan kesihatan.

Akan tetapi, ada satu perkara yang sering tidak mempunyai bajet khusus: pemeriksaan kesihatan berkala.

Kita lebih mudah menyediakan RM200 untuk membaiki sesuatu selepas rosak berbanding memperuntukkan sejumlah wang untuk memastikan masalah itu dapat dikenal pasti lebih awal.

Baca : 5 Perkara Medical Card Boleh Bantu Yang Tak Ramai Orang Tahu!

Dalam kewangan peribadi, cara berfikir seperti ini mungkin kelihatan kecil. Tetapi apabila melibatkan kesihatan, penangguhan boleh membawa kepada keadaan yang memerlukan lebih banyak masa, rawatan dan perbelanjaan.

Sebab itu preventive healthcare wajar dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan keluarga, bukan sekadar perbelanjaan tambahan.

Ada bajet insurans. Bagaimana dengan bajet kesihatan?

Insurans atau takaful penting untuk melindungi kewangan apabila berlaku keadaan yang memerlukan rawatan atau kemasukan ke hospital.

Tetapi perlindungan kewangan tidak semestinya bermaksud kita tidak perlu menyediakan bajet untuk penjagaan kesihatan rutin.

Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan untuk mengenal pasti faktor risiko, memberi nasihat pengurusan risiko dan membuat rujukan lanjut jika diperlukan.

pemeriksaan kesihatan

Pada asasnya, terdapat perbezaan antara:

“Saya mempunyai perlindungan jika sesuatu berlaku”

dengan

“Saya memperuntukkan wang untuk mengetahui keadaan kesihatan saya secara berkala.”

Kedua-duanya memainkan peranan yang berbeza dalam perancangan kewangan kesihatan.

Kesilapan ibu bapa : tunggu anak sakit baru bawa berjumpa doktor gigi

Perkara ini lebih mudah berlaku dalam kalangan ibu bapa. Anak tidak mengadu sakit, jadi pemeriksaan ditangguhkan. Gigi susu pula dianggap tidak begitu penting kerana akhirnya akan tanggal.

Apabila sakit mula berlaku, barulah ibu bapa mencari rawatan. Masalahnya, ketiadaan sakit tidak semestinya bermaksud tiada masalah.

Masalah ini yang cuba diketengahkan oleh Dr. A’tikah U’zed (Doktor Gigi di Klinik Pergigian Aesira) yang melihat ada keperluan untuk ibu bapa di Malaysia mengkhususkan wang untuk rawatan gigi anak mereka atau mereka sendiri!

pemeriksaan kesihatan gigi

Penegasan ini nampak ada intinya selepas kami melihat bahawa data National Oral Health Survey of Adults (NOHSA) 2020 menunjukkan ;

“Prevalens karies dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas ialah 85.1%, manakala dalam kumpulan umur 15–19 tahun pun prevalensnya masih 51.7%. Dalam kalangan orang dewasa yang mempunyai gigi, 40.7% mempunyai keperluan rawatan restoratif, 28.9% keperluan cabutan dan 4.5% keperluan rawatan endodontik.”

Masalah gusi juga tidak semestinya bermula dengan kesakitan.

NOHSA 2020 mendapati hanya 5.1% populasi bergigi mempunyai periodontium yang sihat, sementara 38.2% mempunyai periodontitis. KKM turut menerangkan bahawa penyakit periodontal boleh tidak disedari kerana pada peringkat awal ia boleh berlaku tanpa sakit.

Ini menjadikan pemeriksaan berkala satu perkara yang relevan bukan sahaja kepada kesihatan, tetapi juga kepada cara keluarga merancang perbelanjaan.

Kos rawatan gigi sebenarnya boleh dilihat sebagai kos tahunan

BilRawatanAnggaran kosKekerapan /Perspektif
1Konsultasi & pemeriksaan gigiRM30–RM1006–12 bulan / mengikut risikoKos asas untuk mengetahui keadaan gigi sebelum membuat keputusan rawatan
2X-ray gigi kecil (periapikal/bitewing)RM30–RM80Jika diperlukan doktorMembantu melihat masalah yang tidak jelas melalui pemeriksaan biasa
3X-ray panoramic (OPG)RM80–RM200Jika diperlukanBiasanya untuk penilaian keseluruhan rahang, gigi bongsu atau perancangan tertentu
4Scaling & polishingRM80–RM250Mengikut keadaan gigi/gusiPenjagaan berkala yang boleh dimasukkan dalam bajet pergigian tahunan
5Rawatan fluoridaRM50–RM120Berdasarkan risiko, terutama kanak-kanakPreventive care yang boleh dirancang lebih awal
6Fissure sealant±RM50–RM100/gigiTerutama gigi tertentu kanak-kanakPerbelanjaan pencegahan yang dibuat berdasarkan penilaian doktor
7Tampalan gigiRM80–RM300/gigiApabila terdapat kariesContoh kos rawatan yang mungkin timbul selepas pemeriksaan
8Cabutan gigi biasaRM80–RM300/gigiJika gigi tidak dapat dikekalkan / perlu dicabutKos meningkat berbanding penjagaan rutin apabila masalah memerlukan prosedur
9Rawatan saluran akar (root canal)±RM600–RM2,000/gigiUntuk gigi dengan masalah pulpa tertentuContoh bagaimana rawatan boleh menjadi lebih kompleks dan memerlukan bajet lebih besar
10Pembedahan gigi bongsu±RM800–RM2,500/gigiJika impaksi/kerumitan memerlukan pembedahanContoh kos prosedur yang lebih besar dan sukar dirancang sebagai perbelanjaan rutin

Semak : Senarai Harga Rawatan Gigi Terkini

Daripada melihat pergigian sebagai:

“Berapa saya perlu bayar apabila gigi sakit?”

lebih baik keluarga melihatnya sebagai:

“Berapa bajet saya perlu sediakan setiap tahun untuk penjagaan gigi?”

Ini tidak bermaksud seseorang perlu menjalani rawatan setiap tahun.

Sebaliknya, bajet tersebut boleh merangkumi pemeriksaan, penjagaan pencegahan dan rawatan yang diperlukan berdasarkan penilaian doktor gigi.

Kekerapan pemeriksaan pula bukan satu angka yang wajib sama untuk semua orang. Sesetengah individu mungkin memerlukan pemeriksaan lebih kerap berdasarkan risiko karies, keadaan gusi, sejarah rawatan dan faktor kesihatan lain.

Matlamatnya ialah tidak menunggu sehingga keadaan menjadi kecemasan sebelum mula merancang.

Contohnya, gigi jarang bukan semata-mata soal kosmetik

Ambil contoh diastema, atau gigi jarang.

Menurut Dr. A’tikah U’zied, diastema ialah ruang antara dua gigi yang paling kerap dilihat pada gigi hadapan atas.

Ia boleh berkait dengan saiz gigi berbanding rahang, faktor struktur semula jadi atau tabiat tertentu. Antara perkara yang boleh diperhatikan ialah ruang yang jelas antara gigi atau ruang yang semakin melebar.

Tidak semua diastema memerlukan rawatan.

Baca : Mencari Medical Card Terbaik? Tipu Semua Tu. Fahamkan 5 Perkara Ini

Tetapi apabila ibu bapa atau individu menyedari perubahan pada kedudukan atau jarak gigi, pemeriksaan memberikan peluang untuk menentukan sama ada ia sekadar variasi normal atau sesuatu yang memerlukan pemantauan atau rawatan.

Inilah konsep financial planning yang sering terlepas pandang.

Pemeriksaan bukan bermaksud kita sudah bersetuju untuk menjalani rawatan.

Pemeriksaan bermaksud kita mendapatkan maklumat terlebih dahulu.

Dengan maklumat itu, keluarga boleh membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan, bila ia perlu dilakukan dan bagaimana perbelanjaannya boleh dirancang.

Jadi, enam bulan atau setahun sekali?

Jawapannya bergantung kepada individu.

Jadual pemeriksaan gigi sepatutnya mengambil kira keadaan gigi dan gusi, tahap risiko, umur, sejarah rawatan serta penilaian doktor gigi.

Bagi sesetengah orang, pemeriksaan enam bulan sekali mungkin sesuai. Bagi yang lain, doktor mungkin mencadangkan sela masa yang berbeza.

Yang penting ialah jangan menjadikan “tidak sakit” sebagai satu-satunya ukuran untuk menentukan sama ada pemeriksaan diperlukan.

Konsep yang sama digunakan dalam kesihatan secara umum. KKM menerangkan bahawa saringan kesihatan bertujuan membantu mengenal pasti faktor risiko dan penyakit lebih awal supaya pengurusan dapat dimulakan.

Bagaimana keluarga boleh masukkan kesihatan dalam financial planning?

Satu pendekatan mudah ialah membahagikan perancangan kepada beberapa lapisan:

Pertama, perlindungan.
Insurans atau takaful untuk risiko kesihatan yang besar, mengikut kemampuan dan keperluan keluarga.

Kedua, dana kecemasan.
Simpanan tunai untuk perbelanjaan kesihatan atau kecemasan yang tidak dirancang.

Ketiga, preventive healthcare.
Bajet tahunan untuk pemeriksaan dan saringan yang bersesuaian dengan umur serta faktor risiko.

Keempat, penjagaan rutin.
Termasuk pergigian dan keperluan kesihatan lain yang boleh dijangka.

Dengan cara ini, kesihatan tidak hanya muncul dalam bajet apabila sesuatu sudah berlaku.

Baca : Permintaan Sektor Penjagaan Kesihatan Diunjur Meningkat Bagi Jangka Panjang

Kesihatan juga perlukan bajet sebelum ia menjadi kecemasan

Financial planning yang baik bukan sekadar mempunyai wang apabila berlaku masalah.

Ia juga tentang mengetahui perbelanjaan yang boleh dijangka, menyediakan ruang untuk penjagaan berkala dan membuat keputusan berdasarkan maklumat sebelum keadaan menjadi mendesak.

pemeriksaan kesihatan

Pemeriksaan kesihatan tidak menjamin seseorang akan terlepas daripada penyakit atau rawatan mahal. Begitu juga pemeriksaan gigi tidak menjamin seseorang tidak akan memerlukan prosedur kompleks pada masa hadapan.

Namun, pemeriksaan memberikan sesuatu yang penting dalam perancangan kewangan:

maklumat lebih awal.

Dan maklumat lebih awal memberikan keluarga peluang untuk membuat keputusan dengan lebih tenang, sama ada perlu merawat sekarang, memantau dahulu atau menyediakan bajet untuk rawatan pada masa akan datang.

Jadi, apabila menyediakan bajet keluarga untuk tahun hadapan, jangan hanya tanya:

“Berapa saya perlu simpan kalau saya jatuh sakit?”

Tanya juga:

“Berapa yang saya sanggup peruntukkan untuk mengetahui keadaan kesihatan saya sebelum ia menjadi kecemasan?”

Kerana dalam pengurusan kewangan kesihatan, bil rawatan bukan satu-satunya kos yang perlu difikirkan.

Masa, ketidakselesaan, kehilangan produktiviti dan keputusan yang dibuat ketika keadaan sudah mendesak juga mempunyai nilai.

Preventive healthcare bukan tentang berbelanja sebanyak mungkin untuk kesihatan.

Ia tentang merancang supaya kesihatan tidak menjadi kejutan kewangan kepada keluarga.

Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan pengganti nasihat doktor atau doktor gigi. Keperluan pemeriksaan, saringan dan rawatan berbeza mengikut keadaan individu.