4 Hubung Kait Di Antara Wang Dan Kerohanian

Ramai menyangka wang hanyalah alat transaksi untuk membeli barang keperluan dan kehendak. Tetapi, wang sebenarnya boleh menyebabkan kita lalai dan melemahkan.

Wang boleh membuat kita rugi, merugikan pihak lain dan mungkin membuka sisi gelap seseorang. Dengan wang, kita diuji dengan sifat peribadi kita, kawan boleh menjadi lawan dan wang boleh membuat kita lupa daratan.

Wang sangat penting untuk kita gunakan untuk berbelanja dalam kehidupan seharian. Namun, masalah berlaku apabila wang disalah erti sehingga kita sukar hendak mencari wang.

Seolah-olah semakin kita mengejar wang, semakin kita merasa jauh dengan wang. Apakah sebabnya kita mengalami masalah kewangan?

Adakah disebabkan kita kurang mempunyai kemahiran? Atau mungkin ada sebab lain?

Apakah cara supaya kita tidak menjadi hamba kepada wang? Ini adalah empat perkara yang kita perlu tahu tentang wang daripada segi kerohanian.

1. Wang Bukan Musuh Rohani

Selama ini, ada yang menganggap wang adalah musuh jiwa kita. Wang boleh membuatkan kita jauh daripada Tuhan dan kita akan diuji dengan   masalah kewangan.

Ini adalah tanggapan klise kita sehingga kita sering dengar, “Orang kaya susah masuk syurga”. Mungkin betul, orang kaya susah masuk syurga andai kata beliau menggunakan wang untuk bermaksiat.

Hal yang sebaliknya akan berlaku jika rezeki yang dilimpahkan digunakan untuk tujuan yang baik, membantu orang lain dan digunakan untuk beramal.

Dalam agama Islam sendiri disebutkan bahawa Nabi Sulaiman merupakan seorang Nabi yang mempunyai kekayaan yang sangat luar biasa. Tetapi, beliau tetap dekat dengan Allah SWT dan menggunakan kekayaannya di jalan yang benar.

2. Wang Adalah Guru Kepada Rohani

Daripada merasakan wang adalah musuh rohani, adalah lebih baik jika kita menjadikan wang sebagai guru kepada rohani kita. Untuk mendidik rohani kita, tidak bermakna kita perlu meninggalkan semua aspek duniawi.

Jadi, kita boleh menggunakan wang untuk menilai diri kita. Kita boleh tahu sama ada kita mempunyai “sisi gelap” atau tidak. Dengan wang sahaja, kita boleh menemukan “sisi gelap” kita yang selama ini mungkin tidak kelihatan.

Wang dapat menunjukkan peribadi sebenar seseorang dengan mudah. Kita lebih mudah untuk menilai tingkah laku seseorang ketika beliau sedang dalam keadaan senang dan diberikan kemewahan.

Adakah kita akan masih melakukan kebaikan dan bersikap merendah diri atau berubah menjadi sebaliknya? Adakah dengan menjadi semakin kaya, kita jadi semakin angkuh dan kedekut?

3. Wang Bukan Sekadar Nilai Dan Harta

Dalam ilmu kuantum fizik, kita tahu bahawa setiap benda di dunia ini mempunyai tenaga (energy). Sifat tenaga adalah kekal, tidak boleh dicipta atau dimusnahkan.

Wang juga boleh dilihat sebagai “energy”. Wang bukan sekadar sekeping kertas atau logam. Cara kita mencari wang boleh menentukan dan memberi kesan dalam kehidupan kita.

Sebagai contoh, secara nominal, wang RM1,000 yang diperoleh dari titik peluh sendiri dan wang RM1,000 wang rasuah mempunyai nilai yang sama, tidak berubah angkanya.

Tetapi, apa yang membezakan adalah tenaga positif dan negatif yang ada pada wang tersebut. Wang yang halal akan memberi berkat manakala wang yang haram akan menyulitkan kehidupan kita.

Oleh sebab itu, dalam Islam kita diwajibkan untuk memberi zakat dengan tujuan menyucikan harta supaya bersih daripada sesuatu yang bukan hak kita.

4. Wang Adalah Nafas Kehidupan

Setiap transaksi kewangan boleh diibaratkan sebagai nafas. Wang yang keluar dan masuk sama seperti udara yang kita sedut dan hembus.

Kalau kita tidak mahu mengeluarkan wang, sama sahaja seperti kita menarik nafas tetapi tidak mengeluarkannya. Pasti kita akan berasa sesak nafas dan berat pada tubuh badan.

Wang juga sama. Aliran tunai kita tidak lancar mungkin kerana kita hanya memberi tumpuan untuk menarik dan menyimpan wang sahaja sampai lupa untuk mengeluarkannya.

Baca juga Memperkasa Zakat, Wakaf, dan Sedekah Membangun Ummah

Disebabkan itu, kita selalu menyaksikan orang yang banyak bersedekah hartanya tidak pernah berkurang malahan bertambah. Sebaliknya, kita hairan melihat orang yang bermati-matian bekerja keras, tapi wang masih tidak mencukupi.

Melalui penulisan ini, kita bersama-sama mengingatkan diri kita untuk sentiasa mendapatkan keberkatan dari rezeki yang diperolehi.

Semoga bermanfaat.

Sumber Rujukan: https://www.kompasiana.com

Ditulis oleh Abang Yazree Hazwan. Penulis merupakan seorang Eksekutif di sebuah syarikat penyelidikan pasaran di Malaysia. Mempunyai pengalaman dalam bidang insurans/reinsurans di syarikat reinsurans tempatan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.